Author: Bernama

  • 5,087 penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri – Sulaiman

    5,087 penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri – Sulaiman

    SEBANYAK 5,087 penjawat awam negeri Melaka, bakal mendapat bantuan kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Mei depan.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata bantuan kewangan itu telah diputuskan dalam Bajet Melaka 2022 yang dibentangkan pada Disember tahun lepas.

    “Sebelum ini saya telah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 dan ia dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Januari lepas dan April ini, bayaran tersebut adalah bantuan untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan dibayar bersama gaji,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 1443 Hijrah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di Alor Gajah hari ini.

    Sebanyak 320 penduduk dalam kalangan asnaf, miskin dan warga emas di DUN berkenaan menerima sumbangan wang tunai dan barangan makanan serta kuih raya.

    Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata imam dari luar Melaka yang dijemput untuk mengimamkan solat tarawih di masjid atau surau di negeri itu dalam tempoh yang lama perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

    Beliau berkata ia bagi memastikan latar belakang dan fahaman imam jemputan berkenaan selari dengan ajaran Islam yang dipraktikkan di negeri itu.

    “Ia satu kemestian bagi imam jemputan dari luar Melaka mendapatkan kelulusan daripada MAIM bagi mengekang segala aspek negatif yang mungkin berlaku.

    “Syarat ini melibatkan imam jemputan yang dijemput mengimamkan solat tarawih dalam tempoh yang lama, 29 atau 30 hari tetapi jika imam jemputan berkenaan menjadi tetamu untuk satu malam sahaja dan balik hari, ia tidak menjadi masalah,” katanya.

    Katanya bagi imam dari luar daerah atau kariah pula tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada MAIM dan perkara itu telah diputuskan sebelum ini.

    — BERNAMA

  • Dakwaan minta campur tangan kes mahkamah, Zahid saman Muhyiddin

    Dakwaan minta campur tangan kes mahkamah, Zahid saman Muhyiddin

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

    Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini, semalam (4 April) dengan menamakan Muhyiddin, 74, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, pada 19 Okt 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

    Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

    “Pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet,” dakwa Ahmad Zahid dalam pernyataan tuntutan saman itu.

    Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 29,752 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan selain rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial iaitu KiniTV, Facebook Page ‘Perikatan Nasional’, portal Malaysiakini dan Utusan Malaysia pada 16 dan 17 Feb lepas.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

    Ahmad Zahid menegaskan, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya selain mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

    “Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepada plaintif selaku pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor,” dakwa plaintif.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan ex-parte (sebelah pihak) supaya defendan atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

    Plaintif juga memohon perintah injunksi interim untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

    Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil ‘Perikatan Nasional’, YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

    Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

    Pendengaran permohonan ex-parte itu akan didengar esok di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video. – BERNAMA

  • MAIWP umum bantuan Ramadan dan Aidilfitri RM800

    MAIWP umum bantuan Ramadan dan Aidilfitri RM800

    MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan Bantuan Awal Ramadan dan Bantuan Aidilfitri berjumlah RM800 secara ‘one-off’ kepada 30,300 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Bantuan Awal Ramadan sebanyak RM300 dibayar secara berperingkat bermula semalam manakala Bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 pula akan mula dibayar pada minggu ketiga Ramadan.

    “(Bantuan) RM300 ini sebagai sumbangan tambahan dalam bulan Ramadan kepada mereka yang terima bantuan bulanan (MAIWP). Ini satu lagi nilai tambah kita beri kepada penerima atau asnaf sedia ada.

    “Gunalah bantuan ini sebaik mungkin. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban dalam menyambut Ramadan dan persiapan Aidilfitri,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1443H di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan bantuan Ihya’ Ramadan berjumlah RM9.46 juta bagi tujuan mengimarahkan 811 masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; membabitkan penyaluran RM15,000 kepada 89 masjid; RM12,500 kepada 123 surau Jumaat dan RM11,000 kepada 599 surau.

    Idris berkata, dana tersebut disalurkan bagi masjid dan surau menggunakannya untuk program-program sepanjang bulan Ramadan dengan pengisian yang menjadi terapi jiwa dan penghayatan ilmu.

