Author: Bernama

  • Remaja dituduh bunuh kanak-kanak 11 tahun di surau

    Remaja dituduh bunuh kanak-kanak 11 tahun di surau

    SEORANG remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pada bulan lepas.

    Remaja lelaki berusia 16 tahun itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Hafdan Mohd Qurbani Azhar di surau An-Nadwah Kompleks Asrama Cempaka Permata Camar, Jalan Pantai Sepat di sini, antara 3.45 petang dan 4.15 petang, 20 Mac lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon manakala remaja terbabit diwakili peguam Datuk Mohd Najid Husain.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut, dipercayai selepas disepak, dicekik dan dihempas oleh seorang individu dalam kejadian yang didakwa melibatkan wang RM4.

    Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepala. – BERNAMA

  • Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    Pemandu van mengaku tak bersalah abai kanak-kanak autisme hingga mati

    SEORANG pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan autisme sehingga menyebabkan kematiannya, Oktober lepas.

    Mohd Nazree Uzir, 35, didakwa melakukan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dalam sebuah van miliknya sehingga mendatangkan kematian antara pukul 2.45 petang dan 5.30 petang pada 12 Okt 2021.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan di sini.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Ong manakala Mohd Nazree diwakili peguam Noliana Ali Othman.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Sukar digambar kegembiraan pengembara bila sempadan KLIA dibuka

    Sukar digambar kegembiraan pengembara bila sempadan KLIA dibuka

    UMPAMA memenangi tiket loteri, kata seorang pemuda dari Klang, Selangor, yang berkongsi perasaannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne, Australia pagi tadi.

    Ng Hou Jun, 26, yang bekerja sebagai jurutera perisian di negara itu berkata selepas hampir dua tahun tidak pulang ke Malaysia lantaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia, perasaan gembira itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

    Beliau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan Malaysia membenarkan warga tempatan yang berada di luar negara untuk pulang ketika sempadan negara ditutup bermula Mac 2020, keperluan menjalani kuarantin bagi tempoh lama dirasakan agak membebankannya, lantaran itu Ng membuat keputusan untuk tidak balik ke tanah air.

    “Apabila saya akhirnya bersedia untuk menjalani kuarantin (sebaik tiba di Malaysia), pada 1 Mac lepas saya dan rakan wanita membeli tiket bertarikh 1 April 2022.

    “Pada 8 Mac saya baca dalam media sosial kerajaan bersetuju membuka sempadan negara dan memansuhkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) antaranya keperluan kuarantin, saya rasa sangat gembira. Rasa macam menang loteri,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Ng berkata, beliau dan rakannya akan bercuti selama sebulan di Malaysia sebelum kembali semula ke Australia.

    “Perancangan kami di Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Kami juga tak sabar nak ke (restoran) mamak makan roti telur dan nasi lemak yang kami rindukan,” katanya.

    Bagi pengusaha restoran nasi kandar, Mohamed Shafiq Riswan Waris, 25, kerinduan terhadap datuk, nenek, emak dan pak cik saudara yang dipendam selama hampir setahun, terlerai sudah.

    Sebaik datuknya, Datuk Mohamed Salibu, melangkah keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Mohamed Shafiq bersama empat sepupunya terus meluru ke sana dan memeluk lelaki itu yang baru tiba dari Chennai, India kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

    “Datuk pergi ke India untuk berubat masalah buah pinggangnya dan sejak itu kami terpisah, hanya telefon menjadi penghubung kami.

    “Sepanjang ketiadaan datuk, saya bersama ahli keluarga yang lain berusaha sedaya upaya menguruskan beberapa restoran datuk yang ada di Johor Bahru dan Melaka,” katanya yang tidak sabar untuk menyambut Ramadan bersama-sama datuknya nanti.

    Sementara itu, guru sekolah antarabangsa di Malaysia, Gary Crick, 46, mendapati proses ketibaan lebih mudah dan cepat, hanya mengambil masa sejam berbanding sebelum ini yang memakan masa lebih dua jam.

    Manuel Villada, 29, dari Mexico pula berkata, beliau menaiki penerbangan Oman Air dari Dubai ke KLIA untuk menghadiri mesyuarat perniagaan dengan syarikatnya yang berpangkalan di Malaysia.

    “Saya memilih hari ini, tarikh 1 April bersebab kerana saya mahu elakkan kuarantin. Selain mesyuarat dan kerja, saya merancang untuk melawat tempat tarikan pelancong di sini,” katanya dan menambah akan berada di Malaysia selama 10 hari.

