TINDAKAN anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga di Kuching malam tadi adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan bahaya, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.
“Lebih kurang 7.20 malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Bernama malam tadi melaporkan, polis menembak mati seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga selepas dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Simpang Tiga, di sini.
Kejadian turut menyebabkan beberapa kenderaan milik orang awam rosak dilanggar oleh suspek yang dikatakan cuba melarikan diri.
Sementara itu, Aidi berkata untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, anggota-anggota polis terlibat telah ditukarkan bertugas ke bahagian pentadbiran.
“Lima (anggota yang terlibat)…semua daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi. – BERNAMA
SEORANG lelaki maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melombong emas di Kampung Air Sejuk di Kuala Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian sekitar 5 petang itu, Mohd Johari Mohd Asri, 34, berada di kawasan berkenaan bersama ibu dan bapanya untuk menggali emas di dalam lubang sedalam kira-kira tiga meter sebelum berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.
“Pada masa kejadian, cuaca mendung dan hujan lebat turun sekejap-sekejap menyebabkan tanah di kawasan tersebut lembut dan menyukarkan operasi pencarian.
“Dengan bantuan pihak bomba, mayat Mohd Johari ditemukan pada 7 malam dan berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Afandi berkata usaha mengeluarkan Mohd Johari dilakukan dengan bantuan jentolak kerana tanah liat dan berpasir serta mudah runtuh.
Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA
DENGAN detik penentuan siapa yang dipilih pengundi Sarawak untuk menerajui negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang semakin hampir, dua cendekiawan berkongsi pandangan yang sama, yakni Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti muncul juara pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini, namun persoalannya berapa banyak kerusi yang akan menjadi miliknya nanti.
Saintis politik Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Jayum Jawan dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir senada bahawa GPS tidak mempunyai masalah untuk menjadi yang pertama meraih majoriti mudah dalam pungutan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya ini.
“GPS dijangka menang mudah, malah perolehan dua pertiga majoriti juga bukan masalah besar bagi GPS, disebabkan oleh perpecahan dalam kalangan pembangkang,” kata Jayum kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun GPS baru ditubuhkan beberapa tahun lepas, namun ia dianggotai parti yang cukup matang yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) yang mendominasi kerajaan sejak 1970an.
“Mereka mempunyai rangkaian kerja yang luas di peringkat akar umbi, jentera hebat yang bergerak lancar untuk berdepan dengan lawan mereka. Di samping itu tidak ada pertelagahan dalaman yang boleh melemahkan usaha mereka kelihatan, kecuali mungkin di beberapa kawasan, tidak banyak,” katanya.
Jayum berkata, GPS mempunyai kelebihan sebagai penyandang, dan dalam situasi kempen yang dihadkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, kelebihan ini adalah “aset yang sangat besar.”
Katanya, apabila GPS mengumumkan barisan mereka dua hari sebelum penamaan calon, mereka mengekalkan 58 penyandang sebagai calon mereka, dan 24 muka baharu.
Beliau berkata, parti pembangkang sebaliknya bercelaru dengan ada yang bertanding dan menentang antara satu sama lain di kawasan yang sepatutnya boleh bekerjasama dan menyatukan sumber mereka bagi memiliki peluang yang lebih baik untuk menang.
Beliau menjangka, PBB akan dapat menyapu bersih semua kawasan majoriti Melayu/Melanau, namun beliau memberi amaran bahawa beberapa kekalahan boleh dialami oleh parti komponen GPS, khususnya di kawasan dominan kaum Dayak.
Jayum berkata, beliau melihat PDP adalah antara parti komponen GPS yang dijangka menghadapi cabaran hebat, dengan tiga kerusi yang perlu diperhatikan dengan teliti ialah Krian, Dudong dan Ba’ Kelalan.
Beliau berkata, SUPP juga dijangka tidak akan berjaya di beberapa DUN , manakala PRS akan menghadapi pilihan raya tanpa pemimpin utama yakni presiden parti, Mendiang Tan Sri Dr James Masing, yang meninggal dunia beberapa hari sebelum DUN dibubarkan.
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau, di Kota Tinggi hari ini menemukan lima mayat dipercayai pendatang tanpa izin yang hilang dalam insiden itu.
Ketua Zon II Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamad berkata mayat tiga lelaki dan dua wanita itu ditemukan antara 6.45 pagi dan 7.45 pagi tadi.
“Kesemua mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai dengan jarak antara 500 meter hingga 2.5 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Penemuan berkenaan menjadikan kesemua mangsa yang dipercayai masih hilang adalah seramai 20 orang.
Semalam, 11 warga Indonesia ditemukan lemas di pantai berkenaan apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi.
Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.
