Author: Bernama

  • DAP pilih pengganti Guan Eng hadapi PRU-15

    DAP pilih pengganti Guan Eng hadapi PRU-15

    Oleh NUR ASHIKIN ABDUL AZIZ

    SELEPAS 17 tahun mengemudi DAP, Lim Guan Eng akan memberi laluan kepada Setiausaha Agung baharu pada Kongres Kebangsaan Ke-17 parti esok, semasa parti itu mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan dalam tiga pilihan raya negeri yang lepas.

    Guan Eng pertama kali dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 2004 dan tidak boleh dipilih semula kali ini setelah pindaan perlembagaan parti membenarkan seseorang memegang jawatan selama maksimum tiga penggal.

    Namun, Guan Eng dijangka masih mempunyai pengaruh yang kuat kerana berkemungkinan kekal dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti.

    Seramai 4,149 perwakilan akan menghadiri kongres sehari secara fizikal itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam dan mengundi dalam CEC, yang akan membawa parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ahli CEC akan memilih pemegang jawatan parti.

    Ahli Parlimen Seremban dan Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang disebut-sebut bakal menggantikan Guan Eng sebagai setiausaha agung, adalah antara 93 calon yang bertanding untuk 30 jawatan CEC bagi penggal 2022-2025.

    Calon CEC lain termasuk bapa Guan Eng dan veteran parti, Lim Kit Siang; Pengerusi parti dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta anak lelaki mendiang Karpal Singh – Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh

    Berikutan perkembangan penting pada kongres kebangsaan lepas, parti itu akan menyaksikan lebih ramai wakil wanita dalam CEC baharu.

    Pada kongres lepas, perlembagaan parti dipinda dengan memperuntukkan kuota 30 peratus untuk wanita dalam CEC, yang bermakna terdapat sekurang-kurangnya sembilan wanita dalam jawatankuasa baharu itu.

    Terdapat lima ahli CEC wanita untuk penggal 2018-2021 — Teresa Kok Suh Sim (Timbalan Ketua Setiausaha), Yeo Bee Yin (Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan), Teo Nie Ching (Setiausaha Antarabangsa) dan ahli jawatankuasa Chong Eng dan Jannie Lasimbang.

    Sementara itu, antara calon Melayu dalam pemilihan parti itu ialah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan merangkap Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari; Naib Pengerusi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali: Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari dan Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan dan juga ADUN Ketari, Young Syefura Othman.

    Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, susulan keputusan yang kurang memberangsangkan pada pilihan raya negeri Sarawak, Melaka dan Johor, perwakilan parti perlu memilih ahli CEC, terutamanya golongan muda dan muka baharu, yang boleh memimpin mereka untuk berjaya dalam PRU15. – BERNAMA

  • Kaji penyelesaian jangka panjang tangani isu kawasan Felda

    Kaji penyelesaian jangka panjang tangani isu kawasan Felda

    KERAJAAN melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) akan melaksanakan kajian secara komprehensif bagi penyelesaian jangka panjang menangani isu di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian itu akan dilaksanakan bagi mentransformasikan kawasan Felda yang moden dan progresif.

    “Kajian yang akan bermula tiga bulan lagi akan turut melibatkan libat urus EPU dengan pengurusan Felda serta semua golongan warga Felda termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) bagi memastikan hasrat dan cita-cita golongan ini, terutamanya generasi kedua Felda diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

    “Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada pemberita merasmikan Projek Infrastruktur Pelancongan di Bukit Salor, di Jeli hari ini.

    Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan berpandangan kesemua usaha ini perlu dilaksanakan dengan kaedah lebih holistik dan tersusun supaya warga Felda mendapat manfaatnya.

    “Antara isu yang sering dibangkitkan oleh warga Felda adalah isu berkaitan perumahan generasi baharu, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan Felda yang kurang memberangsangkan,” katanya.

    Beliau berkata, selain itu, Program Pembangunan Peneroka sedang rancak dilaksanakan yang berjaya memberi pendapatan tambahan sehingga RM1,000 sebulan kepada peserta.

    “Setakat ini, kira-kira 55,000 peserta, termasuk generasi kedua terlibat dalam pelaksanaan projek ini menerusi projek ternakan dan pertanian seperti ternakan lembu pedaging serta tanaman nanas MD2 dan halia muda.

    “Program ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan FGV Berhad yang akan bertindak sebagai rakan strategik,” katanya.

    Sementara itu, Mustapa berkata, Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manfaat kepada 55,000 peneroka Felda sebagai usahawan.

    “PPP telah dimulakan pada April 2019 dengan dana sebanyak RM1 bilion. Program ini melibatkan penyertaan para peneroka melalui penglibatan mereka secara plasma (individu) atau melalui koperasi.

