Author: Bernama

  • Zahid tidak sihat, bicara kes rasuah tangguh 3 Feb 2022

    Zahid tidak sihat, bicara kes rasuah tangguh 3 Feb 2022

    PERBICARAAN kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang ditetapkan hari ini dan esok telah dilapangkan susulan bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan tidak sihat.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu yang dijalankan dalam kamar, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan esok kerana tertuduh tidak sihat.

    “Peguam meminta untuk menangguh perbicaraan sebab tertuduh dikatakan tidak sihat walaupun ada di perkarangan mahkamah, oleh kerana atas sebab kesihatan, hakim membenarkan penangguhan. Hari ini dan esok dilapangkan,” katanya sambil menambah kes itu ditetapkan untuk sambung bicara pada 3 Feb 2022.

    Prosiding hari ini turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

    Setakat ini, lima saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan pada perbicaraan tersebut sementara bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim, 62, masih di peringkat pemeriksaan balas.

    Mahkamah juga telah menetapkan 18 hari untuk sambung bicara kes tersebut iaitu pada 3 Feb, 7 dan 8 Mac, 1 April, 10-13 Mei, 17-20 Mei, 30 dan 31 Mei serta 13-16 Jun.

    Mahkamah juga menetapkan 25-29 Julai untuk hujahan lisan dan bertulis serta 24 Ogos untuk keputusan.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau. – BERNAMA

  • Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    KERAJAAN Pahang hari ini mengumumkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di negeri itu.

    Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas.

    Katanya, bantuan berkenaan meliputi kategori penerima iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS sebaliknya menumpang di rumah saudara mara serta mangsa yang tinggal di rumah sewa dan mangsa yang tidak berpindah ke mana-mana.

    “Selain tanda prihatin, kerajaan negeri membuat sumbangan ini berdasarkan kemampuan dan keupayaan kewangannya. Sumbangan RM500 ini demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung, Insya-Allah,” katanya.

    Banjir di Pahang bermula Jumaat lepas dan situasi semasa banjir pagi ini, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 37,356 mangsa masih ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah terjejas banjir.

    Daerah yang terjejas adalah Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Pekan. – BERNAMA

  • Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    HELAH seorang lelaki yang menukar mangga tabung masjid terbongkar apabila dia ditangkap ketika membuka tabung masjid menggunakan kuncinya sendiri, di Masjid Kubang Bemban, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata suspek, 29, telah beberapa kali mencuri duit dalam tabung masjid tersebut dan modus operandinya adalah dengan cara menukarkan mangga tabung masjid.

    Mohd Nasaruddin berkata, berdasarkan laporan diterima, ahli jawatankuasa (AJK) masjid telah menunggu kedatangan suspek yang sebelum ini dilihat mencuri wang tabung melalui kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari lalu.

    Katanya, dalam kejadian itu, suspek datang ke masjid pada 2.30 petang menggunakan basikal elektrik melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus memasuki masjid dan membuka mangga tabung masjid menggunakan kuncinya.

    “Semasa kejadian petang semalam, seorang pekerja membaiki lantai masjid telah menyedari kejadian itu dan telah menelefon anggota RELA yang juga ahli jawatankuasa masjid tersebut sebelum bersama-sama menahan suspek di ruang solat wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata ketika disoal siasat suspek mengaku telah mencuri duit tabung masjid sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Najib tidak balas SMS berkenaan US$700 juta yang dilencongkan ke syarikat lain – Saksi

    Najib tidak balas SMS berkenaan US$700 juta yang dilencongkan ke syarikat lain – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membalas satu khidmat pesanan ringkas  (SMS) yang memberitahu beliau mengenai US$700 juta yang pada asalnya untuk satu usaha sama antara 1 Malaysia Development Bhd dan Petrosaudi International (PSI), telah dilencongkan ke satu syarikat lain. 

    Bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh, 67, berkata beliau telah menghantar kepada Najib satu SMS menerusi telefon pintar BlackBerry selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 untuk memaklumkan lencongan dana US$700 juta ke Good Star Ltd, syarikat yang didakwa firma gabungan PSI tetapi tidak mendapat balasan daripada bekas perdana menteri itu.  

    “Ini bukannya satu respons normal atau reaksi daripada Datuk Seri Najib. Pada masa lalu, apapun yang saya hantar kepada beliau, akan dibalas,” kata Mohd Bakke dalam pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB  Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Good Star Ltd kemudian didapati merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Mohd Bakke berkata lembaga pengarah naik berang apabila isu lencongan dana itu dibangkitkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009 kerana ia tidak mengikut arahan diberikan oleh lembaga pengarah.  

