Author: Bernama

  • PRN Melaka: PM maklum rakyat bimbang risiko COVID-19

    PRN Melaka: PM maklum rakyat bimbang risiko COVID-19

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

    Semasa ditemui media selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata, ekoran perkembangan politik di Melaka, media sosialnya telah dihujani dengan pelbagai pandangan daripada orang ramai yang bimbang akan berlaku peningkatan kes seperti yang berlaku pada PRN Sabah lepas.

    “Di Sabah dahulu kes telah rendah tetapi apabila diadakan PRN, akhirnya kes meningkat semula dan ini perkara yang ramai bimbang.

    “Jika (PRN Melaka) diadakan, saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan adakan SOP (prosedur operasi standard) ketat untuk pastikan kawalan dapat dibuat,” katanya mengulas situasi di Melaka serta meminta menunggu keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

    Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Perkembangan tersebut merisikokan kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang tumbang.

    Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

    Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau menyerahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian berhubung isu di Melaka itu kerana ia turut melibatkan isu parti. – BERNAMA

  • Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas pada Isnin menyuarakan kesediaannya untuk melaksanakan proses damai dengan Israel berdasarkan resolusi antarabangsa.

    Mahmoud berkata demikian pada pertemuan dengan Timbalan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hal Ehwal Israel dan Palestin Hady Amr di Ramallah, Tebing Barat, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (WAFA).

    “Persidangan antarabangsa perlu diadakan untuk perdamaian di Asia Barat di bawah kerangka antarabangsa bagi mengakhiri pencerobohan Israel dan menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

    “Situasi ketika ini tidak dapat diterima dan mahu tekanan diberikan kepada Israel untuk menghentikan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin dan menamatkan aktiviti penempatan dan pencerobohan tanah Palestin,” katanya.

    Mahmoud pada Sabtu berkata sekiranya Israel enggan menerima prinsip penyelesaian dua negara, rakyat Palestin akan mencari pilihan lain, termasuk pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 1947, atau memilih menubuhkan negara demokratik.

    Rundingan damai antara Israel dan Palestin, yang disokong AS selama sembilan bulan, telah tertangguh pada 2014 kerana pertikaian mengenai penempatan Israel dan pengiktirafan untuk mendirikan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967. – BERNAMA

  • Tiada kunjungan hormat ke atas Mohd Ali hingga Khamis

    Tiada kunjungan hormat ke atas Mohd Ali hingga Khamis

    TIADA sebarang kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam boleh dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini.

    Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ini kerana Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19 dan tempoh kuarantin itu berakhir pada hari tersebut.

    “Untuk kunjungan hormat, keputusan bergantung kepada Tun (Mohd Ali) pada hari beliau masuk pejabat semula.

    “Jika beliau masuk pejabat Jumaat ini, mungkin beliau akan bagi keputusan untuk berjumpa atau tidak hari itu. Semua bergantung kepada keputusan beliau,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

    Nur Azmi turut mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali daripada Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari semalam bagi membincangkan senario politik semasa Melaka.

    Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan mereka hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Perkembangan ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

    Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2), Amanah (2) dan Bebas (1). – BERNAMA

  • Mahkamah Rayuan tolak permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

    Mahkamah Rayuan tolak permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya esok yang membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang membuat keputusan itu sebulat suara, berkata mahkamah berpendapat prosiding di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan.

    Susulan keputusan tersebut, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi esok.

    Bagaimanapun, Kamaludin berkata Rosmah masih boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes itu dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

    Beliau berkata keputusan itu tidak akan memprejudis Rosmah dan berharap tarikh pendengaran rayuan tersebut boleh dipercepat.

    Turut bersidang Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Rosmah telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Feb lepas untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Beliau memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram.

    Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.

    Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

    Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

    Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Dis 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

    Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohohannya berhubung perkara itu.

    Terdahulu, pada prosiding yang dikendalikan secara dalam talian, peguam utama Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa penangguhan hendaklah dibenarkan kerana keadaan kes yang luar biasa.

    Bagaimanapun, Sri Ram berhujah fakta prosiding itu mungkin dibatalkan bukanlah keadaan luar biasa yang membolehkan kes itu ditangguhkan.

    Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan hari ini. – BERNAMA

  • Keterangan saksi buktikan Zahid terima RM21.25 juta

    Keterangan saksi buktikan Zahid terima RM21.25 juta

    TERDAPAT bukti yang mencukupi bagi menunjukkan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sememangnya menerima RM21.25 juta daripada beberapa entiti ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun yang berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan sebagaimana yang terdapat dalam lapan pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid.

    Beliau berkata mengikut tiga pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid, sejumlah RM13.25 juta telah diterima sebagai upah membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek tertentu MyEG yang dikaitkan dengan Kementerian Dalam Negeri.

