Author: Bernama

  • Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

    Beliau berkata, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

    “(Kedua) Seorang Ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

    “Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

    Wan Junaidi berkata tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

    Beliau berkata, ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih Ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

    “Sekiranya Ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat (sebagai Ahli Parlimen) dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif, malah majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran rang undang-undang itu menerusi hasil sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan rang undang-undang ini tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat kembali kepada rakyat sekiranya berlaku lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata, rang undang-undang yang sedang digubal itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar dengan sendirinya maka Ahli Parlimen daripada parti itu tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

    “Kedua, apabila seseorang itu (Ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

    “Ketiga, penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti,” katanya.

    Sementara itu dalam satu kenyataan, Wan Junaidi berkata rang undang-undang itu hanya akan melibatkan wakil rakyat sahaja dan bukan senator, kerana Ahli Parlimen mendapat mandat daripada rakyat di kawasan mereka dan ia perlu dilaksanakan.

    “Undang-undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.

    “Sehubungan itu, penggubalan rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.

    Wan Junaidi berkata kerajaan telah melaksanakan enam sesi libat urus termasuk bersama Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, Ahli Dewan Negara serta wakil parti politik, bagi menjelaskan perkara-perkara dasar berkenaan rang undang-undang tersebut.

    Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang dijangka disertai wakil kerajaan dan pembangkang, untuk memperhalusi perkara-perkara utama berkenaan rang undang-undang itu juga akan bersidang.

    Menurut Wan Junaidi pada 24 Mac lepas beliau memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri, akan diadakan pada 11 April depan.

    Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya. – BERNAMA

  • Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    SEORANG pegawai di negeri Kaduna di utara Nigeria pada Selasa mengesahkan lapan penumpang terbunuh dan 26 yang lain cedera dalam serangan ke atas kereta api penumpang Kaduna-Abuja oleh sekumpulan lelaki bersenjata, lapor Xinhua.

    Pesuruhjaya Keselamatan Dalaman dan Hal Ehwal Negeri, Samuel Aruwan dalam mengesahkan angka itu dalam satu kenyataan, mendedahkan bahawa maklumat daripada Nigerian Railway Corporation (NRC) menunjukkan seramai 362 penumpang disahkan telah membeli tiket.

    Menurut Aruwan, senarai penumpang tidak termasuk petugas NRC dan pegawai keselamatan di dalam kereta api, sambil menambah terdapat beberapa penumpang yang tidak diketahui.

    Siasatan bagi mengenal pasti status penumpang masih berjalan dan belum diketahui setakat ini.

    Pada malam Isnin sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Abuja menuju ke Kaduna, ibu negara Nigeria, diserang oleh lelaki bersenjata di Rijana, sebuah bandar di Kaduna. Pengganas menanam alat letupan di sepanjang landasan, dan letupan berlaku sebaik kereta api menghampirinya, menyebabkan keretapi tergelincir.

    Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman kereta api penumpang, menyifatkannya sebagai perkara yang membimbangkan. – BERNAMA

  • Beberapa lokasi di Ipoh dilanda hujan batu

    Beberapa lokasi di Ipoh dilanda hujan batu

    BEBERAPA lokasi di sekitar Ipoh dilanda hujan lebat serta angin kencang disertai kejadian hujan batu petang tadi.

    Kejadian berkenaan dikongsikan di media sosial menerusi rakaman video oleh penduduk di sekitar Medan Gopeng dan Simpang Pulai.

    Hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 4 petang turut mengakibatkan pokok tumbang di sekitar Jalan Lapangan Terbang-Maju Rapat serta Gunung Rapat sehingga menghalang lalu lintas.

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati, beberapa khemah di bazar Ramadan di Medan Gopeng turut mengalami kerosakan akibat dipukul ribut selain atap rumah di sekitar Sungai Rokam diterbangkan angin dan terdapat sebuah rumah di sekitar Greentown mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pokok tumbang berlaku di sekitar Ipoh, Gopeng, Kampar dan Bidor sehingga merintangi jalan, serta mengakibatkan beberapa buah rumah dan kereta rosak.

    Beliau berkata bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kesemua kejadian itu.

    — BERNAMA

  • MOF lulus pelaburan Felcra RM150j selepas Bung Moktar kemuka kertas cadangan

    MOF lulus pelaburan Felcra RM150j selepas Bung Moktar kemuka kertas cadangan

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, Kementerian Kewangan bersetuju untuk meluluskan pelaburan RM150 juta oleh Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan dikemukakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

    Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad, Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif agensi berkenaan mengemukakan tiga kertas cadangan tersebut masing-masing melibatkan pelaburan RM50 juta, RM100 juta dan RM150 juta untuk pertimbangan kementerian.

