Author: Bernama

  • Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    Bas terjunam masuk gaung, 4 mangsa maut 22 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang maut dan 22 cedera selepas sebuah bas yang dinaiki terjunam ke dalam gaung awal pagi Ahad di Chuquisaca selatan Bolivia, lapor Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

    Bas berkenaan dipandu laju sehingga mengakibatkan kemalangan di bandar Monteagudo, kata Pendakwa Raya Chuquisaca Mauricio Nava kepada akhbar tempatan.

    Menurut laporan awal, bas itu menggunakan laluan Sucre-Monteagudo dan jatuh ke dalam gaung ketika melalui selekoh.

    Nava berkata, anggota polis dan kakitangan Kementerian Awam dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang cedera. – BERNAMA

  • 21,072 kes baharu COVID-19, turun sedikit hari ini

    21,072 kes baharu COVID-19, turun sedikit hari ini

    KES baharu COVID-19 dalam negara menurun sedikit hari ini kepada 21,072 kes berbanding 22,802 semalam, selepas tujuh hari berturut-turut mencatatkan peningkatan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter berkata, kumulatif kes kini bertambah kepada 3,040,235.

    Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 99.59 peratus atau 20,986 kes berada dalam kategori satu dan dua, manakala 0.41 peratus atau 86 kes adalah bagi kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) pula mencatatkan 1.49 semalam dengan Labuan mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 2.14, diikuti Sarawak (1.67), Sabah (1.66), Perlis (1.47) dan Pulau Pinang (1.46).

    Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian mengenai perkembangan COVID-19 memaklumkan daripada 21,072 kes baharu hari ini, 65 adalah kes import dan 21,007 kes tempatan, manakala 187 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 109 kes memerlukan bantuan pernafasan.

    Beliau berkata sebanyak 5,724 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,852,437.

    Menurutnya, sebanyak 10 kluster baharu turut direkodkan dengan 421 kluster yang masih aktif setakat ini.

    Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. – BERNAMA

  • Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    Sagu hati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari

    PEMBAYARAN sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Feb ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    Pembayaran sagu hati itu dikreditkan hanya menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah bagi memudahkan urusan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    “Kerajaan Malaysia akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Jan lepas,” katanya.

    Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan wabak COVID-19 varian Omicron.

    Ibadah tersebut bagaimanapun dibenarkan semula pada 8 Feb lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya jemaah umrah diwajibkan menerima dos penggalak.

    Individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

    Menurut Idris, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

    “Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Feb,” katanya.

    Idris berkata, jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik, atau hadir terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran jika mempunyai kesukaran mendaftar secara dalam talian.

    “Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,” katanya. – BERNAMA

  • Sumpah laknat wanita kes cabul bekas ADUN tak ganggu siasatan polis

    Sumpah laknat wanita kes cabul bekas ADUN tak ganggu siasatan polis

    TINDAKAN seorang wanita yang membuat pengakuan sumpah laknat melibatkan dakwaan kes cabul oleh seorang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor, tidak menganggu siasatan pihak polis.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat turut menjelaskan bahawa, siasatan kes berkenaan juga masih diteruskan.

    “Tidak ada (ganggu siasatan)…itu adalah (dakwaan) peribadi dia. (Kes ini) kita akan terus siasat secara adil dan saksama,” katanya selepas Operasi Samseng Jalanan, di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang wanita yang melakukan pengakuan sumpah laknat berhubung kes cabul melibatkan bekas ADUN berkenaan semalam.

    Kamarul Zaman baru-baru ini berkata, kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan bekas ADUN berkenaan terhadap seorang wanita, yang juga ahli sebuah parti politik telah dilengkapkan.

    Beliau berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu, termasuk bekas ADUN dan wanita tersebut. – BERNAMA

  • PRN Johor: Calon PBM mesti lulus ujian antirasuah

    PRN Johor: Calon PBM mesti lulus ujian antirasuah

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memastikan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lulus Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) seperti yang disyorkan #RasuahBusters.

    Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, ini selaras dengan aspirasi pengundi yang mahukan pemimpin bersih dan bertanggungjawab, selain arahan parti itu juga seiring enam teras digariskan #RasuahBusters.

    “Johor akan menjadi pilihan raya pertama PBM dan kami mahu calon kami bersih dan bebas rasuah, supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sekiranya mereka menang,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

    Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya berkata, langkah itu, bukan sahaja dapat meningkatkan integriti semua calon yang berpotensi, tetapi juga membantu mewujudkan pemimpin yang lebih baik.

    Pada Khamis lepas, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata parti itu akan bertanding dua kerusi pada PRN itu, yang akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    SERAMAI lapan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Batu 6, Lukut, Port Dickson malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Limau dan Tahun Baru Cina kira-kira pukul 8.40 malam.

    “Sebaik polis tiba di lokasi, dua kumpulan dilihat sedang mengelilingi dua meja dengan meja pertama dikelilingi tiga lelaki dan seorang wanita yang berjudi daun terup manakala empat lelaki berjudi jenis mahjong di meja kedua.

    “Polis kemudiannya merampas 152 batu mahjong, kad daun terup (52), dadu (tiga), meja (dua), kerusi (lapan), kertas mahjong (empat) dan wang tunai berjumlah RM728 yang dijadikan pertaruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati dua daripada lapan individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Aidi Sham berkata, susulan itu, kesemua mereka bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • PN rangka manifesto PRN Johor ikut suara akar umbi

    PN rangka manifesto PRN Johor ikut suara akar umbi

    PERIKATAN Nasional (PN) akan merangka manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan suara akar umbi terutamanya melibatkan golongan anak muda.

    Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan turun padang di peringkat akar umbi di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, bagi mengetahui permasalahan mereka.

    Beliau berkata, antara yang akan didengari adalah keluhan dan keresahan anak muda yang berhadapan pelbagai masalah, termasuk membabitkan soal pekerjaan susulan penularan pandemik COVID-19.

    “Bagi manifesto di PRN Johor ini, kita perlu ada sekurang-kurangnya satu tawaran baharu dan saya yakin semua pemimpin PN akan meneliti cadangan-cadangan daripada akar umbi, dan PN akan cuba membantu menyelesaikannya.

    “Selain mendengar isu pekerjaan dalam kalangan anak muda, kita juga akan melihat dan cuba membantu sektor industri kecil dan sederhana (IKS) yang juga terkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN Negeri Johor di Parit Besar dekat Batu Pahat, malam tadi.

    Ketua Armada Bersatu itu berkata, pihaknya akan turun ke setiap peringkat bagi mendengar permasalahan daripada anak muda, dan bukan sekadar memantau di media sosial.

    “Tidak semua anak muda ini aktif di media sosial dan sebab itulah kita akan mengambil pendekatan dengan mendekati anak muda di Felda, kampung dan mereka yang bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

    “Mereka ini jarang melihat atau aktif di media sosial, jadi kita akan dengar suara mereka dan pada masa sama kita akan angkat suara mereka,” katanya.

    Ketika diminta mengulas berhubung calon anak muda bagi PRN Johor, beliau berkata, pihaknya berharap agar pimpinan tertinggi PN dapat menyenaraikan calon daripada golongan berkenaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu.

    “Kita sudah ada sasaran untuk kerusi bagi meletakkan calon anak muda, namun ia tertakluk kepada keputusan PN pusat. Bagaimanapun bagi kami perkara paling penting adalah calon berkenaan perlu mempunyai kredibiliti, bersih dan telah ditapis serta bebas daripada rasuah,” kata Wan Ahmad Fayhsal. – BERNAMA

  • Invois palsu: pengarah syarikat dipenjara 2 tahun, hakim nasihat carilah rezeki cara betul

    Invois palsu: pengarah syarikat dipenjara 2 tahun, hakim nasihat carilah rezeki cara betul

    SEORANG hakim menasihati seorang pengarah syarikat yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah RM829,170 kerana mengemukakan invois palsu agar menjadi contoh teladan kepada anak-anaknya serta tidak mengulangi kesalahan sama.

    “Walaupun hendak mencari rezeki, carilah dengan cara yang betul,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob kepada Ahmad Fauzi Abdul Samad, 50.

    Pengarah syarikat yang menyediakan program latihan itu didapati bersalah atas empat pertuduhan setelah pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Dia didakwa memberikan invois empat syarikat yang mempunyai kaitan dengannya berjumlah RM165,834 kepada seorang lelaki dengan butiran palsu berhubung program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia-Industri sedangkan program itu tidak dijalankan oleh syarikat terbabit.

    Ahmad Fauzi didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Pengajian Kolej Komuniti di Jalan P4W Putrajaya pada 25 Nov 2013 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan denda berjumlah RM829,170 serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

    Bagaimanapun, Rozina membenarkan permohonan peguam Azamuddin Abd Aziz, yang mewakili Ahmad Fauzi, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi serta menaikkan jumlah jaminan daripada RM40,000 kepada RM65,000.

    Tertuduh juga diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bahru pada minggu pertama setiap bulan manakala pasportnya ditahan dan disenarai hitam dari ke luar negara.

     Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kes dan faktor kepentingan awam manakala Azamuddin merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri serta tiga anak berumur lingkungan 15 hingga 23 tahun selain tidak memiliki rekod jenayah.

    Sementara itu, Mohd Faisal Ishak, 60, yang merupakan pensyarah di sebuah kolej komuniti, dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Ahmad Fauzi selepas mahkamah mendapati dia berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

    Seramai 30 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula dalam bulan Disember 2019.

    — BERNAMA

  • Jemaah umrah hanya perlu bawa kad pengenalan tuntut bayaran

    Jemaah umrah hanya perlu bawa kad pengenalan tuntut bayaran

    JEMAAH umrah yang bakal menerima pembayaran daripada kerajaan ekoran menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan lepas, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kelak.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

    “Kita akan ambil nama (jemaah umrah yang terlibat) daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan ‘clear’, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil (bayaran) di Tabung Haji.

    “Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), jadi MOTAC akan beri kepada Tabung Haji,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di sini hari ini.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Jan.

    Ahmad Marzuk berkata TH dan MOTAC telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

    Terdahulu, Idris menyampaikan replika cek bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 kepada seorang asnaf yang menjalankan perniagaan kuih dan roti, Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 34.

    Secara keseluruhannya, Program Inspirasiku MyHAUS yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memberi bantuan bernilai RM50,000 kepada Mohd Khaizuan meliputi bantuan baik pulih tempat tinggal, bantuan kelestarian perniagaan dan bantuan pendidikan anak-anak.

    Mohd Khaizuan yang juga bapa kepada empat anak itu sebelum ini turut menerima bantuan peralatan perniagaan seperti peti penyimpanan roti dan mesin membuat roti serta diberi bimbingan untuk menguruskan perniagaannya. 

     — BERNAMA

  • PN dijangka tanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor

    PN dijangka tanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor

    itik patah kaki

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, dengan PAS dan Bersatu bertanding di lebih 40 kerusi, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

    “Jentera parti telah membuat persiapan untuk menghadapi PRN kali ini dan pembahagian kerusi akan dilakukan dengan sebaik mungkin memandangkan masih ada beberapa parti lain lagi dalam PN. Selebihnya (itu) parti komponen lain dalam PN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Kelantan dekat Pasir Tumboh, di sini.

    Tuan Ibrahim berkata, pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu masih di peringkat perbincangan dan ia hanya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Induk Pilihan Raya PN PRN Johor nanti.

    “Kita juga telah bersetuju supaya satu bilik gerakan operasi antara PAS dan Bersatu ditempatkan di satu lokasi sahaja, bagi memudahkan segala urusan perancangan dan gerak kerja parti,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.