Author: Bernama

  • Segera baiki sekolah terjejas di Sri Muda – Radzi

    Segera baiki sekolah terjejas di Sri Muda – Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin meminta supaya kerja baik pulih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda serta lapan lagi buah sekolah di kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir segera dilakukan.

    Beliau melalui hantaran Facebook rasminya memaklumkan rentetan tinjauan yang dilakukan oleh beliau petang semalam ke sekolah tersebut, selain bilik darjah, bengkel, makmal sains dan makmal komputer antara bilik khas lain yang rosak teruk adalah selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lepas.

    “Seramai 34 orang guru sekolah ini juga turut terkesan akibat banjir,” katanya melalui hantaran itu.

    Turut serta dalam tinjauan tersebut Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan (KPM) Noor Azman Abdul Rahman.

    Radzi berkata KPM komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar baru-baru ini diberi perhatian segera untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa kepada anak-anak generasi pewaris negara. – BERNAMA

  • Banjir: Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguh

    Banjir: Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguh

    PERHIMPUNAN Agung UMNO 2021 pada 13 hingga 15 Jan tahun depan ditangguhkan, disebabkan bencana banjir yang berlaku di negara ini.

    Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu dipersetujui Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Jawatankuasa Pengurusan UMNO serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi.

    Beliau berkata Perhimpunan Agung UMNO 2021 itu akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

    “UMNO bersama berdukacita terhadap rakyat yang terkesan kerana bencana banjir dan berharap jentera UMNO dan Barisan Nasional serta kerajaan pusat dan negeri terus membantu mereka,” katanya dalam kenyataan di laman twitternya.

    Beliau berkata terdapat Bahagian seperti Kota Raja dan Klang di Selangor, masih tidak mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian kerana dilanda musibah banjir.

    Menurutnya Perhimpunan Agung UMNO kebiasaannya melibatkan hampir 6,000 pemimpin akar umbi Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri daripada 191 UMNO Bahagian dan ribuan lagi pemerhati dari seluruh negara. – BERNAMA

  • Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    Majoriti kerajaan cuma 1 kerusi, Johor mungkin ada PRN?

    KERAJAAN Johor akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil.

    “Saya sedang memantau keadaan apabila berlakunya keadaan sedemikian dengan kematian Datuk Osman Sapian (yang merupakan) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, menjadikan (kerajaan negeri) Johor tinggal satu majoriti (kerusi) sahaja.

    “Maka itu, perlu saya memahami reaksi khususnya kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kami telah bersetuju pada 6 Jan ini, kami akan mengadakan sidang khas untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan dengan pengundi berusia 18 tahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura mengenai pertemuan beliau dan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

    Hasni yang juga ADUN Benut, bagaimanapun mengakui kemungkinan untuk mengadakan PRN itu sedikit berbeza memandangkan situasi politik di Johor yang sedikit unik berbanding negeri lain.

    “Jadi kemungkinan untuk mengadakan PRN saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana yang berlaku di Sarawak dan Melaka.

    “Hal ini kerana Johor adalah negeri yang unik dan selama tempoh hampir dua tahun ini, kami telah pun menguruskan perjalanan dewan dan telah dapat gubal beberapa dasar dan atas dasar itu, sekiranya PRN ingin diadakan kami perlu melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang berada di lapangan,” kata beliau, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

    Susulan kematian Osman pada 21 Dis lepas, kerajaan negeri yang kini dipimpin Barisan Nasional mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.

    Terdahulu, Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat telah memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan susulan kekosongan kerusi DUN Kempas memandangkan kekosongan berlaku lebih tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA

  • Menteri pulang dari bercuti luar negara kena kuarantin

    Menteri pulang dari bercuti luar negara kena kuarantin

    SEMUA menteri yang sedang bercuti di luar negara dan diarahkan pulang segera masih tertakluk kepada perintah kuarantin seperti ditetapkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    “Buat masa ini, mereka mesti menjalani kuarantin. Walaupun dipanggil pulang, sangat penting untuk berwaspada dan berhati-hati dalam hal ini dan perkara (kuarantin) ini masih lagi terpakai,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita sama ada menteri yang diarahkan pulang tertakluk kepada kuarantin atau mereka akan diberikan pengecualian tertentu memandangkan negara berdepan masalah banjir.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang berkata, menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

    Susulan pengumuman berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan turut memaklumkan, cuti semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan serta agensi kerajaan dibatalkan serta-merta.

    Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus melanggar perintah kuarantin dan dilihat melawat mangsa banjir di kawasan Parlimennya, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat perkara berkenaan.

    “Beliau memohon pengecualian kuarantin untuk perjalanan antara 8 Dis hingga 12 Dis. Beliau menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki bersama tiga wakil rakyat lain.

    “Pengecualian itu telah diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kami ada untuk perjalanan rasmi,” katanya.

    Menurut Khairy, apabila Hasanuddin tiba di Malaysia pada 22 Dis, pengecualian awal ditolak kerana diminta melakukan kuarantin di rumah, manakala Pusat Tindak Balas dan Kesiapsiagaan Krisis (CPRC) KKM juga menghantar e-mel kepada Hasanuddin pada 20 Dis memaklumkan perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) adalah diluluskan.

    “Kami kini menyiasat kes itu dan melihat ke mana beliau pergi, dari Turki ke Iran dan Pakistan dan di mana lagi dan mengapa apabila menerima e-mel mengenai HSO pada 20 Dis, beliau melanggar (perintah) kuarantinnya,” katanya.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, hanya denda RM1,000 akan dikenakan kepadanya sekiranya Hasanuddin didapati melanggar tempoh kuarantin.

    Ditanya mengenai langkah pengawalan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, Khairy berkata KKM telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kami faham situasi di PPS menyukarkan mangsa banjir untuk patuh SOP. Tetapi kami tempatkan pegawai kesihatan di PPS untuk pantau dan nasihatkan untuk terus patuh SOP. Mereka (mangsa) diwajibkan pakai pelitup muka,” katanya.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat 405 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

    Susulan itu, Khairy berkata, pihaknya menjalankan langkah pencegahan secara bersasar dengan mengasingkan individu yang positif COVID-19 serta-merta selepas mendapat keputusan ujian saringan.

    Selain itu, beliau berkata, KKM juga mewujudkan pelbagai fasiliti kesihatan di kawasan terjejas banjir khususnya di PPS antaranya kit medik, klinik bergerak dan klinik medan yang ia bukan sahaja dikhususkan untuk mengelak penularan COVID-19 malah sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit bawaan air banjir.

    “KKM menyediakan bekalan ubat mencukupi. Jadi, mana-mana individu (mangsa banjir) yang berasa tidak sihat perlu segera mendapatkan rawatan,” katanya. – BERNAMA

  • Banjir: 46 mangsa terkorban, 5 lelaki masih hilang

    Banjir: 46 mangsa terkorban, 5 lelaki masih hilang

    SEBANYAK 46 mangsa korban banjir dicatatkan setakat 4 pagi tadi, dengan lima lelaki di Pahang dilaporkan masih lagi hilang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, 25 kematian dicatatkan di Selangor membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita, manakala di Pahang sejumlah 18 kematian membabitkan 12 lelaki, empat perempuan dan dua kanak-kanak lelaki dilaporkan.

    Katanya, di Kelantan pula dua mayat lelaki dan satu mayat kanak-kanak perempuan telah ditemukan.

    “Masih terdapat 334 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh negeri iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor membabitkan 54,532 mangsa banjir,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di Shah Alam hari ini.

    Daripada jumlah itu, Pahang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 29,108 mangsa, diikuti Selangor 23,302 mangsa.

    Menurut Acryl Sani, 68 lokasi jalan terjejas banjir ditutup antaranya di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sebanyak 15 kes dilaporkan membabitkan 10 laporan pecah rumah dan premis perniagaan serta lima kes kecurian kenderaan di seluruh negara dari 17 hingga 24 Dis,” katanya.

    Acryl Sani berkata, seramai 377 anggota dikerah di seluruh negara bagi memastikan kes jenayah seperti pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan banjir tidak berulang.

    Sementara itu, polis menasihati pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir untuk membuat sendiri laporan dan bukannya diwakili oleh pihak ketiga selain mengambil gambar dan maklumat lengkap keadaan kenderaan serta maklumat syarikat yang menunda.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, untuk memudahkan proses laporan, beliau menasihatkan pemilik kereta untuk mengenal pasti kedudukan terkini kenderaan dan kedudukannya sebelum dibawa oleh air banjir.

    “Sekiranya kenderaan itu hilang atau dipecah, senaraikan juga apa barang berharga yang hilang dalam kenderaan,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam hari ini.