*‘Bertukar haluan’, sebelum karam
SEMENTARA itu, Pegawai Memerintah Rejimen Ketujuh Artileri Diraja Lt Kol Mohamed Ridzal Radzuan berkata, bot yang karam itu dipercayai sepatutnya mendaratkan kesemua penumpang warga Indonesia di Kampung Tengah, , dan mengambil sekumpulan warga Indonesia lain untuk pulang ke republik berkenaan.
Bagaimanapun, bot berkenaan yang difahamkan berlepas dari Batam, Indonesia pada kira-kira 11 malam itu dipercayai ‘bertukar haluan’ menuju ke arah Pantai Tanjung Balau, yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.
Beliau berkata, bot berkenaan yang dipercayai dikendalikan sebuah sindiket, telah bertindak menukar lokasi pendaratan apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, pasukannnya telah mengesan sebuah bot yang kelihatan mencurigakan berdekatan Kampung Tengah dan menjejaki sekumpulan pendatang tanpa izin sedang bersembunyi di dalam semak di kampung itu.
“Siasatan awal mendapati mereka (sindiket) mahu menurunkan penumpang di pantai Tanjung Balau, tetapi ombak yang terlalu besar menyebabkan bot terbalik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tanjung Sepang, di Kota Tinggi semalam.
Pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja, yang kini menjaga persisiran pantai barat Johor sepanjang 210 kilometer itu, adalah pasukan terawal mengesan kehadiran bot berkenaan.
“Sepanjang saya dan pasukan menjalankan operasi di sini, keadaan cuaca tak berapa baik dan ombak besar berikutan Monsun Timur Laut.
“Bila keadaan laut begini, dan mereka (sindiket) tahu pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan di persisir pantai..kebanyakan tekong-tekong ini akan lepaskan penumpang mereka di tengah laut untuk menyelamatkan diri mereka (sindiket),” katanya.
Beliau berkata bot yang karam itu merupakan bot berkuasa tinggi dan mempunyai empat enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu.
“Bot besar memang jadi pilihan sindiket terutama melalui kawasan berombak besar seperti ini,” katanya.
Selain itu, hasil siasatan awal terhadap pendatang tanpa izin yang ditahan, kebanyakan mereka bukan pertama kali datang ke negara ini, malah sudah acap kali berulang-alik bagi mencari rezeki.
Mohamed Ridzal berkata sindiket itu turut disifatkan ‘hati kering’ kerana menurunkan penumpang di tengah laut dengan pendatang tanpa izin itu rata-ratanya tidak mengetahui nasib mereka sebelum masuk ke dalam negara dan risiko yang perlu dihadapi apabila mengikuti laluan yang tidak sah dan berbahaya.
Beliau berkata cabaran bagi pihak ATM adalah untuk memastikan keselamatan kawasan tanggungjawab (KTJ) kekal terpelihara meskipun mempunyai kekangan dengan KTJ sepanjang 210 kilometer hanya terdapat 25 pos pemerhati selain kekurangan anggota dan pegawai.
Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya juga sering menukar modus operandi dan taktik bagi mengatasi cabaran berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan perairan negara terjaga.
Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi penguat kuasa lain menerusi Ops Benteng seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan juga diteruskan dan sentiasa diperhebat.
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik menjadi “Aide-de-Camp” (ADC) atau Juruiring kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama malam tadi.
“Benar,” katanya ketika diminta mengesahkan mengenai pelantikan Nik Ezanee.
Difahamkan pelantikan berkenaan berkuat kuasa semalam dan kekosongan jawatan Ketua JSJ akan digantikan dalam masa terdekat.
Nik Ezanee, 43, dilantik menjadi Ketua JSJ Selangor pada 12 April lepas selepas memegang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada 17 Feb 2020.
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ACP Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara (Pentadbiran) di Bukit Aman pada 2016. – BERNAMA
KABINET bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan.
“Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negeri-negeri segera menubuhkan majlis ini.
“Tanggungjawab untuk mempercepat proses pemulihan negeri bukan terletak di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja. Arahan itu juga melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini.
Muhyiddin juga berkata sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan.
Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.
Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing. – BERNAMA
“JANGAN pangkah Ali Biju.” Itu peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengundi Krian agar tidak memangkah calon Bebas Datuk Ali Biju pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Sabtu ini.
Beliau berkata sebaliknya, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik meskipun nama Ali terpapar di kertas undi.
“Perkara itu sudah dijelaskan oleh Ali Biju… beliau tidak bertanding. Jadi beliau sudah beritahu pengundi jangan pangkah dia dan saya pun cakap sekarang ini, jangan pangkah dia. Kita perlu berikan undi kepada GPS untuk kerusi itu (Krian),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negeri edisi Sarawak hari ini.
Pada 6 Dis lepas, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak mengesahkan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri Krian sebagai calon Bebas sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday pada PRN itu.
