Author: Bernama

  • Anggota polis masih bertugas ketika rumah sendiri dinaiki air

    Anggota polis masih bertugas ketika rumah sendiri dinaiki air

    MUHSEN  Bujang, 34, sedang menjalankan tugasnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Gemilang pada 18 Dis ketika menerima panggilan dari isterinya bahawa kediaman mereka di Kampung Cemperai dinaiki air.

    Anggota dari Balai Polis Dengkil itu tiba di rumah kira-kira setengah jam selepas itu dan mendapati air telah naik sehingga paras lutut dan hanya mampu menyelamatkan dokumen penting dan keluarganya, memandangkan air naik terlalu cepat.

    “Saya gunakan bot untuk ke rumah ketika itu, dan sebelum itu isteri sempat mengalihkan kereta manakala motosikal saya terperangkap di kawasan rumah,” kata bapa tiga anak itu kepada pemberita selepas menerima sumbangan mangsa banjir daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

    Muhsen merupakan salah seorang daripada 39 warga IPD Sepang yang terjejas akibat banjir pada 19 Dis lepas dan rata-rata mereka dari kawasan Dengkil, Kampung Labu Lanjut, dan Kampung Cemperai.

    Kata Muhsen, hampir 90% barangan dalam rumah rosak dan tidak dapat diselamatkan memandangkan air naik setinggi lapan kaki (2.4 meter). Ketika ini air telah surut dan beliau masih bercuti untuk mengemas rumahnya.

    Terdahulu, Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, menyampaikan sumbangan barangan berupa tilam dan bantal, makanan, dapur gas, peralatan mencuci rumah beserta wang tunai hasil kutipan dari warga IPD Sepang kepada semua 39 mangsa.

    “Kita dapat kumpul wang sebanyak RM12,500 manakala sumbangan barangan adalah daripada syarikat korporat, orang persendirian dan badan bukan kerajaan,” katanya.

    Wan Kamarul Azran yang turut bersimpati dengan anggota yang terkesan banjir berkata atas budi bicara dan dasar prihatin, mereka diberi cuti pelepasan mengikut keperluan bagi kerja pembersihan di rumah masing-masing.

    “Apabila banjir bermula Jumaat (17 Dis), kita sendiri perlu bantu masyarakat yang terjejas dan selepas seminggu, kami mula fokus pada anggota sendiri yang juga mangsa banjir,” katanya.

    Sepang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir dan sehingga kini dua mangsa masing-masing ditemukan lemas di Flat Taman Permata, Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi. – BERNAMA

  • Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan pagi ini manakala di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan tidak berubah sejak malam tadi.

    Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa di kelima-lima negeri ialah 20,026 orang daripada 6,136 keluarga di 130 PPS  berbanding 21,544 orang  daripada 6,563 keluarga malam tadi.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,751 orang di 39 PPS pagi ini berbanding 8,644 orang di 45 pusat PPS malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada tahap waspada dengan paras 3.66 meter pada 7.15 pagi tadi dan dalam trend menurun.

    Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan terdapat enam laluan masih dinaiki air, rosak dan ditutup untuk kenderaan melibatkan seliaan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

    Setakat 4 pagi tadi, jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang), Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra yang ditutup susulan berlubang akibat banjir (IPD Sungai Buloh).

    Turut ditutup, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang susulan rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT, Mutiara Damansara (IPD Petaling Jaya) manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan 12,692 orang kekal berada di 90 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, sejak malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Kundang di Maran mencatatkan paras 21.17 meter pagi ini iaitu melebihi tahap amaran pada paras 21 meter.

    Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung di Kuantan dan Pekan pada pagi ini manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 152 orang daripada 46 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok, di Pasir Mas, setakat 7 pagi tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

    Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula, pada 8 pagi tadi kekal seramai 26 orang daripada lapan keluarga sejak malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS SK Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

    Jumlah mangsa banjir turut tidak berubah di NEGERI SEMBILAN apabila Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor memaklumkan 58 orang daripada 19 keluarga masih berada di dua PPS di Jelebu sejak malam tadi hingga pagi ini. – BERNAMA

  • 2021 – Parlimen terus utuh di sebalik gelora politik,cabaran kesihatan

    2021 – Parlimen terus utuh di sebalik gelora politik,cabaran kesihatan

    BERDEPAN cabaran kesihatan dan politik, Parlimen sebagai institusi perundangan tertinggi negara, terus berdiri utuh menggubal undang-undang dan menjadi forum membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

    Melabuhkan tirainya pada  20 Dis lepas, sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang bersidang selama 32 hari antaranya meluluskan Bajet 2022 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

    Sejarah turut tercipta pada 14 Dis apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia mendapat sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

    Mesyuarat kedua yang bermula pada 25 Okt itu berlangsung dalam semangat politik baharu dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos dan Pakatan Harapan (PH).

    Detik bersejarah MoU itu disempurnakan Ismail Sabri dan ketua-ketua parti dalam PH, kira-kira 5 petang pada 13 Sept di bangunan Parlimen bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

    Sementara itu, mesyuarat Dewan Rakyat yang kebiasaannya berlangsung tiga kali bagi setiap penggal hanya berlangsung dua kali pada 2021 susulan wabak COVID-19 yang masih mencengkam negara sehingga kini, sejak ia mula dilaporkan di Malaysia pada awal 2020.

    Mesyuarat pertama bagi penggal ini berlangsung selama 17 hari bermula 13 Sept hingga 12 Okt,  dengan fokus utama adalah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 oleh kerajaan melibatkan peruntukan RM400 bilion.

    Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Jan lepas memberi perkenan pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

    Kira-kira sebulan kemudian Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Susulan itu, pemimpin-pemimpin politik dari blok pembangkang dan kerajaan mula menyuarakan pandangan supaya Parlimen mengadakan persidangan khususnya bagi membincangkan kes penularan COVID-19 sebelum Seri Paduka berkenan menerima menghadap pemimpin politik pada 9 Jun.

    Pada 16 Jun, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan perkara itu turut disokong Raja-Raja Melayu.

    Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

    Mesyuarat khas pada hari keempat yang sepatutnya membincangkan isu sosial ekonomi rakyat bertukar topik selepas tumpuan beralih kepada isu darurat susulan kenyataan Istana Negara yang menyebut Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum diperkenan Baginda.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian menyerahkan usul bahawa Dewan Rakyat hilang kepercayaan kepada Muhyiddin dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menteri dengan segera.

    Mesyuarat pada hari itu ditangguh lima kali bermula 12.30 tengah hari, sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada 5.15 petang mengumumkan penangguhan mesyuarat pada 10 pagi Isnin, 2 Ogos.

    Bagaimanapun, mesyuarat pada Isnin itu tidak berlangsung selepas notis dikeluarkan Dewan Rakyat menyatakan penangguhan persidangan ke suatu tarikh susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen.

    Rentetan itu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka bagi melahirkan rasa tidak puas hati dengan penangguhan itu.

    Pada 3 Ogos, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan surat akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Akhirnya, Muhyiddin pada 16 Ogos mengumumkan meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

    Amirudin berkata, kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

    Beliau juga memaklumkan, tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

    “Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Selangor, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini telah memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.

    “Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

    Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. – BERNAMA

  • Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    MENCURI dalam keadaan yang sangat terdesak semasa menghadapi musibah banjir tetap tidak dibolehkan dan berdosa kecuali apabila sudah dihalalkan pemiliknya, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Katanya, walaupun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan darurat demi kelangsungan hidup, atau dilakukan dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam kesusahan, perbuatan itu tetap salah di sisi agama dan undang-undang negara.

    Beliau berkata demikian bagi merujuk kejadian mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini dikatakan mencuri barang dari pasar raya demi kelangsungan hidup, dan ada juga yang mengambil makanan dari pasar raya untuk diberikan kepada mangsa banjir yang lain.

    “Walaupun berniat baik, caranya tidak betul. Matlamat tidak menghalalkan cara, meskipun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Syarikat Korporat di Alor Setar, hari ini.

    Sebanyak 16 syarikat menjelaskan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM8,112,895.82 dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Zakaria Othman. – BERNAMA

  • Bank Muamalat nafi tolak cek gereja sebab ‘tak halal’

    Bank Muamalat nafi tolak cek gereja sebab ‘tak halal’

    BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) tidak pernah mengkategorikan cek sebagai halal atau sebaliknya.

    Sebagai sebuah institusi perbankan, pihak bank menerima semua cek yang sah yang tertera butiran yang lengkap serta tepat.

    Pihak bank juga ingin menegaskan bahawa laporan insiden cek yang didakwa dikembalikan oleh cawangan Bank Muamalat Seremban atas alasan tidak halal adalah tidak tepat.

    Bank Muamalat telah menghubungi pelanggan kerana ada kesilapan teknikal di mana nama persatuan yang tertera pada cek berkenaan berbeza dengan nama yang didaftarkan.

    Berikutan itu, pelanggan diminta untuk membuat pembetulan.

    Sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pihak bank hanya bertujuan memenuhi prosedur pematuhan perbankan sedia ada, serta bagi tujuan kepentingan para pelanggan bank.

    Dalam pada itu, dalam satu sidang media bersama pihak Bank Muamalat dan ADUN Lobak, Chew Seh Yong serta pelanggan terbabit, yang diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada pagi tadi, kesemua pihak telah mencapai kata sepakat bahawa tiada elemen halal atau sebaliknya berhubung pendepositan cek berkenaan, kecuali isu teknikal dan salah faham terpencil.

    Pihak terbabit juga bersetuju bahawa salah faham yang berlaku tiada kaitan dengan isu halal atau sebaliknya dan bersepakat bahawa kenyataan itu tidak tepat.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat sentiasa bersedia untuk memberi layanan sebaiknya kepada semua pihak yang berurusan dengan pihak bank, tanpa mengira agama dan bangsa.

    “Bank Muamalat komited untuk menyampaikan khidmat pelanggan yang bermutu dan telus untuk memastikan kepuasan semua pelanggan kami. Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, operasi Bank Muamalat tertakluk kepada pematuhan prinsip Syariah, namun perkhidmatan perbankan kami diberi kepada semua pihak yang layak, tanpa mengira fahaman agama mahupun bangsa,” ujar Khairul.

    Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Muamalat sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500. – BERNAMA

  • 7 ADUN tak hadir sidang DUN Melaka sebab COVID-19

    7 ADUN tak hadir sidang DUN Melaka sebab COVID-19

    TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka tidak hadir ke Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 hari ini disebabkan COVID-19.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, ujian saringan Jumaat lepas mendapati empat ADUN disahkan positif COVID-19, dan tiga lagi yang tidak hadir hari ini merupakan kontak rapat kepada pesakit.

    “Kali ini kita bermesyuarat dalam keadaan yang berbeza, tidak mengikut peraturan-peraturan seperti mana notis yang telah pun kita berikan tempoh hari, disebabkan pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Melaka hari ini.

    Tujuh ADUN yang tidak hadir ialah Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek), Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

    Dalam perkembangan berkaitan, Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini, dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15.

    Usul melantik Ibrahim dikemukakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

    Usul pelantikan Ibrahim diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala lima ADUN berkecuali dan lapan ADUN tidak hadir pada sesi sidang DUN berkenaan.

    Sementara itu ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

    Seramai 20 ADUN mengangkat sumpah pada persidangan sidang DUN hari ini, dengan tujuh yang tidak hadir ialah ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

    ADUN Bandar Hilir Leng Chau Yen pula tiba lambat dan terlepas sesi mengangkat sumpah berkenaan. – BERNAMA

  • Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    Banjir: 48 maut, 5 hilang, lebih 25,000 mangsa di PPS

    SERAMAI 48 orang menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara setakat ini, manakala lima masih hilang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20, dan Kelantan tiga mangsa.

    “Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita manakala di Pahang melibatkan 14 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu mangsa di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

    Sementara itu, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan 25,307 mangsa daripada 7,662 keluarga dilapor masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri tengah hari ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 169 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

    Pagi tadi jumlah mangsa banjir adalah 28,005 orang daripada 8,598 keluarga masih berada di 183 PPS di lima negeri berkenaan.

