Author: Bernama

  • Sasterawan Negara Kemala meninggal dunia

    Sasterawan Negara Kemala meninggal dunia

    SASTERAWAN Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia di rumahnya di Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur hari ini.

    Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, jenazah Allahyarham dimandikan serta disembahyangkan di Surau As Shahabah, Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, selepas solat Asar.

    Menurutnya, Allahyarham yang meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari tadi sebelum ini berada dalam keadaan uzur dan menghidap beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang.

    “Allahyarham bukan sahaja memberi sumbangan dalam bentuk penulisan, pembangunan sastera dan melahirkan penulis baharu menerusi Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) diasaskan beliau, “ katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata, menerusi NUMERA Allahyarham berusaha menyatukan sastera Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

    “Kegigihan beliau yang bergerak bukan atas dasar kapasiti peribadi ini sememangnya sukar untuk digantikan,” katanya lagi.

    Ahmad Kamal, 80, menerima anugerah Sastera Negara ke-11 pada 2012 dan pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968 sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

    Kemala aktif dalam karya sastera dan mula menulis sajak sejak sekolah rendah dan hasil penulisannya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian. – BERNAMA

  • Tingkat kerjasama ASEAN-Australia hadapi kecemasan kesihatan

    Tingkat kerjasama ASEAN-Australia hadapi kecemasan kesihatan

    ASEAN dan Australia perlu bersedia menghadapi kecemasan kesihatan awam dan kemunculan penyakit baharu pada masa depan, melalui perkongsian pengetahuan serta program pembinaan kapasiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia yang julung kali diadakan secara maya pada Rabu.

    Beliau berkata, Malaysia menghargai sokongan diberikan Australia terhadap usaha ASEAN untuk mengurangkan kesan COVID-19.

    “Hampir A$700 juta telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif. Ini sangat membantu ASEAN untuk meneruskan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif bagi melaksanakan strategi pemulihan ASEAN dan membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Sidang Kemuncak itu yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison.

    Ismail Sabri berkata, sejak 1974, hubungan dialog ASEAN-Australia terus berkembang dan semakin kukuh dengan kemunculan pelbagai bidang kerjasama baharu.

    Beliau berkata, Malaysia menyokong kemajuan Hubungan Dialog ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik komprehensif dan penglibatan tahunan di peringkat tertinggi dapat memberikan sumbangan lebih besar dalam mengukuhkan lagi perkongsian untuk manfaat bersama.

    “Malaysia juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Morrison mengenai bantuan tambahan sebanyak A$124 juta dalam 10 tahun akan datang.

    “Bidang kerjasama yang disyorkan amat relevan. Malaysia menantikan projek yang saling menguntungkan yang merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN,” tambahnya.

    Ismail Sabri berkata, satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan mental, menyaksikan Malaysia, Brunei dan Australia telah menjalinkan kerjasama rapat.

    Beliau berkata Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.

    “Sehubungan itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota dan Australia untuk menjadikan penjagaan kesihatan mental lebih mudah diakses dan tersedia melalui penggunaan platform digital,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia juga masih menunggu maklum balas cadangan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia. .

    Mengenai pendidikan, Ismail Sabri menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal, dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan syarikat pemula.

    Beliau berkata, PMKS menyumbang lebih 60 peratus pekerjaan di rantau ini.

    “Pendidikan adalah elemen penting dalam perkongsian ASEAN-Australia. Untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang ini, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia untuk melengkapkan komuniti terpinggir termasuk belia, wanita dan kanak-kanak di rantau ini, dengan kemahiran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

    “Ini akan membantu meningkatkan kemahiran dan menghasilkan pekerja mahir. Ia juga akan meningkatkan kualiti tenaga buruh, keberkesanan dan kecekapan PMKS dan syarikat pemula dan akhirnya meningkatkan rantaian bekalan serta produktiviti pembuatan di rantau ini,” katanya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia yang turut sama menyertai ‘Bersama Gold’ Perjanjian Pertahanan Lima Negara, baru-baru ini.

    Sidang Kemuncak ASEAN-Australia diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA

  • Anak Mat Sabu bebas tuduhan salah guna dadah

    Anak Mat Sabu bebas tuduhan salah guna dadah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam atas tuduhan penyalahgunaan dadah, dua tahun lepas.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam, 33, untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 24 Jun tahun lepas.

    Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

    “Mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat,” kata hakim itu.

