Author: Bernama

  • Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi gabungan politik itu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    “Kami kalau dah bentuk kerajaan, kami janji akan laksana dan  tunaikannya… contohnya isu perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda… bila kita diberi peluang mentadbir Johor, antara yang kita akan beri perhatian adalah sediakan peluang perumahan untuk kumpulan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada ceramah umum bersama warga Felda Sri Ledang dekat sini malam ini. 

    Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin. 

    Penamaan calon PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.

    — BERNAMA

  • Covid-19 : Individu tidak divaksin berhadapan risiko kematian

    Covid-19 : Individu tidak divaksin berhadapan risiko kematian

    KUMPULAN individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Jan hingga 22 Feb.

    “Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan. 

    Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut.

    “Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

    Beliau berkata vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

    Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital Dr Noor Hisham berkata empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

    Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

    Sebanyak 19,037 kes sembuh Covid-19 dicatatkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes.

    — BERNAMA

  • Pejuang tanding 42 kerusi di PRN Johor

    Pejuang tanding 42 kerusi di PRN Johor

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan kehendak rakyat dan kesesuaian komposisi pengundi, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata beberapa faktor tertentu perlu diambil kira kerana ada kawasan yang tidak sesuai untuk Pejuang memandangkan ia adalah parti Melayu antaranya faktor kaum dan bangsa, usia serta kesetiaan kepada parti lain.

    “Kita tidak tamak, buat apa bertanding di semua 56 kerusi dan kalah semua. Kita bertanding di tempat yang ada kemungkinan untuk menang,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Aspirasi Johor, yang merupakan tawaran Pejuang untuk rakyat Johor, di sini hari ini.

    Ditanya peluang Pejuang pada PRN Johor itu, Mahathir berkata : “Kami fikir kami mempunyai peluang yang baik”.

    Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac, penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.

    “Kami sendiri (tidak menyertai mana-mana gabungan) tetapi kami mempunyai calon yang baik. Saya fikir kami boleh menyediakan kepimpinan yang diperlukan pada masa ini di Johor dan Malaysia,” kata Dr Mahathir.

    Dalam sidang akhbar pertamanya selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 13 Jan berikutan kejayaan menjalani prosedur perubatan elektif, Dr Mahathir berkata beliau ingin ke Johor untuk berkempen tetapi beliau belum pulih 100 peratus lagi.

    Beliau berkata doktor telah menasihatinya supaya berhati-hati kerana umurnya 97 tahun dan tidak dapat menjamin tidak dijangkiti COVID-19.

    “Saya baru pulih daripada serangan serius tetapi saya sudah boleh berfungsi dengan baik dan saya tahu apa yang berlaku dalam negara. Saya tidak akan memimpin tetapi boleh menyumbang (pilihan raya Johor),” katanya.

    Sementara itu, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata senarai calon dan kawasan yang akan ditandingi Pejuang pada PRN Johor akan diumumkan esok di Muar, Johor.

    Mengenai Aspirasi Johor, Mukhriz berkata tiga tumpuan dalam Aspirasi Johor ialah mengutamakan ekonomi rakyat tempatan, merapatkan jurang ekonomi antara daerah dan melawan rasuah.

    “Tawaran ini datang daripada maklum balas diterima daripada pelbagai pihak dan sesi perbincangan dengan rakyat di lapangan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang membantu merangka satu tawaran menyeluruh,” katanya selepas majlis pelancaran Aspirasi Johor.

     — BERNAMA

  • Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    Dakwaan wujud kartel PDRM tidak dapat ditentusahkan – EAIC

    DAKWAAN wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

    Pengerusi EAIC ,Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

    “Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

    Beliau berkata, siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

    “Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

    Selain itu, Sidek berkata, Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

    “Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

    Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka. – BERNAMA

  • Irwan Serigar mohon batal saman 1MDB tuntut AS$6.59 bilion

    Irwan Serigar mohon batal saman 1MDB tuntut AS$6.59 bilion

    BEKAS Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memohon untuk membatalkan saman yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar AS$6.59 bilion.

    Permohonan itu difailkan Mohd Irwan selaku defendan kedua di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman Tetuan Lavania & Balan Chambers pada 18 Feb lepas terhadap 1MDB sebagai plaintif dalam kes tersebut.

    Berdasarkan dokumen yang diperoleh media menerusi sistem mahkamah, Mohd Irwan mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Limited serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak boleh dikekalkan memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

    Mohd Irwan mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang kewajipan kontrak, statutori atau fidusiari terhadap 1MDB kerana pelantikannya sebagai pengarah syarikat itu adalah selepas kerugian yang didakwa dialami 1MDB.

    Mohd Irwan juga mendakwa, apa yang amat mengelirukan ialah Lembaga Pengarah 1MDB sebelum beliau menjadi Pengerusi tidak disaman oleh syarikat itu meskipun pelaburan Brazen Sky dan pembayaran Aabar Investments dilaksanakan semasa pengurusan terdahulu.

