Author: Bernama

  • Solat Jumaat: Saf kembali rapat, SOP kekal terpelihara

    Solat Jumaat: Saf kembali rapat, SOP kekal terpelihara

    IMAM solat di masjid-masjid di seluruh negara hari ini kembali kepada amalan biasa, mengingatkan para jemaah untuk merapatkan saf sebelum solat Jumaat bermula, susulan negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula hari ini.

    Umat Islam dibenar merapatkan saf setelah lebih dua tahun mereka menunaikan solat dengan jarak fizikal, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Bagaimanapun tinjauan Bernama di Masjid Khalid Bin Al-Walid di sini mendapati, masih terdapat jemaah yang menghampar sejadah sedikit jarak daripada jemaah lain, mungkin kerana terbiasa selepas dua tahun melalui susana penjarakkan fizikal ketika solat berjemaah.

    Para jemaah hanya benar-benar merapatkan saf masing-masing, apabila diingatkan imam masjid itu berkenaan untuk berbuat demikian, dengan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, bermula 1 April aktiviti solat jemaah di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

    Di PUTRAJAYA, umat Islam yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan dan penduduk setempat mendirikan solat Jumaat berjemaah dengan saf dirapatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dengan diimamkan Ustaz Rodhi Abd Ghani.

    Para jemaah mula hadir di masjid berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat, dan turut kedengaran peringatan dibuat pihak pengurusan masjid kepada jemaah yang hadir untuk terus mematuhi SOP solat berjemaah secara berkala.

    Terdahulu ketika ditemui Bernama hari ini, Rodhi menyifatkan kebenaran rapat saf bagi solat berjemaah merupakan suatu berita yang dinanti-nantikan umat Islam negara ini.

    Di MELAKA, solat Jumaat di Masjid An-Naim, Durian Tunggal di Alor Gajah, ratusan jemaah mula hadir ke masjid berkenaan seawal pukul 12.30 tengah hari, dengan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka selain membawa sejadah sendiri disusuli dengan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal satu meter.

    Di KELANTAN, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Tengku Razaleigh, Gua Musang, hari ini.

    Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berkata, masjid perlu diangkat sebagai sebuah institusi penting dalam masyarakat, kerana ia didirikan merentasi kefahaman dan ideologi pemikiran tertentu.

    “Pihak jawatankuasa masjid perlu merancang dan melaksanakan program yang boleh membantu meningkatkan semangat ukhwah islamiyah dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh kepada MAIK, di sini hari ini.

    Di TERENGGANU, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, M Rozi Bidin berkata, sejak semalam semua ahli jawatankuasa di 509 masjid dan 1,546 surau di negeri itu telah membuat persediaan untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu tanpa penjarakan fizikal.

    Seorang jemaah solat Jumaat Kamaruddin Azizan, 45, ketika ditemui Bernama di Masjid Seberang Takir di Kuala Nerus menzahirkan rasa syukur dan sebak kerana selepas dua tahun akhirnya dia dapat menunaikan solat dengan saf rapat.

    Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama di Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram mendapati jemaah menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal dengan mengikut SOP yang ditetapkan dan mereka melahirkan rasa syukur kerana lebih ramai dapat solat berjemaah bermula hari ini.

    Seorang jemaah, Mohd Jalil Abdul Rahman, 55, berkata kehadiran orang ramai untuk solat Jumaat hari ini lebih ramai berbanding sebelum ini, kerana jemaah tidak perlu lagi mengikut penjarakan fizikal dan boleh merapatkan saf.

    Di PERAK, sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat secara rapat saf di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini dan telah memenuhi segenap ruang di dalam dan luar masjid seawal waktu lagi, dalam suasana pematuhan SOP yang ditetapkan, selain imam masjid memesan jemaah merapatkan saf.

    Di PAHANG, Imam Masjid Tepian Putra, Kuantan Mohd Zulkarnain Shamsudin berkata jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat, selain mengenakan pelitup muka, meskipun kelonggaran merapatkan sejadah tanpa sentuhan fizikal telah diberikan.

