Author: Bernama

  • Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    PERGERAKAN rentas negeri yang dibenarkan bermula hari ini terkawal dengan laluan beberapa lebuh raya utama menghubungkan negeri di utara, selatan, pantai timur dan pantai barat lancar memandangkan kebanyakan rakyat bekerja.

    Keadaan lancar itu dipaparkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) laman sesawang Jalannow.com malah tinjauan Bernama di beberapa terminal bas utama negeri-negeri juga mendapati suasana lengang.

    Di Terminal Bas Hentian Duta, di sini, petugas kaunter Norhanna Mohd Rapi berkata jualan dan tempahan tiket daripada orang ramai masih belum menggalakkan dan menjangkakan keadaan itu akan berubah menjelang hujung minggu ini dan minggu hadapan.

    “Kami menjangkakan jualan tiket hanya akan mula meningkat bermula minggu depan atau hujung minggu ini memandangkan orang ramai masih bekerja dan belum membuat persediaan seperti memohon cuti dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, Siti Samirah Sundar Nandagopal, 40, ketika ditemui di terminal bas berkenaan berkata kelonggaran yang diberikan kerajaan dimanfaatkannya untuk pulang ke kampung bertemu keluarga di Sitiawan, Perak.

    “Saya berasa gembira dengan kebenaran ini selepas menanti lebih lapan bulan untuk menziarahi keluarga di kampung. Saya terus datang hari ini bagi membeli tiket lebih awal untuk pulang ke kampung pada Sabtu ini dan tidak sabar ingin bertemu keluarga kerana selama ini saya berhubung menerusi panggilan telefon sahaja,” katanya.

    Di SELANGOR, tinjauan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam dan Terminal A Klang Sentral, Klang, turut mendapati kedua-dua terminal itu lengang.

    Pengurus Jualan Tiket Berpusat (CTS) Mohd Muzammil Mohd Alias ketika ditemui menjangkakan jualan tiket bas pada minggu ini masih perlahan berikutan orang ramai bekerja.

    Di PULAU PINANG, pekerja kaunter tiket bas di Butterworth, Rusliana Mohd Pirus berkata pihaknya mula menerima tempahan tiket bas ekspres bagi perjalanan ke beberapa negeri dan menjangkakan ia meningkat sehingga 50 peratus pada hujung minggu ini.

    “Paling banyak tempahan adalah untuk perjalanan ke negeri-negeri pantai timur dan saya difahamkan beberapa pengusaha bas ekspres juga akan menambah jumlah bas bermula hujung minggu ini bagi menampung peningkatan penumpang,” katanya.

    Di NEGERI SEMBILAN, penjawat awam negeri Siti Amalina Hasfan, 31, berkata kebenaran kerajaan itu digunakannya untuk pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini bagi menziarahi ibunya dan telah melakukan ujian kendiri COVID-19 demi keselamatan keluarga.

    Di MELAKA, Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata pihaknya menjangkakan kemasukan kenderaan ke negeri itu meningkat kepada 35,000 hingga 45,000 sehari menjelang hujung minggu ini berbanding 19,000 sehari sebelum ini.

    Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Di KELANTAN, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menjangkakan jumlah pengunjung di kawasan rekreasi seperti air terjun, sungai dan pantai di negeri itu akan meningkat.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti lemas atau fenomena kepala air.

    Di TERENGGANU, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti Pasar Payang, Kuala Terengganu City Centre Mall (KTCC) dan Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk mendapati tiada kesesakan pengunjung.

    Seorang peniaga makanan di Pasar Payang, Nor Azmah Ngah, 53, berkata kehadiran pengunjung ke lokasi itu masih terkawal sejak pagi meskipun lebih ramai berbanding hari biasa manakala peniaga batik dan sutera, Norlela Asyikin Mohd Azhari, 37, pula menjangkakan keadaan di kawasan itu akan mula sibuk pada hujung minggu ini apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

    Sementara itu, seorang pengusaha inap desa di Pantai Batu Buruk, Ahmad Faisal Hafiz Mansor berkata tempahan inap desanya untuk tempoh dua minggu akan datang telah pun penuh.

    Di PERAK, tinjauan di tempat tumpuan utama seperti Pulau Pangkor dan pusat beli-belah di sini juga masih tenang dan terkawal.

    Di JOHOR, Terminal Bas Larkin Sentral, yang sebelum ini menjadi tumpuan ‘perantau’ untuk pulang ke kampung halaman dari bandar raya ini, dijangka menerima kehadiran penumpang bas ekspres mencecah 3,000 orang sehari menjelang hujung minggu ini.

    Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata jumlah penumpang bas ekspres pada hujung minggu ini dijangka akan bertambah sehingga 3,000 penumpang sehari berbanding sekitar 80 penumpang sehari sebelum ini.

    Eksekutif Teknologi Maklumat Amira Azlan, 25, berkata persiapan untuk pulang ke kampungnya di Kuala Terengganu telah dilakukan sejak seminggu lepas berikutan berita mengenai kebenaran merentas negeri kerap muncul menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.

    “Sudah dua tahun tak boleh balik, jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umumkan semalam (kebenaran merentas), saya terus maklumkan kepada keluarga. Rasa gembira dan teruja kerana terlalu rindu keluarga…saya juga telah memohon cuti selama seminggu,” katanya.

    Semalam, Ismail Sabri dalam sidang media khas dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

    Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. – BERNAMA

  • Dewan Rakyat kekal tolak usul Kertas Pandora

    Dewan Rakyat kekal tolak usul Kertas Pandora

    DEWAN Rakyat hari ini kekal dengan keputusan menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

    Permintaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali lagi ditolak Yang Dipetua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas usul secara bertulis itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 4 Okt dan ditolak kali pertama ketika sidang Parlimen pada 6 Okt.

    Azhar berkata, penolakan kali kedua bagi usul dibawa Anwar di bawah Peraturan 90 (1) dan 90 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana ia tidak lengkap, sebaliknya beliau berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu menggunakan Peraturan 43.

    “Saya dah tengok surat (notis) Yang Berhormat (Anwar) dan saya sudah tandatangani surat itu dan tepat jangkaan Yang Berhormat saya menolak usul tersebut kerana Yang Berhormat membuat usul untuk (peraturan) 90 (1) dan 90 (2) untuk menghentikan kuat kuasa peraturan, tapi tidakpun dinyatakan peraturan mana yang nak dihentikan.

    “Kedua, pokok pangkal persoalan yg dibangkitkan usul terbaharu ini ialah mengenai perkara sama dan usul di bawah (peraturan) 18(1) dan 18 (2) yang dibuat minggu sudah yang telahpun saya tolak… jadi terpaksalah saya tidak boleh terima 90 (1) dan 90 (2).

    “Mengenai keputusan (tolak usul) minggu sudah, sebenarnya saya rasa aturan yang patut Yang Berhormat gunakan ialah Peraturan 43, iaitu untuk dewan ini melihat semula keputusan saya itu… tapi yang saya dapat usul di bawah 90(1) dan 90(2),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Ketua Pembangkang itu hari ini sekali lagi mempersoalkan keputusan Azhar yang menolak usul tersebut yang dianggap penting untuk segera dibahaskan di Dewan Rakyat.

    Mengulas lanjut, Azhar berkata pendedahan Kertas Pandora itu tidak menyentuh mengenai penyorokan dan aktiviti pengeluaran wang dari negara ke syarikat luar persisir, sebaliknya ia mengenai pemegangan saham dalam syarikat itu.

    “Ia dua perkara yang berlainan Yang Berhormat. Saya telah baca sedikit sebanyak Kertas Pandora itu, ia bukan mengenai aliran keluar wang tapi mengenai pegangan saham beberapa individu dalam syarikat luar pesisir… bukan seperti yang ditanyakan Yang Berhormat,” katanya.

    Penjelasan Azhar bagaimanapun dipersoalkan Anwar yang menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bertidak seolah-olah seperti seorang peguam kepada individu yang dikaitkan dengan pendedahan itu.

    Namun, Azhar menepis tuduhan itu dengan menegaskan beliau hanya menjelaskan dan memperbetulkan fakta yang dibangkitkan Anwar.

    “Saya bukan nak jadi peguam, saya cuma membetulkan fakta… takpa Yang Berhomat saya telah buat keputusan dan saya nyatakan keputusan saya itu muktamad. Terpulang pada Yang Berhormat untuk rujuk keputusan itu di bawah Peraturan 43,” katanya. – BERNAMA

  • Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana menggalakkan rakyat Malaysia untuk bercakap mengenai kesihatan mental.

    Memetik ciapan Khairy sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia semalam, Dr Tedros menyeru setiap individu untuk berusaha ke arah penjagaan kesihatan mental berkualiti buat semua.

    “Terima kasih atas kepemimpinan anda dan usaha menggalakkan rakyat #Malaysia untuk bercakap mengenai #mentalhealth, Menteri Kesihatan@Khairykj. Bersama-sama, demi penjagaan kesihatan mental yang berkualiti untuk semua! #WorldMentalHealthDay,” ciap beliau.

    Khairy menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyebut mengenai Let’s TALK Minda Sihat, satu bentuk kempen oleh Kementerian Kesihatan yang dilancarkan pada 2019 untuk menggalakkan rakyat Malaysia agar mendapatkan sokongan dan bantuan dalam penjagaan kesihatan mental, selain menggalakkan anggota keluarga dan rakan-rakan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

  • Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    PENULIS blog Aspan Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu.

    Aspan, 69, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, dekat sini pada 9 pagi, 18 Mei 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili OKS memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah tidak bekerja sejak 30 tahun lalu.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Aspan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • 2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    DUA bilik wad di Hospital Pantai, Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang mengalami kebakaran malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang menerima laporan pada jam 11.38 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

    Beliau berkata proses pemadaman api di dua bilik wad yang kosong tersebut mengambil masa selama 30 minit.

    Norazam berkata kebakaran melibatkan bilik Wad No A60 dan A61 keluasan 1.86 X 1.86 meter persegi.

    “Jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 30 orang melibatkan 12 orang perempuan, 16 lelaki, dua perempuan iaitu penjaga pesakit kanak-kanak serta 20 kakitangan hospital yang terlibat namun tidak ada mangsa yang tercedera.

    “Proses pemadaman api di dua wad tersebut menjadi mudah kerana wad kosong jadi kami hanya mengambil masa selama 30 minit untuk memadam api di wad berkenaan,” katanya ketika di hubungi Bernama. – BERNAMA

  • Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

    Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Zahid

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

    Permohonan itu dibuat pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

    Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

    “Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media di Shah Alam, hari ini.

    Ahmad Zaidi berkata, pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Ahmad Zahid yang ditetapkan pada 22 Okt depan.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Pada 7 Okt lepas, media melaporkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya yang menderita sakit belakang dan leher perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

    Hamidi memaklumkan Ahmad Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Okt ini dan akan memulangkanya pada 21 Nov depan. – BERNAMA

  • PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PRN Melaka: PAS jadi orang tengah damaikan UMNO, Bersatu

    PAS bersedia menjadi orang tengah untuk mendamaikan kemelut antara Bersatu dan UMNO supaya kedua-dua parti tidak bertanding berasingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekiranya diadakan.

    Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, parti itu mahu PRN Melaka menjadi model kepada perpaduan orang Melayu sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik yang dapat melonjakkan ekonomi negara selain mengikis sifat kebencian rakyat terhadap ahli politik yang cenderung berpecah belah.

    “Tiada satu ayat pun dalam al-Quran dan hadis membenarkan umat Islam bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh melemah serta menghancurkan umat Islam,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Asuhan Ikan SB Aqua Marine and Construction Sdn Bhd di Kampung Tok Kederat, Pulau Kambing di Bachok hari ini.

    Nik Muhammad Zawawi, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata langkah diambil PAS itu juga bersesuaian dengan kehendak Islam yang mahukan umatnya bersatu padu. – BERNAMA

  • Rentas negeri penghargaan kepada barisan hadapan

    Rentas negeri penghargaan kepada barisan hadapan

    PENGUMUMAN kerajaan yang membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok adalah satu penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tanggungjawab kini terletak kepada rakyat Malaysia kerana walaupun rentas negeri dibenarkan, mereka perlu sentiasa mematuhi semua tindakan kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang masih berkuat kuasa.

    “Jika anda benar-benar menghargai apa yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan sejak setahun setengah yang lepas, anda akan menjadi lebih bertanggungjawab, sedar kendiri, (dan) anda akan memastikan bahawa anda akan menjaga kesihatan diri sendiri.

    “Alhamdulillah, hari ini telah mencapai nilai ambang yang telah kita janji dan kita umumkan, dan saya rasa ini adalah pengumuman yang sangat tepat dengan tarikh hari ini iaitu 10 hari bulan 10 (10 Okt) yang mana sama dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis ‘Free Medical Camp’ anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sempena Hari Doktor Malaysia 2021 secara maya.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kebenaran merentas negeri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

    Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang mewujudkan Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental bagi mendidik dan membantu rakyat yang terkesan akibat kesihatan mental.

    Beliau berkata, pusat berkenaan bukan hanya berfungsi sebagai pusat penyelidikan tetapi juga sebagai satu tempat kebolehcapaian yang mudah bagi perkara berkaitan kesihatan mental.