    Menurut Mohd Irwan, tuntutan kerugian yang kononnya dialami 1MDB adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana syarikat itu telah memperoleh wang sejurus penyelesaian dicapai dalam tuntutan sivil terhadap pihak lain yang difailkan 1MDB.

    Beliau berkata, tuntutan 1MDB terhadapnya untuk pengembalian wang berjumlah AS$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) menurut Award Persetujuan bertarikh 9 Mei 2017 jelas tidak konsisten dengan pendirian yang kini diambil oleh 1MDB dalam permohonan syarikat itu untuk mengetepikan award tersebut dalam Timbang Tara London (permohonan penepian).

    “Sekiranya 1MDB berjaya dalam permohonan (mengetepikan), ia bermaksud 1MDB tidak mengalami sebarang kerugian berbangkit daripada Award Persetujuan.

    “Selanjutnya, kes 1MDB dalam permohonan (mengetepikan) adalah bahawa Lembaga Pengarah 1MDB pada masa itu, termasuk saya, tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut arahan wakil pemegang saham iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu),” katanya dalam permohonan itu.

    Mengenai pembayaran 1MDB kepada Arul Kanda menerusi Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan bertarikh 23 Feb 2018, Mohd Irwan mendakwa, tuntutan mengenai perjanjian itu adalah jelas dan tidak boleh dikekalkan.

    Dakwa Mohd Irwan, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, tugas serta tanggungjawab beliau hanyalah terhadap 1MDB sebagai sebuah syarikat dan bukan Kerajaan Persekutuan ketika itu.

    “Saya bukan seorang lantikan politik mahupun seorang ahli mana-mana parti politik yang berminat dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dalam apa jua keadaan, keputusan untuk melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan merupakan satu keputusan kolektif oleh Lembaga Pengarah yang mempunyai kuasa sewajarnya untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut,” katanya.

    Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, ketika dihubungi berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Azlinda Ahmad Sharif secara dalam talian dan mahkamah menetapkan 20 April untuk pengurusan kes selanjutnya.

    1MDB, yang memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan Mohd Irwan pada Mei tahun lepas, mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada IPIC pada 9 Mei 2017.

    Dakwa 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran yang substansial berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian serta kerosakan.

    Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – BERNAMA

  • Ahli korporat wanita calon DAP bagi DUN Jementah

    Ahli korporat wanita calon DAP bagi DUN Jementah

    DAP hari ini mengumumkan seorang ahli korporat wanita Ng Kor Sim, 39, sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Lim berkata, DAP yakin dengan kewibawaan Ng yang lahir dari keluarga susah namun berjaya dalam kehidupan sekali gus mampu memberi impak sama kepada penduduk di DUN itu.

    Ng, yang juga ibu tunggal, merupakan pengurus besar di sebuah syarikat swasta dan aktif menyertai pelbagai pertubuhan komuniti sejak 2015.

    Sebelum ini, DAP memperkenal 11 calon membabitkan kerusi DUN di Tangkak, Paloh, Mengkibol, Penggaram, Stulang, Johor Jaya, Bekok, Bentayan, Pekan Nanas, Senai dan Yong Peng.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

    Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata, Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

    Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.

    “Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

    “Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya hari ini.

    Mahkamah kemudian menetapkan 24 Feb ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

    Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Semasa prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

    Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa, Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injunksi mareva

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk mengetepikan injunksi mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya untuk menghalangnya daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

    Najib, 69, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Tetuan Shafee & Co, Jumaat lepas.

    Semasa prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Pekan itu dan melanjutkan injunksi itu sehingga perbicaraan.

    Peguam dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

    Pada 8 Feb, Atan Mustaffa membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa orang lagi.

    Injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

    Bagaimanapun, sekiranya beliau memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam1MDB dan Global Diversified.

    Injunksi mareva adalah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai US$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Beliau dikehendaki memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

    Sekiranya keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

    Perintah itu juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah, dan mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu. – BERNAMA

  • Calon PN untuk PRN Johor umum Khamis

    Calon PN untuk PRN Johor umum Khamis

    SENARAI calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan di Johor pada Khamis ini, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Pembahagian kerusi untuk PRN dah selesai antara parti-parti dalam PN. Kita dalam peringkat akhir tapisan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Putrajaya hari ini.

    PN dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    SPR telah menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    Kepala ibu tiri dipenggal, lelaki OKU dituduh membunuh

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya, minggu lepas.

    Abdul Aziz Abdullah, 33, yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Abdul Aziz didakwa membunuh Rahana Abd Razak, 55, di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh ibu tirinya dengan cara memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan leher terputus di dalam bilik sebuah rumah di Jerek.

    Suspek bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Bertam selepas kejadian dan memberitahu telah membunuh ibu tirinya dengan parang. – BERNAMA