    Di PERLIS, seorang jemaah di Masjid Nurul Naim Felcra Lubuk Sireh, di sini, Khairil Azrizal Bahari, 40, ketika ditemui berkata setelah dua tahun negara dilanda COVID-19, beliau kini berpeluang membawa anaknya ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat setelah anaknya Muhamad Nabil Akalil, 12, sering bertanyakan untuk solat Jumaat di masjid.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, kira-kira 1,500 jemaah membanjiri perkarangan masjid sejak pukul 12.30 tengah hari tadi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di Masjid Negeri, Seremban.

    Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri mendapati, umat Islam mula memenuhi masjid itu sekitar jam 12.30 bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah dengan saf dirapatkan hari ini.

    “Alhamdulillah bulan April kita mulakan dengan perkara yang baik. Sudah lama tidak merasa sembahyang dengan orang ramai memenuhi ruang masjid namun masih dalam SOP yang digariskan,” kata pesara kerajaan Samad Mahat, 70, ketika ditemui Bernama.

    Di KEDAH, seorang jemaah di Masjid Al Bukhary, Alor Setar, Hasanudin Ishak, 56, berkata, kebenaran merapatkan saf itu memberikan kelonggaran kepada jemaah, sekali gus menjadikan ruang solat yang lebih luas kepada jemaah yang hadir.

    Di SABAH, tinjauan di beberapa masjid negeri ini di Kota Kinabalu antaranya Masjid Negeri Sabah dan Masjid At-Taqwa, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini mendapati solat Jumaat dilaksanakan menerusi SOP terbaharu ditetapkan. – BERNAMA

  • 1MDB: Najib minta Bakke fokus projek JV, bukan transaksi sebelum

    1MDB: Najib minta Bakke fokus projek JV, bukan transaksi sebelum

    BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahunya menerusi telefon supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengkaji transaksi lepas, dan hanya beri tumpuan kepada projek usaha sama (JV) yang dicadangkan antara dana kekayaan berdaulat (1MDB) itu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

    Mohd Bakke, 68, berkata, pesanan itu telah disampaikan oleh Najib sendiri selepas bekas Perdana Menteri itu selesai bercakap dengan ahli perniagaan yang sedang dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menerusi perbualan telefon semasa satu mesyuarat lembaga pengarah.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam yang mengetuai pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

    Saksi itu merujuk kepada satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang dihadiri beliau serta Jho Low pada 26 Sept 2009, dan Jho Low dikatakan menerima panggilan telefon daripada Najib ketika itu.

    Mohd Bakke berkata, walaupun beliau bimbang dengan beberapa isu yang dikaitkan 1MDB seperti AS$700 juta yang didakwa diseleweng, Najib memberitahunya supaya tidak mengambil masa yang panjang untuk mengkaji transaksi sebelumnya.

    “Najib memberitahu saya tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa melihat urus niaga lepas, dan hanya melihat cadangan JV, kerana perkara itu telah dibincangkan sejak sekian lama, dan kami perlu membuat keputusan secepat mungkin,” kata saksi itu.

    Mohd Bakke berkata, bahawa disebabkan kata-kata Najib, beliau kemudiannya berasa cukup selesa untuk menyampaikan pesanan itu kepada ahli lembaga pengarah yang lain untuk meneruskan usaha sama berkenaan.

    Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju bahawa Jho Low mempunyai kawalan penuh ke atas pengurusan 1MDB kerana pihak (pengurusan) menerima arahan daripadanya walaupun Jho Low tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam syarikat berkenaan.

    Kepada soalan bagaimana saksi itu boleh beranggapan bahawa Jho Low mewakili Najib, Mohd Bakke berkata, ia bukan sekadar tanggapan, kerana beliau pernah bertemu Jho Low di pejabat Najib semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan, dan juga ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

    Pada penghujung prosiding hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan berkata beliau berasa seperti “berada di Mahkamah Keadilan Collin” disebabkan gaya pemeriksaan balas Muhammad Shafee terhadap saksi yang menyentuh isu lebih berkaitan dengan kes rasuah 1MDB, dan bukannya kes laporan audit 1MDB.