    Selain itu, katanya pemilik kenderaan perlu mendapatkan maklumat berkenaan pihak yang menunda kenderaan mereka sama ada dari pihak berkuasa tempatan atau syarikat tunda serta lokasi di mana kenderaan itu akan dibawa.

    Abd Jalil juga mengingatkan kepada pemillik kenderaan untuk mengambil gambar kenderaan sebelum ditunda dan gambar trak tunda yang digunakan untuk rujukan syarikat insurans. – BERNAMA

  • Mesti pakai peranti pengesanan digital selepas balik umrah

    Mesti pakai peranti pengesanan digital selepas balik umrah

    INDIVIDU yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah akan diwajibkan memakai peranti pengesanan digital mulai minggu depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini, Khairy berkata, pelaksanaan pemakaian peranti pengesanan digital itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Dis merupakan kes import dari Arab Saudi.

    “Kesemua mereka tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lepas. Kami dapati sebahagian besar daripada mereka tidak patuh arahan pengasingan dengan ahli keluarga, mereka berjumpa sesama mereka (ahli keluarga) malah menerima tetamu.

    “Mungkin tetamu atau ahli keluarga datang berziarah untuk bersalam ambil berkat tetapi salam ambil ‘Omicron’,” katanya.

    Khairy berkata kegagalan mematuhi arahan kuarantin berpotensi mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan varian Omicron dalam negara ini.

    “Saya harap perkara ini (arahan kuarantin) dipatuhi. Ini adalah serius. Kami bagi kemudahan untuk jalani kuarantin di rumah untuk jimatkan kos, tidak perlu tinggal di hotel. Jadi kena patuh,” katanya.

    Beliau berkata, sehingga kini terdapat 62 kes varian Omicron direkodkan di negara ini yang terdiri daripada 61 kes import dan satu kes dipercayai kes tempatan.

    Susulan situasi tersebut, Khairy berkata, Malaysia akan memasukkan Arab Saudi ke dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

    Memperincikan mengenai perkara itu, Khairy berkata, kerajaan amat menggalakkan mana-mana individu yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19. – BERNAMA

  • Tercicir beg berisi dadah semasa lari dari polis

    Tercicir beg berisi dadah semasa lari dari polis

    POLIS Kelantan sedang mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun ekoran penemuan satu beg silang mengandungi dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM33,260 di Kampung Perah Slow Machang, di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata beg silang itu ditemui ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menjalankan Op Narkotik di kampung terbabit pada 6.45 petang.

    Beliau berkata, ketika operasi itu anggota ternampak sebuah kereta Proton Wira diletakkan di tepi hutan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di kampung itu yang dilihat mencurigakan.

    “Anggota yang menghampiri kereta itu mendapati keadaan kereta itu terkunci tetapi pada masa sama terdengar bunyi pergerakan di dalam kawasan hutan berhadapan rumah tersebut, anggaran jarak 20 meter.

    “Pihaknya terus berlari masuk ke kawasan hutan tersebut tetapi mendapati tiada kelibat orang dan ketika pemeriksaan dilakukan di kawasan sekitar kawasan telah menjumpai satu beg silang mengandungi pelbagai jenis dadah dan barang peribadi milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Nasaruddin berkata pemeriksaan lanjut menemukan 87.5 gram heroin, 324 biji pil kuda dan 1.0 gram syabu di dalam beg silang itu selain sekeping kad pengenalan, dua kad bank, wang tunai, dua unit telefon bimbit dan anak kunci bertulis Proton.

    “Berdasarkan semakan ke atas kad pengenalan yang ditemukan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan kali terakhir ditahan adalah pada 16 Mei 2019 atas kesalahan sama.

    “Polis juga telah membuat serbuan susulan ke alamat rumah suspek namun didapati tiada penghuni namun tindakan susulan akan diteruskan untuk mengesan suspek,” katanya yang menambah maklumat bahawa kes akan di siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – BERNAMA

  • KKM siasat pengesanan kes Omicron di Indonesia

    KKM siasat pengesanan kes Omicron di Indonesia

    SIASATAN lanjut berkenaan pengesanan satu kes varian Omicron di Indonesia melibatkan individu yang baru pulang dari Malaysia sedang dijalankan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia, Kementerian Kesihatan Indonesia dan Jabatan Imigresen bagi pengesanan kontak rapat kepada kes tersebut.

