Author: Bernama

  • ”Ini perbuatan zalim, kejam terhadap saya dan keluarga” – Rosmah

    ”Ini perbuatan zalim, kejam terhadap saya dan keluarga” – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan  menangis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memberi keterangan dan menyifatkan pendakwaan atas pertuduhan rasuah adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap dirinya dan keluarga.

    Rosmah, 69, yang memakai baju kurung hijau dan selendang sepadan, sebak ketika membacakan pernyataan saksinya pada dua halaman terakhir pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Beliau berkata pihak pendakwaan telah menutup kedua-dua belah mata apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed serta Datuk Seri Alias Ahmad juga KSU KPM yang menggantikan Madinah.

    Ketiga-tiga mereka adalah saksi pendakwaan (SP) dalam perbicaraan kes itu.

    “Biarpun Mahdzir, Madinah, Alias, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin (SP17) dan Datuk Rizal Mansor (SP21) sepatutnya diambil tindakan di atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, namun pihak pendakwaan lebih suka untuk memanggil mereka sebagai saksi di mahkamah sebagai saksi pendakwaan tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka.

    “… agar mereka bersama-sama menunding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tidak ada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekalipun, demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum.

    “Ini adalah perbuatan (pendakwaan) zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (berniat jahat dan pendakwaan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil menangis.

    Sejurus selepas itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanya kepada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu: “Are you ok?” (Anda okey?)

    Rosmah, yang memberi keterangan dari tempat saksi menjawab: “Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara,”. 

    Beliau juga dilihat mengesat air matanya sebelum meneruskan keterangan dan pihak media yang mengikuti prosiding itu menerusi video link turut terdiam seketika melihat situasi berkenaan.

    Hakikat yang sebenar, katanya adalah pihak pendakwaan tahu bahawa kesemua pertuduhan ke atasnya adalah tidak berasas ditambah pula dengan kesediaan Rizal yang bersekongkol dengan pendakwaan untuk memberikan keterangan palsu di mahkamah bagi membolehkan pertuduhan ke atasnya ditarik balik dan menjadi saksi penting pihak pendakwaan.

    Rosmah juga berkata beliau tidak pernah menerima wang berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada syarikat berkenaan, kononnya dihantar kepadanya di dua lokasi berbeza di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana.

    Katanya, dakwaan Rizal bahawa wang RM6.5 juta itu yang diletakkan dalam empat buah beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Dis 2016 dan rumahnya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017, adalah pembohongan semata-mata.

    Mengenai penyerahan RM5 juta di Seri Perdana, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa Saidi kononnya berhasrat memberikan wang itu kepadanya.

    “Saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh Saidi, melalui Rizal kepada saya di dalam dua beg bagasi di Seri Perdana dan tuduhan Rizal bahawa dua beg bagasi tersebut telah diserahkannya kepada dua butler dan kemudiannya diserahkan kepada saya, adalah tidak benar dan mengaibkan saya,” katanya.

    Sementara itu, berhubung penyerahan wang RM1.5 juta di Langgak Duta, Rosmah berkata Saidi semasa memberi keterangan  menyatakan bahawa beliau (Saidi) tidak pernah menunjukkan atau menyerahkan dua beg galas hitam berjalur oren kepadanya dan Saidi juga tidak pernah membuka atau mengira wang dalam dua beg tersebut.

    Disoal peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakilinya mengenai keterangan Rizal bahawa beliau nampak Rosmah mengarahkan butlernya membawa dua beg galas itu ke dalam ‘bilik beliau’ dan ‘bilik beliau’ merujuk kepada siapa, Rosmah sempat berseloroh: ” Bilik siapa lagi, bilik saya (Rizal maksudkan).

    Rosmah juga berkata pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil butler berkenaan sebagai saksi di mahkamah ini serta gagal untuk menawarkan butler tersebut sebagai saksi kepada pihak pembelaan.

    “Ini adalah satu perbuatan penganiayaan dan keji terhadap saya kerana pihak pendakwaan sengaja enggan memanggil butler tersebut kerana mereka tahu hal tersebut tidak pernah berlaku.

