Author: Bernama

  • Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    SEORANG lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat Seremban, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi,

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan raya itu.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nanda berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA

  • Polis tahan tujuh lelaki tempatan culik warga Bangladesh

    Polis tahan tujuh lelaki tempatan culik warga Bangladesh

    POLIS Klang Selatan menahan tujuh lelaki tempatan di sekitar Shah Alam dan Klang awal pagi semalam disyaki terlibat dengan kes penculikan seorang pekerja binaan warga Bangladesh.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata kesemua suspek lelaki berusia 20 hingga 25 tahun diberkas, antara pukul 1.30 hingga 4 pagi selepas adik mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 1 pagi pada hari yang sama.

    Katanya menurut laporan, adik mangsa berusia 32 tahun itu menerima panggilan daripada seorang suspek menggunakan telefon milik abangnya berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.57 malam, pada Khamis lepas.

    “Menerusi panggilan itu, suspek memaklumkan abangnya itu ada bersama mereka dan meminta RM50,000 sekiranya mahu dilepaskan atau jika enggan memberikan wang mereka akan pergi ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata hampir sejam kemudian kumpulan suspek itu telah datang dengan membawa mangsa dan telah memukul adiknya dan tiga rakannya di rumah tersebut, sebelum suspek beredar dengan membawa sekali mangsa.

    Katanya mangsa berjaya ditemui di tepi jalan di Shah Alam kira-kira pukul 1.31 pagi hari sama selepas ditinggalkan suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

    Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 365.

    Sementara itu, Polis Shah Alam sedang menyiasat kes berkenaan video tular memaparkan sebuah kereta yang memandu di lorong motosikal pada Rabu lepas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari arah arah Klang ke Kuala Lumpur.

    Ketua Timbalan Polis Daerah Shah Alam Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati seorang wanita berumur 69 tahun yang memandu dari rumahnya di Banting telah tersesat jalan, untuk pergi ke rumah anak saudaranya di Pandamaran.

    “Pemandu itu telah panik dan hendak membuat pusingan U namun tersalah masuk ke laluan motosikal. Warga emas itu kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan untuk keluar semula ke laluan betul di Lebuh Raya Kesas,” katanya.

    Beliau berkata kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan dan kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    — BERNAMA

  • DAP kitar semula calon-calon DUN Stulang, Johor Jaya

    DAP kitar semula calon-calon DUN Stulang, Johor Jaya

    DAP mengumumkan dua lagi calon parti itu untuk bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

    Kedua-dua mereka ialah Andrew Chen Kah Eng dan Liow Cai Tung, masing-masing penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dan Johor Jaya.

    Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam dua majlis berasingan di sini sekali gus menjadikan setakat ini enam calon dari DAP diumum bertanding pada PRN Johor.

    Lim berkata, pemilihan Chen bagi memberi peluang kepadanya untuk meneruskan khidmat di DUN Stulang manakala Liow merupakan seorang wanita muda yang bersemangat berkhidmat kepada rakyat.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Chen memenangi kerusi DUN Stulang dengan memperoleh majoriti 12,470 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Ang Boon Heng, sementara Liow menewaskan Tan Cher Puk (BN) dengan majoriti 15,565 undi.

    DAP sebelum ini mengumumkan calon daripada parti itu yang akan bertanding atas tiket PH iaitu di kerusi DUN Tangkak, Paloh, Mengkibol dan Penggaram. – BERNAMA

  • Tuduhan remaja bunuh bayi boleh dikaji semula – AGC

    Tuduhan remaja bunuh bayi boleh dikaji semula – AGC

    JABATAN Peguam Negara (AGC) masih boleh meneliti dan mengkaji semula pertuduhan membunuh bayi lelaki baru dilahirkan yang dikenakan terhadap seorang remaja, kepada pertuduhan lain.

    AGC menerusi kenyataan memaklumkan ia setelah mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kejadian rogol ke atas remaja perempuan itu yang berumur 14 tahun 11 bulan.

    Jabatan berkenaan memaklumkan remaja berkenaan akan diadili melalui proses keadilan mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memandangkan orang yang dituduh itu adalah seorang kanak-kanak seperti mana takrifan di bawah Akta 611 dan jika disabitkan kanak-kanak itu akan diperintahkan untuk ditahan di bawah Seksyen 97(2).

