Author: Bernama

  • Saya tiada jawatan dalam 1MDB – Jho Low

    Saya tiada jawatan dalam 1MDB – Jho Low

    AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah tampil untuk mempertahankan diri dan berkata beliau tidak mempunyai sebarang jawatan atau kewajipan fidusiari dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta empat anak syarikatnya.

    Menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan oleh peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas berhubung saman sivil oleh 1MDB, Jho Low, 41, mendakwa saman itu harus ditolak kerana gagal menyatakan kausa tindakan yang munasabah berhubung dakwaan pecah amanah atau kewajipan fidusiari.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman US$3.7837 bilion terhadap Jho Low, ibu bapanya iaitu Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya May Lin, adik lelakinya Taek Szen serta sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Jho Low berkata, beliau tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham dalam 1MDB atau keempat-empat anak syarikatnya, dan juga bukan ahli lembaga penasihat dana kekayaan negara itu atau sebahagian daripada pasukan pengurusan kelima-lima plaintif.

    Oleh itu, Jho Low berkata, beliau tidak mempunyai kedudukan perundangan untuk melaksanakan kawalan ke atas plaintif, termasuk tetapi tidak terhad kepada mengarahkan atau menyebabkan pemindahan dan/atau penerimaan dana.

    Jho Low berkata, saman 1MDB terhadapnya adalah lewah kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah mencapai satu penyelesaian yang komprehensif dan global dengan beliau berhubung tindakan sivil badan itu terhadapnya yang mempunyai kaitan dengan 1MDB tanpa sebarang dapatan “kebersalahan, kesalahan, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku.”

    Beliau mendakwa, tindakan sivil 1MDB terhadapnya ketika ini adalah berdasarkan pemfailan DoJ berkaitan dakwaan tertentu, dan mendakwa dana kekayaan negara itu pada masa yang sama mengabaikan resolusi tindakan sivil DoJ terhadapnya.

    Jho Low mendakwa, resolusi tindakan sivil DoJ telah membawa kepada pelucuthakan secara sukarela dan penghantaran balik aset untuk faedah mutlak kerajaan Malaysia, yang pada akhirnya juga untuk faedah plaintif.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, semua plaintif mendakwa mereka telah dimanipulasi oleh sekumpulan individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jho Low untuk memudah cara penipuan berskala besar serta berjangka panjang yang mengakibatkan berbilion-bilion ringgit telah diseleweng ke dalam akaun peribadi untuk manfaat pelbagai penipu termasuk defendan.

    Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 9 Feb. – BERNAMA

  • Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    Rimau seru selamatkan Harimau Malaya daripada pupus

    PELUANG sudah semakin tipis untuk menyelamatkan spesies terancam harimau Malaya daripada terus pupus.

    Justeru, Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau) menegaskan usaha pemuliharaan haiwan kebanggaan Malaysia itu tidak seharusnya diserahkan pada pihak kerajaan semata-mata.

    Presidennya, Lara Ariffin berkata, Rimau kini bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menghentikan aktiviti pemburuan haram di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak, bagi menyelamatkan spesies yang hanya ditemui di Semenanjung Malaysia itu yang kini jumlahnya dianggarkan kurang daripada 150 ekor.

    “Rimau kini terlibat dalam pelbagai usaha sama dengan pihak berkaitan, seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, untuk membanteras kegiatan pemburuan haram haiwan tersebut.

    “Sebagai permulaan, kita mempunyai Unit Patrol Menraq terdiri daripada 30 renjer suku Orang Asli Jahai, yang menumpukan pada pemantauan pemburu haram di Taman Negeri Royal Belum, yang merupakan tempat tinggal suku itu sekian lama,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, semalam, selepas menerima replika cek RM38,888 daripada HABIB bagi menyokong usaha murni itu.

    Lara berkata, unit yang diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) itu, mempunyai fungsi yang terhad iaitu mereka hanya boleh memerhatikan daripada jauh kerana tidak mempunyai kuasa untuk melakukan penahanan.

    Bagaimanapun, hasil kerjasama dengan PTNPk yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, Lara berkata usaha tersebut membantu pihaknya dalam mengekang kegiatan pemburuan haram tersebut.

    Menurut Lara, setiap bahagian tubuh harimau Malaya iaitu dari kepala, tulang, ekor sehinggalah ke kulit, malah misai haiwan itu juga, yang kini digunakan sebagai jarum akupuntur di China, mendapat permintaan tinggi, termasuk di Vietnam.

    “Sangat menyayat hati apabila melihat, bukan sahaja harimau, tetapi juga haiwan liar lain mengalami kecacatan pada anggota badan akibat jerat dan perangkap. Ada yang dilihat berkeliaran dengan hanya tiga kaki ekoran terkena jerat,” kata Lara.

    Ditanya jika Rimau akan melakukan usaha pembiakan bagi menambah bilangan harimau Malaya, Lara meletakkan langkah itu sebagai pilihan terakhir dan bukanlah kaedah yang sesuai dalam pemuliharaan harimau.

    “Pada tahap tertentu, harimau adalah seperti kucing domestik. Mereka memerlukan tiga perkara untuk membiak secara semula jadi dan lancar, iaitu ‘rumah’ yakni hutan; makanan dan perlindungan,” jelasnya.

    Menurut Lara, harimau Malaya kini kehilangan ketiga-tiga perkara itu berikutan peningkatan aktiviti pemusnahan hutan dan pembalakan.

    “Apabila harimau, terutama anak harimau, dihalau dari habitat semula jadinya, haiwan itu terkeluar dari kawasan jajahannya dan anak harimau menghadapi risiko dimakan binatang lain,” katanya.

    Susulan itu, Lara berkata Rimau kini dalam proses memperhebat usaha pemuliharaan dan menyeru orang awam yang berminat untuk bersama-sama persatuan itu menyelamatkan haiwan kesayangan negara ini, memandangkan sudah tidak praktikal dengan hanya ergantung pada agensi kerajaan sahaja.

    Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.rimau.ngo atau platform media sosial persatuan itu di Facebook dan Instagram. – BERNAMA

  • Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    Wisma Bintara ATM sedia 200 bilik setaraf hotel

    WISMA Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menyediakan 200 bilik penginapan setaraf hotel yang dikhaskan untuk Pegawai Tentera Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM bujang serta PTTK ATM yang berjauhan dengan keluarga.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kemudahan Wisma Bintara disediakan untuk 1,400 PTTK ATM dengan bayaran serendah RM50 sebulan termasuk makan minum.

    (PTTK ATM adalah Pegawai Waran, Sarjan dan Staf Sarjan setaraf.)

    “Selain itu bayaran sebanyak RM30 semalam dikenakan kepada PTTK ATM dari luar kawasan yang menggunakan wisma itu sebagai transit jika mereka mempunyai urusan di ibu kota,” katanya selepas merasmikan wisma itu hari ini.

    wisma bintara ATM
    Ikmal Hisham Abdul Aziz pada majlis perasmian Wisma Bintara ATM di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Beliau berkata, kompleks dengan kos RM30 juta hasil sumbangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera itu, mula dibina pada 3 Julai 2017 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ATM dan siap pada 28 Dis 2020.

    Ikmal Hisham berkata, wisma yang antara lain dilengkapi kemudahan seperti surau, gimnasium, dewan bankuet, gelanggang sukan dan ruang rehat itu, dilihat mampu meningkatkan moral anggota ATM serta menjadi pemangkin ke arah melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan pasukan itu.

    Menurutnya, projek tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kementerian terbabit dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya, seiring Pelan Tindakan 2022. – BERNAMA

  • Shafee berniat lengah tuntutan saman cukai pendapatan RM9.41 juta – LHDN

    Shafee berniat lengah tuntutan saman cukai pendapatan RM9.41 juta – LHDN

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding kes saman berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta, atas alasan peguam itu sememangnya berniat untuk melengah-lengahkan tuntutan saman berkenaan.

    Perkara itu dinyatakan di dalam afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Ketua Penolong Pengarah di Unit Kawalan, LHDN Shamsul Effendi Khamis, yang diperoleh pihak media menerusi carian sistem mahkamah.

    LHDN yang memfailkan afidavit itu pada 26 Jan lepas bagi pihak kerajaan Malaysia selaku plaintif mendakwa Muhammad Shafee juga telah menyalahgunakan proses mahkamah.

    “Sekiranya perkara ini berlaku (penggantungan prosiding dibenarkan) hak plaintif dan rakyat Malaysia akan dinafikan serta diprejudiskan secara serius.

    “Ini adalah kerana kerajaan memerlukan hasil yang secukupnya untuk pembangunan dan kelancaran pentadbiran negara selain untuk menjaga kebajikan rakyat serta menangani impak pandemik COVID-19 yang menyebabkan krisis kesihatan dan ketidaktentuan ekonomi kepada negara,” menurut Shamsul Effendi dalam afidavit berkenaan.

    Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din secara dalam talian pada 16 Feb ini.

    Pada 3 Nov tahun lepas, Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman itu sementara menunggu pelupusan rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia, antara lain atas alasan wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding berkenaan.

    Peguam itu berkata permohonan itu juga difailkan sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Feb ini.

    Pada 27 Sept 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus iaitu mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan. Permohonan itu masih belum didengar mahkamah.

    LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021 mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

    Muhammad Shafee yang merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. – BERNAMA

  • PKPD di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang mulai esok – MKN

    PKPD di Felda Chemomoi, Bentong, Pahang mulai esok – MKN

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Chemomoi di Mukim Sabai, Bentong, Pahang akan dilaksanakan mulai esok hingga 10 Feb ini.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad, dalam kenyataannya berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19, di lokaliti terbabit.

    Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, Rodzi turut memaklumkan tiada pelanjutan dan penamatan PKPD di lokaliti lain dalam negara, hari ini.

    — BERNAMA

  • Kes harian COVID-19 kembali lepasi angka 5,000

    Kes harian COVID-19 kembali lepasi angka 5,000

    KES baharu COVID-19 dalam negara terus meningkat untuk tiga hari berturut-turut dengan 5,439 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan kini 2,850,408 setakat 12 tengah hari tadi.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan kes baharu COVID-19 dalam negara kembali mencatatkan angka melepasi 5,000, selepas kali terakhir pada 10 Dis lepas.

    Beliau berkata, daripada kes baharu itu, 99.1 peratus atau 5,392 kes terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala 0.9 peratus atau 47 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

    “Daripada 5,439 kes itu, sebanyak 332 adalah kes import dan 5,107 adalah kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 124 kes dan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.

    Beliau berkata, sebanyak 4,409 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,770,663 orang.

    Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 22 kluster baharu direkodkan dengan 274 kluster masih aktif.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 dengan Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.18 setakat semalam.

    Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan, serta segera mendapatkan vaksin COVID-19.

    “Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara, melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – BERNAMA

  • Bekas CFO 1MDB nafi terima rasuah daripada Goldman Sachs

    Bekas CFO 1MDB nafi terima rasuah daripada Goldman Sachs

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir hari ini menafikan bahawa beliau telah menerima rasuah daripada Goldman Sachs bagi membolehkan syarikat itu mengaut keuntungan besar daripada bon US$1.75 bilion yang dikeluarkan pada Oktober 2012 oleh 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL).

    Azmi, 49, menafikan perkara itu semasa disoal balas oleh peguam Tania Scivetti, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kegagalannya merundingkan kadar faedah lebih rendah bagi 1MELL telah memberi manfaat kepada institusi kewangan tersebut yang membolehkan ia mengaut keuntungan besar daripada kadar faedah lebih tinggi yang dikenakan, selain turut menafikan menerima rasuah daripada Tim Leissner (bekas pengurus bank Goldman Sachs).

    Scivetti: Saya katakan kepada awak, kegagalan merundingkan kadar faedah lebih baik untuk 1MDB iaitu tugas yang diamanahkan kepada awak, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman telah membolehkan Goldman Sachs mengaut keuntungan besar daripada 1MDB, dan sebagai balasan, Leissner serta Goldman Sachs telah memberi rasuah kepada beberapa pegawai 1MDB iaitu awak, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan individu lain dalam pengurusan 1MDB.

    Azmi: Saya tidak setuju. Saya tidak tahu dengan yang lain tetapi saya tidak setuju.

    Shahrol Azral adalah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari 2009 hingga Mac 2013 manakala Mohd Hazem menyandang jawatan itu sehingga Januari 2015.

    Scivetti: Awak pasti tahu bahawa Tim Leissner telah mengaku merasuah para pegawai 1MDB?

    Azmi menjawab “Sebab itu saya katakan saya tidak tahu dengan yang lain tetapi bagi saya, saya tidak setuju.”

    Scivetti: Malah pegawai 1MDB dalam kes Leissner dan pegawai Goldman Sachs mengaku memberi rasuah itu adalah awak, Shahrol Azral dan Mohd Hazem. Azmi menjawab “Tidak, saya tidak setuju.”

    Saksi itu turut menafikan bahawa beliau telah bersubahat dengan Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai tinggi lain dalam 1MDB berhubung pemindahan US$790 juta (RM3.3 bilion) daripada 1MELL kepada Aabar Investments PJS Ltd.

