Author: Bernama

  • Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh, kata menteri

    Ujian teori lesen vokasional PSV, GDL dimansuh, kata menteri

    UJIAN teori bagi pengambilan lesen vokasional untuk kategori Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dimansuhkan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

    Dalam sidang media berhubung penambahbaikan prosedur lesen vokasional, Loke berkata calon bagi pengambilan lesen vokasional PSV dan GDL hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sebelum Lesen PSV dikeluarkan.

    “Namun calon bagi kategori Lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapat lesen vokasional,” katanya di pejabatnya.

    Loke berkata, kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional juga akan dibenarkan secara dalam talian sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan berkelayakan yang dikawal selia JPJ.

    Beliau berkata, pihak IM atau syarikat perniagaan pengantaraan perlu menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori lesen vokasional dalam talian ditetapkan JPJ sepenuhnya.

    “Pihak JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon,” katanya.

    Beliau berkata, data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan lesen vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ.

    Loke berkata, silibus kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional terutama melibatkan perkhidmatan e-panggilan dan teksi akan disemak semula dan ditambah baik oleh JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

    Beliau berkata, penambahbaikan silibus itu akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

    Loke berkata, langkah penambahbaikan itu diambil ekoran keluhan syarikat pengendali e-panggilan (EHO) dan pemandu kerana terpaksa meluang masa terlalu lama untuk kelas teori yang kini dibenarkan secara dalam talian dan dikecualikan ujian teori.

    Beliau berkata, langkah itu dilihat akan menambah jumlah pemandu untuk menampung permintaan sekali gus menstabilkan harga tambang.

    Ditanya tanpa ujian teori akan menjejaskan aspek keselamatan, Loke berkata pemandu e-panggilan dan teksi mempunyai lesen memandu dan proses penambahbaikan itu dibuat bersama JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pemegang taruh bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan aspek keselamatan.

    Loke juga mengumumkan had usia maksimum penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-panggilan dilanjutkan kepada 15 tahun daripada 10 tahun berkuat kuasa 1 Jan 2023.

    Selaras pengumuman itu, katanya had usia melesen akan dikemas kini kepada 14 tahun.

    “Dengan itu, kerajaan membenarkan kenderaan yang mencapai had usia 10 tahun terdahulu namun masih belum mencapai usia 15 tahun untuk kembali beroperasi,” katanya.

    Loke berkata, walaupun had usia kenderaan ditingkatkan namun pemandu mesti memastikan aspek kebersihan dan keselamatan dipatuhi dengan membuat pemeriksaan berkala setiap tahun.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata terdapat penambahan lesen perubahan sementara untuk bas beroperasi sebagai bas ekspres sempena Aidilfitri.

    Langkah itu, katanya akan melihat penawaran perkhidmatan bas ekspres bertambah untuk menampung permintaan di saat-saat akhir.

  • APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

    APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dua juta batang rokok putih bernilai RM1.2 juta di muara Sungai Setiu di Setiu, semalam.

    Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata aktiviti penyeludupan itu dikesan kira-kira 5.30 pagi berdasarkan maklumat risikan selama beberapa hari.

    Beliau berkata sebuah bot APMM telah dikerah bagi melaksanakan Operasi Khas Seludup Rokok Putih (Op Serop) di lokasi yang dikenal pasti iaitu di perairan Besut dan maklumat itu kemudiannya disalurkan ke pasukan APMM di darat untuk penahanan.

    “Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut bergerak dalam keadaan mencurigakan.

    “Menyedari kehadiran bot APMM, suspek yang berada di dalam bot berkenaan melarikan diri dengan memasuki kawasan cetek untuk meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu hari ini.  

    Mohd Khairulanuar berkata suspek berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan gagal dikesan memandangkan keadaan persekitaran yang sangat gelap.

    Beliau berkata bagaimanapun pasukan APMM darat berjaya mengesan sebuah lori lima tan dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekitar muara Sungai Setiu.

    “Pemeriksaan menemukan 200 kotak besar rokok putih seludup yang dibalut dengan plastik hitam dalam lori berkenaan. Kita masih menyiasat sumber rokok terbabit yang dipercayai untuk edaran dalam Terengganu,” katanya.

    Khairulanuar berkata APMM Terengganu akan meningkatkan kawalan di sekitar perairan negara untuk membendung aktiviti pencerobohan dan penyeludupan yang semakin berleluasa.

  • 299 dana daripada 18 institusi pengurusan dana Skim Pelaburan Ahli KWSP 2023/2024 diluluskan

    299 dana daripada 18 institusi pengurusan dana Skim Pelaburan Ahli KWSP 2023/2024 diluluskan

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan senarai kelayakan yang disemak semula bagi 299 dana daripada 18 institusi pengurusan dana (IPD) yang diluluskan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) dengan 184 dana layak ditawarkan kepada ahli untuk tempoh 2023/2024.

    Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, daripada dana yang layak, sebanyak 149 dana atau 81 peratus adalah dana tempatan, dengan 104 dana atau 70 peratus adalah dana ekuiti.

    Ketua Pegawai Pelaburannya Rohaya Mohammad Yusof berkata, buat pertama kali tahun ini, KWSP telah memasukkan dana unit amanah berasaskan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dalam senarai sebagai antara komitmen untuk menyokong pelaburan mampan serta mengarusperdanakan agenda kemampanan.

    Beliau berkata KWSP menjangkakan lebih banyak dana SRI yang memenuhi kriteria penilaian akan disenaraikan pada masa hadapan.

    “Sebagai insentif untuk menggalakkan pelaburan ahli ke dalam dana berasaskan SRI, caj jualan dikurangkan untuk transaksi yang dibuat melalui platform dalam talian i-Invest KWSP daripada 0.5 peratus kepada sifar peratus; atau tidak lebih daripada 1.5 peratus untuk transaksi melalui ejen,” katanya dalam kenyataan sama.

    Kesemua 299 dana yang diluluskan di bawah KWSP SPA ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

    Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

    Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

    Menurut KWSP, di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan dalam Akaun 1 mereka, termasuk melabur dengan syarikat pengurusan dana amanah dan syarikat mandat persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan simpanan asas.

    Rohaya berkata sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, kira-kira RM2.15 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2022.

    “Kami menggalakkan ahli untuk memanfaatkan i-Invest kerana menyediakan caj jualan pendahuluan lebih rendah berbanding saluran lain, lebih fleksibiliti, fungsi dan memudahkan ahli untuk melabur, berurus niaga dan memantau dana pelaburan dalam IPD,” katanya.

    Beliau berkata ahli juga boleh mengakses maklumat lanjut berhubung kos pelaburan yang berkenaan dan sejarah prestasi dana.

    Ciri penanda aras prestasi dana dalam platform turut membolehkan ahli membandingkan prestasi dana terpilih dengan prestasi penanda aras prestasi dana mereka, katanya.

    Sehubungan itu, ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang betul serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi.

    Mereka boleh merujuk kepada khidmat nasihat ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

    Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ia bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke mana-mana dana tertentu.

    Untuk senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment.-Bernama

  • Khazanah jual seluruh pegangan dalam studio filem Iskandar

    SYARIKAT tujuan khas milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Granatum Ventures Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian penjualan saham definitif untuk menjual keseluruhan 100 peratus pegangannya dalam Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) kepada Studio Management Services Sdn Bhd (SMS) untuk menarik pelaburan asing serta membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada Malaysia.

    Dalam kenyataan hari ini, katanya SMS adalah konsortium yang diketuai oleh pasukan pengurusan semasa Malaysia IMS dengan kerjasama GHY Culture & Media Holding Co Ltd, Singapura dan anak syarikatnya GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd.

    Menurut Khazanah, SMS dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan yang disediakan oleh IMS kepada industri serta memudahkan kerjasama pada masa depan dan peluang penerbitan untuk Malaysia.

    “Kerjasama dan kemasukan banyak usahawan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang berkebolehan akan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekosistem di IMS,” katanya.

    Khazanah berkata kerjasama ini akan menyumbang kepada penggunaan studio yang lebih tinggi dalam kalangan penggiat serantau dan global, sekali gus dapat menyokong ekosistem penerbitan tempatan dengan kapasiti lebih baik bagi menarik banyak penerbitan dan perkongsian saluran penerbitan kandungan.

    “Khazanah kekal komited untuk mengekalkan manfaat limpahan ekonomi yang positif kepada ekonomi sosial di samping menyelaraskan kepentingan strategiknya untuk memajukan Malaysia, memastikan penciptaan nilai, pembinaan kapasiti dan impak kemasyarakatan kepada negara,” katanya.

  • Lebih 2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ

    Lebih 2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ

    SEBANYAK 2.971 juta pengguna kenderaan sudah memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada 10 Feb lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.

    Beliau berkata sehingga kini JPJ masih mempromosikan kaedah tersebut bagi membolehkan pengguna kenderaan mendaftar melalui aplikasi berkenaan.

    “Setakat ini usaha berjalan lancar dan saya menyeru seluruh masyarakat supaya turut sama memuat turun aplikasi ini untuk memudahkan urusan.

    “Sekarang ini kita pamerkan untuk membiasakan masyarakat mengenai MyJPJ digital dan menjelang pertengahan tahun ini aplikasi ini akan dinaik taraf untuk menunjukkan dan memperbaharu lesen,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama 40 Anak Yatim dan Asnaf yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Zailani berkata usaha pendigitalan itu dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ sendiri tanpa sebarang konsultan.

    “JPJ akan menggunakan alat Smart Management Enforcement Device (SMED) bagi mereka yang ada isu berhubung ketiadaan liputan Internet dan kesukaran penggunaan telefon.

    “Bagi pemandu yang mempunyai masalah untuk mempamerkan lesen memandu dan cukai jalan digital, kita akan menggunakan alat SMED dengan membuat pendaftaran identiti (ID) mereka untuk mengakses lesen dan cukai jalan secara digital,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Zailani berkata sempena Aidilfitri, jabatan itu turut membekukan cuti anggota penguatkuasanya bagi menjalankan tugas pemantauan.