    “Sekiranya memang benar apa yang dikatakan oleh Rizal yang kononnya saya mengarahkan butler untuk mengangkat dua beg hitam berstripe oren ke bilik saya, sudah pasti pihak pendakwaan akan memanggil butler tersebut sebagai saksi penting mereka di mahkamah semasa kes pendakwaan,” katanya.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

  • Bot bawa 20 PATI cuba mendarat di Kuala Langat, dua mati lemas

    Bot bawa 20 PATI cuba mendarat di Kuala Langat, dua mati lemas

    POLIS menemukan dua mayat lelaki dipercayai pendatang tanpa izin warga Indonesia di Pantai Kelanang dan Pantai Morib, Kuala Langat, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata mayat kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30an ke awal 40an itu, ditemukan kira-kira 6.50 pagi dan 9.30 pagi, dipercayai lemas setelah turun dari bot yang cuba mendarat di Pantai Kelanang.

    Ahmad Ridhwan berkata pihaknya bertindak susulan maklumat daripada orang awam kira-kira 6.50 pagi tadi di mana lebih kurang 20 individu dipercayai pendatang tanpa izin, telah mendarat di Pantai Kelanang.

    “Susulan itu, IPD Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah melalui Op Benteng telah ke tempat kejadian, dan menahan tujuh lelaki dan tujuh wanita dipercayai warga Indonesia yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Klanang dan kebun sawit berhampiran Pantai Kelanang.

    “Menurut pendatang tanpa izin yang ditangkap, mereka memberitahu ketika menghampiri pantai, bot mereka dipukul ombak dan ribut lalu tekong bot meminta mereka turun dan berenang ke pantai,” katanya dalam kenyataan.

    Jelasnya lagi, mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai, Indonesia dengan bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 individu.

    Beliau berkata kesemua tangkapan dalam lingkungan umur 30an dan 40an serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

    Ahmad Ridhwan berkata kesemua pendatang yang ditangkap dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat bagi ujian saringan COVID-19, sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan berkata seramai 50 pegawai dan anggota antaranya daripada polis, PGA Briged Tengah, bomba terbabit dalam operasi mengesan dan menangkap pendatang yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran, serta mencari dan menyelamat mereka yang mungkin lemas.

  • Empat wanita antara lima ditahan edar, seludup dadah RM4.9 juta

    Empat wanita antara lima ditahan edar, seludup dadah RM4.9 juta

    POLIS Diraja Malaysia menahan empat wanita dan seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat sindiket pengedaran dan penyeludupan antarabangsa pelbagai jenis dadah, yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

    Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) berkata serbuan dilakukan pada 24 Sept hingga 28 Sept lepas hasil perkongsian maklumat dan kerjasama dengan pihak Biro Narkotik Pusat Singapura.

    Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 71 tahun dan polis turut merampas tiga buah kenderaan masing-masing jenis Toyota Vellfire, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Honda City bernilai RM250,000.

    “Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.9 juta termasuk syabu seberat 5.8 kilogram (kg), ketamin seberat 14.8kg, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) jenis cecair (30.1 liter), MDMA jenis serbuk 34.3kg dan kafein 2.2kg.

    “Berdasarkan rampasan itu, kami juga percaya ada kegiatan memproses dadah di sebuah gudang di sini (Kajang) tapi perkara ini masih disiasat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di Kajang.

    Abdul Aziz berkata sindiket ini menjalankan kegiatan penyeludupan dadah untuk pasaran antarabangsa dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Singapura, untuk menghantar bungkusan berisi dadah ke Singapura dan negara-negara Eropah melalui Singapura, dengan mengisytiharkan bungkusan tersebut mengandungi barang-barang sah.

    Beliau berkata sejumlah RM426,926 wang turut disita daripada 11 akaun bank dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta bernilai RM5.6 juta.

    Menurutnya sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak awal tahun ini, selain turut mengedar dadah tersebut untuk bekalan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

    “Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang telah dikenal pasti dan dalang yang masih bebas. Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing mereka juga negatif dadah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama 12 hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam kes projek solar hibrid, malah sepatutnya menjadi saksi pendakwaan terhadap bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

    Rosmah, 69, berkata Rizal, selaku saksi pendakwaan ke-21 (SP21), dalam keterangan bersumpah di mahkamah, secara terang-terangan mengaku meminta RM25 juta iaitu RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi Abang Samsuddin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dan turut mengaku menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Saidi.

    “Rizal juga mengaku menerima wang rasuah sebanyak RM30,000 daripada Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) untuk dibayar kepada Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin (SP9) dan mengaku menerima wang rasuah dalam enam ke tujuh kali daripada Saidi, sekurang-kurangnya RM50,000 setiap kali dan menerima wang rasuah daripada Saidi melalui Rayyan untuk perjalanan umrahnya bersama keluarga.

    “Sedangkan saya pula, tidak pernah sama sekali meminta atau menerima sebarang wang rasuah daripada Saidi mahupun Rayyan, baik secara terus atau melalui Rizal, dan saya tidak pernah membuat atau mengaku berbuat demikian.

    “Saya ingin merekodkan bahawa saya tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Yang Arif, saya telah bersumpah dan saya berikrar bercakap benar di sini di mana saya memang tidak melakukan apa-apa jenayah seperti mana pertuduhan-pertuduhan tersebut. Ini adalah fitnah-fitnah terhadap saya,” katanya.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah berkata, beliau juga menafikan meminta RM187.5 juta kepada Saidi semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak pernah dengar atau tahu berkenaan jumlah wang itu daripada Rizal, Saidi dan Rayyan.

    “Tindakan Rizal mengaitkan saya di sini adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti saya sebagai isteri mantan perdana menteri, melalui inter alia ‘deal’ yang dibuat olehnya dengan pihak pendakwaan dengan balasan pihak pendakwaan akan menarik balik pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan beliau bertindak menjadi ‘crown witness’ (saksi utama) pihak pendakwaan,” kata Rosmah.

    Pada 8 Jan 2020, Rizal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

    Sementara itu, Rosmah yang tenang semasa memberi keterangan dari tempat duduk saksi berkata Rizal adalah Penolong Pegawai dengan Tugas-Tugas Khas secara kontrak di Jabatan Perdana Menteri dan bukan seorang pegawai khas kepada beliau.

    “Beliau (Rizal) menjalankan tugas sebagai pegawai media di Bahagian First Lady of Malaysia (F.L.O.M) Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya di jabatan itu. Saya ingin tegaskan, saya tidak mempunyai pegawai khas sama sekali,” katanya.

    Rosmah berkata, Rizal bukanlah seorang pekerja yang cekap dan bertanggungjawab dalam menguruskan kerjanya kerana beliau tidak dapat menulis teks ucapan dengan baik.

    “Rizal mempunyai masalah disiplin dalam pekerjaan, di mana beliau sering kali ‘hilang’ semasa bekerja. Saya memang tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya, kerana beliau boleh saya gambarkan seperti ‘pahat dengan penukul’, yang bermaksud perlu sentiasa dipantau dan diperiksa untuk mengelakkannya lalai daripada menyiapkan tugasannya.

    “Saya juga selalu mendengar rungutan Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod (pegawai khas F.L.O.M) dan pegawai-pegawai lain berkenaan sikap Rizal yang culas dalam pekerjaannya. Saya tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Rizal.

    “Komunikasi antara saya dengan Rizal hanya berkenaan urusan kerja sahaja dan kebanyakannya saya akan berurusan dengan Datuk Seri Siti Azizah secara terus,” katanya.

    Sementara itu, Rosmah berkata suaminya, Najib pernah memberi peringatan kepadanya agar tidak berjumpa dengan mana-mana kontraktor dan tidak mencampuri urusan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Rosmah berkata beliau juga tidak mahu melayan permintaan Rizal untuk berjumpa dengan Saidi dan Rayyan kerana beliau memang tidak akan membantu mana-mana kontraktor bagi mendapatkan kontrak kerajaan dan tidak akan masuk campur hal berkenaan.

    Wanita itu turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyuruh Rizal berbincang mahupun berusaha mendapatkan apa-apa ‘sumbangan politik’ daripada Saidi dan Rayyan atau mana-mana individu lain selama tempoh beliau mengenali Rizal.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA

  • Tiada percanggahan kepentingan Azalina pengerusikan sidang

    Tiada percanggahan kepentingan Azalina pengerusikan sidang

    KEDUDUKAN Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri, tidak akan menimbulkan isu percanggahan kepentingan, untuk mempengerusikan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, jawatan Ahli Parlimen Pengerang sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri itu, bukan berstatus menteri dan tidak menjadikan Azalina sebahagian daripada pihak pentadbiran atau eksekutif.

    “…beliau hanyalah penasihat yang akan menasihat Perdana Menteri dan bukan menasihat kerajaan mengikut pendapat, pengetahuan dan kebijaksanaan beliau.

