Author: Bernama

  • 28 calon PN tandatangan aku janji perangi rasuah

    28 calon PN tandatangan aku janji perangi rasuah

    KESEMUA 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji malam ini, sebagai komitmen memerangi rasuah.

    Kesemua calon berkenaan hadir di Bilik Gerakan Utama PN di Tanjung Minyak, di sini dan majlis menandatangani aku janji yang bermula pada pukul 9 malam itu, disaksikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Antara inti pati yang terkandung dalam borang ‘Aku Janji Calon Pilihan Raya Negeri’ yang ditandatangani calon itu ialah, calon perlu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    Selain itu, calon juga harus mematuhi sepenuhnya undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan undang-undang berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

    Selesai menandatangani dokumen itu, kesemua 28 calon melafazkan ikrar aku janji berkenaan dan borang kemudian diserahkan kepada Muhyiddin oleh Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Sementara itu, kawasan bangunan berkenaan dikawal ketat anggota polis dan penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pihak media kecuali jurugambar tidak dibenarkan memasuki bangunan.

    Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata aku janji itu selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah, serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS (lapan) dan Gerakan (lima). – BERNAMA

  • Kesilapan besar dalam dokumen awal projek terowong Pulau Pinang

    Kesilapan besar dalam dokumen awal projek terowong Pulau Pinang

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

    Bekas Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang Datuk Faiza Zulkifli, 61, berkata kesilapan itu membabitkan lot tanah yang menjadi perkara utama, yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.

    “Saya boleh katakan ini adalah kesilapan besar kerana terdapat beberapa kesilapan dari segi ‘typo’ dan dari segi pernyataan mengenai lot tanah,” katanya ketika merujuk kepada dokumen Perjanjian Awalan Bagi Penswastaan Projek Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di Antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), pada 29 Okt 2013.

    Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu berkata kesilapan tersebut membabitkan tanah kerajaan negeri yang akan dipindah milik kepada pemaju, dikenal pasti secara salah dalam dokumen tersebut.

    Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

    Wan Shaharuddin: Jika diberikan peluang untuk meneliti balik perjanjian tersebut, adakah Datuk Faiza akan mengesan kesilapan itu?

    Faiza: Saya amat teliti dalam kerja saya sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan Pulau Pinang mengetahuinya, dan saya pastikan perkara ini tidak akan berlaku demi memastikan kepentingan kerajaan negeri dijaga.

    Bagaimanapun, saksi pendakwaan itu berkata adalah tidak wajar untuknya memberikan komen berhubung kandungan perjanjian tersebut, kerana beliau tidak terbabit dalam meneliti dan menyemak dokumen itu.

    “Tiada arahan daripada mana-mana pihak sama daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, supaya dokumen tersebut dihantar untuk disemak oleh bekas Penasihat Undang-Undang negeri itu,” katanya.

    Sementara itu, Faiza ketika membacakan pernyataan saksinya berkata sepanjang bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang negeri itu, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa draf perjanjian untuk disemak.

    Saksi itu berkata beliau tidak meneliti draf perjanjian berkenaan kerana Ketua Menteri (Lim) telah bersetuju untuk melantik pihak peguam swasta, bagi meneliti perjanjian tersebut.

    “Saya akur akan keputusan Ketua Menteri yang ingin melantik firma peguam swasta tersebut untuk meneliti perjanjian ini. Jika Ketua Menteri memutuskan untuk melantik pihak swasta untuk meneliti apa-apa perjanjian, Ketua Menteri hendaklah menetapkan tanggungjawab kepada peguam swasta, untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri.

    “Merujuk kepada butir-butir minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri 19/2013, Ketua Menteri telah bersetuju untuk melantik firma peguam swasta bagi menyediakan draf perjanjian awalan. Saya hanya mengetahui dokumen ini disediakan oleh firma guaman swasta Lee Hishamuddin Allen & Gledhill,” katanya.

    Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan sijil kematian Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd, Datuk Ewe Swee Kheng yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawai, Pulau Pinang pada 5 Okt lepas.