    “Bagi lima lagi pertuduhan, terdapat keterangan yang mencukupi bagi membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah berjumlah RM8 juta daripada dua syarikat iaitu Datasonic Group Berhad (DGB) (RM6 juta) dan Profound Radiance Sdn Bhd (RM2 juta),” katanya semasa menyangkal hujah pembelaan berhubung kelapan-lapan pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid.

    Gan berkata bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad iaitu Chew Ben Ben dan Abu Hanifah Noordin, yang merupakan bekas Pengarah Urusan DGB mendakwa bahawa wang RM6 juta itu adalah diberikan sebagai sumbangan politik kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018.

    “Jika benar RM6 juta itu diberikan sebagai sumbangan politik, mengapa ia diberikan kepada tertuduh yang juga adalah Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menganugerahkan kerja dalam projek membekalkan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB)?

    “Dua cek yang dibayar kepada Tetuan Lewis & Co, sebuah firma guaman, tidak mempunyai kaitan dengan BN. Jika benar wang itu adalah sumbangan politik, cek terbabit sepatutnya dibayar kepada BN dan bukan Tetuan Lewis & Co,” katanya.

    Berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM5 juta bagi membina sebuah masjid dan sekolah Tahfiz di Bagan Datuk, Perak, Gan berkata sumbangan itu adalah dalam bentuk 24 cek yang diterima oleh tertuduh adalah sebenarnya upah kerana membantu Mastoro Kenny dan Junaith Asharab Md Shariff mendapat projek MyEG di bawah Kementerian Dalam Negeri.

    Beliau berkata Ahmad Zahid ingin membina sebuah masjid serta sekolah Tahfiz dan meminta saksi penting pendakwaan iaitu Junaith Asharab menyumbang kepada kos pembinaan.

    Gan berhujah bahawa tiga elemen yang perlu dibuktikan mengikut Seksyen 16(1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah tertuduh adalah seorang pegawai sebuah badan awam dan beliau secara rasuah menerima ganjaran untuk dirinya.

    “Selain itu, ganjaran diterima sebagai dorongan atau upah untuk melakukan apa sahaja berkaitan sesuatu perkara atau urus niaga, secara benar atau dicadangkan atau mungkin berlaku, di badan awam terbabit.

    “Ini bukan perkara biasa. Ia tidak melibatkan orang biasa yang sering berkunjung ke kedai mamak dan menikmati secawan teh tarik atau sepinggan of nasi lemak.

    “Kes ini membabitkan bekas Menteri Dalam Negeri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu orang kedua paling berkuasa di negara ini,” katanya sambil menambah oleh itu, bukti yang dikemuka harus diteliti dan diperhalusi oleh mahkamah.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.- BERNAMA

  • Istana Melaka belum terima surat mohon bertemu Tun Mohd Ali

    Istana Melaka belum terima surat mohon bertemu Tun Mohd Ali

    ISTANA Melaka belum menerima surat daripada mana-mana parti politik untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung dakwaan kerajaan negeri sedia ada telah hilang majoriti untuk mentadbir negeri itu.

    Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, buat masa ini, Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu bermula 30 Sept lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

    “Setakat ini tiada surat janji untuk saya persembahkan kepada Tun Mohd Ali,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari sebelum ini dilaporkan sebagai berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Ali dalam tempoh terdekat bagi menghantar surat memaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali telah hilang majoriti.

    Hari ini empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

  • Najib fail permohonan mahkamah gantung prosiding kes saman SRC

    Najib fail permohonan mahkamah gantung prosiding kes saman SRC

    DATUK Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

    Peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, ini kerana anak guamnya mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan diselesaikan terlebih dahulu sebelum prosiding saman sivil diteruskan.

    “Kami memaklumkan mahkamah bahawa kami akan mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding saman sivil sehingga pelupusan kes jenayah.

    “Mahkamah telah menetapkan 4 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau kepada Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

    Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.

    Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

    SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

    Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

    Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    BEKAS Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan disiasat susulan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

    Katanya polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Siasatan juga akan dibuat mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.

    “Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar ditengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan ia dijangka siap hujung 2024.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

    “Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan pada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.

    Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid).”

    Beliau berkata pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

    Hmzah berkata tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu telah meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas. – BERNAMA

  • 143,000 pelajar mula sesi persekolahan libatkan negeri Kumpulan A, B

    143,000 pelajar mula sesi persekolahan libatkan negeri Kumpulan A, B

    SERAMAI 143,000 pelajar di sekolah seluruh negara, kecuali Kedah dan Johor, memulakan sesi persekolahan secara bersemuka setakat semalam dan hari ini, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan COVID-19.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 94,000 pelajar dari negeri Kumpulan B –  Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan – memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

    Bakinya melibatkan pelajar dari negeri Kumpulan A melibatkan Terengganu, Kelantan dan Langkawi semalam.