    Kementerian Kesihatan Indonesia dalam satu kenyataan pada 23 Dis memaklumkan ia mengesahkan tiga kes COVID-19 melibatkan varian Omicron di negara itu dan satu daripada kes merupakan pekerja asing rakyat negeri itu yang bekerja di Malaysia.

    Menurut Khairy, lelaki warganegara Indonesia berumur 20 tahun itu pulang ke negara berkenaan pada 10 Dis lepas dengan ujian COVID-19 adalah negatif semasa ketibaan.

    “Hasil ujian COVID-19 pada 16 Dis di Indonesia semasa dalam tempoh kuarantin disahkan positif COVID-19 dengan varian Omicron pada 21 Dis,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

    Kata Khairy, hasil siasatan di Malaysia mendapati individu berkenaan merupakan pendatang tanpa izin di Depoh Tahanan Semenyih yang ditahan pada 22 Sept bersama tiga lagi rakannya.

    “Keempat-empat mereka melakukan saringan kemasukan ke depoh pada 23 Sept dan kesemuanya negatif, dan dua rakannya dibebaskan pada 24 Sept kerana mempunyai dokumen lengkap.

    “Hanya kes dan seorang lagi rakan kes disabitkan kesalahan dan dihantar pulang pada 10 Dis setelah selesai perbicaraan,” jelasnya.

    Khairy berkata sehingga kini, rakan kes yang pulang bersama dimaklumkan adalah negatif COVID-19 pada saringan COVID-19 kedua. – BERNAMA

  • 49 kes baharu jangkitan varian Omicron dikesan

    49 kes baharu jangkitan varian Omicron dikesan

    SEBANYAK 49 kes baharu jangkitan COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, menjadikan kumulatif kes varian berkenaan kini 62 kes.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, ia termasuk satu kes COVID-19 varian Omicron yang berkemungkinan jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak, semalam (24 Dis).

    Beliau menjelaskan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 15 hingga 21 Dis sebelum 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron.

    “Pada 24 Dis, 45 daripada 60 sampel presumptive ini disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) pula mengesan empat kes varian Omicron.

    Mengulas mengenai kes kemungkinan jangkitan tempatan, Khairy berkata, ia membabitkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

    Katanya, lelaki tersebut menjalani ujian COVID-19 pada 18 Dis kerana mengalami demam dan batuk selama enam hari sebelum keputusan sampel didapati positif COVID-19 dan kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Dis.

    Beliau berkata, sampel kes dihantar ke IHCM, UNIMAS untuk ujian jujukan genom dan disahkan positif untuk varian Omicron pada 23 Dis.

    “Kes tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun ini. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan telah lengkap vaksinasi dan berada dalam keadaan stabil.

    Khairy berkata, dua kontak dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial dengan kedua-dua mereka diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif COVID-19.

    Khairy berkata, berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan kes COVID-19 varian Omicron di Malaysia, KKM bersama lain-lain agensi telah mengambil tindakan memperkukuh kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan berisiko tinggi.

    Katanya mulai 22 Dis, kerajaan Sarawak juga mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, serta wajib memiliki keputusan RTPCR yang negatif sebelum diberi pelepasan kuarantin.

    Sementara itu, dalam kemeriahan sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Khairy mengingatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri menggunakan RTK Ag sebelum menziarahi sanak saudara, jiran tetangga mahupun rakan taulan. – BERNAMA

  • Pesawat MiG-21 tentera udara terhempas ketika latihan

    Pesawat MiG-21 tentera udara terhempas ketika latihan

    SEBUAH pesawat MiG-21 milik Tentera Udara India (IAF) terhempas di negeri Rajasthan, India, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik media tempatan.

    Pesawat itu terhempas pada Jumaat ketika menjalani latihan dan setakat ini nasib juruterbangnya belum dapat dipastikan.

    “Petang ini, kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan), sebuah pesawat MiG-21 IAF kemalangan ketika menjalani latihan. Masih menunggu butiran lanjut,” menurut kenyataan IAF.

    Laporan media tempatan , memetik polis, pesawat itu terhempas di kawasan Taman Negara Gurun di daerah Jaisalme, Rajasthan.

    Menurut IAF, siasatan sedang dijalankan dan lokasi sebenar nahas juga belum didedahkan.

    Pada 8 Dis , sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan Coonoor di daerah Nilgiris, Chennai, mengorbankan Ketua Turus Tentera India, Jeneral Bipin Rawat. – BERNAMA