    Di bawah seksyen itu pesalah muda ditahan di penjara selama perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

    Menurut AGC, pertuduhan ke atas remaja itu adalah satu proses keadilan jenayah yang telus tanpa dipengaruhi oleh apa-apa dorongan dan berasaskan kepada keterangan semata-mata.

    “Maklumat mengenai kejadian rogol hanya diketahui selepas remaja tersebut ditangkap, di mana satu laporan polis dibuat olehnya pada 8 Feb 2022. Susulan daripada laporan polis itu satu kertas siasatan dibuka dan siasatan masih dijalankan,” menurut jabatan itu.

    Menurut AGC, laporan polis berkaitan kertas siasatan itu telah dibuat pada 8 Feb lepas oleh seorang pegawai perubatan yang memaklumkan bahawa pada hari berkenaan 9 pagi, semasa sedang bertugas di Klinik Kesihatan Seri Bandi, Kemaman, Terengganu beliau telah dimaklumkan mengenai satu kes bersalin di rumah.

    “Pada jam lebih kurang 9.10 pagi, pengadu bersama pasukan telah ke lokasi dan terlihat satu perempuan sedang memegang bayi berhampiran sinki dapur. Pengadu juga mendapati tali pusat bayi telah dipotong dengan menggunakan benda tajam.

    “Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan yang dikemukakan, Pejabat Pengarah Pendakwan Negeri telah memberi kebenaran untuk pertuduhan ke atas remaja itu yang berumur 14 tahun 11 bulan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kematian bayi dilahirkan itu,” menurut kenyataan itu.

    Jabatan itu menyatakan bahawa, pertuduhan dibuat berasaskan keterangan saksi-saksi dan dokumentasi serta keterangan pegawai forensik dan pengesahan pakar patologi bahawa bayi yang mati itu berumur antara 38 hingga 40 minggu dengan berat 2.49 kg semasa dilahirkan dengan tali pusat telah dipotong dengan benda tajam dan terdapat kecederaan lain termasuk satu tikaman pada bahagian badan bayi tersebut.

    Pada 15 Feb lepas, remaja itu didakwa di Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu atas pertuduhan dengan sengaja membunuh bayi itu di sebuah rumah di Seri Bandi di negeri itu antara 7 hingga 9 pagi, 8 Feb lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku. – BERNAMA

  • PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    PRN Johor: KPM bincang dengan SPR tidak guna kelas peperiksaan SPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menggunakan kelas yang dikhaskan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tempat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya akur dengan keperluan SPR untuk menggunakan 151 sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada PRN Johor itu, namun penggunaannya harus diminimumkan agar tidak mengganggu perjalanan SPM yang berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

    “Bilik-bilik ini telah disusun oleh pihak sekolah mengikut indeks nama murid serta angka giliran. Sebarang gangguan kepada susunan atau aturan boleh memberi implikasi besar kerana peperiksaan SPM kali ini tidak macam tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Didik Negara (YDN) di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid sudah berbincang dengan para pengetua sekolah terlibat semalam untuk memastikan proses peperiksaan SPM berjalan dengan baik ketika PRN Johor.

    SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala hari penamaan calon pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pada 8 Mac.

    Menurut Radzi, KPM juga akan memohon kepada SPR untuk mengecualikan guru-guru yang terlibat dengan SPM seperti pengawas, petugas peperiksaan atau pemeriksa kertas SPM, daripada bertugas sebagai petugas PRN Johor.

    “Ini merupakan tempoh yang amat penting bagi guru-guru untuk menumpukan sepenuhnya kepada pelaksanaan SPM.

    “Bagi KPM, peperiksaan ini merupakan satu komponen yang cukup penting untuk ibu bapa dan anak-anak ini kerana kohort SPM 2021 yang paling terkesan dengan pendekatan kurikulum baharu. Anak-anak kohort ini tak pergi sekolah dua tahun, semasa mereka di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima,” katanya.

    Radzi berkata, pendirian KPM apabila PRN Johor diumumkan adalah supaya sekolah menengah tidak digunakan, namun menyedari SPR juga mempunyai kekangan tertentu dan ada akta yang membolehkan suruhanjaya itu menggunakan sekolah sekiranya perlu.