    “Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 projek PPP Felda di seluruh negara dan 621 daripadanya adalah projek yang telah diluluskan di Felda Gua Musang yang melibatkan 3,114 peneroka di jajahan tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    Persatuan Sahabat OKU Perak buat laporan polis terhadap Kak Long 7E

    PERSATUAN Sahabat Orang Kelainan Upaya (OKU) Perak hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wan Nor Baizura atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Long 7E’ yang didakwa telah menghina golongan itu.

    Timbalan Presidennya, Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh pada 5.20 petang tadi bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita itu.

    “Tindakan ini (laporan) dibuat untuk memberi pengajaran bukan sahaja kepada beliau (Kak Long 7E) tetapi rakyat Malaysia, jadi kami harap masyarakat lebih sensitif dan hormat kepada golongan OKU.

    “Perbuatan mempersendakan dan menghina OKU bukan sesuatu yang boleh dijadikan permainan…kami ada perasaan, jadi ia perlu dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Muhamad Firdaus berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sekurang-kurangnya mengarahkan Kak Long 7E melakukan kerja amal sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang lain.

    Beliau berkata, persatuan itu yang memiliki 150 ahli juga mendesak Kak Long 7E mengakui kesilapannya kerana walaupun telah membuat permohonan maaf, tiada pengakuan bahawa beliau sengaja mempersendakan OKU.

    Wanita itu didakwa menghina dan memperlekeh golongan OKU apabila dengan sengaja memuat naik video yang mengajuk mimik muka serta gaya berjalan golongan berkenaan menerusi laman sosial baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu. – BERNAMA

  • ‘Saya lebih senior daripada Presiden UMNO’ – Annuar Musa

    ‘Saya lebih senior daripada Presiden UMNO’ – Annuar Musa

    TAN SRI Annuar Musa hari ini menegaskan beliau memiliki track record atau rekod baik dan sentiasa setia kepada UMNO walaupun pernah dikritik pelbagai pihak kerana lantang bersuara selain dilabel sebagai duri dalam daging dalam parti itu.

    Bagi beliau, 34 tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian Ketereh serta lebih 40 tahun menjadi ahli parti dengan nombor keahlian 124, bukanlah suatu tempoh singkat meskipun mengakui mempunyai pendapat berbeza dengan pimpinan parti dan pandangan tersendiri dalam beberapa perkara tertentu sejak dahulu lagi.

    Menekankan bahawa kesemua perbezaan itu bukan sesuatu bersifat peribadi, Annuar berkata, beliau amat menghormati institusi parti serta jawatan, dan bukannya untuk menjadi ‘pak turut’ semata-mata.

    “Krisis UMNO berulang kali saya tidak tinggal UMNO, ada jawatan saya kerja tak ada jawatan pun saya kerja, bertanding kalah pun saya sokong UMNO. Stail politik saya memang begitu saya tak suka bodek orang, saya jenis setia.

    “Saya bukan jadi ahli UMNO 10 tahun, saya ahli UMNO seumur hidup yang sudah jadi ahli lebih 40 tahun, sebenarnya saya lebih senior daripada Presiden UMNO, saya jadi menteri lebih awal, saya jadi ahli Majlis Tertinggi lebih awal, saya jadi Ketua UMNO Bahagian lebih lama,” katanya.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian dalam wawancara khas “UMNO: Masa Hadapan Yang Lebih Baik” dalam program Ruang Bicara dihoskan Sherkawi Jirim terbitan Bernama TV malam ini.

    Annuar berkata, sebelum ini beliau pernah menyuarakan teguran kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berusia 27 tahun, namun selepas itu tetap dipilih menjadi ahli kabinet Dr Mahathir – tanpa beliau membodek dan meminta-minta jawatan.

    “Ada perkara saya tak setuju saya cakap,” kata Annuar yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar semasa pentadbiran Dr Mahathir.

    Berhubung soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, parti tidak boleh bertindak tergesa-gesa untuk mengadakannya dan perlu mengambil kira sentimen rakyat terlebih dahulu, misalnya yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

    “Jangan lupa baca juga sentimen rakyat, jangan ambil formula salah. Jika nak buat PRU boleh tapi pastikan semak sumber, organisasi, logistik, strategi dan partner (rakan parti politik),” katanya.

    Mengambil kira strategi pengundi muda berikutan Undi18, jelasnya UMNO perlu memperagakan imejnya sebagai parti yang membela golongan muda yang mempunyai idealisme tinggi memandangkan mereka tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik.

    Mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan berakhir esok, Annuar memuji ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya disampaikan dengan penuh berhemah dan berlapik, di saat bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri berdepan pelbagai cabaran menguruskan parti selepas kekalahan pada PRU14.