    Mendiang yang berumur 53 tahun itu merupakan saksi pendakwaan ke-15 yang sepatutnya dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

    Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Dalam pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

    Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA

  • Bicara kes Da’i Syed dituduh cabul pelajar kolej April 2022

    Bicara kes Da’i Syed dituduh cabul pelajar kolej April 2022

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya menetapkan 10 hari bermula April tahun hadapan untuk perbicaraan kes pendakwah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, yang didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, tahun lalu.

    Hakim Jamaludin Mat menetapkan sembilan hari dalam bulan April bermula 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 dan sehari pada 17 Mei, sebagai tarikh perbicaraan ketika sebutan kes itu, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan memanggil tujuh saksi pendakwaan termasuk mangsa, untuk memberi keterangan.

    Pada 10 Dis tahun lalu, Syed Shah Iqmal, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya, pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Pada 19 Mac lepas, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.

    Da’i Syed, yang diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau sudah bersedia untuk dibicarakan meskipun ia akan mengambil masa yang panjang.- BERNAMA

  • PN lancar manifesto PRN Melaka Ahad ini

    PN lancar manifesto PRN Melaka Ahad ini

    PERIKATAN Nasional (PN) akan melancarkan manifesto pakatan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ahad ini, kata Penyelaras Gerak Kerja Penerangan Kempen PN bagi PRN Melaka, Badrul Hisham Shaharin.

    Badrul Hisham atau Che’gu Bard berkata, manifesto yang antara lain berjanji untuk mewujudkan kerajaan stabil di Melaka dan antirasuah itu akan dilancarkan secara hibrid oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Untuk memastikan standard operasi prosedur (SOP) dipatuhi, ia diumumkan secara hibrid,” katanya kepada ketika ditemui Bernama di Melaka hari ini.

    Bagaimanapun Badrul Hisham berkata waktu pelancaran manifesto tersebut belum dimuktamadkan.

    Rabu lepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manisfeso BN ‘Melaka Lima Tahun’ bersempena PRN Melaka yang menggariskan satu matlamat di samping lima teras dan 103 inisiatif.

    Pakatan Harapan (PH) pula melancarkan manifesto Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang mempunyai tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang menggariskan 32 inisiatif.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

    Sementara itu, Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata manifesto PN yang akan dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 5 petang di Shah Alam, Selangor, Ahad ini.

    Katanya manifesto itu juga akan meliputi segenap aspek dan lapisan masyarakat pelbagai kaum di Melaka.

    Setakat ini, gabungan besar parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan manifesto masing-masing pada Rabu (10 Nov) lepas sementara Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dijangka melancarkan manifestonya minggu depan. – BERNAMA

  • Walau dilabel ‘pengkhianat’ Mas Ermieyati tetap ikhlas bantu rakyat

    Walau dilabel ‘pengkhianat’ Mas Ermieyati tetap ikhlas bantu rakyat

    prn melaka mohd muhammad

    WALAUPUN diilabel ‘pengkhianat’, ia tidak pernah melunturkan semangat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk terus menabur khidmat di kawasannya.

    Malah, beliau bertekad meneruskan tugas diamanahkan parti untuk menyumbang satu kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) meskipun persepsi negatif terhadapnya itu sudah bertapak sejak tiga tahun lepas.

    “Sentimen pengkhianat ini sejak dahulu lagi, bukan hanya sekarang. Apapun label atau gelaran yang diberikan kepada saya sejak tiga tahun lepas, saya tetap memberikan khidmat saya untuk Masjid Tanah, saya tetap turun berjumpa masyarakat, saya tidak pernah abaikan mereka.

    “Saya tetap memberikan bantuan sekiranya diperlukan walaupun hanya sehelai kertas surat sokongan, saya dah cuba yang terbaik,” katanya kepada Bernama di Melaka.

    Meyakini tanggungjawabnya kepada rakyat telah dilaksanakan sebaik mungkin, Mas Ermieyati menyerahkan nasibnya kali ini kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara untuk menilai rekod prestasi dan hasil kerjanya selama ini.

    Beliau juga tidak pernah peduli dengan label yang dilemparkan, malah lebih suka berdiam diri daripada menjawab tohmahan selain terus komited melaksanakan tugas yang diamanahkan.