    “Oleh kerana beliau bukan ahli eksekutif, maka saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk (Azalina) mempengerusikan apa-apa persidangan atau mesyuarat.

    “Sepanjang beliau mempengerusikan mesyuarat, sekiranya beliau tidak perlu membuat apa-apa ‘ruling’ (peraturan) mengenai perkara yang dinasihatkannya, maka saya tidak rasa timbul percanggahan kepentingan,” katanya.

    Tegas Azhar lagi, sekiranya Azalina mempengerusikan mesyuarat dan perlu membuat sebarang peraturan berkaitan dengan kedudukan sebagai penasihat khas Perdana Menteri, maka Ahli Parlimen Pengerang itu akan diminta mengecualikan diri.

    “Jika beliau (Azalina) berada dalam situasi percangahan kepentingan, saya pasti beliau akan mengecualikan diri dan saya sendiri akan arahkan beliau mengecualikan diri,” katanya.

    Azhar berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai kedudukan Azalina, yang diminta mempengerusikan mesyuarat mengikut Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

    Terdahulu, ketika Azalina mempengerusi sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Wong masing-masing mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi sementara, yang dikatakan akan menimbulkan isu percanggahan kepentingan berikutan Azalina telah dilantik sebagai penasihat Perdana Menteri.

    Azalina bagaimanapun meminta kedua-dua Ahli Parlimen itu merujuk perkara itu kepada Azhar, yang menjemput dirinya bagi mempengerusikan mesyuarat untuk sementara waktu mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3).

    Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan: Pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang Dipertua sehingga Tuan Yang Dipertua balik semula mengetuakan mesyuarat. – BERNAMA

  • ADUN khianat kerajaan pimpinan BN akan dipecat – Ahmad Zahid

    ADUN khianat kerajaan pimpinan BN akan dipecat – Ahmad Zahid

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO yang telah mengkhianati kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) akan dipecat.

    Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen hari ini bagi mengulas perkembangan politik terkini Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    “Bagi ADUN parti yang khianati kerajaan yang dipimpin BN dan UMNO, saya harap mereka bersedia terima tindakan parti bagi menerima surat pemecatan.

    “Saya merasakan bahawa persoalan utama sebagaimana berlaku di peringkat nasional dan juga berlaku di beberapa negeri, taat setia mana-mana wakil rakyat sama ada mereka terdiri dari ADUN atau Ahli Parlimen hendaklah berfokus kepada taat setia kepada parti, terutama sekiranya kerajaan itu dinakhodai BN dan UMNO,” katanya.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut mengharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat segera mengadakan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kaedah untuk pilihan raya negeri diadakan.

    “Saya juga berpandangan sekiranya MKN dan KKM (berpendapat) bahawa amat bahaya untuk diadakan pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari sebagaimana yang ditentukan dalam Akta Pilihan Raya, maka tentulah panduan sebagaimana yang berlaku di Sarawak (darurat) mungkin boleh diikuti.

    “Saya merasakan bahawa keutamaan penjagaan kesihatan dan mendepani pandemik COVID-19 ini harus diberikan keutamaan,” katanya.

    Ditanya mengenai berkenaan calon pilihan raya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata ia masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.

    Sementara itu beliau berkata, kerajaan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) dan diminta untuk terus menumpukan kepada soal kebajikan dan kesihatan rakyat.

    Semalam empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini Kerajaan Melaka pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – BERNAMA

  • DIP platform lahirkan bakat muda digital – Radzi

    DIP platform lahirkan bakat muda digital – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan Program Inovator Digital (DIP), program pendidikan menengah pertama Malaysia untuk inovator muda berbakat.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata mereka yang terlibat akan menjadi sebahagian daripada Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan akan memberi tumpuan kepada teknologi digital, keusahawanan dan kurikulum pembelajaran berasaskan projek.

    “Ini akan memastikan pengembangan bakat digital terbaik yang konsisten untuk mengekalkan dan mengembangkan ekonomi digital kita. DIP adalah landasan teknologi digital khas untuk memupuk generasi baharu inovator digital negara ini.

    “Melalui landasan baharu ini, pelajar yang berkebolehan tinggi dalam inovasi digital dan kreativiti akan dapat mendalami minat mereka dengan mengikuti pendidikan menengah yang fokus di Pusat GENIUS@Pintar Negara dan melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang yang sama di peringkat pengajian tinggi,” katanya semasa merasmikan DIP yang diadakan secara maya hari ini.