    Dalam pada itu, Idris turut menasihatkan pihak-pihak yang menyiarkan azan bagi tujuan berbuka puasa dan bersahur, lebih berhati-hati agar insiden berbuka sebelum waktunya, tidak berlaku lagi.

    “Mereka yang menjaga urusan sama ada azan atau siren penanda sahur ataupun buka puasa, kena amanah betul-betul.

    “Kalau sengaja buat macam itu, maka mereka menanggung dosa terhadap itu dan kepada individu yang berbuka puasa awal kerana mendengar azan maghrib di radio yang disiarkan lebih awal daripada waktunya, kena qada balik puasa,” katanya.

    Pada Ahad lepas, seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau, Sabah tampil memohon maaf selepas dilaporkan menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah itu.

    Pada majlis tersebut, Idris turut menyampaikan watikah pelantikan kepada lapan penerima yang mewakili 74 ketua amil dan 809 amil yang dilantik MAIWP bagi tujuan kutipan zakat fitrah tahun ini. – BERNAMA

  • Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    Dua suspek dadah terbunuh berbalas tembakan dengan polis

    DUA lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, Kuala Terengganu pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

    “Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan daripada Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Wan Rukman berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

    Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

    “Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

    Wan Rukman berkata, lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

    Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

    Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. – BERNAMA

  • Tembak kucing, lepas tembakan di tempat awam, bekas polis didenda RM6,500

    Tembak kucing, lepas tembakan di tempat awam, bekas polis didenda RM6,500

    MAHKAMAH Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM6,500 ke atas seorang pesara polis kerana melakukan khianat dengan menembak seekor kucing jantan yang memakan ayam peliharaannya serta melepaskan tembakan di tempat awam.

    Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainol Abidin Md Zain, 65, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.

    Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan manakala denda RM1,500 atau penjara dua bulan untuk kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam.

    Zainol Abidin didakwa dengan sengaja membunuh haiwan itu menggunakan selaras senapang patah di kawasan kebunnya di Kampung Setia, Kuang, Selangor pada 6.40 petang, 1 Julai 2020 mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bapa anak tujuh itu turut didakwa melepaskan tembakan di tempat awam menggunakan senjata sama pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh kerana tiada sebab munasabah untuk dia melepaskan tembakan kepada kucing yang bukan merupakan haiwan berbahaya kepada sesiapa pun.

    “Adalah tidak wajar untuk tertuduh menembak kucing sehingga mati dengan alasan kucing itu telah memakan ayam belaannya. Walaupun tertuduh mempunyai lesen memiliki senjata api tetapi perbuatannya melepaskan tembakan di tempat awam dan membunuh kucing adalah tidak patut,” katanya.

    Peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    “Kucing itu telah memakan ayam anak guam saya dan pelbagai cara telah dilakukan olehnya untuk mengelakkan kucing tersebut daripada makan ayam belaannya itu. Kucing itu telah ditembak serta ditanam sendiri olehnya dan senjata yang digunakan adalah senapang patah milik arwah datuk tertuduh dan dia memiliki lesen senjata api,” kata peguam itu. -BERNAMA

  • Bekas exco Perak mahu SPRM siasat isu tanah lapangan terbang

    Bekas exco Perak mahu SPRM siasat isu tanah lapangan terbang

    EMPAT bekas exco kerajaan negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terperinci berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Bekas exco berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee Chuan How; ADUN Manjoi Datuk Asmuni Awi; ADUN Sungai Rapat Datuk Seri Mohammad  Nizar Jamaluddin serta ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing.

    Howard Lee berkata isu penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

    “Kami percaya ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kuasa melakukan rundingan secara senyap-senyap dengan pembeli tanah tanpa pengetahuan barisan exco kerajaan negeri ketika itu mahupun Lembaga Pengarah PKNP.