    Hakim Mohamed Zaini berkata demikian sebagai merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes rasuah RM2.3 bilion 1MDB yang melibatkan Najib.

    Muhammad Shafee kemudiannya berkata, isu panggilan telefon itu dibangkitkan oleh ketua pendakwa raya Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa prosiding lepas dan pihak pembelaan berhak menyoal saksi mengenai perkara itu.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda, 45, didakwa bersubahat dengan Najib membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 12 April. – BERNAMA

  • Kes Zahid: Bekas SUB KDN terima 26,000 riyal dari Wan Badak

    Kes Zahid: Bekas SUB KDN terima 26,000 riyal dari Wan Badak

    BEKAS Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa beliau menerima 26,000 Riyal daripada Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (Wan Badak) ketika mereka berada di Arab Saudi.

    Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Shahril Ismail ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kes rasuah Visa Luar Negara (VLN).

    Ketika ditanya Ahmad Zaidi, adakah beliau ada menerima tunai dalam mata wang Arab Saudi 26,000 Riyal daripada ‘Wan Badak’, saksi itu menjawab: “Ada, tetapi tujuan untuk menukar duit.”

    Ahmad Zaidi: Saya rujuk satu dokumen yang telah dibekalkan oleh pendakwaan kepada kami (pembelaan) dalam bundle 51A berkenaan kes ini, rujuk dokumen (buku 555 atau buku ‘faraid’) yang telah dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Ia pada November 2015, bersesuaian dengan apa yang Datuk beritahu tadi, Datuk pergi mengerjakan umrah. Ada mencatatkan ‘Mode cash kepada Wan Badak, Jumlah 26,000 Riyal, remark Syahril SUB’. Ini catatan Wan Quoris, Datuk setuju?

    Shahril: Setuju.

    Ahmad Zaidi: Bila Datuk mula terlibat dengan proses lanjutan kontrak UKSB, boleh saya katakan dari mula surat itu dihantar ?

    Shahril: Ya, dari mula ia (surat) dihantar.

    Shahril turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa beliau ada menerima wang RM14,000 daripada Wan Quoris Shah pada 25 Okt 2016 iaitu tarikh sama surat tersebut dihantar kepada bahagiannya.

    Bagaimanapun beliau menafikan beberapa transaksi berjumlah antara RM19,000 dan RM28,000.

    Sebelum ini, media ada melaporkan SPRM ada merampas satu buku ‘faraid’ milik UKSB yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu.

    Ditanya Ahmad Zaidi lagi, di dalam dokumen sama (buku ‘faraid’) menyatakan ‘remark cash RM100,000 dan RM50,000 kepada KJ’, beliau menjawab “Ya”.

    Ahmad Zaidi: KJ itu Khairy Jamaluddin, yang sekarang Menteri Kesihatan?

    Shahril: Ya

    Ahmad Zaid: Ia juga menyatakan 70,000 SGD kepada FM. FM merujuk kepada Foreign Minister?

    Shahril: Tidak pasti

    Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Shahril menjelaskan beliau ke Arab Saudi selepas dipanggil seorang bekas pegawai KDN yang juga merupakan orang kampungnya.

    “Di situ ada sekali Wan Quoris Shah, masa itu saya memang mahu mengerjakan umrah. Wan Quoris Shah tawarkan kepada saya, jika saya mahu menukar mata wang Riyal.

    “Saya beranggapan untuk ditukar, saya membawa RM10,000 untuk menukar dengan Riyalnya tetapi dia enggan mengambil wang saya,” katanya.

    Ditanya Raja Rozela, adakah wang 26,000 Riyal itu berkaitan dengan kontrak-kontrak UKSB atau kerja-kerja rasmi? Shahril menjawab: “Tidak, kerana ketika itu saya baru sahaja masuk (KDN).”

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 10 Mei depan. – BERNAMA

  • Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    Pemilik Agenda Daily nafi artikel fitnah PM

    PEMILIK Agenda Daily Media Enterprise, Muhamad Izwan Mohd Zubit mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Muhamad Izwan, 37, selaku defendan memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi, minggu lepas menerusi Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers.

    Berdasarkan pernyataan pembelaan, Muhamad Izwan menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Ismail Sabri, selaku plaintif dalam kes saman itu.

    “Artikel tersebut merupakan suatu ulasan dan analisis politik yang adil dan berjustifikasi. Sekiranya plaintif (Ismail Sabri) tidak bersetuju dengan ulasan dan analisis tersebut, pada bila-bila masa, plaintif selaku seorang perdana menteri dan ahli politik ternama, sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk menjawab dan menangkis semula ulasan serta analisis itu,” dakwanya.

    Defendan yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi, mendakwa perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ bukan satu konotasi negatif atau hina dalam politik, sebaliknya melambangkan kerendahan budi dan kebesaran jiwa seseorang ahli politik semasa merayu sokongan terhadapnya.

    “Perkataan ‘rayu dan ‘merayu’ digunakan secara meluas dalam aktiviti politik. Contohnya ‘perayu undi’ merupakan gelaran biasa yang digunakan setiap kali pilihan raya, di mana perayu-perayu undi akan turun bertemu dengan rakyat bagi merayu undi terhadap calon pilihannya,” dakwa defendan yang telah berkhidmat sebagai wartawan, pemberita, editor dan penterjemah sejak 2008.

    Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

    Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

    Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

    Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri, 62, mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

    Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – BERNAMA

  • KDN cadang usul lanjutan SOSMA dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang

    KDN cadang usul lanjutan SOSMA dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mencadangkan usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibentang dan diputuskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang sebelum tempoh subseksyen itu tamat 31 Julai ini.

    Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya turut mencadangkan satu sidang khas Dewan Negara diadakan sebelum 31 Julai bagi membincangkan usul pelanjutan itu selepas dibawa semula ke Dewan Rakyat.

    Mengikut Takwim mesyuarat kedua Dewan Rakyat dijadual pada 18 Julai hingga 4 Ogos manakala Dewan Negara pada 8 Ogos hingga 16 Ogos.

    Hamzah berkata satu perbincangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara bagi menentukan cara pelaksanaan bagi membincangkan usul itu.

    “Saya sudah bercakap dengan mereka (Yang Dipertua) dan (perbincangan) akan dilakukan secepat yang mungkin,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan SOSMA di Putrajaya, hari ini.

    Hamzah berkata pengenalan klausa had tempoh dalam SOSMA memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai semua peruntukan subseksyen dalam akta itu setiap lima tahun sekali mengikut keperluan semasa.

    Pada 23 Mac lepas, usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun itu tidak diluluskan di Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 85 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

    Subseksyen berkenaan membolehkan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes-kes kesalahan keselamatan, yang bersifat rumit dan kompleks.

    Terdahulu, Hamzah menerima memorandum sokongan berkaitan keperluan dan kepentingan Subseksyen 4(5) SOSMA daripada 10 NGO dan tokoh masyarakat.

    — BERNAMA

  • Isteri Guan Eng tidak dibenarkan masuk mahkamah

    Isteri Guan Eng tidak dibenarkan masuk mahkamah

    PIHAK pembelaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini mengemukakan aduan kepada hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenai protokol keselamatan yang ketat, sehingga menyebabkan ahli keluarga anak guamnya tidak dapat memasuki mahkamah untuk mengikuti prosiding perbicaraan.

    Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng memberitahu Hakim Azura Alwi bahawa, isteri kepada anak guamnya Betty Chew, beberapa orang peguam serta penyokong Ahli Parlimen Bagan itu telah dihalang pihak polis daripada memasuki bilik mahkamah, walaupun mereka sering hadir pada perbicaraan sebelum ini.

    “Yang Arif, seperti yang dilihat galeri awam kosong pada hari ini kerana pihak polis tidak benarkan sesiapa masuk termasuk isteri tertuduh…jadi saya mohon arahan Yang Arif kerana saya juga ada pegawai (peguam) yang perlu membantu saya dan beliau juga ada di luar,” kata peguam itu.

    Menjawab pertanyaan Gobind, Azura berkata pihaknya juga tertakluk kepada arahan jawatankuasa keselamatan mahkamah, untuk memberikan senarai nama individu yang ingin mengikuti prosiding perbicaraan.

    “Kita akan benarkan masuk (ke mahkamah) mengikut senarai nama dan kapasiti, dengan mengguna pakai prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

    Gobind kemudian bersetuju dan berkata pihaknya akan memberikan senarai nama individu yang ingin mengikuti prosiding dua hari sebelum perbicaraan bermula.

    Sementara itu, tiga saksi pendakwaan iaitu bekas setiausaha sulit kanan Guan Eng, Datuk Ng Wee Kok serta M. Maheswari dan S. Vijayalakchimi yang masing-masing merupakan bekas setiausaha majlis mesyuarat kerajaan negeri (MMKN) Pulau Pinang, dipanggil semula untuk membuat pengecaman kira-kira 30 dokumen minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), berhubung projek terowong dasar laut itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, turut memaklumkan saksi pendakwaan ke-11 iaitu bekas penasihat undang-undang Pulau Pinang, Datuk Faiza Zulkifli, sepatutnya dipanggil untuk disoal balas hari ini tetapi terpaksa dibatalkan pada saat akhir, kerana saksi itu dijangkiti COVID-19.

    Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. Perbicaraan di hadapan Azura bersambung 26 Mei ini. – BERNAMA

  • Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    Doktor swasta rugi RM700,000 jadi mangsa Macau Scam

    SEORANG doktor swasta di Tawau mengalami kerugian RM747,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil sebuah kementerian dan pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 27 Jan menyatakan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

    “Berdasarkan keterangan, mangsa pada mulanya sangsi dengan panggilan telefon berkenaan, namun sindiket terbabit turut menyamar sebagai anggota polis.

    “Polis palsu ini kemudian meyakinkan kononnya mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, selain kegiatan penyeludupan dadah dan selepas itu meminta mangsa memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian bagi tujuan semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata akibat terpedaya dengan helah sindiket itu mangsa kemudian membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada beberapa akaun milik penyamar antara Febuari hingga awal Mac lepas.

    “Mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Jasmin dalam pada itu menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk memudahkan semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan kewangan.

    “Dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan sama,” tegasnya.

    — BERNAMA

  • Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    Golongan kayangan ‘borong’ minyak paket punca bekalan kurang

    KEKURANGAN bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran sejak sebulan lepas disebabkan pembelian oleh golongan ‘kayangan’ khususnya T20 dan M20.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, minyak paket berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk golongan berpendapatan rendah iaitu B40.

    Katanya, kerajaan perlu berbelanja besar dengan memperuntukkan 60,000 tan minyak paket sebulan dengan subsidi yang diberikan setiap kilogram (kg) minyak adalah antara RM2.50 sehingga melebihi RM3 bergantung kepada harga semasa.

    “Kerajaan perlu berbelanja besar untuk barangan bersubsidi contohnya minyak paket bagi 1kg dijual pada harga RM2.50, harga semasa adalah RM5 atau RM6. Untuk 1kg kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM3,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya turut mengenal pasti, peniaga kedai makan dan restoran yang menggunakan minyak berkenaan hingga menyebabkan kekurangan bekalan minyak bersubsidi itu.

    “Kebanyakan peniaga dikesan menggunakan minyak paket ini. Sekiranya pihak kami ingin menjalankan siasatan dan melaksanakan penguatkuasaan mereka akan menggunakan minyak mahal dan secara tidak langsung akan menjual barangan niaga lebih mahal.

