Author: Bernama

  • 4 nelayan hanyut 9 jam selepas bot karam di Batu Pahat

    4 nelayan hanyut 9 jam selepas bot karam di Batu Pahat

    EMPAT nelayan berdepan detik cemas apabila hanyut kira-kira sembilan jam selepas bot mereka karam dipukul ombak ketika menangkap ikan di kedudukan 3.9 batu nautika barat daya Pantai Perpat, Batu Pahat, tengah malam Khamis.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor Simon Templer Lo Tusa berkata selepas mendapat laporan mengenai kejadian itu pada 12.15 malam itu, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru mengaktifkan Op Carilamat bagi mencari mangsa yang berusia antara 25 hingga 34 tahun itu.

    Beliau berkata susulan kejadian itu, Zon Maritim Batu Pahat telah mengatur gerak bot Benteng 5 dan bot Petir 51 ke lokasi kejadian bagi mengesan bot nelayan berwarna biru dengan pendaftaran SLFA 5050 yang dilaporkan karam bersama empat kru.

    “Sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia juga ditugaskan dalam operasi pengesanan dan pencarian udara dengan turut dibantu radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut,” kata beliau dalam dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Bagaimanapun, Simon berkata kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan, ditemui selamat pada kedudukan 10.8 batu nautika barat daya muara Batu Pahat, kira-kira 9 pagi tadi oleh bot nelayan lain yang menyertai Op Carilamat.

    “Keadaan keempat-empat mangsa, yang berasal dari Pontian Kechil itu, selamat dan kesemua mereka telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” kata beliau.

    Sehubungan dengan itu, komuniti maritim diingatkan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut ketika ingin melakukan aktiviti perikanan di laut.

    “Sekiranya terdapat sebarang aduan kesalahan jenayah di laut atau kecemasan segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199 401 atau talian kecemasan MERS 999,” kata beliau.

  • Mangsa banjir Pantai Timur meningkat, operator kilang korban pertama

    Mangsa banjir Pantai Timur meningkat, operator kilang korban pertama

    MANGSA banjir di tiga negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – semakin meningkat dengan 635 orang dari 131 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) setakat pukul 4 petang semalam berbanding kira-kira 200 mangsa pagi tadi.

    Banjir yang mula melanda sejak awal pagi ini turut meragut satu nyawa apabila mayat seorang operator kilang ditemukan pada pukul 2.22 petang selepas dilapor terjatuh daripada motosikal semasa meredah air bah di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina Gambang, Pahang.

    Situasi banjir di ketiga-tiga negeri pantai timur dijangka berterusan susulan hujan yang membawa kepada peningkatan paras air sungai masih melanda kawasan-kawasan berkenaan sehingga petang ini.

    Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Kechau di Lipis Pahang; Kampung Jenob dan Sungai Golok, Tanah Merah di Kelantan serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, Terengganu kini melebihi paras bahaya dan sedang meningkat.

    Di KELANTAN, lapan PPS dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah melibatkan seramai 548 orang daripada 108 keluarga, setakat pukul 4 petang semalam.

    Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata PPS yang terbabit adalah empat di Kuala Krai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai; Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak; SK Chenulang dan Pejabat Veterinar manakala dua di Gua Musang iaitu SK Felda Chiku 7 dan SK Limau Kasturi 1.

    “Selain itu, masing-masing satu PPS dibuka di Tanah Merah iaitu SK Kelewek dan Jeli pula di SK Kuala Balah,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 63 orang daripada 14 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 21 orang daripada lima keluarga pada 9 pagi semalam.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat tiga PPS yang beroperasi ketika ini iaitu di Setiu, Dungun dan Kemaman.

    Di KUANTAN, jumlah mangsa di dua PPS tidak berubah setakat petang ini melibatkan 24 orang daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di SK Kempadang manakala sembilan orang daripada dua keluarga di SK Beserah. 

    Keadaan beberapa jalan sekitar daerah ini dan pekan Sungai Lembing yang dinaiki air sejak awal pagi tadi juga kembali pulih, walaupun cuaca masih hujan renyai. – BERNAMA

  • Polis kesan modus operandi baharu edar ganja

    Polis kesan modus operandi baharu edar ganja

    POLISmengesan modus operandi baharu aktiviti pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang mengaut keuntungan melalui hasil penjualan bunga ganja bernilai tinggi di pasaran.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata penemuan itu terbongkar apabila empat lelaki warga tempatan menganggotai sindiket terbabit diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 14 Dis lepas.

    Beliau berkata serbuan pada 10 pagi itu, tiga suspek ditahan di kawasan Brickfields sementara seorang lagi ditahan di Shah Alam masing-masing berumur lingkungan 22 hingga 36 tahun.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket bergiat aktif mengimport benih ganja dari luar negara selain turut menggunakan teknologi canggih bagi tujuan penanaman serta penjagaan pokok ganja itu.

    “Ia dijual dalam bentuk timbangan auns dengan harga RM2,800 bagi setiap satu auns (28 gram) dan ia hanya dijual kepada pelanggan tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Hasil kedua-dua serbuan, polis merampas bunga ganja seberat 4.555 kilogram (kg); daun-daun kering disyaki daun ganja seberat 0.72 kg; tujuh biji benih ganja seberat 0.67 gram selain lapan batang pokok ganja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah itu bernilai kira-kira RM 491,520.

    “Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz serta motosikal jenis KTM bernilai RM95,000,” katanya.

    Ujian saringan mendapati tiga suspek positif dadah THC manakala dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    “Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, dalam kejadian lain, polis menahan dua suspek masing-masing seorang wanita dan lelaki kerana disyaki terlibat sindiket memproses dadah di sebuah premis di Bandar Baru Petaling, di sini, pada Rabu lepas.

    Beliau berkata polis menemui serbuk MDMA seberat 8,932 gram; 558 botol cecair MDMA; ketamin seberat 63 gram; 190 biji pil ecstacy dan 120 biji pil erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM 545,325.

    “Hasil siasatan mendapati sindiket telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat bagi mengaburi kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya sambil menambah mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    — BERNAMA

  • Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    Tipu tanah rugi RM22 juta, polis cari warga emas

    POLIS sedang mencari seorang warga emas bagi membantu siasatan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan kerugian berjumlah RM22 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki  dikenali sebagai Chua Seng Keat, 61, yang alamat terakhirnya di Kota Damansara, Petaling Jaya untuk tampil bagi membantu siasatan.

    Menurutnya ia susulan aduan daripada seorang ahli perniagaan yang mendapati tanah yang didaftarkan di atas nama syarikatnya telah ditukar milik kepada seorang individu tidak dikenali selepas membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian di Wisma Negeri Sembilan pada 15 Okt tahun lepas.

    “Individu tersebut telah membuat tandatangan palsu di dalam dokumen-dokumen berkaitan ke atas pertukaran tanah tersebut tanpa pengetahuan daripada pengadu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM22 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Lelaki tergamak tikam ibu tua dengan keris

    Lelaki tergamak tikam ibu tua dengan keris

    AKIBAT perselisihan faham, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun cedera di rusuk kiri selepas ditikam oleh anak lelakinya dengan sebilah keris yang dijadikan hiasan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Teja 5, Rancangan Perumahan Awam (RPA) di Arau pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

    “Sebaik tiba di lokasi, suspek masih berada di kawasan rumah dan tiada pergelutan berlaku di antara pihak polis dan suspek manakala keris tersebut dijumpai di luar rumah.

    “Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah menikam mangsa menggunakan keris sepanjang 30 sentimeter di luar rumah tersebut,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata suspek, 31, yang juga anak keempat daripada lima beradik, telah menikam ibunya dengan sekali tikaman dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.

    Ahmad berkata pihak HTF telah memaklumkan bahawa keadaan mangsa adalah stabil dan tidak mengalami kecederaan yang serius.

    “Suspek yang kini dalam tahanan akan direman esok pagi bagi siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah

    Buat hantaran jelik di Facebook, ‘Apit Wan Lebo’ dihadap ke mahkamah

    SEORANG pengguna akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Apit Wan Lebo’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi yang jelik berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Mei lepas.

    Roshafeez Abdul Hamid, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Mengikut kertas pertuduhan,  tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil ‘Apit Wan Lebo’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 1.30 tengah hari, 9 Mei 2021 dan pautan itu telah dibaca   keesokannya pada 10.30 pagi di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

    Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang diwakili peguam Sukhdave Singh dan Keshvinder Singh merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung isteri dan lima orang anak dan bekerja sebagai penjual nasi lemak dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes.  — BERNAMA

  • Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    Dua beradik maut dalam perjalanan balik kampung

    DUA beradik maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi tadi. 

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan. 

    Mangsa yang maut ialah Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal, 12, dengan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

    Ibu bapa mereka Mohd Hairy Ahmad dan Zuraini Zolkifli kedua-duanya berusia 44 tahun, cedera manakala anak bongsu pasangan itu Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala. 

    Mohd Hairy, pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dilaporkan cedera tulang belakang manakala Zuraini yang merupakan guru sekolah rendah retak tangan kanan. 

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pertunangan ahli keluarga apabila kenderaan itu terbabas semasa pemandu cuba untuk memotong kenderaan di hadapan berhampiran selekoh.  

    “Keadaan jalan yang licin juga dipercayai menyebabkan pemandu berhadapan kesukaran mengawal kenderaan sebelum kereta itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

    Kamarulzaman berkata mangsa yang cedera dan mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat yang akan dijalankan selepas keputusan saringan COVID-19 diperoleh.  – BERNAMA 

  • Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    Bangunan terbakar, 27 mangsa maut terperangkap

    DUA puluh tujuh orang dikhuatiri maut dalam kebakaran sebuah bangunan di wilayah Osaka Jepun pada Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kebakaran bermula di tingkat empat bangunan yang terletak berdekatan Stesen JR Osaka dan berjaya dipadamkan sekitar pukul 10.45 pagi waktu tempatan, menurut pihak bomba tempatan, yang menerima laporan kebakaran sekitar pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

    Api merebak di kawasan seluas kira-kira 20 meter persegi. – BERNAMA

  • Long Tiger mungkin lari masuk Negeri Sembilan?

    Long Tiger mungkin lari masuk Negeri Sembilan?

    POLIS Negeri Sembilan sedia membantu Kontinjen Johor dalam mengesan lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos daripada tahanan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor Rabu lepas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, meskipun tiada pasukan khas ditubuhkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga selain semua anggota di lapangan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

    “Sebarang kemungkinan boleh berlaku (Long Tiger memasuki sempadan Negeri Sembilan) dan kita sedia membantu polis Johor mengesan suspek. Semua elemen dan petugas telah dimaklumkan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.

    Pada 15 Dis lepas, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.

    Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata, polis Negeri Sembilan merekodkan kutipan bayaran saman berjumlah RM5.46 juta membabitkan 111,116 kes dalam tempoh lapan hari sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis lepas.

    Beliau berkata jumlah transaksi yang dibuat di kaunter cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri melalui bayaran tunai dan e-pembayaran dengan kad kredit atau debit merekodkan sebanyak 2.3 peratus iaitu RM122,600 daripada keseluruhan kutipan bayaran saman setakat semalam.

    “Kebanyakan saman yang dijelaskan orang ramai adalah dari tempoh 1998 hingga kini. Bagaimanapun, jumlah kutipan menerusi aplikasi MyBayar Saman tidak dapat dikeluarkan kerana melibatkan perisian di Bukit Aman,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan orang ramai supaya merebut peluang berkenaan selain tidak menunggu sehingga tarikh akhir 31 Dis untuk membuat pembayaran saman trafik terutama di kaunter trafik di IPD bagi mengelakkan kesulitan.

    Jelasnya, ini kerana kutipan kompaun tunai perlu dibankkan mengikut tatacara pengurusan terimaan bagi penutupan akaun akhir 2021 oleh Jabatan Akauntan Negara dan orang ramai perlu membuat pembayaran tunai pada 30 Dis.

    Namun, pembayaran melalui aplikasi mudah alih termasuk MyBayar Saman, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank dan Pejabat Pos Malaysia boleh dibuat hingga 31 Dis ini, katanya.

    Pada 12 Dis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir 12 Dis, dilanjutkan hingga 31 Dis bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman. – BERNAMA

  • Penubuhan sayap Srikandi Muda fokus perhimpunan Bersatu – Setiausaha Agung

    Penubuhan sayap Srikandi Muda fokus perhimpunan Bersatu – Setiausaha Agung

    PENUBUHAN sayap baharu parti Bersatu, Srikandi Muda yang memberi fokus kepada wanita berusia 35 tahun ke bawah dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang akan menjadi agenda utama perhimpunan agung tahunan parti berkenaan Sabtu ini. 

    Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

    “Apabila diluluskan kita akan lantik (jawatankuasa) penaja bagi Srikandi Muda yang akan mula (berkhidmat) tahun hadapan,” katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur hari ini. 

    Beliau berkata pada masa ini Bersatu mempunyai ahli wanita di bawah 35 tahun dan Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini menunjukkan ramai wanita muda yang menyokong perjuangan Bersatu, oleh itu sayap khusus iaitu Srikandi Muda membolehkan fokus diberikan kepada golongan ini.

    Katanya perhimpunan agung Bersatu kali ini akan mencatat sejarah apabila anggota bukan Melayu terdiri daripada ahli jawatankuasa penaja sayap bersekutu Bersatu akan hadir pada Ahad. 

    Hamzah berkata topik lain yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan kali keempat Bersatu ialah memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia dengan sikap terbuka.

    “Ini supaya wujud landskap baharu dalam negara dengan semua rakyat Malaysia mempunyai kepentingan masing-masing dan tidak ada permusuhan kaum,” katanya. 

    Beliau berkata seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu dan Ahad ini. 

    Hamzah berkata perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 18 Disember.

    Katanya, ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin keesokan harinya. 

    Beliau berkata Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan perwakilan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 di rumah dan di lokasi perhimpunan. 

    — BERNAMA