    Menurut beliau Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) F103 dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan dua botol plastik kosong dan bersih untuk mengumpul air kencing daripada suspek yang disyaki menyalahgunakan dadah.

    “Suspek perlu diberi pilihan untuk memilih dua botol itu, salah satu botol untuk tujuan saringan polis manakala sampel kedua dihantar ke hospital untuk ujian pengesahan selepas botol pertama disahkan positif dadah.

    “Botol kedua mesti ditutup dengan kemas dan selamat…garis panduan KKM Bil 6/2002 memerlukan sekurang-kurangnya 30 mililiter (ml) sampel air kencing diambil dalam satu botol,” katanya.

    Hakim Sequerah seterusnya berkata adalah terbukti bahawa anggapan di bawah Seksyen 37(K) Akta Dadah Berbahaya perlu disangkal atas imbangan kebarangkalian mempunyai standard yang lebih tinggi daripada hanya untuk menimbulkan keraguan munasabah.

    “Dalam keadaan itu, terdapat sebab yang lebih kukuh mengapa proses pengambilan sampel air kencing perlu dijalankan dengan pematuhan ketat dan prosedur, yang dalam kes ini adalah garis panduan dan kemungkinan pencemaran sampel dapat diminimumkan jika tidak dihapuskan kesemuanya.

    “Oleh itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap perayu dan hukuman serta sabitan ini sepatutnya diketepikan. Wang jaminan berjumlah RM9,000 akan dikembalikan kepada perayu,” kata hakim itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.

    Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

    Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam menjalani hukuman penjara itu mulai 24 Jun tahun lepas dan menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan selepas selesai hukuman penjara.

    Pada 2 Julai tahun lepas, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret berhubung hukuman itu.

    Mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – BERNAMA

  • Bomoh ‘Ayah Su’ mengaku tidak bersalah rogol wanita muda

    Bomoh ‘Ayah Su’ mengaku tidak bersalah rogol wanita muda

    SEORANG bomoh yang digelar ‘Ayah Su’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita yang mendapatkan rawatannya, dua minggu lepas.

    Jusoh Jaafar, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Rozaidi Yaacob.

    Warga emas itu didakwa merogol mangsa yang berusia 23 tahun dengan menggunakan kedudukan sebagai pengamal perubatan tradisional di dalam bilik sebuah rumah beralamat di Bunut Susu, dekat sini, pada kira-kira 3 petang, 14 Okt lepas.

    Pertuduhan terhadap Ayah Su dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 28 Okt untuk sebutan semula kes dan penetapan jaminan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Nur Fatin Syahirah Abu Hasan. – BERNAMA

  • Rayuan ibu mualaf ditolak, 2 anak kekal bukan Islam

    Rayuan ibu mualaf ditolak, 2 anak kekal bukan Islam

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan seorang ibu yang mualaf dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua kanak-kanak.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam keputusan sebulat suara berkata Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes guru tadika M. Indira Ghandi.

    “Kami berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

    “Kami mendapati tiada kesilapan rayuan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan ini. Kedua-dua rayuan ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan. Tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim Mohamad Zabidin pada prosiding secara maya hari ini.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.

    Pada 16 Okt 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh bapa kepada kanak-kanak itu, seorang penganut Buddha, untuk membatalkan perakuan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap dua anaknya yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil oleh wanita tersebut, yang beragama Buddha ketika itu.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi ketika itu (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan) berkata tidak menjadi pertikaian bahawa sijil pertukaran agama kanak-kanak itu dikeluarkan tanpa kebenaran bapa kanak-kanak berkenaan.

    Hakim Azizah berkata beliau terikat dengan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada Januari 2018 yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

    Dalam kes Indira, seorang ibu beragama Hindu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang sama untuk mencabar tindakan bekas suaminya seorang mualaf yang telah membuat penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya.

    Dalam prosiding hari ini, bapa kepada dua kanak-kanak itu telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang memeluk agama Islam pada Mei 2016, tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

    Identiti keluarga itu tidak didedahkan selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pada 21 Mei 2018.

    Pada 14 Sept 2018 Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh kepada si bapa, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memberikan hak penjagaan kepada si ibu.

    Perintah itu kekal selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan si ibu untuk kebenaran mengemukakan rayuan.

    Peguam Nizam Bashir mewakili Pendaftar Muallaf, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mewakili Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan dan kerajaan.

    Peguam K. Shanmuga mewakili si bapa, manakala peguam Arham Rahimy Hariri mewakili ibu mualaf itu. – BERNAMA

  • Kapal kargo Indonesia karam, 9 anak kapal hilang

    Kapal kargo Indonesia karam, 9 anak kapal hilang

    SEBUAH kapal kargo Indonesia karam di perairan utara Pulau Bali dengan sembilan orang hilang dan enam lagi telah diselamatkan, kata jurucakap Pejabat Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia Yusuf Latief di sini pada malam Selasa.

    Enam anak kapal itu telah diselamatkan oleh sebuah kapal lain LCT Depasena Dua pada Isnin, kata jurucakap itu.

    Selepas menerima laporan mengenai kemalangan yang berlaku pada Okt 23, pejabat mencari dan menyelamat di Bali segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat, katanya kepada Xinhua melalui telefon.

    Operasi itu akan diteruskan sehingga beberapa hari lagi, katanya, sambil menambah kapal KM Liberty 1 itu karam akibat dibadai ribut. – BERNAMA

  • Agong zahir takziah kepada keluarga mendiang Guan Dee

    Agong zahir takziah kepada keluarga mendiang Guan Dee

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi yang meninggal dunia semalam.

    Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

    “Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negeri Sabah dan negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook.

    Mendiang yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada parti tersebut.

    Guan Dee, 67, meninggal dunia pada 4.50 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dada.

    Presiden STAR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata Guan Dee berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad (24 Okt) namun tidak menghadiri mesyuarat itu selepas disahkan positif COVID-19. – BERNAMA

  • Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pesara tentera dua minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh anggota tentera berpangkat Pegawai Waran, Mohd Hafidz Ibrahim, 34, dan peniaga, Muhammad Ahmad Md Yusoff, 31, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farah Syahidah Mohd Noh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan kira-kira 60 meter dari Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama antara pukul 5.30 petang hingga 10.50 malam, 10 Okt lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Roslan Mohd Suki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat. – BERNAMA

  • Khairy dilantik sebagai Naib Presiden WHA ke-75

    Khairy dilantik sebagai Naib Presiden WHA ke-75

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 yang akan diadakan di Geneva, Switzerland pada 22 hingga 28 Mei 2022.

    Khairy menerusi ciapan Twitter beliau yang menzahirkan ucapan terima kasih atas pemilihannya itu berkata suara Pasifik Barat akan dibawa ke persidangan dunia itu nanti.

    “Terima kasih kepada semua negara @WHOWPRO kerana sebulat suara memilih Malaysia sebagai Naib Presiden WHA 2022. Kami akan membawa suara Pasifik Barat ke perhimpunan dunia itu khususnya mengenai prinsip ekuiti, solidariti dan akauntabiliti,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelantikan sebagai Naib Presiden WHA itu merupakan satu penghormatan besar kepada Malaysia dan ia akan menjadi peluang untuk meneruskan peranan lebih besar dalam arena kesihatan global.

    “Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat (WPRCM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke-72 di Himeji Jepun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah dipilih sebulat suara oleh negara anggota Pasifik Barat sebagai Naib Presiden WHA ke-75.

    “WHA terdiri daripada 194 negara anggota dan merupakan badan pembuat keputusan tertinggi WHO. Malaysia diberi pengiktirafan sewajarnya berdasarkan peranan aktif menerusi platform kesihatan global dalam WHA ke-69 pada 2015 dan sekali lagi pada WHA ke-75 tahun hadapan mewakili semua 37 negara anggota dari rantau Pasifik Barat,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata, Malaysia juga dilantik sebagai lembaga eksekutif WHO dari 2021 hingga 2024. – BERNAMA

  • RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    RM69,030 lesap ditipu beli kucing melalui Facebook

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM69,030 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM900 menerusi media sosial, Sabtu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kucing jenis ‘scottish’ dari Indonesia yang diiklankan menerusi Facebook pada 23 Okt lepas.

    “Kemudian wanita berkenaan berbincang menerusi telefon dengan persetujuan harga sebanyak RM900. Mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM450 ke dalam akaun atas nama Tansiaupenga Siagian melalui pemindahan wang dan kemudian dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah ‘dipos’ kepada mangsa.

    Menurut beliau wanita berkenaan telah diminta membuat beberapa bayaran sebagai prosedur sepanjang proses pengeposan kucing tersebut.

    “Justeru, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM69,030 sejak 23 hingga 24 Okt lepas,” katanya.

    Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu selain bimbang dokumen seperti gambar kad pengenalan dan alamat rumah disalahgunakan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA