Author: Bernama

  • Ops Tapis: Polis tahan 220 lelaki di Johor Bahru

    Ops Tapis: Polis tahan 220 lelaki di Johor Bahru

    POLIS menahan 220 lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah menerusi Ops Tapis di sekitar Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru, hari ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 45 tahun, ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula pukul 3 pagi tadi.

    Beliau berkata lokasi diserbu kerana ia merupakan satu daripada 12 kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ bagi lokasi penjualan dan pengedaran dadah dalam kalangan penagih dadah sejak sekian lama.

    “Kesemua mereka yang ditahan hari ini melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan mereka kebanyakannya bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh, pekerja pasar borong serta penjual ikan dan sayur,” katanya pada sidang media di lokasi Op Tapis berkenaan hari ini.

    Katanya kesemua yang ditahan akan di siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952, selain akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan rawatan pemulihan.

    Sementara itu mengulas mengenai siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita anggota sebuah parti politik, beliau berkata 11 individu dipanggil untuk dirakam percakapan.

    “Macam saya cakap sebelum ini, siasatan dijangka siap hujung minggu ini dan kita telah berbincang dengan bahagian perundingan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkemaskan lagi siasatan,” katanya.

    Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi mengenai gangguan seksual melibatkan ADUN berkenaan.

     Bagaimanapun ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. 

    — BERNAMA

  • Kim Pan Gon ganti Cheng Hoe kendali Harimau Malaya

    Kim Pan Gon ganti Cheng Hoe kendali Harimau Malaya

    PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) Kim Pan Gon, sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

    Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih berusia 52 tahun itu, akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi.

    Beliau berkata Pan Gon yang menjadi pengendali pertama dari Korea Selatan dilantik ke jawatan itu sejak 1963, akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

    “Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau (Pan Gon) merupakan calon terbaik, dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya mengenai bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia, maksudnya kita bermain di ASEAN dan Asia, jangkaan kita.

    “Jika FAM berpuas hati dengan prestasinya untuk dua tahun ini, kita akan sambung (kontrak) untuk dua tahun lagi, tentunya nak layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Petaling Jaya, hari ini.

    Pan Gon yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

    Beliau menggantikan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Singapura, yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020.

    Hamidin bagaimanapun, menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.

    “Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” katanya.

    Pada sidang media itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

    Mengenai desakan di media sosial agar Hamidin meletak jawatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020,  Presiden FAM itu berkata beliau masih mempunyai banyak tanggungjawab untuk diselesaikan, selaku pemimpin badan induk bola sepak negara itu.

    — BERNAMA

  • Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Kangar hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.

    Hakim Datuk Azmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraizuwan Hamali, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah selain terdapat keraguan dalam pembelaannya.

    Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi, dekat sini antara jam 3.45 petang 18 April 2018 dan 12.10 tengah malam 19 April 2018.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.

    — BERNAMA

  • PLUS buka semula lorong SmartTAG

    PLUS buka semula lorong SmartTAG

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan sebagai respons kepada kesesakan yang berlaku di plaza tol semasa pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor pada 15 Jan lepas.

    PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah meluahkan kebimbangan berikutan rungutan orang ramai berhubung pelaksanaan awal projek rintis RFID dan penutupan lorong SmartTAG di plaza tol tertentu.

    Susulan itu, PLUS komited untuk membuka semula lorong SmartTAG, meningkatkan prestasi sistem dan menempatkan petugas di plaza tol sebagai langkah menambah baik pengalaman pengguna lebuh rayanya.

    “Kami akan membuka semula 16 plaza tol dengan 19 lorong Touch ‘n Go sebagai lorong SmartTAG menjelang 25 Jan sebagai persediaan menghadapi perjalanan balik kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

    “Sebanyak 18 plaza tol lagi akan turut berbuat demikian selepas perayaan itu sehingga 19 Feb,” menurut kenyataan itu.

    Menurut PLUS, halangan bagi lorong bertindih yang lebih pantas akan ditempatkan di plaza tol yang sesak bagi memastikan lalu lintas dapat diurus dan disuraikan dengan cepat.

    “Selain itu, zon pengesanan visual RFID akan dicat pada lorong terbabit bagi membantu pengguna memposisikan kenderaan mereka bagi pengesanan optimum. 

    “PLUS juga telah menugaskan pembantu perkhidmatan pelanggan di kesemua 158 lorong RFID di 74 plaza tol bagi membantu pengguna yang terperangkap dengan peranti pengesan mudah alih,” menurut kenyataan itu.

    RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go di kebanyakan rangkaian tol lebuh raya sejak 2018 untuk memberi perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pelanggan sedia ada.

    Pada 15 Jan lepas, PLUS memperkenal pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh rayanya sebagai tambahan kepada pilihan pembayaran tol kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

    — BERNAMA

  • Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib

    Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

    “Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri COVID-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama lima hari berbanding tujuh hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Jan.

    Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19.

    “Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa. Pelepasan kuarantin pada hari kelima jika ujian pengesanan COVID19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” katanya.

    Khairy berkata bagi pengembara yang belum menerima dos penggalak tetapi telah lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah selama tujuh hari manakala bagi pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari.

    Beliau berkata pengembara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi dipasang gelang pengawasan biasa.

    Namun bagi pengembara dari negara berisiko tinggi yang menjalani kuarantin di rumah, beliau berkata mereka masih dipakaikan gelang pengawasan digital manakala tempoh kuarantin bagi kanak-kanak adalah sama mengikut tempoh ibu bapa atau penjaga yang ada bersama.

    Mengulas perkembangan kes klinik mengeluarkan sijil vaksinasi palsu, Khairy berkata kesemua kes yang dikesan membabitkan premis vaksinasi berbayar atau swasta, bukan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    “Mereka ini didapati membeli vaksin tetapi tidak suntik, sebaliknya mereka buang vaksin tersebut. Polis masih menjalankan siasatan dan KKM akan memberi kerjasama sepenuhnya.

    “Kita akan perketatkan SOP supaya kes ini tidak berlaku lagi di luar program kerajaan,” katanya.

    Ditanya mengenai dos penggalak, Khairy berkata buat masa ini KKM masih mengekalkan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinavoc berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari ini bagi mengekalkan status lengkap vaksinasi mereka.

    Sementara bagi golongan selain di atas, KKM belum bercadang untuk menjadikan dos penggalak sebagai syarat wajib lengkap vaksinasi, katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, tiada keperluan untuk menutup sekolah berasrama di negara ini walaupun terdapat peningkatan kluster COVID-19 di sekolah itu kerana sebahagian besarnya hanya melibatkan gejala ringan ataupun tiada gejala.

    Khairy berkata, penutupan sekolah itu juga dilihat sebagai langkah ke belakang memandangkan peratusan vaksinasi remaja sudah mencapai 90 peratus.

    “Jangkitan COVID-19 ini adalah perkara yang akan jadi dan kita tidak boleh lari daripada jangkitan. Selagi kesan gejala jangkitan itu tidaklah teruk, mereka boleh diasingkan di asrama atau di rumah,” katanya.

    Terdahulu, beliau berkata sejumlah 52 kluster pendidikan termasuk 27 sekolah berasrama dikesan bagi tempoh Minggu Epid Satu tahun ini hingga semalam.

    “Daripada 52 kluster ini, siasatan mendapati 44 kluster dengan kes indeksnya adalah pelajar manakala guru atau pensyarah bagi lima kluster dan staf sokongan pusat pendidikan bagi tiga kluster lagi,” katanya.

    Khairy juga berkata perkumpulan ramai telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.

    Beliau berkata pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 dengan semua negeri melaporkan kluster kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan. – BERNAMA

  • Gambar tular dalam media sosial bukan makanan RMT

    Gambar tular dalam media sosial bukan makanan RMT

    SIASATAN terperinci Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati bahawa gambar yang memaparkan nasi dan kuah itu di media sosial, bukanlah makanan disediakan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Saya telah menerima maklum balas bagi perkongsian mengenai gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid di bawah Program RMT. Wakil KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.

    “Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah. Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

    Beliau berkata, KPM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara berkenaan, dan sentiasa berusaha menambah baik program RMT termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima.

    Katanya pada masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah baik daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan, mulai tahun lepas. – BERNAMA

  • RUU Anti Lompat Parti bentang sesi Parlimen akan datang

    RUU Anti Lompat Parti bentang sesi Parlimen akan datang

    RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dimuktamad dan dibentang pada sesi Parlimen yang bermula 28 Feb ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

    “Ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk menyegerakan RUU ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Wan Junaidi memaklumkan RUU Anti Lompat Parti akan dibawa pada sesi Parlimen bulan Julai 2022 kerana penggubalan peruntukan itu memerlukan kajian terperinci dan sesi libat urus yang holistik.

    Beliau berkata, persetujuan yang dicapai merupakan komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan pelbagai perkara yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan PH pada 13 Sept 2021 dapat dilaksana.

    Wan Junaidi juga berkata, Jawatankuasa Teknikal berunsur bipartisan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai masing-masing empat wakil daripada kerajaan serta PH ditubuhkan bagi mendapat pandangan semua pihak.

    “Jawatankuasa teknikal ini akan bertemu pada minggu hadapan untuk memperinci perkara dasar serta kerangka perundangan yang dicadangkan,” katanya. – BERNAMA

  • Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun mula Februari

    Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun mula Februari

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Jan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak.

    “Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau berkata, tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak tersebut akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Jan ini, dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu, namun perinciannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    “Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022, dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka,” katanya.

    Khairy berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, kencing manis dan penyakit saraf, kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk.

    Beliau berkata formulasi vaksin COVID-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah formulasi khas untuk kanak-kanak, dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 mL larutan garam biasa.

    “Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan bagi dos dewasa. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu, selepas dos pertama,” katanya.

    Khairy berkata berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa lapan minggu antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi, serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama.

    Bagaimanapun beliau berkata seperti vaksin yang lain, vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga boleh memberikan kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak, seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

    “Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil dan demam. Kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana, serta tidak berpanjangan,” katanya.

    Jelasnya KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

    Dalam pada itu Khairy memaklumkan bagi tempoh 25 Jan 2020 hingga semalam, jumlah kes COVID-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579,624 kes, dengan 269,773 kes melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

    “Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi bot pendatang asing karam, 5 lemas 3 masih hilang di Teluk Ramunia

    Lagi bot pendatang asing karam, 5 lemas 3 masih hilang di Teluk Ramunia

    LIMA pendatang asing warga Indonesia ditemukan lemas, manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian bot karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, di Kota Tinggi, pagi tadi. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, 19 orang lagi terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, ditemukan selamat terapung di lokasi kejadian.

    “Dua mayat wanita ditemukan bersama dengan yang terselamat, manakala tiga lagi mayat wanita ditemukan kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian pada 7.30 pagi tadi,” kata beliau dalam satu kenyataan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pengerang  hari ini. 

    Kesemua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat, manakala yang selamat berumur antara 20 dan 40 tahun itu, dibawa ke Pos Angkatan Tentera Malaysia Tanjung Sepang, di sini. 

    Menurut beliau, bot kayu sepanjang 15 meter (m) dengan tiga enjin masing-masing berkuasa 200 kuasa kuda itu, dipercayai dari Tanjung Tondang, di Pulau Bintan, Indonesia dan mahu mendarat di Teluk Ramunia.

    “Difahamkan bot berkenaan boleh bergerak selaju 80 kilometer sejam dengan kapasiti 27 penumpang, manakala jarak dari Pulau Bintan ke Teluk Ramunia kira-kira 17.7km dan sempadan Indonesia/Malaysia kira-kira enam batu nautika yang boleh mengambil masa hanya setengah jam.

    “Kami percaya bot kayu berkenaan dipandu terlalu laju dengan ombak setinggi satu hingga 1.5m selain kelajuan angin, menyebabkan bot tidak stabil lalu karam,” kata beliau. 

    Terdahulu, menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan bot yang mencurigakan sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia, menuju ke perairan negara pada pukul 3.45 pagi sebelum memaklumkannya pada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

    TLDM kemudiannya mengesan bot berkenaan pada 4.10 pagi, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot dilihat dipandu terlalu laju sebelum karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia pada 4.50 pagi.

    Beliau berkata bot kayu itu kemudiannya ditemukan pada 9.30 pagi tadi di kedudukan satu batu nautika barat daya kuala Sungai Rengit, di sini. 

    Nurul Hizam berkata usaha mencari tiga mangsa lagi diteruskan, meliputi 50 batu nautika sektor pencarian di laut serta 20km pencarian di darat dari Tanjung Penyusup sehingga Pos Maritim Pengerang. 

    “Seramai 97 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta tujuh aset terlibat dalam Op Carilamat,” tambah beliau. 

    Insiden tersebut merupakan kejadian kedua bot karam dalam minggu ini melibatkan ramai pendatang asing lemas, selepas enam wanita warga Indonesia lemas manakala tujuh terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar Selasa lepas.

    — BERNAMA

  • Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    SEORANG lelaki ditahan ketika leka memproses bahan untuk menjual air ketum dalam satu serbuan di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah dekat Taiping malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, dalam serbuan pada 11.15 malam itu, pihaknya berjaya merampas air ketum bernilai kira-kira RM7,000 yang disimpan di dalam plastik dan tong untuk dijual di pasaran tempatan.

    “Semasa ditahan lelaki berumur 51 tahun itu sedang memproses bahan untuk menjual air ketum yang sudah dibotolkan.

    “Suspek, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah terlibat dengan kegiatan penjualan air ketum hampir empat tahun di kawasan itu sejak 2018,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

    Beliau berkata bekalan air ketum yang dirampas dijual pada harga RM10 seliter.

    Osman berkata, siasatan mendapati suspek memiliki empat kesalahan lampau berkaitan ketum dan ditahan reman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Katanya, polis telah menahan seramai 1,254 pengedar dan penagih dadah dengan nilai sitaan berjumlah RM657,632 sepanjang tahun lepas. – BERNAMA