    Azmi juga tidak bersetuju bahawa beliau dan individu terbabit telah bersubahat untuk memanipulasi dan mengelirukan Lembaga Pengarah 1MDB serta Najib, yang merupakan pemegang saham pada ketika itu, berhubung urus niaga US$790 juta itu.

    Scivetti: Awak tahu tak, 16 pekerja Goldman Sachs telah didakwa berhubung skandal 1MDB tetapi meskipun menjadi pengarah 1MELL dan menandatangani semua dokumen terbabit, awak tidak didakwa?

    Azmi: Betul.

    Scivetti: Shahrol Azral, awak dan Mohd Hazem tidak didakwa. Saya katakan kepada awak bahawa awak tidak didakwa kerana memberikan keterangan terhadap Najib.

    Azmi menjawab “Saya tidak pasti.”

    Scivetti: Saya tanya awak.

    Azmi: Saya tidak setuju.

    Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 14 Mac. – BERNAMA

  • PRN Johor: PN dalam peringkat akhir tentukan kerusi

    PRN Johor: PN dalam peringkat akhir tentukan kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengagihan kerusi itu dijangka siap hujung minggu ini, setelah pihaknya mendapati ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.

    “Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.

    “Ia (kerusi) belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat pusat. Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di Muar hari ini.

    Ditanya mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Dalam politik apa-apa sahaja boleh terjadi, setakat hari ini tidak ada apa lagi…tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan.” – BERNAMA

  • Sarjan polis hampir pencen berdepan 42 tuduhan rasuah

    Sarjan polis hampir pencen berdepan 42 tuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 42 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,600, selama dua tahun mulai 2017.

    Bagaimanapun, Abdul Ghafa Harun, 57, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang mengambil masa 30 minit untuk dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Dia didakwa melakukan perbuatan rasuah itu antara 2 Jan 2017 hingga 3 Dis 2019 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya yang diketahuinya berkaitan dengan tugasnya sebagai anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

    Bapa kepada tiga anak itu dituduh menerima suapan sebanyak RM600 daripada seorang lelaki sebanyak lapan kali, manakala bakinya didakwa diterima daripada seorang wanita dengan setiap transaksi melibatkan bayaran RM200.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah pertuduhan dan nilai yang terlibat.

    Bagaimanapun, peguam Fakhrul Redha Paridul Adras yang mewakili Abdul Ghafa memohon jumlah itu dikurangkan atas faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

    “Tertuduh telah berkhidmat selama 38 tahun iaitu sejak berusia 19 tahun dan mempunyai rekod cemerlang termasuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 1999 dan 2015 selain turut menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2019 atas sumbangannya semasa situasi darurat.

    “Anak guam saya kini bertugas di Unit Pameran IPK Pahang dengan pendapatan bersih RM2,000 sebulan dan telah dimaklumkan akan digantung tugas selepas ini dengan bayaran gaji dipotong separuh,” katanya dan menambah tertuduh telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Beliau kemudiannya menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai terkini 20 individu warga Filipina yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Komander ESSCom, DCP Hamzah Ahmad berkata, senarai yang dikemas kini itu melibatkan seorang suspek baharu iaitu Majdid Said @ Ammah Pattit, yang merupakan ketua paling kanan Daulah Islamiah Sulu Based.

    Beliau berkata, Majdid yang berperanan sebagai komander Kumpulan Abu Sayyaf Sulu, adalah pemimpin kanan yang bakal menggantikan ketua kumpulan itu Hatib Hajan Sawadjaan.

    Esscom

    Sementara itu, antara suspek yang kekal dalam senarai tersebut adalah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan, yang juga pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf dan memiliki kepakaran menghasilkan bom.

    “Mudzrimar adalah perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Di samping itu, menurut Hamzah, suspek yang disyaki berperanan sebagai ‘keepers’ dan terlibat dalam kes penculikan di perairan Tambisan, Tungku dekat sini, iaitu Ahadin Hussien, Ellam Sajirin @ Nasirin dan Ismurah Jirah juga masih berada dalam senarai dikehendaki ESSCom.

    “Suspek lain dikehendaki ESSCom ialah Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Ahok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko,” katanya.

    culik

    Beliau berkata, pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi khas serta melaksanakan operasi bersepadu di laut dan darat, bagi membanteras sebarang ancaman di ESSZone yang menggugat keselamatan negara.

    Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu dikehendaki itu, agar menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di 011-63311072. – BERNAMA