    Seorang lagi pengembara, Radu Lazar, 44, warganegara Romania berkata, beliau merancang untuk berkunjung ke Malaysia pada Disember tahun lepas, bagaimanapun tertangguh berikutan kenaikan kes COVID-19 pada masa itu.

    Lazar yang menaiki penerbangan Qatar Airways dari Doha berkata, beliau merancang untuk menubuhkan satu cawangan syarikat di Malaysia, justeru beliau akan menginap beberapa minggu di sini untuk bertemu bakal rakan kongsi.

    Lazar turut memuji proses yang lancar sebaik turun dari pesawat sehingga tiba ke Ketibaan Antarabangsa.

    Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik. – BERNAMA

  • Pesawat bawa jemaah umrah pertama tiba di KLIA selepas sempadan dibuka

    Pesawat bawa jemaah umrah pertama tiba di KLIA selepas sempadan dibuka

    PESAWAT Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi menjadi pesawat pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena pembukaan sempadan negara secara rasmi hari ini.

    Pesawat yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan itu tiba kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Sementara itu, sebuah pesawat sewa khas dari Yangon, Myanmar yang membawa 21 penumpang tiba kira-kira 3.15 pagi di KLIA.

    Seorang penumpang, Mohd Akram Amri, 35, berkata, urusan kepulangannya dari Myanmar ke Malaysia kali ini lebih mudah dan cepat dengan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding lebih dua jam sebelum ini.

    “Sebelum sempadan dibuka, masa itu ketat, ada ujian RT-PCR dan kena kuarantin 14 hari tapi sekarang proses lebih senang apabila sempadan dah buka,” kata bapa kepada empat anak yang bekerja selama tiga bulan di luar negara.

    Berdasarkan paparan jadual penerbangan di KLIA, sekurang-kurangnya 17 penerbangan antarabangsa akan tiba di KLIA antaranya dari Jeddah, Arab Saudi; Yangon, Myanmar; Kathmandu, Nepal; Dhaka, Bangladesh; Melbourne, Australia; Chennai dan Hyderabad, India; London-Heathrow; Jakarta, Indonesia; Muscat, Oman; Singapura dan Doha, Qatar sehingga 9.30 pagi ini.

    Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April selari dengan perancangan negara untuk memasuki fasa peralihan ke endemik. – BERNAMA

  • Tambak Johor kembali meriah dengan nyanyian Negaraku, sorakan, tangisan

    Tambak Johor kembali meriah dengan nyanyian Negaraku, sorakan, tangisan

    PELBAGAI cerita rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura mewarnai dan menghidupkan semula Tambak Johor yang ‘sepi’ sejak dua tahun lamanya apabila sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020.

    Solidariti terpancar dalam kalangan warga tempatan apabila ada yang menyanyikan lagu Negaraku dan ada bersorak kegembiraan menyambut kepulangan mereka sebaik sahaja detik 12 tengah malam.

    Bagi R.Suresh, seorang bapa tunggal berusia 49 tahun, pertemuan semula dengan empat orang anaknya adalah detik paling dinantikannya selama ini.

    Drama ‘jejak kasih’ bersama anak bongsunya John Damscene Rau, 20, di sebuah stesen minyak berdekatan laluan keluar Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar, mencuri perhatian orang ramai yang turut berkumpul di situ.

    “Saya sangat gembira. Saya sudah kembali ke pangkuan keluarga. Saya menghargai usaha kerajaan – polis, kastam, kerana menjalankan tugas dengan sangat baik (malam ini). Mereka membantu dan melayan kami dengan baik sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen minyak, dekat sini, selepas tiba di kastam Malaysia dari republik itu dengan berjalan kaki.

    Menurut Suresh yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia berkata kehidupan selama dua tahun dengan kos sara hidup amat tinggi menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang dan bercadang untuk meluangkan masa bersama keluarga untuk makan bersama dan mengunjungi tempat yang sudah lama tidak dilawati.

    Sementara itu, Fajrul Rizal Abu Bakar yang sudah dua tahun tidak pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, mahu mendakap ibu dan bapa, serta merasa air tangan ibunya yang sangat dirindui.

    Pemuda berusia 28 tahun itu antara kumpulan pertama yang terkandas di Singapura apabila PKP dilaksanakan.

    Dia yang juga berjalan kaki dari Singapura, sempat membuat Facebook Live bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat Malaysia ke Singapura yang didakwanya masih teragak-agak untuk pulang kerana bimbang mengenai prosedur operasi standard (SOP).

