Author: Bernama

  • Berdepan tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew serah kepada proses mahkamah

    Berdepan tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew serah kepada proses mahkamah

    PENDAKWAH bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew menyerahkan kepada proses mahkamah terhadap 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual yang dihadapinya.

    Menurutnya, beliau tenang menghadapi pertuduhan itu dan menganggapnya suatu ujian daripada Allah selain berharap ujian itu mampu memberikan kebaikan buat dirinya.

    “Saya serahkan kepada peguam dan akan lalui proses mahkamah ini dengan tenang, saya berdoa semoga Allah beri rahmat kebaikan kepada semua…bila dituduh, saya akan melalui proses ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Tenom hari ini.

    Ebit Irawan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tenom hari ini atas 11 pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

    Mahkamah membenarkan Ebit Irawan dilepaskan dengan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin sementara perbicaraan kes dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Balu arwah Abam Bocey menang saman fitnah Ali Puteh

    Balu arwah Abam Bocey menang saman fitnah Ali Puteh

    ISTERI kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali melakukan ‘sujud syukur’ selepas menang dalam kes samannya terhadap adik iparnya yang juga pelawak Ali Puteh berhubung kenyataan fitnah yang mengaibkan wanita itu dua tahun lepas.

    Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman oleh Siti Nor Hidayah, 30, terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, dan memerintahkan lelaki itu membayar ganti rugi am RM60,000 kepada wanita berkenaan dan kos RM13,000.

    Mahkamah turut membenarkan permohonan Siti Nor Hidayah selaku plaintif untuk mendapat perintah injunksi bagi menghalang Syed Ali daripada menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

    Bagaimanapun, mahkamah menolak saman fitnah difailkan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya selaku plaintif terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah sebagai defendan dengan kos sebanyak RM13,000.

    Tiga ahli keluarga itu ialah ibu Syed Ali, Allahyarham Sabariah Arshad; bapanya, Syed Mohd Ridzuan Syed Hassan dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah.

    Zulqarnain dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat hantaran oleh Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 telah menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya, Siti Nor Hidayah.

    “Ia adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan. Jika kata-kata seperti ‘kamu bodoh’ atau ‘kamu jahat’ boleh mengaibkan, apatah lagi perkataan ‘binatang’.

    “Jika ditujukan kata-kata itu kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya. Apatah lagi ia ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung selepas kehilangan suami dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” kata hakim itu.

    Zulqarnain berkata setelah meneliti keterangan kesemua saksi, mahkamah berpuas hati bahawa pihak yang mengejar harta bukannya isteri arwah, sebaliknya ahli keluarganya.

    “Ini jelas kerana pada hari kedua arwah meninggal, ahli keluarganya adalah pihak yang mengajak isteri arwah untuk berbincang mengenai harta arwah tanpa mengambil kira perasaan sedih isterinya. Telefon arwah diambil oleh Syed Ali dan beg duit arwah diambil oleh ibunya, (Allahyarham Sabariah).

    “Perbuatan mereka seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang juga dalam dilema sedang memikirkan bagaimana untuk mengharungi masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil,” katanya.

    Zulqarnain berkata, mahkamah tidak dapat menerima pembelaan kesemua plaintif bahawa isteri arwah tidak boleh menggunakan kereta arwah untuk balik kampung, tidak boleh mengambil wang di dalam dompet arwah, tidak boleh menggunakan telefon arwah atas alasan urusan harta pusaka belum dimuktamadkan.

    “Mahkamah berpuas hati bahawa tiada apa-apa keterangan dikemukakan oleh kesemua plaintif yang menunjukkan bahawa ada undang-undang yang menyatakan sekiranya seorang suami meninggal, isteri dilarang sama sekali untuk menggunakan kereta suaminya walaupun untuk balik kampung, atau isteri dilarang mengambil wang di dalam dompet suami walaupun untuk kegunaan dan kebajikan anak ataupun isteri dilarang menggunakan telefon bimbit suaminya.

