Author: Bernama

  • Buktikan kesahihan audio tular sebelum ambil tindakan – Takiyuddin

    Buktikan kesahihan audio tular sebelum ambil tindakan – Takiyuddin

    KESAHIHAN rakaman audio yang didakwa mirip seorang pemimpin PAS mempertikai kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibuktikan sebelum sebarang tindakan diambil.

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga terbuka sekiranya polis akan melakukan siasatan sekiranya menerima laporan.

    “Saya sebagai orang undang-undang, tak buat apa-apa komen berdasarkan andaian, andaian perlu dibuktikan dahulu.

    “Kalau ada laporan polis, biar polis siasat. Kita ikut undang-undang, kita tak nak main andaian ini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Berbasikal Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Taman Perbandaran Tengku Anis.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah.

    Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan rakaman audio tersebut sejak semalam di media sosial.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah kawasan baharu perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) berikutan projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) akan turut melibatkan kawasan HSK Ulu Sat yang terletak di Machang.

    Takiyuddin berkata, dasar Majlis Tanah Negara telah menetapkan HSK yang diwarta keluar untuk pembangunan perlu digantikan.

    “Ada kawasan HSK Hulu Sat di Machang yang terlibat, maka ia (HSK Ulu Sat) perlu digantikan.

    “Itu dasar yang perlu dipatuhi dan telah diputuskan oleh Majlis Tanah Negara,” katanya.

    Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dan apabila siap laluan tersebut akan bersambung dengan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti laluan ke Pantai Timur.

    Mengenai Program Penghijauan Malaysia, Takiyuddin berkata, kerajaan telah menetapkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi.

    “Ini adalah komitmen kita termasuk dalam konvensyen antarabangsa, kita kena ada 50 peratus kawasan dilitupi pokok,” katanya

    Takiyuddin turut memuji Jabatan Perhutanan Kelantan yang berjaya menanam hampir dua juta pokok setakat Oktober, daripada sasaran tiga juta pokok yang akan ditanam tahun ini.

    Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan bermula 1 Jan lepas, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara. – BERNAMA

  • Rentas negeri: Trafik LPT 2 bertambah 45,000 kenderaan sehari

    Rentas negeri: Trafik LPT 2 bertambah 45,000 kenderaan sehari

    SYARIKAT konsesi lebuh raya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn Bhd menjangkakan pertambahan trafik antara 38,000 sehingga 45,000 kenderaan sehari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan sedikit masa lagi.

    Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2, Suhaimi Saat berkata, selepas sekian lama berdepan sekatan akibat penularan pandemik COVID-19, orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman atau melancong bagi melepaskan tekanan.

    Sehubungan itu pihaknya telah melakukan persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan dan kemudahan bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman perjalanan yang selesa sekali gus tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing.

    “Pasukan penyelenggaraan dan kakitangan perkhidmatan pelanggan yang ditempatkan di laluan tertentu di sepanjang 184 kilometer lebuh raya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

    “Malah semua kemudahan awam di kawasan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah LPT 2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual yang ketat untuk menjamin keselesaan pengguna dan ia adalah sebahagian komitmen jangka panjang LPT 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Suhaimi berkata, bagi meningkatkan aspek keselamatan pengguna, pihaknya juga menjalin kerjasama dengan pasukan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tujuan penguatkuasaan di sepanjang lebuh raya.

    Pada masa sama, beliau turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 ketika berada di kawasan R&R dan hentian sebelah.

    “Sila patuh kepada arahan supaya melakukan imbasan MySejahtera, memakai topeng muka dan penjarakan fizikal apabila berada di R&R dan hentian sebelah.

    “Dengan pertambahan kenderaan, pastinya keadaan akan menjadi sesak dan amat penting untuk orang ramai mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    SEORANG lelaki tempatan berusia 40 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di bilik sewanya di Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mayat lelaki itu ditemukan terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua-dua lengan.

    Polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada pukul 6.13 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki telah meninggal dunia di biliknya.

    “Lelaki yang masih bujang itu merupakan pekerja kedai perabut dan menyewa di bilik berkenaan sejak lima tahun lepas.

    “Dalam rumah berkenaan terdapat beberapa bilik lain yang dipisahkan dengan papan dan disewa kepada penyewa yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – BERNAMA

  • SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    SUK minta Norhizam pulang kereta rasmi, aset kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta memulangkan dengan segera kereta rasmi dan aset yang diamanahkan kepadanya sepanjang memegang jawatan itu.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamed berkata, tindakan itu bertujuan menyelesaikan isu berkenaan agar tidak berlarutan sehingga mengganggu tugas penjawat awam.

    Beliau berkata setakat ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron telah memulangkan kereta rasmi dan aset kerajaan negeri pada 7 Okt setelah meletak jawatan sebagai Exco.

    “Bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, yang juga bekas Exco, pula memaklumkan akan memulangkan kereta dan aset terlibat pada Isnin ini. Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua bekas ADUN terlibat.

    “Tindakan tersebut membantu penjawat awam di negeri ini memfokus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan semula ekonomi negeri yang terkesan ekoran penularan COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau turut menyeru penjawat awam di negeri itu memberi fokus terhadap pelaksanaan projek yang sudah diluluskan agar dapat menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, maju dan berdaya saing.

    Isnin lepas, ketiga-tiga Exco serta bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengumumkan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt lepas daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. – BERNAMA

  • PRN Sarawak: GPS tak takut berdepan pengundi muda

    PRN Sarawak: GPS tak takut berdepan pengundi muda

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak takut untuk berdepan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan menyifatkan kehadiran mereka sebagai pewaris yang menentukan masa depan.

    Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan negeri yang diasaskan oleh GPS sudah pun mengutamakan pandangan generasi muda sebelum rang undang-undang bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun mengundi diluluskan di Parlimen.

    “Kita menghormati wawasan dan pandangan pengundi muda yang akan menjadi pewaris masa depan untuk terus membangunkan negeri serta mempertahan hak dan kedudukan istimewa Sarawak dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak itu berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Bintang Kebesaran Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Kuching, hari ini.

    Isu GPS dibangkitkan oleh pembangkang iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendakwa ia cuba mempercepat PRN12 kerana bimbang pengundi berumur 18 tahun layak mengundi jika pilihan raya itu ditangguhkan lagi.

    Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataan semalam memetik sumber yang boleh dipercayai sebagai menyebut ada usaha dalam GPS untuk mempercepat PRN12 bagi mengelakkan penglibatan pengundi 18 tahun dalam pilihan raya itu.

    Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi di Sarawak baru-baru ini yang membenarkan Undi-18 tidak memihak kepada GPS pada PRN12.

    “GPS tidak sepatutnya memfokus kepada pilihan raya sebaliknya perlu menggunakan masa yang ada untuk bekerja dengan tekun bagi menguruskan varian Delta dan mengurangkan kesannya kepada rakyat,” katanya.

    Abdullah pula berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.3 bilion menerusi tujuh pakej bantuan kepada rakyat di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

    “Tidak ada negeri lain dalam negara ini yang berkemampuan untuk mengeluarkan peruntukan sebesar itu untuk warga negeri mereka,” katanya. – BERNAMA

  • Shafie tak restu ADUN Sindumin keluar Warisan

    Shafie tak restu ADUN Sindumin keluar Warisan

    PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan beliau membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar daripada parti itu.

    Malah, Mohd Shafie berkata, beliau tidak pernah memberi “restu” kepada mana-mana wakil rakyat atau ahli parti untuk meninggalkan Warisan, dan parti itu melihat tindakan Yusof sebagai keputusan peribadinya.

    Beliau berkata, Yusof hanya memaklumkan tentang hasrat untuk keluar parti secara lisan, namun sehingga kini Warisan tidak menerima sebarang surat mengenai tindakan ADUN Sindumin itu.

    “Tiada presiden parti meredakan ahli Yang Berhormatnya keluar daripada parti dia…kalau ada (wakil rakyat keluar Warisan) kita bawa untuk tindakan undang-undang, kita heret ke mahkamah, ini kita lakukan supaya perjuangan kita bukan bermusim.

    “Masa jadi pembangkang ahli parti kita bertungkus lumus untuk jayakan kita, bukan sahaja bantu rakyat tetapi jadikan kita Yang Berhormat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin parti itu di Kolombong, Kota Kinabalu hari ini.

    Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti mendakwa beliau telah berbincang serta menyatakan hasrat keluar parti dengan Mohd Shafie dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

    Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

    Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya negeri itu, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

    Mohd Shafie turut menafikan dakwaan Yusof bahawa terdapat ADUN Warisan lain akan bertindak keluar parti.

    “Beliau juga tidak wajar menggunakan alasan keputusan ini (keluar parti) dibuat demi meneruskan khidmat kepada rakyat setempat…walaupun kita tidak jadi kerajaan kita juga boleh berkhidmat, kita boleh beri pendapat, pandangan walaupun mungkin bantuan kita terbatas,” katanya.

  • Penubuhan JK khas siasat kematian Adib berita gembira – bapa

    Penubuhan JK khas siasat kematian Adib berita gembira – bapa

    KEPUTUSAN kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah berita gembira yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.

    Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata penubuhan jawatankuasa itu disifatkannya memberi sinar baharu kepada keluarganya sejak sekian lama menantikan pembelaan bagi kematian anaknya itu.

    “Ini menunjukkan kerajaan sudah mula mengambil berat dengan apa yang berlaku terhadap arwah. Perkara ini juga merupakan berita gembira buat seluruh negara kerana mereka juga tidak pernah putus berdoa untuk arwah dan keluarga saya.

    “Tapi, apa yang saya harap ialah bila sudah tubuh jawatankuasa itu mereka yang terlibat perlulah bersungguh-sungguh, takut nanti senyap pula,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Mohd Kassim berkata, penubuhan jawatankuasa khas tersebut memang ditunggu-tunggu sejak dulu lagi dan semestinya memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya yang sentiasa merindukan arwah Muhammad Adib.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jemaah Menteri, semalam memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya dapat dijalankan dalam kes kematian Muhammad Adib.

    Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya mengalami kecederaan parah ketika berada di lokasi kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

    Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Dis 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN).

    Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – BERNAMA

  • Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    KEYAKINAN pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

    “Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

    “Insya-Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

    “Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

    “Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • Sokongan ADUN Bebas bantu GRS realisasi Pelan SMJ

    Sokongan ADUN Bebas bantu GRS realisasi Pelan SMJ

    KETUA Menteri Datuk Hajiji Noor melihat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dapat membantu usaha merealisasikan hala tuju Pelan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025.

    Beliau berkata, sokongan itu sekali gus dilihat membolehkan ADUN Bebas dan kerajaan GRS dapat bersama-sama memberi fokus kepada perpaduan rakyat seterusnya melonjakkan pembangunan negeri.

    “Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat (ADUN Bebas) yang menyokong hala tuju kerajaan negeri. Jadi dengan itu, kita boleh memberi fokus kepada perpaduan dan pembangunan rakyat serta negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas, hari ini.

    Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyokong kerajaan negeri ditadbir GRS, semalam.

    Mengulas lanjut perkara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, setiap ADUN mempunyai hak istimewa untuk membuat keputusan dalam memilih platform berkhidmat kepada mana-mana parti politik mahupun secara bebas.

    “Ini hak demokrasi ahli-ahli politik di mana sahaja mereka pilih untuk berkhidmat atau melalui landasan dan parti yang mereka inginkan. Saya rasa itu sahaja saya boleh komen kerana ini terpulang kepada Ahli Yang Berhormat tersebut,” katanya.

    Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti, berkata beliau mengambil keputusan tersebut kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

    Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

    Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

    Pilihan raya kecil DUN Bugaya masih belum diadakan berikutan perintah darurat dilaksanakan bagi kawasan itu. – BERNAMA

  • Impak Olimpik, Paralimpik 2020 membanggakan Malaysia

    Impak Olimpik, Paralimpik 2020 membanggakan Malaysia

    TEMASYA Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah memberi impak yang sangat membanggakan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini.

    Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia merangkul pingat perak dan gangsa, manakala pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, Malaysia meraih lima pingat yang tiga daripadanya pingat emas dan dua perak.

    Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Malaysia meraih pingat perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan pingat gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

    Sukan Paralimpik Tokyo pula menyaksikan tiga pingat emas diraih melalui Abdul Latif Romly menerusi acara lompat jauh lelaki T20, Cheah Liek Hou dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 dan menerusi jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

    Pingat perak Paralimpik diperoleh menerusi Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

    “Marilah kita memberikan penghormatan kepada mereka yang telah menumpahkan bakti dan jasa kepada negara,” kata Ismail Sabri.

    Perdana Menteri berkata pencapaian dalam kedua-dua temasya itu adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing.

    “Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet, termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat,” katanya. – BERNAMA