Author: Bernama

  • SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    SOP solat di masjid berkesan kekang penularan COVID – Ahmad Marzuk

    PROSEDUR operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid, surau dan madrasah yang sedia ada ketika ini terbukti berkesan untuk mengekang penularan Covid-19.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keberkesanan itu dapat dilihat apabila setakat ini tiada kluster masjid yang wujud.

    Katanya, disebabkan itu juga pihaknya mengekalkan SOP berkenaan sehingga ke hari ini termasuk akan mengguna pakai SOP yang sama bagi pelaksanaan solat tarawih pada bulan Ramadan nanti.

    “Sebab itu kami kekalkan SOP itu sehingga ke hari ini dan sekiranya ada berlaku perubahan dalam tempoh dua bulan lagi sebelum kita menyambut Ramadan, ia akan diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya ada, ia terpulang kepada pandangan majlis agama negeri masing-masing untuk menggunakan SOP yang berkesan.

    “Kita juga belajar daripada beberapa insiden yang berlaku pada bulan Ramadan lalu apabila ada kluster daripada kumpulan tarawih yang tidak mematuhi SOP. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa akan mempergiatkan lagi pemantauan supaya jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kolej Uniti di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Kolej Uniti Kota Bharu, Mohd Shaharom Azmin dan Pengurus Besar Pusat Pentadbiran YaPEIM Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.  

    Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak berhasrat untuk memperkenalkan SOP khusus bagi ibadah tarawih sempena Ramadan akan datang sebaliknya akan mengekalkan SOP sedia ada.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengulas mengenai trend pasangan menceraikan pasangan menerusi aplikasi WhatsApp, Ahmad Marzuk berkata penceraian itu sah namun ia tidak bagus dari segi akhlak.

    “Dari sudut akhlaknya seorang suami itu tidak boleh sewenang-wenangnya menceraikan isteri dengan cara begitu mudah, Islam mengajar kepada kita, kita ambil cara baik, dan kalau kita nak lepaskan pun kena cara baik.

    “Sebab itu ia terdapat dalam khutbah nikah dan dibaca pada setiap majlis perkahwinan. Malah, bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak mestilah mengikut prosedur penceraian menerusi mahkamah untuk mendapatkan perakuan cerai yang rasmi,” katanya.

    — BERNAMA

  • Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    Anggota JPJ maut kemalangan ketika kejar penunggang motosikal

    SEORANG  anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Plaza Tol Gombak di Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Azizi Azizan, 30-an, dikatakan sedang meronda bersama beberapa anggota lain dengan menunggang motosikal di lokasi sekitar tol berkenaan.

    Mangsa dikatakan mengejar penunggang motosikal itu kerana penunggang terbabit cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

    Motosikal mangsa terbabas dan menyebabkannya terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

    Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan Muhammad Azizi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Muhammad Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian jemaah umrah

    KERAJAAN akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian.

    Katanya, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

    “Kami mengetahui, kumpulan jemaah yang terkandas baru-baru ini untuk mengerjakan umrah mengalami kerugian tertentu yang melibatkan perbelanjaan seperti penginapan dan tempahan lain. Oleh itu, kerajaan akan menanggung sebahagian daripada perkara tersebut.

    “Proses ini masih dalam penelitian akhir, barangkali pertengahan bulan ini mengikut apa yang disebutkan oleh TH dengan kerjasama MOTAC dan kumpulan persatuan umrah akan memurnikan (membuat tapisan) senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Santuni Nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata pembayaran berkenaan akan dibuat secara terus oleh TH kepada jemaah yang berkenaan.

    Katanya, jemaah perlu ke mana-mana cawangan TH yang terdekat dengan membawa dokumen berkaitan termasuk kad pengenalan diri, visa dan juga butiran terperinci mengenai umrah.

    “Kalau mereka ada akaun TH lagi senang memandangkan pembayaran akan dimasukkan secara terus ke akaun jemaah. TH akan agihkan peruntukan yang disediakan kerajaan, melalui Kementerian Kewangan,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan kepada bakal jemaah yang akan menunaikan umrah pada Selasa ini (8 Feb) agar menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal memakai pelitup muka dan sebagainya.

    “Seperti kita lihat, sehari dua ini berlaku peningkatan kes harian COVID-19 susulan penularan varian Omicron. Jadi saya harap supaya jemaah kekal patuh SOP memandangkan kita mahu memastikan mereka pulang dari umrah nanti agar tidak menyumbangkan kepada peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Presiden Turki, Wanita Pertama positif varian Omicron

    Presiden Turki, Wanita Pertama positif varian Omicron

    PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan dan wanita pertama Emine Erdogan didapati positif varian Omicron COVID-19, lapor Agensi Anadolu (AA).

    “Keputusan ujian COVID-19 yang saya lakukan bersama isteri, selepas mengalami simptom ringan hari ini, adalah positif. Syukurlah, kami hanya mengalami gejala ringan,” kata Erdogan menerusi ciapan Twitternya, sambil menambah bahawa mereka akan bekerja dari rumah.

    “Semoga kami berjaya sembuh dari penyakit ini secepat mungkin… Kami mengharapkan doa anda,” kata isterinya dalam ciapan berasingan.

    Pemimpin dari dalam dan luar Turki mendoakan agar Erdogan dan wanita pertama cepat sembuh.

    Pemimpin yang menghantar mesej termasuk Presiden Cyprus Utara Ersin Tatar, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

    — BERNAMA

  • Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    Anggota polis patah kaki dirempuh kereta lari sekatan

    SEORANG anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam sekatan jalan raya di Seri Kembangan, Serdang awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A Anbalagan berkata, dalam kejadian pada 1.50 pagi itu, Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan, patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua belah tangan.

    “Beliau kini dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan sedar serta stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Anbalagan berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota berjaya mengesan kenderaan terbabit dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita di depan sebuah kedai makan di Taman Serdang Perdana pada 3 pagi.

    “Siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki berusia 29 tahun serta wanita berusia 24 tahun itu mempunyai kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amfetamina, metamfetamina dan ketamin.

    “Suspek lelaki yang merupakan pemandu kereta berkenaan pula mempunyai 16 saman trafik membabitkan kesalahan pandu laju, tidak mempunyai lesen memandu dan memotong barisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemandu kereta berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek direman selama tiga hari,” katanya. – BERNAMA

  • SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SPRM siasat isu integriti pegawai kanan MARA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.

    “Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam Bernama melaporkan Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memulakan siasatan lanjut di MARA Corporation dengan meneliti dokumen-dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya lagi. – BERNAMA

  • Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    Jangan salahkan kerajaan kalau kena tindakan tegas

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan berkenaan sehingga membebankan pengguna.

    Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

    “Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

    Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jersi, Pengenalan Pemain dan Penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian berikutan menerima beberapa aduan daripada rakyat bahawa terdapat sesetengah pembekal atau pemborong yang cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

    “Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah itu di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

    Semalam, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

    Beliau berkata KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. – BERNAMA

  • 9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    MALAYSIA hari ini merekodkan 9,117 kes baharu COVID-19 iaitu angka tertinggi bagi tahun ini berbanding 7,234 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,904,131 setakat 12 tengah hari manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan ialah 2,806,154 orang dengan pertambahan 6,546 individu hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 47 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya 9,070 kes lagi dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 134 kes merupakan kes import dan 8,983 kes tempatan dengan 123 daripadanya memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Dr Noor Hisham juga berkata, sebanyak 10 kluster baharu direkodkan dengan 353 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 setakat semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah (1.29) dan Kedah (1.19). – BERNAMA

  • PRN Johor: Penglibatan Pejuang amanah yang perlu dipikul

    PRN Johor: Penglibatan Pejuang amanah yang perlu dipikul

    PENGLIBATAN parti Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap ahli parti itu.

    Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam surat kepada ahli Pejuang yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya hari ini, turut melahirkan rasa terkilan kerana beliau tidak dapat bersama dalam menghadapi PRN Johor berikutan masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.

    “Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan dan jangan sesekali kita mundur tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang,” katanya dalam hantaran tersebut.

    Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun tidak dapat bersama pada pilihan raya negeri itu, semangat dan jiwa beliau mengiringi ahli-ahli parti Pejuang dalam setiap langkah yang diambil.

    “Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksanakan ibadah yang perlu. Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Dr Mahathir yang menyatakan beliau kini beransur pulih turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan seluruh rakyat di negara ini, yang telah mendoakan kesihatannya.

    “Insya-Allah saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya. – BERNAMA

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.

    IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.

    “Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.

    Semalam, media melaporkan, Dr Mahathir masih menjalani proses pemulihan di institut tersebut dan dibenarkan pulang pada 2 Feb, tetapi perlu kembali ke institut itu untuk fisioterapi dan rawatan lanjut. – BERNAMA