    “Pada masa itu, kami tidak tahu ia adalah Good Star. Ini bukan arahan diberikan kepada pengurusan 1MDB dan kami (lembaga pengarah) mempertikaikan bagaimana lencongan itu berlaku. 

    Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB  Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) berkata pengurusan telah dinasihatkan oleh peguam luar untuk melakukan ini (lencongan) untuk tujuan komersial,” katanya.

    Saksi ke-13 pendakwaan itu berkata berikutan langkah diambil pengurusan 1MDB itu, beliau mengambil keputusan berundur daripada syarikat pelaburan strategik itu dan meletak jawatan pada 19 Okt 2009.  

    “Apabila saya mendapati pengurusan tidak mematuhi arahan lembaga pengarah, saya mengesyaki sesuatu kerana pengurusan 1MDB melakukan sesuatu yang tidak selari dengan tadbir urus yang baik.

    Terus saya melihat pengurusan dengan kesangsian. Saya tidak gembira, saya marah. Saya beritahu rakan lembaga pengarah bahawa kami semua patut meletak jawatan. Kami (lembaga pengarah) malah memberitahu pengurusan supaya mendapatkan balik US$700 juta itu dan mengambilnya menerusi proses yang sepatutnya,” kata beliau.

    Ditanya Sri Ram, Mohd Bakke mengesahkan beliau ditemu bual oleh Ketua Audit Negara pada Jun 2015 dan beliau menjelaskan kronologi sejak beliau dilantik selaku seorang pengarah dalam Terengganu Investment Authority (TIA yang kemudiannya menjadi 1MDB) dan pelantikan semula beliau sebagai ahli lembaga pengarah 1MDB.  

    “Saya juga memberikan Jabatan Audit Negara salinan set minit mesyuarat saya untuk dua mesyuarat 1MDB yang saya hadir pada 26 Sept dan 3 Okt 2009,” kata beliau.  

    Mohd Bakke juga mengesahkan minit mesyuarat yang diserahkan kepada Jabatan Audit menunjukkan Jho Low hadir semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Sept.

    Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 7 Mac tahun depan.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Ikan paus betina ditemukan terdampar di Pantai Merchang, Marang

    Ikan paus betina ditemukan terdampar di Pantai Merchang, Marang

    SEEKOR ikan paus betina dewasa dianggarkan seberat 400 kilogram yang mengalami kecederaan kecil pada bahagian badan, ditemukan terdampar di hadapan sebuah tempat peranginan di  Pantai Merchang dekat Gong Balai, di sini pagi tadi.

    Ketua Cawangan Mamalia Marin, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Muhammad Amirul Siddiq Abd Rashid berkata mamalia jenis ‘Pygmy Sperm Whale’ berukuran tiga meter itu dijumpai pada pukul 9 pagi oleh orang awam yang berada di tempat peranginan berkenaan.

    “Pasukan FRI Rantau Abang menerima aduan pada 12 tengah hari tadi dan bergegas ke lokasi. FRI Rantau Abang melakukan proses menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Bagaimanapun usaha menyelamat tidak berjaya kerana ikan paus tersebut terlalu lemah. Usaha menyelamat dihentikan selepas mendapati haiwan itu telah mati. Karkas (bangkai) haiwan tersebut telah dibawa balik ke FRI Rantau Abang dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya akan dilakukan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Muhammad Amirul Siddiq menambah ‘Pygmy Sperm Whale’ merupakan antara paus yang terkecil di dunia dengan paus dewasa daripada spesies ini berukuran maksimum 3.5 meter.

    “Ikan paus yang dijumpai hari ini berukuran tiga meter jadi ia adalah paus ‘Pygmy Sperm Whale’ dewasa kerana anak ikan paus spesies ini hanya berukuran 2.1 meter ke bawah,” katanya.

    Sementara itu pemilik tempat peranginan itu, Abd Latif Jamaludin berkata beliau menerima makluman daripada kakitangannya mengenai penemuan haiwan berkenaan pada 10 pagi dan bergegas ke lokasi tersebut untuk memastikan kesahihannya.

    “Ketika saya tiba, ikan paus itu masih hidup kerana matanya berkelip, namun keadaan fizikalnya sangat lemah. Kami menghubungi FRI Rantau Abang dan mereka bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan ikan paus tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abd Latif berkata beliau dan beberapa kakitangan, pengunjung serta orang kampung cuba menolak haiwan itu untuk kembali ke arah laut namun ia terlalu lemah untuk berenang jauh dan kembali terdampar di pantai.

    “Ketika kakitangan Jabatan Perikanan tiba, cubaan untuk menolak haiwan marin itu kembali dilakukan namun masih gagal. Kami seterusnya membantu kakitangan Jabatan Perikanan menggunakan pengusung untuk mengangkat ikan paus itu menaiki kenderaan FRI Rantau Abang,” katanya.

    Beliau berkata penemuan itu adalah kali kedua kerana pada 2017, pernah menemukan bangkai paus di lokasi sama.

    — BERNAMA

  • Moratorium 6 bulan antara 4 inisiatif ringankan beban mangsa banjir – PM

    Moratorium 6 bulan antara 4 inisiatif ringankan beban mangsa banjir – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumuman empat inisiatif yang akan dilaksanakan agensi kerajaan dan sektor perbankan bagi meringankan beban rakyat dan peniaga perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan banjir.

    Ismail Sabri menerusi kenyataan hari ini berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan  pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 dan bagi tujuan itu BSN memperuntukkan RM100 juta untuk ringankan beban mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana itu.

    Perdana menteri berkata, moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan pembiayaan itu dan inisiatif berkenaan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    Menurut Ismail Sabri Tekun Nasional juga mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

    Katanya bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

     Menurut Ismail Sabri, Bank Negara Malaysia (BNM) juga sedang berusaha menambah peruntukan ke atas Kemudahan Bantuan Bencana 2022 atau Disaster Relief Facility (DRF) 2022 daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

    Inisiatif lain kata Perdana Menteri ialah bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

    “Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran,” kata Ismail Sabri.

    Beliau berkata kesemua inisiatif berkenaan adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang diumumkan sebelum ini termasuk bantuan wang ihsan berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah bagi membantu meringkan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

    “Saya amat bersimpati dengan kesengsaraan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini,” kata perdana menteri.

    Beliau berkata mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta-benda. – BERNAMA

  • ”Tuduhan berniat politik, tiada seorangpun ahli Parlimen beri notis isu banjir” – Azhar Harun

    ”Tuduhan berniat politik, tiada seorangpun ahli Parlimen beri notis isu banjir” – Azhar Harun

    YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menafikan beliau menolak usul membahaskan isu banjir pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat Isnin lepas.

    Azhar menjelaskan bahawa bagi hal-hal tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 18 (1) perlu dibuat kepada beliau iaitu sehari awal, sebelum persidangan berlangsung. 

    “Untuk hal banjir ini, Ahli-Ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Dis).

    “Malah, satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Dis 2021. Namun, tidak ada seorang pun yang berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata dalam aturan urusan mesyuarat pada hari itu, pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 merupakan satu-satunya agenda yang disenaraikan.

    Namun, pembentangan pindaan rang undang-undang itu tidak dapat dibuat kerana proses libat urus antara Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan pihak pembangkang belum tamat serta terdapat isu-isu mengenainya perlu diselesaikan. 

    Azhar berkata usul diperlukan bagi membolehkan beliau mengemukakan masalah kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan dijawab oleh menteri serta membolehkan menteri yang berkenaan membuat persiapan bagi menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan. 

    Katanya, usul juga diperlukan untuk sesuatu masalah itu dibahaskan dengan bertatacara dan sempurna bagi menghalang Ahli Parlimen membahaskan perkara yang tidak berkaitan dengan isu dalam usul tersebut.

    “Saya bukannya hendak mengekang hak Ahli-Ahli Parlimen daripada membahaskan isu-isu semasa yang penting dan yang perlu disegerakan, namun Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabatnya menjadi kedai kopi dengan membangkitkan apa sahaja isu secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi Peraturan Mesyuarat.

    “Tidak ada Parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang dipetik daripada udara sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengikut peraturan dan aturan urusan mesyuarat,” katanya.

    Azhar berkata beliau komited kepada pembahasan terbuka mengenai apa juga isu dan masalah yang dihadapi rakyat, malah telah mewujudkan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas semasa serta mengadakan sekretariat buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia bagi membolehkan proses semak dan imbang diperkukuhkan.

    Justeru, beliau menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah berniat politik dan beliau tidak akan terjerumus dalam kancah politik. 

    — BERNAMA

  • “Saya tidak musnahkan salinan asal laporan audit 1MDB – Bekas Ketua Audit Negara

    “Saya tidak musnahkan salinan asal laporan audit 1MDB – Bekas Ketua Audit Negara

    BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak memusnahkan salinan asal Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Ambrin Buang pada 2017 kerana ia mengandungi maklumat dan bukti yang material mengenai syarikat pelaburan strategik itu.

    Madinah, 65, berkata beliau membuat keputusan itu selepas dimaklumkan tentang salinan asal laporan itu dalam satu taklimat bersama Pasukan Khas Audit (PKA) 1MDB pada 16 Mac 2017.

    “Timbalan Pengarah Audit Datuk Nor Salwani Muhammad memaklumkan terdapat dua versi Laporan Pengauditan 1MDB dan telah menyerahkan satu-satunya versi asal laporan yang masih ada dalam simpanan beliau.

    “ (iaitu saya) sama ada ia perlu dimusnahkan atau tidak,” kata Madinah ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata Nor Salwani turut memberitahunya bahawa Laporan Pengauditan 1MDB telah dicetak dua kali pada awal 2016 dan sekali lagi pada 2 Mac tahun sama.

    “Laporan yang dicetak pada awal 2016 merupakan laporan muktamad untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016. 

    “Bagaimanapun, isi kandungan laporan ini telah diubah dengan menggugurkan beberapa perenggan di dalamnya melalui mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Feb 2016. Nor Salwani juga memberitahu saya tarikh awal pembentangan kepada PAC telah diubah kepada 4 Mac 2016,” katanya.

    Madinah berkata beliau turut dimaklumkan tentang dua perenggan yang digugurkan daripada salinan asal laporan pengauditan itu adalah perbezaan maklumat dalam penyata kewangan 1MDB dan minit mesyuarat mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) pada Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009.

    “Pada ketika itu, Laporan Pengauditan 1MDB telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan oleh sebab itu, saya tidak dapat mendedahkan kewujudan dua versi itu kepada mana-mana pihak.

    “Bagaimanapun, pada 15 Mei 2018 saya telah mengklasifikasikan semula laporan tersebut sebagai dokumen terbuka berikutan kenyataan media Perdana Menteri yang mengarahkan ia diklasifikasikan sebagai dokumen terbuka,” katanya.

    Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri ketika itu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

    Madinah berkata Nor Salwani turut memaklumkan PKA telah dijemput oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk membuat pembentangan pada 31 Mei 2018.

    “Saya kemudian mengarahkan satu salinan asal Laporan Pengauditan 1MDB diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2018.

    “Selepas pendedahan saya mengenai wujudnya dua versi Laporan Pengauditan 1MDB pada 30 Ogos 2018, saya telah diarahkan Jabatan Perdana Menteri untuk membentangkan perkara sama dalam mesyuarat kabinet pada 23 Nov 2018,” katanya.

    Menurut saksi itu, sejurus mesyuarat tersebut, kabinet telah mengarahkan beliau mengeluarkan kenyataan media selaku Ketua Audit Negara mengenai beberapa perenggan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB telah diarahkan untuk digugurkan dan dipinda.

    “Kenyataan media itu telah pun dikeluarkan pada 24 Nov 2018,” kata Madinah.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara ganti Mazlan Lazim

    Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara ganti Mazlan Lazim

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Dis ini.

    Razarudin, 58, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada 25 Dis.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin di sini hari ini.

    “Razarudin mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam melumpuhkan serta memerangi kegiatan jenayah di seluruh negara.

    “Saya percaya gandingan baharu beliau bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan memantapkan lagi gerak kerja Polis Diraja Malysia dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Hamzah.

    Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor, telah berkhidmat selama 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 27 Dis 1982.

    Sebelum pelantikan terkini, beliau pernah memegang jawatan penting dalam PDRM antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak dan seterusnya Timbalan Ketua Polis Perak dan sebelum diamanahkan mengetuai kontinjen itu.

    — BERNAMA

  • Banjir besar kini ragut 27 nyawa

    Banjir besar kini ragut 27 nyawa

    BANJIR besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

    Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

    Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.

    Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga awal pagi ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.

    “Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada pukul 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang, lima mayat ditemui semalam antara pukul 12 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Norazam berkata mayat seorang wanita lagi ditemui pada pukul 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

    Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.

    Korban banjir di Pahang pula melibatkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

    Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan – satu mayat ditemui, dua masih hilang – dan di Telemong yang melibatkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang ini empat mayat ditemui manakala seorang masih hilang.

    Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang. – BERNAMA