    “Rapatkan saf, perbaiki parti kita, jangan semberono dalam tindakan, pada saya masa hadapan UMNO cerah,” katanya. – BERNAMA

  • 3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    Tiga individu termasuk dua wanita warga Perancis dikhuatiri sesat semasa mendaki Gunung Berembun yang terletak di Tanah Rata di Cameron Highlands.

    Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada mangsa pada pukul 4.56 petang tadi.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba menerima maklumat tiga individu tersebut telah tersesat semasa melakukan aktiviti itu di trek pendakian gunung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ketika ini, pasukan bomba sedang menaiki gunung tersebut menuju ke lokasi mangsa tersesat bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

    Katanya Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi-Skill Team (Must) juga diarahkan berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya diperlukan untuk dipanggil membantu operasi. – BERNAMA

  • Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    Pejuang kekal dalam arena politik walaupun kalah teruk PRN Johor

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia meskipun mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Akur dengan kekalahan Pejuang di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN Johor itu serta hilang semua deposit, Dr Mahathir berkata, Majlis Eksekutif dan biro politik Pejuang bagaimanapun sebulat suara tekad untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik negara.

    Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN Johor pada 12 Mac apabila menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor yang ditandingi. Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR masing-masing satu kerusi.

    Dr Mahathir dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata, Pejuang akan terus memperjuangkan isu keperluan rakyat khususnya orang Melayu dan negara amnya.

    “Kita (Pejuang) sebelum ini banyak tumpu untuk banteras rasuah sehingga kurang menekankan mengenai masalah dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran dan tidak cukup makan.

    “Perkara seperti ini tidak diberi penekanan oleh Pejuang sehingga menyebabkan pengundi tidak tertarik kepada parti ini,” katanya dan menambah Pejuang akan terus memperbaiki perkara tersebut.

    Ditanya adakah akan wujud gabungan parti pembangkang bagi menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas Perdana Menteri itu berkata terdapat kemungkinan perkara itu akan berlaku.

    “Ada kemungkinan…cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam,” katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat, PRU15 wajar diadakan apabila rakyat benar-benar bersedia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik. – BERNAMA

  • GRS terdiri secara rasmi, 4 parti tanpa BN dan PAS

    GRS terdiri secara rasmi, 4 parti tanpa BN dan PAS

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) kini secara rasmi terdiri Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

    BN Sabah terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

    Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, BN hanya akan menjadi rakan kerjasama gabungan politik itu dalam mentadbir kerajaan Sabah, manakala kerjasama dengan PAS adalah melalui Perikatan Nasional (PN).

    “Jadi kita berharap dengan gabungan ini, satu kestabilan politik Sabah akan dapat kita harapkan untuk kepentingan perpaduan dan kerjasama parti yang ada,” kata Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

    Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penaja GRS, yang turut dihadiri Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

    Ahad lepas (13 Mac), Hajiji dilaporkan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pendaftaran GRS sebagai badan gabungan parti politik rasmi di negeri itu.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 (26 Sept 2020), GRS yang ketika itu bukan gabungan rasmi, membentuk kerajaan Sabah setelah menguasai 38 kerusi Dewan Undangan Negeri apabila PN memenangi 17 kerusi (Bersatu 11 kerusi dan STAR 6 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

    Pada 9 Jan tahun lepas, parti yang membentuk GRS itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menggugat gabungan tersebut.

    Sementara itu, Hajiji berkata, semua parti komponen GRS akan menggunakan logo dan bendera rasmi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Mengulas mengenai parti yang berhasrat menyertai GRS, beliau berkata sebuah jawatankuasa dibentuk bagi menilai permohonan parti lain untuk bersama-sama GRS, antaranya Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang membuat permohonan itu sejak tahun lepas.

    Ditanya mengenai impak situasi politik di Semenanjung kepada Sabah, Hajiji berkata perkembangan yang berlaku di Semenanjung terutama ketika PRN Melaka dan PRN Johor baru-baru ini, dilihat tidak memberi impak besar kepada politik Sabah.

    “Politik ini ada macam-macam kemungkinan, saya melihat apa berlaku di Semenanjung, di Melaka dan Johor, saya fikir tidak sama dengan keadaan politik di Sabah,” katanya yang turut mengumumkan barisan Majlis Tertinggi GRS hari ini:

    Pengerusi: Datuk Hajiji Noor

    Timbalan Pengerusi: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.

    Setiausaha Agung: Datuk Masidi Manjun

    Ketua Penerangan: Datuk Joniston Bangkuai

    Bendahari Agung: Ardino Diris – BERNAMA

  • Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    POLIS menahan seorang lelaki di sekitar Mutiara Damansara semalam, yang disyaki mencuri motosikal Yamaha RXZ di sebuah pangsapuri bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas selepas menyamar sebagai anggota polis, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berumur 31 tahun yang ditahan pada pukul 11.50 malam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki berkenaan mendakwa dia bersama dengan seorang kawannya yang dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ mengangkut motosikal itu dengan menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

    “Suspek mendedahkan bahawa dia ditawar oleh ‘Mamat Mulong’ untuk melakukan kerja sambilan iaitu mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya susulan penahanan itu polis merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang spanar berbentuk ‘T’ yang telah diubah suai.

    Mohamad Fakhrudin, berkata polis sedang berusaha mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Azizi Bajan dengan menelefon 010-5882574.

    Semalam, tular satu video berdurasi 39 saat di Facebok yang dimuat naik pemilik akaun ‘Kaki Restor’ memaparkan dua lelaki yang mendakwa mereka anggota polis sedang mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru ke dalam sebuah lori.

    Motosikal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya kira-kira pukul 5.20 petang Rabu lepas dan menurut menurutnya pemilik motosikal itu, suspek memasuki pangsapurinya dengan mengaku sebagai anggota polis kepada pengawal keselamatan serta mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal. – BERNAMA

  • Rasuah: Bekas majistret dipenjara 58 tahun, denda RM1.05 juta

    Rasuah: Bekas majistret dipenjara 58 tahun, denda RM1.05 juta

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap bekas majistret selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, kira-kira dua tahun lepas.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, menjalani hukuman penjara tambahan 72 bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Lipis dan Raub, gagal menjelaskan denda tersebut.

    Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, selain membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi.

    Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan menjadi RM50,000 selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dilanjutkan sehingga selesai rayuan.

    Pada penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata pembelaan tertuduh yang diberikan secara bersumpah hanya berbentuk pemikiran semula dan penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap semua pertuduhan.

    Mahkamah, menurut beliau setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak terlibat memutuskan keterangan kesemua 15 saksi pendakwaan terutamanya saksi terakhir iaitu peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo (SP15) yang didakwa memberi suapan itu, sebagai saksi boleh dipercayai dan utuh.

    “Keterangan tertuduh bahawa dia berada dekat dengan kedai SP15 pada 22 Okt 2019 untuk membeli air adalah kali pertama didengari mahkamah di peringkat pembelaan. Perkara ini tidak pernah dicadangkan atau dibangkitkan pada mana-mana saksi pendakwaan.

    “Keterangan kecederaan dialami tertuduh juga tidak pernah dibangkitkan atau dicadangkan kepada pegawai penyiasat. Mahkamah juga dapati hujahan pembelaan bahawa keterangan lisan tertuduh tidak pernah bersetuju meminta atau menerima rasuah adalah tidak berasas, tidak munasabah dan tidak diterima,” katanya.

    Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, peguam S. Meheraj yang hadir mewakili peguam tertuduh RSN Rayer, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan menghidap asma.

    “Tertuduh juga telah digantung kerja dari 2019 dan kini menerima separuh gaji. Bagi menampung kehidupan, dia membantu bapa saudaranya mengusahakan bendang di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menghujahkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran perlu diberikan kerana kes itu melalui perbicaraan penuh, selain tertuduh telah membuat persediaan untuk melakukan jenayah.

    Selain itu, sikap tertuduh yang tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya berjumpa sendiri SP15 untuk mengutip wang menunjukkan dirinya tidak mempunyai perasaan ‘segan’ selain tamak kerana melihat peluang untuk memeras ugut mangsa, selepas mengetahui SP15 dituduh buat kali kedua.

    “Tertuduh sanggup menelefon SP15 dan menjual nama Pengarah Pendakwaan Pahang dan mengugut SP15 akan dipenjarakan jika tidak membayar suapan. Tertuduh boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Tertuduh telah memalukan sistem kehakiman dan penjawat awam,” katanya. – BERNAMA

  • Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    SEORANG buruh yang sebelum ini didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M. Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lepas.

    “Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

    Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berhujah tertuduh sebagai rakyat Malaysia, seharusnya lebih peka dengan keadaan negara yang dilanda COVID-19 dan tidak membuka pelitup mukanya dan merokok di tempat awam.

    “Mengikut fakta kes, tertuduh juga telah menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur, dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

    “Tertuduh telah mengambil senjata iaitu parang dari keretanya selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

    Peguam T.P Aravind Raj, yang mewakili Samasiveng merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

    “Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian yang dirancang kerana ketika kejadian dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia Nicholas Cheoh. – BERNAMA