    “Penguatkuasaan bagi Op Raya akan bermula sebelum, semasa dan selepas Aidilfitri dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan bagi mengelak berlaku banyak kemalangan.

    “Pengguna juga perlu merancang jadual perjalanan terutama mereka yang akan pulang ke Kelantan, yang kita jangka akan berlaku kesesakan di Gua Musang susulan penutupan jalan bagi kerja pemasangan cerucuk jambatan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3B dan 3C,” katanya.

    Beliau berharap pengguna jalan raya tidak hanya bergantung kepada laluan berkenaan kerana masih ada beberapa pilihan laluan untuk masuk ke Kelantan bagi mengelak kesesakan.

  • Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    Polis buru individu main mercun sebabkan 2 cedera

    POLIS sedang mengesan individu disyaki bermain mercun sehingga menyebabkan dua mangsa cedera di Kampung Changkat, Gombak pada 31 Mac lalu.

    Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular sejak semalam memaparkan sekumpulan individu bermain mercun menghala ke sebuah rumah.

    “Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 12.05 tengah malam 31 Mac lepas, menyebabkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 dan 24 tahun cedera di paha dan telinga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, usaha mengesan suspek masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435/324 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Nur Atikah Adnan di talian 018-3648044 atau IPD Gombak 03-61262222.

  • Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    Dera di taska: Mangsa digigit kanak-kanak seusia – Polis

    KECEDERAAN seorang kanak-kanak yang dilaporkan digigit dalam kejadian di sebuah taska dekat Putrajaya, adalah selari dengan kesan gigitan kanak-kanak seusia.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata perkara itu disahkan pegawai perubatan selepas mangsa dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

    Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang wanita berhubung beberapa kesan gigitan di tangan anaknya ketika dihantar ke taska berkenaan pada 10.26 malam, 5 Januari lalu.

    Katanya, susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan semakan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska tersebut berdaftar dan mempunyai lesen sah.

    “Pada mulanya kedua-dua pihak bersetuju untuk tuntutan ganti rugi terhadap kejadian, namun begitu sehingga kini tiada penyelesaian dapat dibuat oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.

    Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.

    A. Asmadi turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan tidak menularkan artikel tersebut kerana ia boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mengganggu siasatan polis. – BERNAMA

  • Lelaki dicekup bawa 3.6kg heroin bernilai RM128,000

    Lelaki dicekup bawa 3.6kg heroin bernilai RM128,000

    POLIS Perak memberkas seorang lelaki bersama kira-kira 3.6 kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM128,000 di sebuah pasar raya di Ipoh, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata siasatan awal mendapati suspek berumur 25 tahun itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lepas dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis telah menjumpai sebuah beg galas yang mengandungi lapan peket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 3,660 gram,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

    Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Yahaya berkata tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai milik suspek sebanyak RM1,100.

  • Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA palsu – JPM

    KENYATAAN media yang didakwa dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berhubung siasatan kes salah guna kuasa terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah palsu.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi penafian yang dimuat naik di laman Facebook rasmi hari ini, memaklumkan Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

    “Tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat.

    “Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” menurut JPM.

    Terdahulu, kenyataan palsu yang bertarikh 6 April itu memaparkan dakwaan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan kadar segera terhadap kes salah guna kuasa melibatkan perkhidmatan KSN dan KPPA. – BERNAMA

  • Cadangan pendekkan tempoh kerjakan haji tidak mampu kurangkan kos

    Cadangan pendekkan tempoh kerjakan haji tidak mampu kurangkan kos

    CADANGAN untuk memendekkan tempoh mengerjakan haji terutamanya bagi jemaah muassasah tidak dapat membantu Tabung Haji (TH) mengurangkan kos bagi menunaikan ibadah berkenaan, malah hanya akan menaikkan kos.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan memendekkan tempoh, ia akan menyebabkan jemaah haji untuk menginap di Mekah dan Madinah semasa waktu kemuncak haji, sekali gus menyumbang kepada kenaikan kos.

    “Bagi pakej jemaah haji muassasah yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji, tempoh mereka ada di tanah suci adalah antara 40 hingga 45 hari.Tempoh ini (turut) mengambil kira jadual penerbangan carter yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    “Secara amnya dengan memendekkan tempoh pakej muassasah, ini bermakna jemaah haji yang akan ke Arab Saudi akan mula menginap di Mekah dan Madinah pada waktu puncak iaitu harga tiket penerbangan dan sewaan bangunan adalah amat tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

    Ia bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisham Yahaya yang bertanya sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk mengkaji semula tempoh ibadah haji bagi mengurangkang kos menunaikan ibadah itu.

    Menurut Mohd Na’im TH telah berusaha untuk mengawal kenaikan kos ini dengan perjanjian kontrak jangka panjang yang telah dimeterai bersama beberapa pihak di Arab Saudi membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pelbagai perkhidmatan lain.

    Katanya dengan cara itu harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

    Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah meningkat kepada RM30,850 tahun ini berbanding RM28,623 tahun lepas. – BERNAMA