    “Komitmen KKM turut tertumpu pada kesihatan mental rakyat dan bukan pada kesihatan fizikal semata-mata. Pandemik COVID-19 mengakibatkan pelbagai kesan seperti kehilangan orang tersayang dan juga dari segi masalah ekonomi,” katanya.

    Khairy berkata demikian pada majlis pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan Kempen Media ‘Let’s TALK Minda Sihat’ secara maya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

    Menurut Khairy, aplikasi MySejahtera akan ditambah baik bagi membolehkan mereka menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan melalui aplikasi tersebut, selain Agenda Nasional Malaysia Sihat akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi membantu rakyat sihat dari segi fizikal dan mental.

    Mengenai Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025, Khairy berkata ia adalah polisi jangka panjang KKM bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental negara dan polisi berkenaan disediakan pakar bidang kesihatan mental dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

    Lapan skop utama digariskan dalam pelan itu antaranya meningkatkan tadbir urus dan kerangka peraturan, mengukuhkan sistem kawalan kesihatan mental, memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental komprehensif, dan memperkukuhkan sumber kesihatan mental.

    Ia turut meliputi skop meningkatkan kerjasama rentas sektor, mempromosikan kesejahteraan dan kesihatan mental, memperkukuhkan kesiapsiagaan semasa kecemasan, krisis dan bencana serta menangani isu bunuh diri.

    Mengenai kempen media ‘Let’s TALK Minda Sihat’, Khairy berkata KKM menganggarkan kempen bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental itu menarik 22 juta capaian oleh rakyat Malaysia melalui pelbagai platform media termasuk media elektronik dan digital.

    Tema tahun ini “Menuju Kesaksamaan Kesihatan Mental” sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Okt selari dengan tema sambutan di peringkat global ‘Mental Health Care for All: Let’s Make It a Reality’ yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – BERNAMA

  • Bapa kudung dipenjara 15 tahun, 10 sebat rogol anak OKU

    Bapa kudung dipenjara 15 tahun, 10 sebat rogol anak OKU

    PADAH merogol anak perempuan yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), seorang lelaki kudung terpaksa meringkuk di dalam penjara apabila dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di Kota Bharu hari ini.

    Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 50 tahun itu mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun.

    Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Sept lepas.

    Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas mangsa mengadu kepada gurunya tentang perlakuan tertuduh, guru itu kemudian membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis.

    Hasil siasatan mendapati terdapat satu rakaman video memaparkan tertuduh sedang merogol mangsa. Video berkenaan dirakam sendiri oleh mangsa menggunakan telefon bimbit miliknya semasa kejadian kira-kira 11.59 malam, pada 18 Ogos lepas.

    Mangsa yang mengalami kecacatan pada bahagian kakinya juga mendakwa, dia mula dirogol tertuduh sejak Mac 2017 iaitu seminggu selepas ibu tirinya meninggal dunia, serta mendakwa bapanya melakukan perkara itu kira-kira 30 kali di bilik tidur mangsa.

    Tertuduh yang mengalami kecacatan kudung pada tangan sebelah kiri didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik di rumahnya dekat Kuala Krai, kira-kira 11.59 malam, 18 Ogos lepas mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, dengan alasan kes yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang serius.

    — BERNAMA

  • Banjir kilat: Bomba selamatkan warga emas, pemandu Bently

    Banjir kilat: Bomba selamatkan warga emas, pemandu Bently

    SEORANG lelaki warga emas dan pemandunya diselamatkan bomba selepas kereta mewah jenis Bently dinaiki mereka terkandas akibat banjir kilat di persimpangan Cheng berhadapan Taman Cheng Perdana di sini hari ini.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah Pegawai Bomba Kanan II Zulkifli Mohd Ali berkata kejadian berlaku kira-kira 7 pagi dengan kedua-dua lelaki berusia 80-an dan 30-an itu didapati terkandas dalam banjir sedalam satu meter.

    Zulkifli berkata selain mereka, pihaknya turut menyelamatkan sebuah Proton Wira dan Proton Iswara yang ditinggalkan di laluan berkenaan selepas pemandunya keluar menyelamatkan diri.

    “Bomba menerima panggilan kira-kira 7.25 pagi dan tiba di lokasi itu lima minit kemudian. Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Melaka Tengah.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati air telah naik kira-kira sedalam satu meter dan terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas yang tidak dapat berjalan di dalam sebuah kereta Bentley,” katanya yang dihubungi hari ini. 

    Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan terlibat ditolak ke tempat yang selamat sebelum operasi tamat sepenuhnya kira-kira 8.49 pagi. – BERNAMA