    “Pada pendapat mahkamah, jika digunakan sekalipun kereta arwah suami atau mengambil wang suami untuk berbelanja, tiada apa yang melarang harta pusaka tidak boleh diagihkan atau diputuskan. la boleh diambil atau dipulangkan semula atau diperintahkan untuk memulang semula kemudiannya,” katanya.

    Hakim itu berkata, mahkamah mendapati isteri arwah lebih memikirkan masa depan anak yang masih kecil dan wang RM10,000 yang diambil olehnya bukan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya ke dalam akaun anaknya.

    Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata, mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

    Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

    Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

    Sementara itu, Siti Nor Hidayah yang diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, dia bersyukur dengan keputusan hari ini yang berpihak kepadanya.

    “Saya syukur sangat-sangat sebab hari ini, hari Jumaat. Saya maafkan apa yang orang kata pada saya. Terima kasih kerana mendoakan saya dan anak,” katanya dalam nada sebak.

    Syed Ali yang hadir bersama peguamnya, Noorazmir Zakaria pula berkata, beliau menghormati serta menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. – BERNAMA

  • Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    Kes ADUN positif dadah: Polis belum terima arahan PPN

    POLIS Pulau Pinang telah menyerahkan kertas siasatan kes Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak yang ujian air kencingnya positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai dekat George Town bulan lepas, kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan yang lengkap dengan laporan patologi sampel air kencing ADUN itu diserahkan pada 3 Feb lepas.

    “Setakat ini kami belum mendapat sebarang arahan daripada PPN untuk tindakan lanjut, sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.

    Kertas siasatan berkenaan sebelum ini sudah pun diserahkan kepada PPN Pulau Pinang sekitar hujung bulan lepas, namun ia dikembalikan untuk beberapa tindakan susulan.

    Pada 13 Jan lepas, dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai, 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah, dan seorang daripada yang ditahan ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

    Terence Naidu bagaimanapun menafikan beliau mengambil dadah, malah dalam surat penjelasannya kepada DAP beliau memberitahu hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di sebuah klinik kemudiannya mendapati beliau negatif dadah. – BERNAMA

  • Bekas Timbalan Pengarah Air Sabah lepas tanpa bebas tuduhan ubah wang haram

    Bekas Timbalan Pengarah Air Sabah lepas tanpa bebas tuduhan ubah wang haram

    Tertuduh dikenakan kompaun RM30 juta

    MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu melepas tanpa membebaskan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Teo Chee Kong, 56, atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM32 juta.

    Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan pihaknya dan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan semua pertuduhan terhadap Teo.

    Mahadi berkata ini berikutan tertuduh telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

    Pada 13 Dis 2017, Teo mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu. Dia didakwa melakukan pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah yang melibatkan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016.

    Kes itu pada peringkat perbicaraan dengan pihak pendakwaan telah memanggil lima saksinya untuk memberi keterangan.

    Sementara itu dalam sidang media selepas prosiding itu Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Faridz Gohim Abdullah berkata kompaun sebanyak RM30 juta dikenakan terhadap tertuduh.

    Faridz Gohim berkata tindakan SPRM mengenakan kompaun itu adalah satu bentuk pemulangan aset di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAM) 2001.

    Beliau berkata kompaun itu merupakan hukuman atau tindakan punitif terhadap tertuduh dan secara tidak langsung sebagai satu pengakuan salah.

    “Dengan jumlah ini ia merupakan satu kejayaan kepada pihak pendakwaan dan sekiranya tertuduh tidak membayar kompaun, dia akan didakwa penuh dalam mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata keputusan ke atas Teo itu tidak menjejaskan kes tiga individu lain (termasuk Awang Mohd Tahir Mohd Talib) yang turut menghadapi pertuduhan berkaitan.

    Pada 4 Okt 2016, Teo bersama bekas pengarah jabatan itu, Awang Mohd Tahir Mohd Talib ditahan SPRM dan selepas menggeledah pejabat dan kediaman kedua-dua suspek, SPRM menemukan wang tunai RM52 juta iaitu RM7 juta milik Teo manakala RM45 juta milik Awang Mohd Tahir.

    Turut ditemukan adalah barangan kemas, wang tunai di dalam beberapa akaun di luar negara serta geran-geran tanah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM180 juta termasuk wang tunai.

    — BERNAMA

  • SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SPR perlu lanjut tempoh daftar pengundi pos – Saifuddin Nasution

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan individu berada di luar negara yang layak mengundi diberikan hak tersebut.

    Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh sembilan hari yang diberikan SPR adalah amat singkat dan masih ramai pengundi yang belum berdaftar sebagai pengundi pos.

    “Saya mengikuti beberapa laporan berita yang berkata ramai pengundi Johor yang berada di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos.

    “Berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut meminta SPR untuk lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.

    SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.

    Permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka dari 9 hingga 18 Feb. Permohonan boleh dilaksanakan secara dalam talian. – BERNAMA

  • Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    TOKOH dan pemimpin daripada mana-mana parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan itu diambil oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

    Beliau berkata, setiap kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan politik termasuk majlis ceramah mahupun memberikan ucapan di masjid dan surau di kawasan mereka.

    “Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ mengambil ketetapan tidak dibenarkan mana-mana tokoh dan pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah, menggunakan masjid serta surau untuk sebarang kegiatan politik,” katanya pada sidang media di Kulai, hari ini.

    Tosrin berkata, sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akan dirujuk kepada Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi memutuskan tindakan lanjut.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Dua lelaki maut MPV terbabas, rempuh papan tanda

    Dua lelaki maut MPV terbabas, rempuh papan tanda

    DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipercayai terbabas di Lebuhraya Plus KM194.4 arah Utara di Alor Gajah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah SUPT Arshad Abu berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kereta yang dipandu Go Kuan Woei bersama penumpang Yee Kam Pou dari selatan menghala ke utara, terbabas sebelum melanggar papan tanda di bahu jalan sebelah kiri.

    “Kedua-dua mangsa berusia 46 tahun dan berasal dari Layang-Layang, Johor itu maut di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Menurut Arshad kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataan memaklumkan 13 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    — BERNAMA

  • Ebit  hadapi 11 pertuduhan, didakwa hantar gambar, perkataan lucah

    Ebit  hadapi 11 pertuduhan, didakwa hantar gambar, perkataan lucah

    PENDAKWAH bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Tenom hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.

    Ebit Irawan, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

    Tertuduh didakwa membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

    Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Nur Asyraf menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.

    Ebit Irawan membayar wang jaminan itu.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam sidang media di sini hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.

    Beliau berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.

    “Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya.

    “Pihak polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” katanya.

    — BERNAMA

  • Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

    Penguasa Kanan SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan salah guna wang rampasan AS$6.94 juta

    SEORANG Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta.

    Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

    Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

    Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

    Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

    Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

    Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

    Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

    “Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

    “Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

    Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

    Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

    Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

    “Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

    “Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya. – BERNAMA

  • Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    KES baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah 26,701 menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,138,215 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,583 orang atau 99.56 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes atau 0.44 peratus kategori tiga, empat dan lima.

    “Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26,569 adalah kes tempatan manakala 132 lagi kes import,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini.

    Sebanyak 11,744 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kini 2,888,194, selain kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 216 orang dengan 141 memerlukan bantuan pernafasan.

    Dr Noor Hisham berkata, 19 kluster baharu dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif adalah 481.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.32 dengan Labuan mencatat nilai tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak 1.56 dan Sabah 1.51.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri iaitu Johor dan Kelantan masing-masing berada pada tahap 65 peratus dan 50 peratus.

    Beliau berkata, bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), lapan negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Perak mencatatkan kadar 74 peratus diikuti Negeri Sembilan 73 peratus.

    Bagi katil bukan ICU pula, sembilan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Perak (99 peratus), Kelantan (96), Selangor (93), Perlis (93), Putrajaya (85), Kuala Lumpur (84), Johor (80), Sabah (79) dan Pahang (51).

    “Secara keseluruhannya, kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19, namun setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas segera sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital semalam adalah 1,469 dengan 947 kes (64.5 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 522 kes (35.5 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata, terdapat kes COVID-19 kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan secara pre-emptive ke PKRC dan hospital antaranya disebabkan medical emergency seperti penyakit kencing manis, darah tinggi yang tidak terkawal serta baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal. – BERNAMA