Author: Bernama

  • Peniaga sertai ekspedisi  Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    Peniaga sertai ekspedisi Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    SEORANG peniaga yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan disahkan meninggal dunia hari ini, selepas didakwa tidak sihat dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.  

    Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya, Selangor difahamkan meninggal dunia pada 12.30 tengah hari, kira-kira 13 kilometer dari pintu masuk Kuala Juram yang merupakan lokasi permulaan pendakian.

    Mangsa difahamkan menyertai pendakian itu bersama 11 rakan lelaki semuanya dari Selangor pada Sabtu lepas (12 Mac) dengan dipandu arah oleh dua malim gunung dan ekspedisi tersebut sepatutnya tamat hari ini. 

    “Keterangan awal malim gunung mendakwa mangsa mulai lemah selepas mengalami cirit-birit selama dua hari menyebabkan dia tidak mampu untuk makan semasa mereka dalam perjalanan turun. 

    “Keadaan itu menyebabkan mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sekitar pagi tadi bagi meminta bantuan selepas mangsa kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini. 

    Azli berkata pihaknya segera membuat permohonan bagi mendapatkan helikopter polis untuk membawa mangsa turun, namun difahamkan mangsa telah meninggal dunia. 

    Helikopter yang membawa jenazah mangsa mendarat di padang awam Kuala Lipis dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi bedah siasat. 

    — BERNAMA 

  • Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    KERAJAAN Selangor tidak berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Hasil perbincangan saya dengan beberapa rakan Menteri Besar Pakatan Harapan (PH), kami sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir iaitu antara April dan Mei tahun hadapan.

    “Bagaimanapun perkara itu masih bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini. 

    Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata ini kerana selepas dua tahun negeri itu menempuh jangkitan wabak COVID-19, banyak perancangan dan projek kerajaan negeri terpaksa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

    Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Semalam Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengeluarkan kenyataan bahawa DUN ketiga-tiga negeri di bawah pimpinan parti itu tidak akan dibubar sehingga tamat tempohnya.

    — BERNAMA

  • Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar, bulan lepas.

    Aliff Asyraf Abu, 27, yang memakai pendakap leher dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

    Aliff Asyraf didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan melulu atau kelajuan yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian kepada pemandu C.Tinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P. Milan Damani, 32; Ishaan Ivaan Damani, 4; dan Rihaan Ivaan Damani, 3; pada 11.20 pagi, 27 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan selepas kejadian anak guamnya tidak bekerja kerana kudratnya tidak kuat seperti sebelum ini selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan walaupun terlantar di hospital.

    “Ini kesalahan pertama tertuduh dan dia bukan penjenayah tegar yang perlu dikenakan jaminan tinggi,” katanya dan menambah bahawa tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 28 April untuk sebutan kes.

    Pada 27 Feb  lepas, media melaporkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

    Kenderaan tersebut masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga dan akibat rempuhan itu pasangan terbabit dan dua anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian.

    — BERNAMA

  • Enam negeri tidak  bubar DUN sehingga penggal berakhir

    Enam negeri tidak bubar DUN sehingga penggal berakhir

    ENAM  negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

    “Kita dah bincang dengan beberapa negeri ketika menghadiri mesyuarat itu di ibu negara baru-baru ini, ada enam negeri termasuk Negeri Sembilan.

    “Keenam-enam negeri mengatakan mereka mungkin akan (menanti hingga) ke akhir tempoh penggal (untuk bubar DUN), saya tak boleh nyatakan negeri mana,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sistem Mycare di Seremban hari ini.

    Ditanya sama ada negeri terbabit termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH),  Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan hanya memberi isyarat ‘mungkin’ tanpa menafikan atau mengiyakan perkara itu.

    “Yang minta PRU15 segera hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN pun, ada yang minta dan ada yang tidak,” katanya.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    Sementara itu,  DUN bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh penggal.

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pendirian itu diambil bagi memastikan usaha untuk mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat dapat dilakukan.

    “Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

     “Justeru, Pas membuat pendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.

    — BERNAMA

  • Perwakilan Johor tidak sertai perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO

    Perwakilan Johor tidak sertai perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO

    PERWAKILAN Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula esok di Kuala Lumpur, susulan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu.

    Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad telah meminta agar ahli UMNO tidak memanjangkan isu berkenaan.

    “Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

    Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.  

    Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

    Sebelum ini, Hasni telah dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pada PRN Sabtu lepas, BN memperoleh mandat besar iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.

    Bagaimanapun, selepas tiga hari  kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan jawatan itu.

    — BERNAMA

  • Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    TIGA  individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang sewa sebuah unit pejabat berjumlah RM52,000, tahun lepas.

    Datuk Seri Chua Eng Wan, 48, Teh Guat Wei, 31, dan Chua Jia Meng, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.

    Di hadapan Sabariah, Eng Wan didakwa sebagai pengarah di sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM52,000 yang merupakan wang sewa sebuah unit pejabat di Arkadia Desa Park City Kepong, telah melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Arkadia Desa Park, Sentul pada 11 Okt 2021 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Di hadapan Kamarudin, Teh dan Jia Meng masing-masing didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Eng Wan bagi melakukan pecah amanah terhadap sebuah unit pejabat sama dengan jumlah sewa RM52,000, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Chua manakala TPR Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 ke atas Teh dan Ji Meng namun peguam Felix Saw Chia Hui yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri dan akan hadir ke mahkamah.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 dan 20 April depan untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam, diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun beliau optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. 

    “Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara…kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti. 

    “Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di sini hari ini. 

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman. 

    PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan MUDA. 

    Beliau juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

    Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia. 

    “Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan. 

    “Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,” katanya. 

    Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama Pakatan Harapan bagi meredakan suhu politik selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan ‘masa depan’ MoU itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

    Sama ada MoU itu akan disambung atau tidak, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau ‘tidak mahu membuat spekulasi awal kerana belum masanya’. 

    Mengulas mengenai Perhimpuan Agung UMNO yang dijadual bermula Rabu ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO melihat hala tuju parti, menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan, termasuk tidak menolak kemungkinan isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS. 

    “Saya juga menunggu ucapan presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan juga ucapan pembahas-pembahas. Hala tuju sekarang mungkin berbeza daripada sebelum ini susulan pelbagai perkembangan semasa, termasuk PRN. 

    “Jadi saya tunggu ucapan dan intipati ucapan yang akan dibahaskan setiap negeri serta resolusi yang akan dicapai… ini yang akan jadi hala tuju UMNO selepas ini,” katanya. 

    — BERNAMA 

  • Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    Budak perempuan maut tercampak dalam kemalangan di Tapah

    SEORANG kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 340.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa N. Ashvika, 11, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala adik perempuannya N.Yaashika, enam, disyaki mengalami patah kaki dan tangan kiri.

    “Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu bapanya berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor telah hilang kawalan dan terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

    “Akibat kejadian itu, mangsa tercampak keluar melalui cermin belakang kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

    Beliau berkata bagaimanapun bapa serta ibunya berusia 37 tahun dan seorang lagi adik perempuan mangsa berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat yang dijalankan esok selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh. – BERNAMA

  • 2 maut, 9 cedera SUV rempuh restoran

    2 maut, 9 cedera SUV rempuh restoran

    DUA wanita maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kenderaan merempuh ruang makan terbuka sebuah restoran di barat laut Washington, D.C. pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas SUV yang dipandu seorang lelaki warga emas hilang kawalan sebelum merempuh restoran berkenaan, kata Komander Duncan Bedlion, Jabatan Polis Metropolitan kepada pemberita.

    “Bukti menunjukkan ia kemalangan yang tidak disengajakan,” kata Bedlion.

    Lapan mangsa cedera dibawa ke hospital dan lima daripadanya dalam keadaan kritikal, termasuk dua wanita yang kemudian disahkan meninggal dunia.

    Nahas berlaku sekitar 12:18 tengah hari (1718 GMT) ketika kebanyakan pelanggan sedang menjamu selera di luar Parthenon, sebuah restoran Greek dan ruang rehat bersebelahan kejiranan Chevy Chase berhampiran negeri Maryland. – BERNAMA

  • 12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    12 wanita antara 18 suspek sindiket along haram

    POLIS Selangor menahan 18 individu warga tempatan termasuk 12 wanita disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, Khamis lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Azman Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang pada 10.20 pagi dan bertindak menahan kesemua individu yang berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu.

    Azman berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

    “Hasil pemeriksaan, pihak kami turut merampas dokumen dan barangan antaranya komputer; fail mengandungi dokumen peminjam; kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.

    Azman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA