Author: Bernama

  • 19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    POLIS merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati bahawa penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada pukul 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

    Beliau berkata, polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

    Katanya, pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal Sept lepas dengan harga RM2,200.

    “Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada hari ini.

    Shafien berkata, pada tahun 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

    Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Kumpulan bersenjata kejam bunuh 1,192 mangsa

    Kumpulan bersenjata kejam bunuh 1,192 mangsa

    SERAMAI 1,192 orang dibunuh dan 3,348 individu diculik dalam serangan berterusan oleh kumpulan bersenjata yang mengamuk di negeri Kaduna, barat laut Nigeria pada 2021, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa.

    Menurut laporan keselamatan 2021, kerajaan Kaduna turut mengesahkan bahawa 891 orang mengalami kecederaan pelbagai tahap, manakala 45 mangsa, termasuk 29 kanak-kanak bawah umur, telah dirogol dalam tempoh itu, lapor Xinhua.

    Pesuruhjaya keselamatan dan hal ehwal dalam negeri, Samuel Aruwan berkata laporan itu merangkumi pelbagai bentuk serangan, termasuk samun, serangan balas, penculikan, dan kecurian lembu di negeri itu.

    Aruwan menambah beberapa pembekal senjata berjaya ditahan dengan senjata dan peluru turut dirampas. – BERNAMA

  • JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JPM tak campur tangan siasatan RCI Tabung Haji

    JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berbangkit mengenai Tabung Haji (TH) yang memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pertama Rabu lepas.

    Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

    “Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas di Ipoh hari ini.

    Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.

    Mengenai program hari ini Idris berkata, beberapa keluarga mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh Ahad lepas menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga hari ini, bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.

    “Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – BERNAMA

  • Harga ayam naik lebih RM10 sekilogram kalau kerajaan tak campur tangan

    Harga ayam naik lebih RM10 sekilogram kalau kerajaan tak campur tangan

    LANGKAH intervensi kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuat kuasa Sabtu ini hingga 5 Jun dapat menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan langkah itu, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10 sekilogram susulan peningkatan kos penternakan ayam sebanyak 70 peratus.

    “Dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Jan lepas, mesyuarat telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya.

    “Berikutan peningkatan kos pengeluaran, maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan, selepas mempengerusikan Mesyuarat NACCOL.

    Nanta berkata, harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak pula akan dibuat berdasarkan lokasi.

    Beliau berkata, harga runcit itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 sekilogram ketika Deepavali lepas, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) (7 hingga 31 Dis lepas) dan RM9.10 ketika (SHMKM) (1 hingga 4 Feb).

    “Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil,” katanya.

    Nanta berkata, pihaknya sentiasa menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin dari segi bekalan serta mengelak berlaku kenaikan harga yang membebankan rakyat.

    Katanya, hasil Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan mengenai pelan tindakan jangka panjang berkaitan bekalan makanan yang akan dipengerusikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak lama lagi akan dilaporkan ke Mesyuarat NACCOL akan datang.- BERNAMA

  • Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    LEBIH 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar sejak 12 Jan lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi perkara itu di Facebooknya dan memaklumkan operasi pemadaman di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut telah berjaya dipadamkan semalam.

    Menerusi hantarannya, Reezal Merican berkata, kejayaan itu disempurnakan dengan kerjasama semua pihak dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan serta negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

    “Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

    “Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ketika ini akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut.

    “Selain memantau titik panas, pihak JAS turut membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan tersebut pulang semula ke rumah mereka,” katanya.

    Katanya, ketika ini IPU di situ mencatatkan tahap sederhana namun angkanya semakin baik dari semasa ke semasa iaitu 74 direkodkan pada 7 pagi hari ini manakala pada 10 pagi is mencatatkan bacaan IPU 73. Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan dengan bakinya melibatkan sektor 5 sahaja.

    Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

    Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. – BERNAMA

  • Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

    Beliau berkata, lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

    “Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA

  • Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    BAHAGIAN enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

    “Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

    “Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – BERNAMA

  • Bot pelancong berlanggar di Kuala Besut bawa penumpang berlebihan

    Bot pelancong berlanggar di Kuala Besut bawa penumpang berlebihan

    BOT pelancong terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.

    Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata keadaan itu, menyebabkan bot pelancong tersebut sukar dikawal apabila berlaku pelanggaran, selain turut dipengaruhi faktor cuaca iaitu ombak dan arus laut yang kuat.

    Katanya siasatan secara lisan turut mendapati, penumpang bot yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru bot, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    “Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, dan telah diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    “Seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan susulan, dengan 11 orang daripadanya iaitu dua kritikal, lapan separa kritikal dan seorang cedera ringan, telah dirujuk ke Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Selain itu, Muhammad Shuhaimi  berkata siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen, adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun lepas.

    “Pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran, bagi mengelirukan pihak Pejabat Laut Kuala Besut,” katanya.

    Menurutnya penumpang juga dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, dan bukan di bawah seliaan JLM, selain jeti tersebut juga jauh daripada kawalan JLM.

    Katanya antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang dari Besut adalah seperti di tepi pesisir pantai, Bukit Kluang, Pulau Rhu, dan di Sungai Kampung Raja.

    “Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia masih ditutup ekoran Fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 Nov lepas, dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. Hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam keselamatan bot-bot untuk beroperasi di laut,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Shuhaimi berkata pengusaha bot terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan saman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, jika didapati bersalah.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin ke pulau-pulau peranginan dinasihatkan agar menggunakan jeti yang sah sahaja, iaitu di Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia dan memakai jaket keselamatan, manakala pengusaha bot diingatkan tidak membawa lebihan muatan atau penumpang, serta memastikan lesen bot dan lesen nakhoda masih sah, bagi mengelakkan insiden tersebut berulang.

    “JLM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti PDRM dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), serta mempergiatkan kempen memperbaharui lesen bot sebelum pulau peranginan beroperasi semula pada Mac ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Lelaki maut ditembak 10 das di Bukit Mertajam

    Lelaki maut ditembak 10 das di Bukit Mertajam

    SEORANG lelaki maut selepas ditembak lebih 10 das tembakan dalam kejadian di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, di Bukit Mertajam malam tadi.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata  polis menerima laporan berhubung kejadian tembakan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun itu pada pukul 9.30 malam sebelum sepasukan polis terus ke lokasi tersebut.

    “Mayat lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah itu ditemukan di tingkat tiga kawasan parkir dan polis tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak mangsa lebih daripada seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya setakat ini polis menjumpai sebanyak 12 kelongsong peluru di lokasi kejadian namun jumlah das tembakan yang terkena tubuh mangsa masih disiasat.

    Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan kejadian tembakan itu bermotifkan dendam berikutan mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

    Shuhaily berkata siasatan mendapati lelaki itu tinggal di kondominium mewah tersebut sejak lima bulan lepas dan pihaknya akan mendapatkan rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

    “Usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya menambah berdasarkan siasatan, mangsa turut dikehendaki polis.

  • 10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    SEPULUH orang termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong tersebut terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

    “Bot yang dinaiki pelancong tersebut berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata lima anggota Polis Diraja Malaysia, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

    Abdul Rozak berkata insiden tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

    Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid berkata difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong tersebut sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

    “Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya.

    — BERNAMA