    “… kerajaan dah buat yang terbaik untuk kita semua, untuk balik. Alhamdulillah, hari ini kami semua balik dan proses untuk balik sama macam dulu. Kalau orang cakap jangan dengar, dah lalui semua proses…lancar,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang.

    Warga Singapura, Rosnah Din, 62, tidak dapat menahan sebak setelah akhirnya berpeluang berjumpa ahli keluarganya di Bukit Pasir, Muar selepas kali terakhir bertemu dengan ahli keluarganya pada Aidilfitri 2019.

    “Sebelum ini ada kematian ahli keluarga di Singapura, yang di Malaysia tidak dapat datang, kemudian ada yang sakit di Malaysia, di Singapura tidak dapat nak ziarah. Apabila dapat peluang macam ini, kita tidak mahu lepaskan peluang baik. Alhamdulillah, kedua-dua pintu masuk lancar,” katanya yang telah kehilangan tiga ahli keluarga sepanjang dua tahun ini.

    Rindu dengan suasana di Johor yang disifatkan tidak dapat dirasai di Singapura, dia bercadang untuk menyambut awal Ramadan bersama ahli keluarganya di sini.

    “Suasanalah…sebab kita selalu (ke sini) kebanyakan adik-beradik saya separuh di sini… daripada sini.. mak saya pun daripada sini, Muar. Jadi, apabila kita dapat bertemu, macam dapat melepaskan rindulah,” katanya yang turut ditemani abang dan anak perempuannya.

    Pada 25 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama mengumumkan bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara telah lengkap vaksinasi mulai hari ini, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

    Selain itu, juga membenarkan pengembara telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA

  • Data MySejahtera hak mutlak kerajaan Malaysia – Khairy

    Data MySejahtera hak mutlak kerajaan Malaysia – Khairy

    SETIAP  data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera, adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan Malaysia, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu merupakan antara terma utama yang terkandung dalam Perjanjian Ketakdedahan (NDA) antara Majlis Keselamatan Negara di pihak kerajaan dengan KPISOFT pada 1 April 2020.

    Justeru, beliau memberi jaminan segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara, dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera adalah tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan piawaian antarabangsa.

    “Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari, dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera serta aplikasi sokongan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 sahaja,” katanya semasa menggulung usul berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.

    Berhubung keselamatan aplikasi dan data pula, beliau berkata pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), menjalankan pelbagai ujian bagi memastikan aplikasi itu selamat, pengujian penembusan dan kerentanan) sebelum ia dilancarkan.

    Selain itu, katanya NACSA juga menjalankan audit keselamatan berkala setiap bulan, dan melaksanakan ujian penembusan dari semasa ke semasa, selain turut melaksanakan jejak audit kepada server yang menyimpan data MySejahtera ini.

    “Kalau ada sesiapa yang cuba log  masuk ambil data daripada server kita, kita akan tahu siapa log masuk data itu,” katanya.

    NACSA melalui Pusat Penyelarasan Siber Negara (NC4) juga memantau keselamatan secara berterusan ke atas aplikasi MySejahtera, untuk mengesan sebarang pencerobohan selain hasil semakan juga mendapati syarikat pengendali aplikasi MySejahtera ini juga telah menerima piawaian ISO270001 (ISMS).

    Katanya piawaian ini ialah spesifikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat, meliputi dasar dan pengurusan keselamatan maklumat, keselamatan fizikal dan persekitaran, keselamatan komunikasi dan keselamatan sumber manusia.

    “Berdasarkan fakta-fakta ini, saya ingin menekan bahawa setiap data dan maklumat yang diperolehi menerusi aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan terjamin keselamatan dan kerahsiaannya.

    “Saya berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kerajaan belum luluskan bayaran kepada pengendali MySejahtera – Khairy

    Kerajaan belum luluskan bayaran kepada pengendali MySejahtera – Khairy

    KERAJAAN belum meluluskan atau membuat apa-apa pembayaran kepada pengendali aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), akan memastikan sebarang keputusan berhubung kos pembayaran akan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat.

    “Justeru, rundingan yang masih berjalan ketika ini akan diusahakan sebaik mungkin untuk mencapai situasi menang-menang, yang seterusnya akan memastikan isu ini dapat mencapai kata putus.

    “Harga yang saya dengar di pasaran RM300 juta lebih, saya boleh nyatakan di sini bahawa harga yang kita runding ini jauh kurang daripada RM300 juta. Kita akan dapat satu kos yang sebenar yang menjaga kepentingan awam,” katanya ketika menggulung usul perbahasan berkaitan aplikasi MySejahtera pada persidangan Dewan Negara hari ini.

    Kerajaan kini dalam peringkat akhir berhubung perkara itu, dan ia hampir ke tahap untuk menandatangani kontrak, katanya menjawab celahan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu status rundingan berhubung bayaran kepada pengendali MySejahtera.

    Justeru, katanya tidak timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta, sebaliknya keputusan Jemaah Menteri pada November tahun lepas mempersetujui agar pemilikan MySejahtera dipindahkan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kepada KKM.

    Beliau berkata ia bertujuan memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak dan memperkasa hebahan tentang kesihatan awam.

    “Pemindahan ini bukan daripada syarikat swasta kepada KKM, tetapi daripada agensi kerajaan lain kepada KKM,” katanya sambil menambah adalah wajar bagi KKM mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera, memandangkan fungsi utama serta data yang diperoleh menerusi aplikasi itu berkaitan kesihatan.

    Khairy berkata selaras dengan keputusan Jemaah Menteri itu, satu Jawatankuasa Pemandu telah ditubuhkan dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai pelbagai agensi berkepentingan seperti Agensi Keselamatan Sumber Negara (NASCA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, bagi mengadakan rundingan bersama syarikat pengendali MySejahtera.

    “Jawatankuasa Pemandu itu juga akan membincangkan tentang hala tuju aplikasi MySejahtera, lebih-lebih lagi selepas ini kita beralih ke fasa peralihan pandemik dan seterusnya mencapai fasa endemik kelak,” katanya.

    Khairy turut memberi jaminan bahawa beliau dan KKM akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap sebarang prosiding yang akan dijalankan, termasuklah oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Beliau memberi jaminan tiada apa-apa yang disembunyikan, dan keputusan untuk mengadakan rundingan adalah suatu usaha bagi memperbetul dan menyelesaikan masalah yang timbul sebelum ini.

    Dalam pada itu, Khairy menjelaskan pemilik saham syarikat Entomo Pte Ltd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd) yang berpangkalan di Singapura, majoritinya adalah rakyat Malaysia.

    “Mereka membuat keputusan berpangkalan di Singapura sebab seperti mana syarikat teknologi lain dari Malaysia, mereka mendapati bahawa lebih mudah untuk mendapat pelabur di Singapura sebab itu mereka di sana,” katanya.

    Mengenai dakwaan sebelum ini NASCA membayar sejumlah wang kepada KPISoft Malaysia Sdn Bhd, Khairy berkata pembayaran tersebut bukan untuk aplikasi MySejahtera sebaliknya kepada Google untuk perkhidmatan mereka API contohnya Google Maps.

    — BERNAMA

  • Usul MySejahtera: Senator bangkitkan isu tahap keselamatan data peribadi, pemilik MySejahtera

    Usul MySejahtera: Senator bangkitkan isu tahap keselamatan data peribadi, pemilik MySejahtera

    ISU mengenai tahap keselamatan data peribadi pengguna aplikasi MySejahtera dan pemilik sebenar aplikasi itu adalah antara perkara yang dibangkitkan oleh kebanyakan Senator ketika membahaskan usul berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.

    Antara yang membangkitkan perkara itu ialah Senator Datuk Koh Nai Kwong yang mempersoalkan sama ada semua data peribadi masyarakat di negara ini terjamin keselamatannya tanpa dikompromi oleh mana-mana pihak yang mengunakan data itu untuk tujuan komersial serta politik.

    Beliau berkata sebelum ini kebenaran untuk menyimpan data peribadi dalam aplikasi itu dibuat secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat, tetapi kenapa ia dikenakan bayaran secara tiba-tiba.

    “Adakah ini bermakna ia melibatkan isu jual beli,” katanya yang turut meminta Kementerian Kesihatan menyatakan siapa pemilik sebenar aplikasi itu dan sama ada kementerian itu masih mempunyai hak ke atas aplikasi itu atau ia dimiliki sepenuhnya oleh syarikat swasta MySJ Sdn Bhd.

    Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pula bertanya Kementerian Kesihatan sama ada pengguna MySejahtera mempunyai hak untuk membatalkan pendaftaran keahlian aplikasi berkenaan dan menyekat pembangun atau pengendali untuk akses maklumat peribadi.

    “Di manakah data-data ini disimpan dan bagaimana ia dilupuskan setelah pengguna membatalkan pendaftaran mereka. Apakah jaminan kerajaan terhadap keselamatan data peribadi rakyat tidak disalahgunakan atau dimanipulasikan untuk tujuan lain seperti tujuan pilihan raya atau dijual untuk tujuan tertentu,” soalnya.

    Menyentuh kemungkinan MySejahtera akan dimansuhkan, Wan Martina meminta penjelasan berhubung rasionalisasi kerajaan dalam membayar kos yang tinggi untuk pembelian aplikasi itu supaya rakyat tidak meragui serta yakin untuk terus menggunakannya.

    Senator Aknan Ehtook pula ingin tahu kenapa MySejahtera perlu dijual kepada syarikat MySJ Sdn Bhd dan pihak mana yang membuat keputusan mengenai penjualan aplikasi berkenaan.

    “Adakah ini keputusan Kementerian Kesihatan sahaja atau bersama Kementerian Kewangan atau ini keputusan kabinet negara kita untuk menjual MySejahtera ini dan apakah asas pemilihan untuk persetujuan menjual aplikasi ini kepada MySJ Sdn Bhd?” katanya.

    Beliau berpandangan apa yang dijual bukan aplikasi berkenaan, tetapi data yang terdapat dalam MySejahtera, sehingga menjadikan harga jualan yang tinggi atas faktor pemilikan data peribadi pelbagai golongan.

    Terdahulu, Senator Muhammad Zahid Md Arip meminta Dewan Negara membahaskan berkenaan kontroversi keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera susulan langkah memilih syarikat swasta MySJ Sdn Bhd untuk meneruskan pengurusan aplikasi itu.

    Muhammad Zahid berkata individu penting dalam syarikat itu juga mempunyai hubungan serta kaitan secara langsung dengan syarikat KPISoft Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu.

    — BERNAMA

  • Pemandu SUV didakwa memandu dalam keadaan mabuk, sebab kematian pelanggan restoran

    Pemandu SUV didakwa memandu dalam keadaan mabuk, sebab kematian pelanggan restoran

    SEORANG pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pelanggan restoran, dua minggu lepas.

    Ejen Insurans K. Meena Sundram, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan Honda HRV di bawah pengaruh alkohol sebanyak 116 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

    Ia melebihi 67mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Soh Cheng Keong @Soh Chin Kiew, 76,  di Jalan Klang Lama menghala ke pusat bandar di sini pada 8.50 malam, 20 Mac lepas.

    Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu pelupusan kes serta menetapkan 31 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf manakala tertuduh diwakili peguam P. Ari Krishnan.

    Pada 21 Mac lepas, media melaporkan seorang lelaki dipercayai mabuk telah merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini.

    Lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

    — BERNAMA

  • Perlis tidak kenakan denda terhadap pasangan nikah di Thailand

    Perlis tidak kenakan denda terhadap pasangan nikah di Thailand

    PASANGAN yang bernikah di Thailand dan ingin mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Perlis tidak akan dikenakan sebarang denda, namun mereka perlu mengemukakan dokumen lengkap bagi tujuan tersebut.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais berkata pasangan terlibat perlu mendapatkan sijil pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand terlebih dahulu bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan mereka di negeri ini.

    Beliau berkata sekiranya berlaku pernikahan di Thailand, pasangan terlibat pula tidak mendapatkan sijil pengesahan berkenaan, permohonan bagi mendaftarkan pernikahan itu dianggap tidak lengkap dan menyukarkan proses selanjutnya.

    “Ramai pasangan yang berkahwin di sana tidak mendapatkan sijil pengesahan ini kerana syarat ditetapkan kerajaan Thailand adalah pihak terlibat perlu bermalam sehari di sana sebelum diberikan dokumen itu.

    “Dan bila pasangan itu tidak mendapatkan sijil pengesahan pernikahan, ia menyukarkan mereka untuk mendaftarkan pernikahan di Perlis,” katanya kepada pemberita di pekarangan pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar hari ini.

    Terdahulu, sewaktu sesi soal jawab lisan, Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) bertanyakan Rozaimi mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mempermudahkan proses buat pasangan yang bernikah di Thailand untuk mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri ini.

    Menurut Mohd Ridzuan, terdapat banyak kes pasangan tidak mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini sehingga menyebabkan anak-anak turut terkesan antaranya tidak dapat mendaftar untuk persekolahan.

    Dalam pada itu, Rozaimi berkata mahkamah syariah di Perlis juga tidak mewajibkan pihak yang ingin berpoligami untuk memaklumkan perkahwinan mereka kepada isteri pertama, namun maklumat yang dikemukakan itu seharusnya lengkap.

    “Jika maklumat tidak lengkap dan meragukan, mahkamah syariah akan memanggil isteri pertama bagi mendapat pengesahan,” katanya.

    — BERNAMA