    Di SELANGOR, aplikasi itu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 8,821 mangsa daripada 2,543 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari ini daripada 11,864 mangsa di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

    Bagaimanapun, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini berada pada paras bahaya apabila mencatat ketinggian 2.36 meter setakat 11.30 pagi dengan trend menaik.

    Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Twitter rasminya memaklumkan sebarang bantuan dan kecemasan segera akibat banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu boleh menghubungi 03-55105811 yang dibuka 24 jam.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir adalah 311 orang daripada 104 keluarga setakat 12 tengah hari ini, berbanding 378 orang daripada 127 keluarga pagi tadi, melibatkan dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan ketara tengah hari ini, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan 16,303 orang masih berada di 114 PPS di enam daerah.

    Pagi tadi, seramai 16,579 mangsa dari Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan dilaporkan berada di PPS.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pula melaporkan sembilan jalan di Pahang ditutup di beberapa lokasi antaranya Jalan Kuala Lumpur-Maran di Maran, Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh), Jalan Sungai Lembing (Kuantan) dan Jalan Kuantan-Segamat (Pekan).

    Di NEGERI SEMBILAN, berdasarkan data disiarkan di aplikasi Info Bencana JKM jumlah mangsa banjir menurun kepada 83 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 128 individu daripada 37 keluarga dilaporkan pagi tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari ini.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. – BERNAMA

  • Hero Bollywood Salman Khan dipatuk ular tiga kali

    Hero Bollywood Salman Khan dipatuk ular tiga kali

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    BINTANG filem India yang terkenal dengan reputasi hidup dalam bahaya, Salman Khan, dipatuk ular dan terpaksa dirawat di hospital.

    Kejadian berlaku ketika pelakon itu cuba mengeluarkan ular itu daripada rumah ladangnya di kawasan Panvel berhampiran Navi Mumbai.

    “Seekor ular memasuki rumah ladang saya dan ketika membawanya keluar menggunakan kayu, ia menjalar ke tangan saya. Dan ketika cuba menangkapnya, ia mematuk saya tiga kali,” katanya kepada pemberita selepas keluar dari hospital.

    Pelakon berusia 56 tahun itu berkata beliau diberi rawatan antivenom ular dan berada di hospital selama enam jam.

    Salman membintangi banyak filem blokbuster sepanjang tiga dekad kerjaya hiburannya. – BERNAMA

  • Putera Turki zahir hasrat bantu mangsa banjir Malaysia

    Putera Turki zahir hasrat bantu mangsa banjir Malaysia

    MENTERI Kabinet Arab Saudi Putera Turki bin Mohammad bin Fahd bin Abdulaziz menzahirkan hasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat banjir.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi kenyataan hari ini.

    “Pagi tadi saya telah dihubungi oleh Putera Turki bin Mohammed bin Fahd bin Abdulaziz, Putera Raja Arab Saudi, yang telah menyatakan hasrat untuk membantu usaha kami bagi menyediakan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman,” katanya.

    Beliau juga berkata Kementerian Pertahanan, melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kini memberi tumpuan kepada usaha bantuan pasca banjir dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana itu.

    Katanya setakat semalam, seramai 998 anggota dan pegawai ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja Malaysia diatur gerak bersama dengan 96 aset pelbagai jenis termasuk trak, bot tempur, enjin sangkut (OBM) serta helikopter EC725 ke negeri yang terjejas seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

    Hishammuddin berkata ATM juga berjaya memindahkan sejumlah 32,661 mangsa ke pusat pemindahan sementara setakat semalam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta semua agensi berkaitan menerusi Ops Murni.

    “Perancangan ATM yang seterusnya di kawasan berkenaan ialah meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak COVID-19.

    “Ini selari dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam bahawa ATM akan menambah jumlah anggota sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 500 orang khusus untuk membantu kerja-kerja pembersihan,” katanya.

    Beliau berkata satu batalion ATM diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas apabila terdapat keperluan menghadapi banjir gelombang kedua.

    Katanya ini termasuk pembelian kecemasan 55 unit OBM yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan susulan laporan berhubung situasi bot ATM yang terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan terjejas.

    Mengulas penubuhan pasukan petugas khas pasca banjir, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan itu. – BERNAMA