    “Tapi kalau ada pemimpin tertentu melabelkan saya pengkhianat, terserah kepada rakyat untuk menilainya, mereka telah matang dan bijaksana.

    “Adakah cukup dengan label gelaran pengkhianat itu untuk menidakkan perkhidmatan saya ataupun komitmen saya terhadap warga Tanjung Bidara?” katanya.

    Mas Ermieyati mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memberi saingan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual pada 20 Nov ini.

    Bekas peguam syariah yang juga Naib Srikandi Bersatu itu akan menentang calon ‘heavyweight’ dari Barisan Nasional, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

    Ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) setelah dipilih sebagai calon, Mas Ermieyati berkata beliau masih mampu membahagikan tugas bagi menunaikan tanggungjawab.

    “Tiada peraturan yang memerlukan saya meletak jawatan sebagai timbalan menteri, setiap manusia diberi 24 jam, ia tentang bagaimana kita mengurus masa dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita.

    “Kalau dah diberi tanggunjawab tapi tak nampak batang hidung pun tak guna juga, kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat Tanjung Bidara, saya tahu bagaimana nak bahagikan tugas, ketika ini saya masih ada masa untuk berada di kawasan tiga empat kali seminggu,” katanya.

    Mas Ermieyati, 45, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah sebelum ini merupakan Ketua Puteri UMNO sebelum keluar daripada parti itu pada Julai 2018, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan disahkan menjadi ahli Bersatu pada Disember 2018. – BERNAMA

  • 1MDB: Saksi tak tahu sebahagian bon AS$3 bilion dipindah

    1MDB: Saksi tak tahu sebahagian bon AS$3 bilion dipindah

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak mengetahui bahawa sebahagian daripada hasil terbitan bon AS$3 bilion telah dipindahkan kepada tiga syarikat termasuk Tanore Finance Corporation (Tanore).

    Azmi Tahir, 48, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

    Dalam pernyataan pembukaan kes 1MDB, pendakwaan mendakwa Tanore telah memindahkan sejumlah US$681 ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013 dan ia menjadi perkara utama dalam pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata bon tersebut sepatutnya dilaburkan ke dalam syarikat usaha sama 1MDB dan Aabar Investment PJS iaitu Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

    “Datuk Seri Najib, melalui Ketua Setiausaha Sulitnya Arwah Datuk Azlin Alias, telah mengarahkan bon tersebut disalurkan kepada tiga syarikat pelaburan iaitu Cistenique Investment Fund B.V (Cistenique), Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire) dan Enterprise Emerging Market Fund (Enterprise Emerging).

    “Bagaimanapun, saya mengesahkan saya tidak tahu tiga syarikat pelaburan ini akan memindahkan sebahagian dana bon US$3 bilion kepada Tanore dan dua lagi syarikat iaitu Granton Property Holding Limited dan Midhurst Trading Limited.

    “Kesemua keputusan dan pemindahan ini adalah di luar pengetahuan saya. Saya juga ada bertanya kepada Terence Geh (bekas Timbalan Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) sekiranya kami (1MDB) ada membuat pelaburan dengan Tanore semasa nama syarikat itu keluar di media dan dikaitkan dengan 1MDB. Bagaimanapun, Geh ketika itu menafikan perkata tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

    Azmi berkata beliau dan Mohd Hazem Abd Rahman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) hanya dimaklumkan mengenai pelaburan kepada tiga syarikat sahaja iaitu Cistenique, Devonshire dan Enterprise Emerging.

    “Saya sahkan saya ada menurunkan tandatangan di atas beberapa dokumen yang mengesahkan pihak 1MDB mengambil maklum mengenai pelaburan di dalam tiga syarikat pelaburan ini.

    “Saya juga tidak pernah membenarkan mana-mana pihak ketiga untuk membuat sebarang pelaburan kepada pihak lain termasuklah ke akaun Datuk Seri Najib,” katanya.

    Terdahulu, beliau berkata pindahan dana kepada tiga syarikat terbabit telah dilakukan pada 20 Mac 2013 iaitu sehari selepas US$2.7 bilion hasil terbitan bon dimasukkan ke dalam akaun 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL).

    “Saya sahkan bahawa selepas mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan surat sokongan daripada Kementerian Kewangan bagi kutipan dana untuk bon, US$3 bilion telah diterbitkan ke dalam akaun 1MDB GIL dengan jumlah AS$2.7 bilion iaitu jumlah setelah ditolak caj perkhidmatan yang dikenakan oleh bank Goldman Sachs.

    “Sebagai CFO, tujuan utama kutipan dana sebanyak AS$3 bilion dibuat adalah untuk usaha sama ADMIC namun memandangkan dana tersebut telah digunakan bagi tujuan lain seawal 24 jam selepas dana diterima, saya percaya usaha sama ADMIC tersebut adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan bagi memastikan bon dapat diterbitkan secara sah,” katanya.

    Azmi juga berkata bon itu langsung tidak digunakan untuk tujuan hartanah dan pembangunan Bandar Malaysia.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – BERNAMA

  • 1MDB: Arahan daripada Jho Low adalah mandat Najib

    1MDB: Arahan daripada Jho Low adalah mandat Najib

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa semua arahan yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dianggap mandat daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Azmi Tahir, 46, berkata beliau dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias bahawa Jho Low adalah penasihat atau orang yang rapat kepada bekas Perdana Menteri itu dan Jho Low juga akan memberi maklumat atau arahan yang perlu beliau laksanakan kerana ia adalah daripada Najib.

    “Saya juga difahamkan Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan pihak Abu Dhabi dan Arab Saudi dan beliau juga merupakan orang kepercayaan Najib. Saya hanya mengikut arahan yang diterima oleh arwah Datuk Azlin dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin kerana saya menganggap itu adalah arahan daripada Perdana Menteri.

    “Semasa bertugas sebagai CFO 1MDB, terdapat tindakan sulit di belakang yang telah disusun dan dirancang oleh Jho Low melalui arahan dan kelulusan Najib dan orang tertentu dipilih dalam pengurusan tertinggi 1MDB dan ahli lembaga pengarah bagi memastikan arahan tersebut akan dilaksanakan. Saya boleh katakan sistem ini adalah berlapis,” kata Azmi.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

    Azmi berkata, beliau juga diberitahu bahawa arahan daripada Najib ini selari dengan Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) Persatuan 1MDB kerana setiap keputusan penting perlulah di bawah arahan dan kelulusan Najib.

    “Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara. Selain saya, antara pengurusan tertinggi yang disusun dalam sistem ‘work in silo’ dalam 1MDB ini adalah bekas Ketua Pegawai Operasi, Mohd Hazem Abd Rahman; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Koh; bekas peguam, Jasmine Loo dan Timbalan CFO, Terence Geh.

    “Saya hanya menerima arahan selari dengan pengurusan tertinggi lain dan dalam masa sama Jho Low memberitahu saya semua tugasan adalah berdasarkan need to know basis iaitu kami hanya akan diberitahu mengenai sesuatu perkara berdasarkan skop tugasan dan setakat yang saya perlu tahu sahaja,” kata Azmi.

    Azmi menambah, Jho Low akan menghantar e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) yang mengandungi nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain dalam lapisan silo ini.

    “E-mel ini perlu dipadam segera selepas dibaca kerana Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Najib mahu ia dilaksanakan segera.

    “Kebiasaannya keputusan kritikal akan dibuat melalui Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) tanpa melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) kerana Jho Low akan mengarahkan Loo untuk menyediakan semua DCR. BOD hanya perlu menandatangani DCR tersebut tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah arahan Jho Low,” katanya.

    Tambah Azmi, semua DCR itu disusuli oleh kelulusan Najib melalui sebuah dokumen resolusi pemegang saham yang Najib telah mengetahui lebih awal berdasarkan perbincangannya (Najib) dengan Jho Low.