    “Secara keseluruhannya, tatacara pelaksanaaan pembukaan sekolah dan juga kehadiran murid untuk sesi pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka berjalan lancar dan perkara ditetapkan dalam garis panduan pengoperasian pembukaan sekolah dipatuhi dengan baik.

    “Hampir semua negeri buka sekolah kecuali Kedah dan Johor, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) ialah membawa murid kembali ke sekolah, kita mahu sistem pendidikan kembali bergerak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini hari ini.

    Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa sekolah termasuk di SMK Tuanku Ampuan Durah, Seremban dan SMK Tunku Muhammad dan Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar di Kuala Pilah.

    Dalam pada itu, beliau berkata respons daripada ibu bapa amat baik namun masih ada segelintir ibu bapa merasakan masa ini belum sesuai untuk menghantar anak mereka ke sekolah kerana khuatir dengan penularan COVID-19.

    Bagaimanapun, katanya tiada sebarang tindakan dikenakan kepada ibu bapa dan mereka diberi pilihan sama ada untuk menghantar anak mereka atau tidak tetapi ia perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah terlebih dahulu.

    “Kalau kita lihat trend sebelum ini, apabila kita mula buka sekolah pada Jun tahun lepas dan awal Mac lepas, memang begitulah trendnya, peringkat awal sebahagian ibu bapa ambil pendekatan untuk tidak hantar terlebih dahulu namun apabila masa berlalu untuk satu tempoh kita lihat kehadiran amat baik,” katanya.

    Beliau berkata kehadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua adalah menggalakkan dan mereka dilihat bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. – BERNAMA

  • Kerajaan berpegang teguh pada prinsip ”semua tidak ketinggalan” – PM

    Kerajaan berpegang teguh pada prinsip ”semua tidak ketinggalan” – PM

    KERAJAAN akan berpegang teguh kepada prinsip “semua tidak ketinggalan” di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dilancarkan baru-baru ini dalam usahanya menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bertemakan ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK12 akan menangani perbezaan pembangunan antara negeri-negeri dan jurang pendapatan antara kumpulan sosioekonomi.

    “Atas nama Keluarga Malaysia, kita akan memastikan bahawa keperluan asas seperti air, elektrik dan sambungan internet dipenuhi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian di Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2021 dengan tema “The Invention of Tomorrow: Crafting Our New Collective Narrative”,yang diadakan secara maya hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

    Ismail Sabri, yang juga pengerusi Khazanah, memberi jaminan Bajet 2022, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober, akan menangani semua masalah fiskal semerta dengan kadar segera.

    “Dan pada tahun ini, untuk pertama kalinya, kita telah mengeluarkan Kenyataan pra-Bajet untuk menyatakan hasrat bagi belanjawan dan kita juga telah mengedarkan lima kertas konsultasi awam mengenai pelbagai isu pembaharuan struktural,” kata beliau.

    Ismail Sabri berkata Majlis Pemulihan Negara akan memainkan peranan utama dan aktif dalam memulihkan kesihatan dan kesejahteraan ekonomi negara.

    “Kita akan mengambil pendekatan sosial yang luas dan inklusif untuk kebaikan Malaysia, menyusun strategi dan pelbagai taktik yang akan membawa kita keluar daripada kemelut pandemik kepada rancangan yang selamat dan mampan dalam menjalani kehidupan dengan senario COVID-19 endemik,” katanya.

    Mengenai situasi COVID-19, Perdana Menteri berkata Malaysia mesti bersedia untuk menerima hakikat bahawa negara tidak lagi dapat kembali kepada keadaan bebas “normal’ masa lalu.

    “Kita akan melaksanakan dasar yang menggalakkan sikap dan tingkah laku yang diperlukan dalam senario ini.

    “Rakyat Malaysia akan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas,  dipercayai untuk menjalankan tanggungjawab, dan sebagai balasannya, dapat menikmati penyambungan semula kegiatan sosial dan ekonomi – sejajar dengan laluan jelas yang telah ditentukan oleh strategi kerajaan,” tambah beliau.

    Mengenai konsep Keluarga Malaysia, Ismail Sabri turut menyaran rakyat Malaysia agar mempunyai sifat penyatuan dan saling menghormati.

    “Hasrat kita mestilah semua rakyat Malaysia harus berusaha untuk kesejahteraan, keamanan ekonomi, peluang yang sama, pendidikan, penjagaan kesihatan, keselamatan, keadilan sosial dan saling menghormati.

    Ismail Sabri seterusnya menekankan bahawa sebagai sebuah keluarga – Keluarga Malaysia – keperluan paling mendesak di negara ini harus diselaraskan sepenuhnya.

    “Ia seharusnya bukan persaingan politik, tetapi harus sebagai penyatuan dan kerjasama negara.

    ‘’Ini adalah kerajaan yang inklusif – semua pendapat akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” tambahnya. – BERNAMA