    Mengenai prosedur operasi standard (SOP) SPM, Radzi berkata SOP yang sama seperti tahun lepas akan diguna pakai, antaranya calon positif COVID-19 tidak dibenarkan menduduki kertas pada hari berkenaan, sebaliknya mereka akan menjawab kertas peperiksaan pada tarikh lain yang ditetapkan KPM.

    Selain itu, setiap sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM juga ada menyediakan bilik alternatif yang berperanan sebagai bilik pengasingan awal sekiranya terdapat calon yang sedang menjawab kertas peperiksaan disahkan positif oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Calon yang menjadi kontak rapat pula perlu mengemukakan surat pengesahan daripada KKM yang menyatakan mereka perlu dikuarantin dan akan menduduki kertas peperiksaan pada tarikh lain, katanya.

    Mengenai YDN, Radzi berkata, yayasan itu berperanan sebagai badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menggembleng sumbangan daripada pelbagai pihak, kemudian menyalurkan kepada pihak sekolah dengan lebih sistematik.

    “Kadang-kadang ada sekolah telah menerima sumbangan, namun tidak maklumkan kepada KPM, jadi berlaku pertindihan sumbangan. Oleh itu, dengan adanya YDN kita boleh selaraskan, jika data menunjukkan sekolah itu sudah menerima sumbangan, maka sumbangan yang ada boleh diagih kepada sekolah lain,” katanya.

    Menurutnya, YDN telah menerima lebih RM20 juta sumbangan dalam bentuk tunai dan barangan sejak didaftarkan Julai lepas. – BERNAMA

  • Ismail Sabri peroleh perintah mahkamah Agenda Daily padam artikel fitnah

    Ismail Sabri peroleh perintah mahkamah Agenda Daily padam artikel fitnah

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pemilik Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel yang didakwa memfitnah Perdana Menteri yang diterbitkan oleh portal berita berkenaan, bulan lepas.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Perdana Menteri berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Ismail Sabri selaku plaintif terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit sebagai defendan dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian, petang ini.

    “Mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan mengeluarkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ di Agenda Daily dan injunksi untuk Agenda Daily daripada membuat sebarang kenyataan untuk menyatakan/membawa maksud bahawa Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai PM dan Ismail Sabri ‘rayu’ atau ‘akan rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan mereka untuk beliau kekal sebagai PM.

    “Perintah ex-parte itu selama 21 hari dan perbicaraan inter-parte (dua pihak) ditetapkan pada 4 Mac,” kata peguam itu.

    Ismail Sabri, 60, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Muhamad Izwan, 37, semalam di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menerbitkan artikel memfitnahnya di laman web tersebut.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang menfailkan saman atas kapasiti peribadinya mendakwa, pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel berkenaan di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dengan plaintif.

    Beliau mendakwa, artikel itu telah diterbitkan semula di dalam satu laman web dikenali sebagai “The MalaysiaLife” iaitu portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh orang ramai.

    Plaintif mendakwa, artikel berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    “Artikel itu juga membawa maksud saya tidak setia dengan UMNO dan hanya berminat untuk terus menjadi perdana menteri tanpa mengira kepentingan UMNO dan lebih bimbang tentang kedudukan saya sebagai perdana menteri dan bukannya kepentingan negara,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar dan turut menyinggung perasaannya.

    “Penerbitan itu juga telah menyebabkan emosi saya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu juga boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politik saya,” dakwanya.

    Menurut Ismail Sabri, walaupun peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 3 Feb lepas memohon defendan memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf, namun sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan.

    Oleh itu, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif selain defendan diperintah menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

    Turut dipohon adalah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman web Agenda Daily dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

    Selain itu, Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – BERNAMA

  • Kes MITRA: Seorang lagi bergelar ‘Datuk’ didakwa, hadapi 35 pertuduhan

    Kes MITRA: Seorang lagi bergelar ‘Datuk’ didakwa, hadapi 35 pertuduhan

    SEORANG pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 35 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM276,625, tahun lepas.

    Datuk Reghu P.V. Bhaskaran, 61, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi

    Dia dituduh mengemukakan laporan akhir mengandungi butiran palsu berkaitan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara Reform Training di bawah MITRA kepada Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan dan Latihan MITRA, R. Kavithah di pejabat unit itu di Putrajaya pada 5 Mei 2021.

    Dokumen itu dikatakan mengandungi butiran palsu berhubung senarai kedatangan peserta, surat perakuan penggunaan dana, baucar bayaran, invois dan cek deposit resit untuk 200 peserta golongan B40 bagi program berkenaan, sedangkan program tersebut sebenarnya tidak dilaksanakan.

    Dia didakwa mempunyai kepentingan terhadap program itu yang bernilai RM950,160 yang diperuntukkan di bawah geran kewangan MITRA 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Reghu juga mengaku tidak bersalah atas 23 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu berhubung senarai kedatangan peserta program berkenaan, invois, baucar bayaran dan surat pengakuan penggunaan dana membabitkan nilai berjumlah RM100,625.

    Dia yang didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Afif Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lelaki itu perlu melaporkan diri di pejabat SRPM berdekatan sebulan sekali.

    Peguam Ariff Firman Mohd Sidek, yang mewakili Reghu memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya tidak sempat menyediakan wang jaminan yang tinggi kerana akaun banknya dibekukan.

    “Saya memohon agar mahkamah membenarkan anak guam saya membayar jaminan secara ansuran sebanyak dua kali kerana dia hanya dapat notis untuk hadir ke mahkamah pada pukul 6 petang semalam dan tidak sempat mencari wang untuk membayar ikat jamin itu,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan mengarahkan tertuduh membayar RM10,000 hari ini dan baki RM15,000 perlu dibayar sebelum Rabu depan.

    Mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk serahan dokumen.

    — BERNAMA

  • Polis tahan 2 lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan

    Polis tahan 2 lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan

    POLIS menahan dua lelaki hari ini berhubung dakwaan berpakaian wanita dan mengambil gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene di sini serta memuat naiknya menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata gambar tersebut kemudiannya dikongsikan semula oleh pengendali Facebook Persatuan Bangsa Johor daripada pemilik akaun Facebook Bryan Wee dan Deachon Chai.

    Beliau berkata tangkapan dilakukan kira-kira 12.30 hingga 1.30 tengah hari tadi di sekitar Taman Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini.

    “Kedua-duanya akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian negara, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Zaman berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Justeru, polis menyeru orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

    Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa keping gambar kedua-dua lelaki berkenaan berpakaian wanita dan kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene.

    — BERNAMA

  • Bekas Pengarah AADK Melaka didakwa terima suapan RM5,900

    Bekas Pengarah AADK Melaka didakwa terima suapan RM5,900

    BEKAS  pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM5,900.

    Mohamad Yusof Kameh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mohamad Yusof yang merupakan seorang pegawai badan awam ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan daripada seorang individu sebagai dorongan untuk memilih beberapa syarikat bagi kerja-kerja di agensi itu.

    Ia bagi kerja-kerja menyelenggara lokap dan penjana di AADK Jasin, perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas untuk AADK dan kerja-kerja menyediakan alatan serta kelengkapan makan dan minum bagi program Kembara Perdana Bulan Antidadah untuk AADK Melaka.

    Mohamad Yusof dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat AADK Melaka antara 24 Nov 2017 dan 19 Mac 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mohamad Yusof juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilhan iaitu menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga iaitu wang tunai berjumlah RM5,900, yang tertuduh mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat memohon jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani sepanjang kes berlangsung.

    Mohamad Yusof yang tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. Tertuduh membayar jaminan itu.

    — BERNAMA

  • Pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ didakwa pecah amanah Dana Mitra lebih RM5 juta

    Pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ didakwa pecah amanah Dana Mitra lebih RM5 juta

    SEORANG pengarah sebuah syarikat bergelar ‘Datuk’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah lebih RM5 juta, tahun lepas.

    L. Ragu Raman, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

    Dia dituduh sebagai pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah atas harta dana daripada MITRA melibatkan wang RM3,562,725.86, RM300,000, RM500,000, RM300,000, RM400,000 dan RM120,000.

    Kesemua perbuatan  itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan di Jalan Pasar, Teluk Intan pada 29 Jan dan 18 Ogos 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan namun peguam S. Prekash yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    M Bakri kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA