Author: Bernama

  • Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    Nur Liyana berpakaian etnik Murut Nabai terima Ijazah Sarjana di UK

    NUR Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.

    Anak pertama daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lepas, tular di media sosial terutama dalam kalangan warganet dari Sabah.

    Nur Liyana berkata beliau mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

    “Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

    Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

    Bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

    “Sebagai orang tua, saya  sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu.

    — BERNAMA

  • Kerajaan negeri Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

    Kerajaan negeri Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

    KERAJAAN Negeri Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

    Hajiji berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini untuk merujuk kerajaan Sabah sebagai GRS-BN susulan kerjasama kedua-dua gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September 2020.

    “Walaupun BN dalam satu gabungan lain dan tidak dalam GRS, tetapi kerajaan negeri yang ada pada hari ini ialah GRS dan BN juga. Ini sudah dipersetujui, sebelum pilihan raya (negeri) pun kita ada kerjasama dengan BN.

    “Apabila kita menang keputusan pilihan raya, kita sama-sama bentuk kerajaan negeri dengan BN. Jadi, cadangan itu memang bagus tetapi kadang-kadang kita panggil GRS, tetapi mulai sekarang, kita panggil (kerajaan) GRS-BN,” katanya kepada pemberita di Tuaran, Sabah, hari ini.

    Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri yang ingin kerajaan Sabah dikenali sebagai GRS-BN memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan ditubuhkan pada PRN Sabah yang lepas.

    Terdahulu, Hajiji mengadakan lawatan kerja ke Tamparuli yang antara lain menyaksikan persembahan kebudayaan dan mural di Jambatan Tamparuli, merasmikan pusat pelancongan dan aktiviti pendakian Bukit Perahu serta majlis pecah tanah Mahkamah Anak Negeri Tamparuli. – BERNAMA

  • Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    Polis rampas ganja RM3.33 juta, tahan 4 lelaki

    POLIS menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis ganja seberat 1.33 tan bernilai kira-kira RM3.33 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Selangor, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor sekitar 4.40 petang dan 11 malam di dua lokasi di Subang Jaya manakala masing-masing satu lokasi di Rawang dan Semenyih.

    “Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja gred dua di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

    “Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 2,576,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

    Ayob Khan berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah membawa masuk bekalan dadah dari Thailand melalui laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.

    “Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan Januari tahun ini,” katanya dengan menambah kesemua lelaki itu terdiri daripada dua penganggur, ahli perniagaan dan penghantar barang.

    Beliau berkata, seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk empat kenderaan dan wang tunai dianggar bernilai RM331,900. Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM3.7 juta,” katanya.

    Ayob Khan berkata, kesemua mereka direman tujuh hari hingga 31 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan JSJN sedang berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang.

    Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan beberapa penjawat awam yang disyaki bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementeran Dalam Negeri (KDN) berkenaan tindakan terhadap mereka yang diberkas pada 6 Mac lepas.

    Beliau berkata, lapan penjawat awam itu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    “Kita akan siapkan fail kes untuk dihantar ke KDN dan ada tiga kemungkinan sama ada mereka ini akan dikenakan perintah tahanan, sekatan atau dibebaskan. Bagi pihak polis, kita puas hati dengan maklumat yang ada berkenaan penglibatan mereka dengan sindiket ini,” katanya.

    Pada 15 Mac lepas, Ayob Khan dalam satu sidang media di Bukit Aman berkata pihaknya telah menahan 10 penjawat awam termasuk seorang nelayan disyaki terlibat pengedaran syabu yang dianggar bernilai RM193,590. – BERNAMA

  • Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    TENTERA Rusia berjaya diusir sejauh lebih 70 kilometer dari ibu negara, Kyiv di beberapa lokasi tertentu hasil “kejayaan operasi” ketenteraan Ukraine, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine pada Sabtu.

    “Di beberapa kawasan lain, unit Angkatan Tentera Rusia berada 35 kilometer (sekitar 22 batu) dari Kyiv,” kata Oleksandr Motuzyanyk pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.

    Bagaimanapun,”tiada sebarang tanda pengunduran tentera Rusia dari kawasan tertentu di Kyiv buat masa ini,” katanya.

    Motuzyanyk mendakwa negaranya berjaya “melaksanakan mobilisasi,” dan kini “di peringkat kedua mobilisasi.”

    “Kami telah mengerah lebih 100,000 orang. Pada masa ini, seluruh negara menyertai usaha menentang penceroboh,” katanya.

    Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

    Sekurang-kurangnya 1,081 orang awam telah terbunuh dan 1,707 yang lain cedera manakala lebih 3.7 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA

  • Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid dan surau seluruh negeri Selangor berkuat kuasa 1 April ini.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Baginda telah berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutamanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19 selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah umat Islam.

    “Baginda juga berkenan solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Shahzihan berkata, para jemaah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang ditetapkan seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

    “Individu berumur 18 tahun dan ke bawah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid dan surau selain perlu membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

    “Individu yang bergejala diminta menangguhkan sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

    Mohd Shahzihan berkata, baginda turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan menasihati rakyat di negeri itu untuk terus berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

    “Di Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

    “Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA

  • Pekebun kecil Risda dapat manfaat jika ketum boleh dieksport

    Pekebun kecil Risda dapat manfaat jika ketum boleh dieksport

    RISDA  mungkin boleh mendapat manfaat sekiranya kerajaan persekutuan membenarkan eksport daun ketum ke luar negara.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.

    “Kalau sudah sah dan boleh ada pendapatan, kenapa tidak? Kalau jual satu kilogram daun ketum boleh dapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia pula sah, jadi saya fikir tak menjadi kesalahan,” katanya.

    Mahdzir berkata demikian selepas menghadiri program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur 2022 Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

    Beliau diminta mengulas cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya Thailand bagi tujuan perubatan.

    Mahdzir berkata kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan mengenai status ketum memandangkan sudah banyak kajian telah dilakukan mengenai manfaat daunnya untuk perubatan.

    “Tapi perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya saya fikir sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan,” katanya.

    Ketika ini terdapat kira-kira 552,000 pekebun kecil Risda di seluruh negara dengan keluasan tanaman getah 1.1 juta hektar.

    Mengenai program Risda Prihatin itu, Mahdzir berkata seramai 330 pelajar sekolah melibatkan anak pekebun kecil getah di daerah ini menerima bantuan persekolahan yang keseluruhannya membabitkan peruntukan RM66,000.

    “Risda membantu sedaya upaya mungkin dalam meringankan beban masyarakat pekebun kecil dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Ali Sabuddin Abd Samad.

    -Bernama

  • 2 lelaki samun barang kemas RM25,000 warga emas

    2 lelaki samun barang kemas RM25,000 warga emas

    SEORANG  wanita warga emas berputih mata apabila disamun di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, kira-kira 9 pagi hari ini.

    Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata warga emas berusia 77 tahun itu disamun dua lelaki warga tempatan bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

    Beliau berkata kejadian samun yang sempat dirakam orang awam dan tular dalam media sosial itu menunjukkan suspek menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri menaiki motosikal bernombor pendaftaran palsu.

    “Mangsa mengalami kecederaan luka di tangan dan jumlah kerugian dianggarkan RM25,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhammad Idzam berkata polis sedang mengesan dua suspek terbabit dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menerusi talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

    — BERNAMA

  • 17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    17 pokok disyaki pokok ganja ditemukan di rumah penyanyi,komposer

    SEORANG penyanyi dan komposer yang diberkas di kediamannya dalam satu serbuan di sebuah kondominum semalam kerana disyaki menanam pokok ganja dan memproses ganja direman tujuh hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama. 

    Beliau berkata ketika serbuan pada 5.30 petang semalam di kondominium di Kota Damanasara  berdasarkan maklumat dan risikan itu, polis menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.    

    “Selain itu, pasukan serbuan turut menemukan bekas plastik di atas kabinet dapur yang berisi dua plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan berat kira-kira 214 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

    Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah kereta jenis Toyota Wish, satu alat sauna yang diubah suai sebagai rumah hijau buatan (artificial green house) dan wang tunai RM700, dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.

    “Turut dirampas botol berisi cecair pemusnah serangga, alat pengukur (cecair) pemusnah serangga serta alat pengudaraan di rumah yang turut digunakan sebagai studio untuk menghasilkan lagu,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sumber suspek memperolehi ketulan ganja yang mampat itu dan sumber benih ganja yang ditanam namun percaya dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri lelaki itu.

    Katanya, ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ganja.

    “Rumah tersebut adalah milik suspek sendiri dan kita juga percaya suspek belajar untuk memproses pokok ganja dan membina artificial green house itu melalui media sosial,” tambahnya.

    — BERNAMA

  • Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona mencipta kejutan apabila menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Saina Nehwal dari India pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

    Pada perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Kisona mencatat kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus menempah slot ke suku akhir.

    Di set pertama, Kisona bermula dengan baik setelah mendahului 15-12, namun Saina tidak menunggu lama untuk bangkit menyamai kedudukan 15-15 sebelum berjaya mengatasi pemain negara 21-17.

    Pada set kedua, kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga terikat 8-8 sebelum Kisona beraksi dengan lebih agresif sekali gus berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13.

    Di set penentuan, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia diikat pemain ranking 23 dunia itu dengan kedudukan 6-6 sebelum Kisona mendominasi permainan sehingga menoktahkan kejayaan 21-13.

    Di suku akhir, Kisona akan membuat perhitungan dengan lawan dari Thailand Supanida Katethong yang dijadual berlangsung pada 9 malam waktu tempatan, hari ini.

    Sementara itu, tiga pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing berjaya mengiringi Kisona ke pentas suku akhir.

    Turut mara ke peringkat lapan terbaik itu adalah dua pasangan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing selepas cemerlang mengatasi lawan masing-masing. – BERNAMA

  • Mayat pelatih Akademi Mokhtar Dahari ditemukan

    Mayat pelatih Akademi Mokhtar Dahari ditemukan

    MAYAT pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD)  Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan petang tadi selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak semalam.

    Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira 5.46 petang.

    “Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

    “Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi tadi.

    “Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

    “Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di persisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” katanya.

    Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

    Semalam, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 1 tengah hari.

    Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk  Bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19  hingga 27 Mac ini.

    — BERNAMA