    “Isu ini bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya. Kalau tahun lepas isu ini didakwa berkait dengan kelewatan bayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang lambat menyebabkan aliran tunai bermasalah tetapi kita sudah bayar jadi tiada isu lagi,” katanya.

    Ketika ditanya sama ada kekurangan minyak paket berkenaan turut berpunca daripada Program Jualan Keluarga Malaysia, Rosol berkata untuk program berkenaan ia hanya melibatkan satu atau dua syarikat pembungkusan semula.

    “Sedangkan setiap negeri ada lima sehingga enam syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi, jadi itu tidak ada isu. Apa yang kita tidak mahu, minyak berkenaan dibawa ke negara jiran,” katanya menambah penguatkuasaan dengan pasukan keselamatan terus dipergiatkan bagi mencegah barangan bersudsidi diseludup ke negara jiran. – BERNAMA

  • Saman AS$1.18 bilion: Mahkamah Tinggi arah Najib fail pernyataan pembelaan

    Saman AS$1.18 bilion: Mahkamah Tinggi arah Najib fail pernyataan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

    Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC ketika dihubungi pemberita berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini manakala bahasa Melayu pada 4 April.

    “Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei,” katanya dan menambah pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

     Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

    Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama individu itu daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

    SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    — BERNAMA

  • Video penyanyi lelaki menyerupai wanita tular, kerajaan Terengganu minta penjelasan penganjur

    Video penyanyi lelaki menyerupai wanita tular, kerajaan Terengganu minta penjelasan penganjur

    PIHAK berkuasa Terengganu akan membuat lawatan mahabbah (siasatan awal) ke lokasi yang diadakan satu majlis bertemakan ‘Arabian Dangdut Night’ yang video nyanyian seorang individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi pada majlis itu tular dalam media sosial.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata siasatan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada penganjur mengenai video nyanyian itu.

    “Kita bersedia mendengar penjelasan mereka…takut ada kelemahan tertentu sehingga berlakunya perkara tersebut,” katanya mengulas mengenai video berdurasi 25 saat yang memaparkan nyanyian individu terbabit di sebuah hotel di Kuala Terengganu pada 25 Mac lepas yang tular sejak semalam.

    Beliau berkata setiap penganjur program perlu mengikut peraturan termaktub dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti yang dijalankan adalah mengikut syariat Islam.

    Mohd Nor berkata garis panduan yang mula diperkenalkan pada 2020 itu mempunyai perincian yang lengkap dalam penganjuran acara hiburan, kebudayaan, pelancongan dan sukan hasil perbincangan pelbagai pihak termasuk mufti, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

    “Kita beri ruang untuk mereka dengar penjelasan (mengenai garis panduan)…lawatan (siasatan awal) itu nanti adalah sebagai penilaian sama ada perbuatan tersebut memang disebabkan kesilapan penganjur yang terlepas pandang mengenai garis panduan itu atau mempunyai niat lain untuk melakukan tindakan provokasi.

    “Terengganu memang ada garis panduan kecuali ia berlaku disebabkan tindakan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana apabila kerajaan negeri ambil tindakan akan dikatakan Terengganu ini bertindak ‘kasar dan keras’ sedangkan kita hanya mahu memelihara keharmonian di Terengganu.

    “Dalam hal seperti ini (hiburan yang tidak mematuhi garis panduan), rakyat Terengganu pun marah bukan pemimpin sahaja, jangan cetuskan kemarahan rakyat Terengganu kerana sentimen agama sangat tinggi di negeri ini. Apa pun, kita akan dengar dulu penjelasan pihak yang terlibat,” katanya.

    Terdahulu, beliau merasmikan  program Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu FM sempena Hari RTM ke-76 di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu Sabri Mansor berkata program tersebut diharap dapat merapatkan lagi hubungan kakitangan RTM Terengganu dan masyarakat tempatan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya demonstrasi kebakaran, demonstrasi ular, pertandingan mewarna, pameran agensi-agensi dan persembahan artis.

    — BERNAMA