    Radzi berkata dengan pelaksanaan DIP, ia akan mempercepat proses melahirkan lebih banyak inovator yang sedia untuk memanfaatkan ABCD teknologi digital untuk Malaysia, seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, pengkomputeran awan dan sains data.

    DIP dibina berdasarkan program MDEC yang berjaya, Digital Ninja, inisiatif luar kurikulum yang dianjurkan untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima semasa cuti sekolah, dan menghasilkan 515 inovator digital muda berpotensi tinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata program itu bertujuan untuk melahirkan pencipta dan inovator digital bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

    “Memiliki program pendidikan menengah untuk pelajar pintar, yang menggunaka pakai faktor utama kejayaan Program Ninja Digital, selain penglibatan yang berterusan antara pelajar, guru dan mentor industri akan membantu memupuk lebih banyak inovator di negara ini,” katanya. – BERNAMA

  • Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    KESIAPSIAGAAN dalam menghadapi bencana penting untuk diterapkan kepada masyarakat sehingga ia menjadi sebagai satu budaya Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Beliau berkata, kejadian bencana yang hadir dalam pelbagai bentuk dan semakin kerap berlaku mewajarkan untuk masyarakat sentiasa bersiap sedia.

    Katanya, budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada Oktober bersempena sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) sahaja tetapi perlu menjadi norma berterusan sehingga dapat mencapai daya tahan masyarakat.

    Menurut Abdul Latiff, seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama selain membudayakan latihan secara bersepadu, terencana serta berkesinambungan.

    “Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan sempena Pelancaran BKN 2021, hari ini.

    Pelancaran BKN 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’ itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di perkarangan laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

    Sambutan itu juga selaras dengan sambutan Hari Bencana Antarabangsa yang disambut pada 13 Okt setiap tahun.

    Abdul Latiff berkata negara juga menyambut sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober setiap tahun, yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.

    Beliau berkata sepanjang bulan ini terdapat 36 program dan aktiviti dirancang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management, Webinar: Mengenali Hazad Dan Bencana Di Dalam Dan Sekitar Malaysia serta Forum Iklim Kebangsaan-Monsun Timur Laut 2021/2022.

    Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana sebagai agenda penting negara, beliau berharap semua pihak dapat memberikan komitmen yang tinggi.

    “Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya. – BERNAMA

  • DUN Melaka bubar, beri laluan PRN diadakan – Speaker

    DUN Melaka bubar, beri laluan PRN diadakan – Speaker

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

    Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.

    Ab Rauf berkata sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

    “Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Okt 2021 (Isnin),” katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri di sini hari ini.

    Ab Rauf berkata Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada hari ini.

    Pada sidang media itu, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

    Ditanya mengenai PRN ketika pandemik COVID-19, Ab Rauf berkata SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Beliau berkata buat masa ini, kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan.

    Semalam, empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – BERNAMA

    Baca juga:

    Kemelut politik semakin ‘panas’, DUN Melaka bubar petang ini?

  • KPM pastikan Dasar Bahasa Kebangsaan difahami

    KPM pastikan Dasar Bahasa Kebangsaan difahami

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bertanggungjawab melaksana pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan, terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM berperanan penting dalam memastikan bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    “Dalam hal ini, Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 dirangka dengan jelas dan terperinci, agar semua pihak dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika merasmikan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan 2021 secara dalam talian, hari ini.

    Mengambil contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, Radzi berkata, peranan guru bahasa Melayu amat penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu, dalam diri generasi baharu.

    Beliau turut menjelaskan tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, sebaliknya ia perlu digalas oleh setiap individu dalam masyarakat termasuk warga KPM.

    Beliau berkata, bahasa merupakan wadah utama yang dapat mengeratkan perpaduan masyarakat dalam konteks Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, di mana persefahaman dan keharmonian dapat dibentuk apabila berkomunikasi menggunakan bahasa sama.

    Bercakap mengenai sambutan DBK, Radzi yakin inisiatif yang dilaksanakan dalam DBK akan dapat menyemarakkan rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

    DBK merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada 1999, dan tema tahun ini adalah ‘Bahasa Wadah Penyatuan Bangsa’. – BERNAMA