    Mohd Azmy berkata, pada asalnya Bung Moktar bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang ketika itu Menteri Kewangan II di Parlimen dan menyerahkan satu kertas cadangan berhubung pelaburan RM50 juta dalam unit amanah.

    “Namun, Menteri Kewangan II bertanya kepada Bung Moktar mengapa tidak laburkan kesemuanya yang merujuk kepada dana pencen dalam Felcra,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, pada perbicaraan kes rasuah membabitkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

    Menurut saksi pendakwaan ke-26 itu, beliau kemudian memberitahu Bung Moktar, ia terpulang kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang juga pemegang saham dan menasihati Bung Moktar supaya tidak melaburkan kesemuanya.

    Saksi itu berkata MKD bagaimanapun meluluskan pelaburan RM150 juta melalui surat bertarikh pada 23 April 2015.

    Disoal Mohd Sophian mengenai sama ada RM150 juta dalam pelaburan unit amanah Public Mutual dibentangkan dahulu kepada ahli lembaga pengarah Felcra, Mohd Azmy menjawab, “Tiada keperluan, namun sebarang pelaburan perlu dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah”.

    Bagaimanapun, saksi itu berkata pemindahan wang RM150 juta untuk pelaburan unit amanah itu tidak dilaporkan kepada ahli lembaga pengarah sebelum pemindahan wang dibuat.

    “Wang RM150 juta itu dimasukkan ke dalam akaun unit amanah Public Mutual dan saya telah memaklumkan perkara itu secara bertulis kepada Bung Moktar,” kata Mohd Azmy.

    Prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 6 April ini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • 57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    57 guru KAFA Selangor tolak vaksin boleh dibuang kerja

    SEBANYAK 57 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun telah digantung tugas berdepan risiko ditamatkan perkhidmatan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Beliau berkata, tindakan tersebut perlu diambil bagi mengelak pelajar-pelajar KAFA terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19.

    “Kita sudah maklumkan ini lebih awal dan menyarankan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah-langkah termasuk mengadakan konsultasi, beri amaran dan surat mengenai risiko ini (penggantungan dan penamatan perkhidmatan).

    “Selepas beberapa proses, mereka ini betul-betul tegar walaupun sudah diulang beberapa kali mengenai risiko yang bakal dihadapi mereka. Kita hormati pendirian mereka tetapi untuk langkah tertentu yang membawa risiko kepada anak-anak dan guru lain di sekolah, kita tidak mahu ambil risiko,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air antara Lembaga Urus Air Selangor dengan agensi berkepentingan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.

    Menurutnya, guru-guru berkenaan telah diingatkan mengenai perkara penamatan perkhidmatan itu sejak Ogos dan September tahun lepas.

    “Bagaimanapun, tindakan itu bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya mengikut proses tatatertib penjawat awam,” katanya.

    Amirudin berkata guru KAFA yang digantung tugas berkenaan boleh kembali bertugas sekiranya mereka mematuhi arahan jabatan untuk mengambil vaksin.

    Semalam, media melaporkan 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai Mac ini. – BERNAMA

  • “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    “Saya jangka akan mati kerana sudah tua” – Tun Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada pakar-pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar perubatan jemputan atas kepakaran serta kebolehan mereka merawat beliau ketika menjalani rawatan di pusat rawatan jantung itu Januari lepas.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah percaya bahawa hayatnya sudah tiba namun dengan rawatan yang diberikan oleh doktor-doktor pakar, penolong doktor serta bantuan daripada pekerja-pekerja di IJN mereka berjaya memulihkan kesihatannya.

    “Bagi saya ini adalah satu keajaiban, saya tidak menyangka untuk hidup. Saya menjangka akan mati kerana saya sudah tua dan saya juga menghidap penyakit yang serius yang memberi kesan… mula-mula jantung saya, apabila jantung lemah ia memberi kesan kepada paru-paru dan apabila paru-paru lemah ia memberi kesan kepada buah pinggang dan seterusnya.

    “Tetapi entah bagaimana atau lebih tepat doktor memulihkan saya dan akhirnya saya dibenarkan keluar dan agak sihat, bukan seratus peratus tetapi cukup untuk saya meneruskan kerja yang perlu saya lakukan,” katanya menerusi saluran rasminya di YouTube CHEDET hari ini.

    Tun Mahathir berkata, ini sesuatu yang patut dibanggakan kerana rakyat Malaysia tidak perlu lagi ke mana-mana untuk mendapat rawatan kerana negara ini sudah mempunyai pakar perubatan yang boleh merawat penyakit serius seperti dialaminya.

    “… seperti yang anda tahu saya juga dilatih sebagai doktor dan semasa saya bermula pada akhir 1950-an dan awal 1960-an, pada ketika itu terdapat ‘slot khas’ untuk doktor Malaysia terutama doktor Melayu, doktor-doktor di hospital pada masa itu dikenali sebagai pembantu pegawai perubatan… tidak ada orang Asia boleh menjadi pegawai perubatan… kerana tiada kepercayaan terhadap doktor Malaysia.

    “Saya amat percaya bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain boleh lakukan. Semasa saya (sebagai perdana menteri) saya pernah bercakap bahawa Malaysia kita boleh… kita cekap,” katanya.

    Dalam video berdurasi kira-kira lapan minit itu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, kekal bertenaga dan kelihatan sihat ketika menyampaikan ucapan berkenaan.

    Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan namun beliau dimasukkan ke institut berkenaan semula dan menerima rawatan sehingga dibenarkan pulang 5 Feb. – BERNAMA

  • Pahang keluar 40 permit pertanian, penternakan dalam hutan simpan kekal

    Pahang keluar 40 permit pertanian, penternakan dalam hutan simpan kekal

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mengeluarkan sebanyak 40 permit penggunaan bagi tujuan pertanian dan penternakan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dengan 28 daripadanya adalah bagi daerah Cameron Highlands.

    Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daerah lain yang terlibat ialah Raub dengan tujuh permit diikuti Kuantan/ Pekan/ Maran (tiga) dan Jerantut (dua), manakala sebanyak 122 permit dikeluarkan bagi penggunaan lain-lain.

    “Ini melibatkan permit bagi penggunaan jalan hutan yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 43 permit selain untuk tujuan menara telekomunikasi, mini hidroelektrik, laluan talian penghantaran elektrik, laluan kereta api dan sebagainya,” katanya.

    Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini, semasa menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Ketari) yang ingin tahu jumlah penggunaan bagi pertanian dan penternakan serta penggunaan lain dalam HSK di negeri ini.

    Berhubung jumlah keluasan hutan perlindungan, Wan Rosdy berkata, jumlah hutan terlibat setakat Disember lepas ialah seluas 645,751.04 hektar atau 40 peratus daripada jumlah HSK, manakala jumlah hutan pengeluaran ialah 999,158.83 hektar.

    Menjawab soalan Young Syefura yang secara spesifik bertanya jumlah lesen pembalakan dikeluarkan bagi daerah Bentong, Menteri Besar Pahang itu berkata, sebanyak tiga lesen dikeluarkan pada tahun lepas yang bersamaan 2.17 peratus daripada jumlah keseluruhan lesen dikeluarkan iaitu 138 lesen.

    Wan Rosdy juga menegaskan bahawa kerajaan negeri Pahang tidak berkompromi dengan tindakan penerokaan tanah secara haram termasuk telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang selain dibantu agensi serta jabatan berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut.

    “Pemantauan penguatkuasaan adalah secara berterusan dan kami mengalu-alukan mereka yang mempunyai pengetahuan untuk membuat aduan supaya tidak berlaku ketirisan atau kehilangan hasil. Penguatkuasaan yang dilakukan kami selama inilah yang berjaya meningkatkan kutipan hasil,” katanya.

    Wan Rosdy juga memaklumkan bahawa sebanyak 50 kes penerokaan hutan secara haram telah diambil tindakan dan dikenakan kompaun hampir RM4 juta pada tahun lepas. – BERNAMA

  • Permohonan Loh cabar bekas suami daftar anak mualaf didengar 17 Mei

    Permohonan Loh cabar bekas suami daftar anak mualaf didengar 17 Mei

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

    Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh ketika dihubungi pemberita berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

    Loh, 34, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

    Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

    Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

    Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya selain membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam jika ia telah dikeluarkan oleh pendaftar mualaf berkenaan atau mana-mana pihak lain dan memohon perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan, sekiranya belum dikeluarkan.

    Selain itu, ibu tunggal berkenaan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

    Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, dalam versi bahasa Malaysia dan Inggeris, seperti yang dipinda oleh Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    Pada 21 Feb lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

    Dalam notis usul difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb lepas, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

    Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. – BERNAMA

  • Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan tak memuaskan

    MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak berbangga dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi atau telco yang mencatat keuntungan RM1 bilion tetapi masih menyediakan perkhidmatan tidak memuaskan untuk rakyat.

    Beliau berkata, kerajaan telah melabur berbilion ringgit untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi antaranya projek hab gentian optik titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) dengan kos hampir RM4 bilion untuk rakyat tanpa mengharap pulangan kewangan walau sesen.

    Justeru, katanya, beliau setuju telco mendapat keuntungan namun perlu bertanggungjawab dengan melabur sebahagian keuntungan diperoleh untuk teknologi bagi meningkatkan mutu capaian internet mereka sediakan, selari dengan pembangunan infrastruktur dilaksana kerajaan.

    “Infrastruktur itu disediakan kerajaan, TM dan sebagainya tetapi peringkat akhir itu disediakan operator (telco) bergantung perkakasan mereka pasang di menara, tetapi telco ini ada keutamaan mereka kalau pelanggan banyak di satu kawasan dia tertumpu di situ dan kawasan pinggiran, pekakasan tidak dinaik taraf.

    “Inilah menyebabkan internet 4G itu (kelajuan) boleh jadi 10mbps hingga 100mbps bergantung perkakasan peringkat akhir disediakan telco itu, justeru saya buat seruan kepada telco kita kini kena jalan berganding tangan beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kenderaan Digital Satellite News Gathering (DSNG) RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.

    Menurut Annuar, liputan 4G contohnya di Sabah adalah pada tahap 86 peratus untuk kawasan berpenduduk, namun kualiti Internet di sesetengah kawasan yang mempunyai liputan itu masih tidak mencapai kelajuan yang dikehendaki.

    “Ada tempat (4G) 10mbps, ada tempat belas-belas mbps, ada tempat sekitar 20mbps begitu, sedangkan matlamat kualiti minimum kita purata 4G LTE mesti 35mbps… kalau kita nak capai tahap itu tempat banyak penduduk kena capai 60, 70, 100mbps kerana Internet ini bila ramai penduduk kelajuan jatuh.

    “Liputan 4G itu, macam mana kita mahu perbaiki kelajuan itu kita lancar PoP tadi, kita dapatkan Internet lebih stabil… 4G itu hanya suatu teknologi yang membolehkan ia memberi keupayaan (Internet) lebih tinggi tetapi berapa tinggi bergantung kepada infrastruktur dan pekakasan disediakan,” katanya.

    Annuar berkata, selain menaik taraf perkakasan telekomunikasi di menara, pelaburan tambahan yang disaran dibuat telco adalah bersama-sama dengan pihak bertanggungjawab meningkatkan keupayaan menara itu sendiri antaranya daripada segi komponen bekalan kuasa elektrik sandaran.

    “Bila bekalan elektrik itu terputus secara automatik Internet akan terputus kerana menara ini bergantung kepada bekalan elektrik, jadi telco dan mereka diamanahkan boleh lihat untuk buat menara hibrid seperti ada bekalan kuasa dari panel solar dan generator, bukan beri khidmat sekadar ada sahaja,” katanya.

    Beliau berkata, usaha memberikan kemudahan Internet berkelajuan tinggi tidak akan ke mana tanpa telco menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama meningkatkan kemudahan telekomunikasi untuk rakyat. – BERNAMA

  • Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes hina mahkamah ditolak

    Permohonan Malaysiakini semak semula sabitan kes hina mahkamah ditolak

    PANEL tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Malaysiakini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati portal berita dalam talian itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

    Panel yang diketuai Hakim Puan Sri Zaleha Yusof memutuskan bahawa hujah yang dibangkitkan dalam prosiding semakan hari ini oleh peguam Malaysiakini, Datuk Malik Imtiaz Sarwar telah dikemukakan dalam prosiding komital di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan telah dipertimbangkan.

    Beliau berkata, hujahan yang dibangkitkan oleh peguam gagal untuk meyakinkan mahkamah berhubung isu berkaitan dakwaan pelanggaran keadilan asasi.

    Hakim Zaleha berkata, memandangkan perkara itu adalah kes kepentingan awam, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah mengenai kos.

    Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Prosiding itu dijalankan secara dalam talian.

    Pada 19 Feb 2021 dalam keputusan majoriti 6-1, Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tujuh hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca dan syarikat itu diarah membayar denda RM500,000.

    Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda itu.

    Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kebenaran ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini serta Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berhubung komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 9 Jun, bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

    Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mendapati Gan tidak bersalah menghina mahkamah.

    Dalam permohonan semakan yang difailkan oleh Mkini Dotcom, syarikat itu memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan meminta pendengaran semula prosiding menghina itu. – BERNAMA