Muhyiddin turut mengesahkan tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik susulan tindakan mereka yang bercanggah dengan perlembagaan parti.
Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan). – BERNAMA
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan untuk menghentikan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengelakkan masalah kewangan dalam kalangan pesara kelak.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, berdasarkan perkembangan semasa melibatkan ekonomi negara yang semakin pulih di samping rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan sekali gus membolehkan mereka untuk kembali melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing menyebabkan kemudahan tersebut sudah tidak lagi relevan malah boleh memberikan impak yang negatif jika perkara itu masih lagi diteruskan.
“Data daripada KWSP yang memaklumkan 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan boleh memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.
“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP. Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, berdasarkan data yang diperoleh daripada KWSP, 50 peratus pencarum yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.
Sebelum ini, bagi mengurangkan beban kewangan rakyat ketika pandemik COVID-19 melanda, kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang simpanan KWSP melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion. – BERNAMA
HAKIM Mahkamah Rayuan hari ini menasihati seorang lelaki yang dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita, supaya meminta ampun dengan Allah atas perbuatannya itu.
Hakim Datuk Ghazali Cha turut menasihati Mohamad Nurhadi Othman, 31, agar tidak mengulangi kesalahan sama apabila keluar dari penjara.
“Kamu orang Islam, maka bersungguh-sungguhlah minta ampun dengan Allah sepanjang tempoh kamu di penjara dan solat lima waktu. Saya harap apabila kamu keluar dari penjara nanti, kamu benar-benar insaf,” kata Hakim Ghazali.
Terdahulu panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Mohamad Nurhadi, selaku perayu untuk mengetepikan hukuman penjara dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 14 Mei 2019.
“Kamu memang bernasib baik kerana hukuman terhadap kamu diperintahkan berjalan secara serentak. Ada (tertuduh) yang dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun…ada yang menjalani hukuman penjara 15 tahun dahulu, selepas habis, sambung lagi 15 tahun…mati pun dalam penjara.
“Hukuman yang dijatuhkan sebelum ini adalah munasabah dan tiada alasan untuk mahkamah ini mengganggu dapatan mahkamah sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan hukuman sebelum ini dikekalkan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Ghazali.
Mohamad Nurhadi sebelum ini dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi tiga pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap wanita berusia 21 tahun itu di sebuah kedai pakaian di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Terengganu antara 10.10 hingga 10.55 malam, 1 Ogos 2018, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Lelaki itu juga dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan atas tuduhan merogol wanita itu yang bekerja di kedai tersebut di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Sesyen 376 kanun sama.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak menjadikan hukuman yang perlu dijalani lelaki itu ialah penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Dia juga sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan, kerana merompak mangsa sama namun tidak merayu bagi hukuman kesalahan itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini berhujah, perayu telah merancang untuk melakukan perbuatan itu kerana sehari sebelum kejadian, dia berada di sebuah kedai serbaneka bersebelahan dengan tempat kerja mangsa.
Atiqah berkata berdasarkan fakta kes semasa mangsa berada di tempat kerjanya, perayu telah datang dan memintanya untuk mencuba pakaian yang ingin dibelikan untuk teman wanitanya.
“Ketika mangsa mencuba pakaian, perayu telah mengacukan pisau ke leher wanita itu sebelum merogol, meliwat dan memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya. Perayu juga telah merompak dua utas gelang emas mangsa,” katanya yang turut memaklumkan kejadian itu memberi kesan trauma terhadap mangsa.
Peguam Mohamad Nor Hisam Hussain, yang mewakili perayu berhujah anak guamnya telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain memohon hukuman penjara minimum. – BERNAMA
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Lim Guan Eng menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,375 sebulan semasa memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dari Mac 2008 hingga Mei 2018.
Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan bagi bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mohd Farulizam Che Meh, 43, berkata semasa Lim memegang jawatan itu antara 11 Mac 2008 dan 14 Mei 2018, beliau menerima gaji hakiki RM14,175 manakala elaun yang diperoleh adalah sebanyak RM30,200 sebulan.
“Lim Guan Eng juga ada mengisytiharkan harta dan pendapatan sampingan beliau di dalam portal web Pulau Pinang,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendram.
Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Lim, yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.
Mohd Farulizam berkata Guan Eng telah dipilih sebagai ADUN Air Puteh atas tiket DAP selama tiga penggal dan Ketua Menteri bagi dua penggal.
Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) dan akan menghadiri perbicaraan esok.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi didengar tanpa kehadiran Guan Eng selama dua hari berturut-turut kerana tertuduh dimasukkan ke IJN sejak Ahad lepas bagi menjalani satu prosedur perubatan pada Isnin.
Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek yang didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.
Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – BERNAMA