    “Ini berdasarkan dokumen yang telah ditandatangani dan dalam pengetahuan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

    “Keseluruhannya, bagi saya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB ini,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • PRN Melaka: Pemimpin politik patut tunjuk teladan patuh SOP

    PRN Melaka: Pemimpin politik patut tunjuk teladan patuh SOP

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

    Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin politik supaya menunjukkan kepimpinan melalui teladan agar rakyat turut mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi PRN Melaka.

    “Secara keseluruhan, KKM melihat pematuhan SOP adalah baik namun malangnya ada juga yang tidak patuh seperti pemimpin dan ahli politik. Sepatutnya mereka (pemimpin dan ahli politik) menunjukkan teladan yang baik.

    “Sepatutnya mereka ini lebih memahami dan mungkin apabila ke lapangan, minta kurangkan pegawai pengiring. Apabila terlalu ramai orang yang mengiring seseorang pemimpin itu, susah untuk menjaga jarak fizikal,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Sementara itu, mengenai kira-kira 40 peratus individu yang tidak hadir selepas menerima janji temu vaksinasi dos penggalak COVID-19, Khairy berkata, KKM akan meningkatkan komunikasi untuk memastikan kesemua penerima janji temu dos itu hadir menerima suntikan.

    Beliau berkata, bukti bahawa dos penggalak itu selamat digunakan akan dimaklumkan kepada individu terbabit terutamanya bagi melindungi orang ramai daripada ancaman virus COVID-19.

    “Kita akan pastikan mereka yang dah terima janji temu booster (dos penggalak) dapat menepati janji temu yang diberikan. Kita akan tunjukkan bukti bahawa ia selamat dan sangat digalakkan untuk melindungi terutamanya orang tua daripada kesan buruk virus,” katanya.

    Beliau memaklumkan peratusan itu menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam dan berkata jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah. – BERNAMA

  • RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    RM680,276 lesap ditipu rakan baik sendiri

    SEORANG ahli perniagaan mendakwa kerugian RM680,276 selepas melabur dalam projek perumahan tidak wujud yang diperkenalkan rakan baiknya, tiga tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 42 tahun itu berkata, suspek yang juga seorang wanita mendakwa projek itu dilaksanakan di Ulu Tiram, Johor.

    “Mangsa mendakwa mempercayai suspek kerana sering berkunjung ke rumahnya pada awal perkenalan mereka pada 2017 sebelum mula bercerita mengenai adik perempuannya yang menguruskan projek perumahan pada pertengahan 2018.

    “Selepas mendengar penerangan suspek, mangsa bersetuju untuk melabur sebanyak RM780,276 yang dimasukkan ke beberapa akaun diberikan suspek secara berperingkat antara Jun hingga Ogos 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa hanya menerima pulangan sebanyak RM100,000 yang dibayar sekitar 2019, sebelum suspek memaklumkan individu yang menjalankan projek perumahan itu telah meninggal dunia.

    Sehubungan itu, ahli perniagaan berkenaan meminta supaya wang modalnya dipulangkan, namun suspek yang juga rakan baik mangsa dikatakan tidak mengendahkan permintaan tersebut.

    “Pada awal bulan ini, suspek dikatakan telah memarahi mangsa untuk tidak lagi meminta wang atau suspek akan membunuh diri dan mangsa akan dipersalahkan atas kematian itu,” katanya.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak, Bentong semalam dan siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Calon PN tiada masalah kempen guna media sosial

    Calon PN tiada masalah kempen guna media sosial

    prn melaka mohd muhammad

    SEKATAN yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu diterima semua pihak.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin berkata, sekatan berkenaan bertujuan menjaga nyawa rakyat dan ahli politik harus mematuhinya.

    “Saya berkempen sudah dua hari (dan) memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

    “Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada (pengundi yang ada) anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… (dan) kita tak nak ia (penularan COVID-19) berlaku,” katanya dalam Bicara Harakah yang diadakan secara dalam talian.

    Beliau yang menyifatkan gelanggang perang pada PRN itu sebagai adil kepada semua pihak juga mahu semua pihak menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

    “Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

    kempen ahmad bilal rahudin

    Calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

    “Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah (untuk pengundi) tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

    SPR pada 8 Nov lepas melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

    SPR menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

    Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar. – BERNAMA