    “Selain ingin membersihkan reputasi PH, laporan dibuat kepada SPRM hari ini adalah bagi menuntut siasatan yang lengkap dan terperinci dibuat terhadap pihak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada pemberita ketika hadir mengiringi Asmuni di pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

    Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

    Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

    Nga berkata perbuatan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab, dan perkara itu adalah salah laku serius dan mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan itu hari ini.

    — BERNAMA

  • Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis mohon pinda tuntutan saman harta sepencarian RM1 bilion

    PUAN Sri Kalsom Ismail, balu bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter, telah memfailkan permohonan bagi meminda tuntutan samannya terhadap empat anak dan ibu mertuanya berhubung harta sepencarian kira-kira RM1 bilion.

    Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata pihaknya akan meminda pernyataan tuntutan saman membabitkan beberapa aset antaranya hartanah.

    “Permohonan plaintif (Kalsom) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.

    Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, selaku defendan kelima berkata pihak plaintif telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lepas.

    Menurut Nur Hidayah, pindaan itu membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang akan dibuang dalam pernyataan tuntutan tersebut.

    “Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor akan dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda itu,” katanya.

    Kalsom, 66, memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan ibu mertuanya Aminah sebagai defendan.

    Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

    Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA

  • Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    Guru,jurukimia jadi mangsa ‘love scam’ rugi RM72,000

    SEORANG guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM42,000 apabila terpedaya dengan jerat ‘love scam’ lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata mangsa berusia 27 tahun itu telah berhubung dengan suspek bernama Albert A Adams melalui aplikasi WhatsApp dan sepanjang perkenalan, suspek turut memberitahu ingin memberi hadiah barangan berjenama serta wang tunai.

    “Antara hadiah dijanjikan suspek sebagai tanda perkenalan ialah kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut Adidas, barangan kemas, pakaian dan wang tunai AS$3,000 (RM12,631).

    “Pada 29 Mac lepas, suspek memberitahu bahawa barangan tersebut telah dihantar ke alamat mangsa dan wanita itu mengesahkan sememangnya ada barangan yang telah sampai di Kuala Lumpur melalui semakan laman sesawang ‘Fast Express Shipping’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sundra Rajan berkata bagaimanapun barangan itu telah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan.

    Katanya, suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan itu dan mangsa yang percaya mengikut arahan suspek dengan membuat bayaran secara berperingkat bermula 30 Mac hingga 1 April lepas berjumlah RM42,000 atas pelbagai alasan.

    “Selepas pembayaran dibuat, suspek menjanjikan barangan itu akan sampai ke alamat rumah pengadu pada 1 April, namun sehingga kini barangan itu tidak diterima mangsa malah suspek masih memintanya membuat bayaran RM5,000 untuk kos penghantaran.

    “Bagaimanapun, mangsa tidak mengikut arahan itu kerana percaya dirinya telah diperdaya dan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 April,” katanya.

    Sementara itu dalam kes penipuan lain, Sundra Rajan berkata seorang jurukimia wanita berumur 37 tahun kerugian RM30,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar kononnya daripada pihak HSBC Bank.

    Beliau berkata mangsa dihubungi pada 1 April menerusi panggilan telefon memaklumkan dia mempunyai tunggakan ‘coin base’ berjumlah RM4,663 selain terdapat transaksi menggunakan namanya tetapi mangsa menafikan tidak pernah membuka akaun bank itu.

    “Mangsa telah disambungkan kepada Bank Negara Malaysia untuk tujuan kemas kini maklumat peribadi kemudian diminta membeli insurans perlindungan.

    “Panggilan seterusnya, mangsa disambungkan kepada pegawai polis dan memintanya menyerahkan maklumat akaun bank dan tanpa rasa curiga mangsa menyerahkan maklumat perbankannya termasuk nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC),” katanya.

    Beliau berkata selepas urusan itu, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM30,000 dan mangsa yang berasa diperdaya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 2 April. 

    Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    — BERNAMA

  • Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    Kelindan maut tercampak dari lori langgar treler di lorong kecemasan

    SEORANG kelindan maut selepas tercampak keluar dari lori membawa muatan besi besi aluminium apabila kenderaan itu melanggar sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer (km) 250 Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa Mohamad Nur Imran Hamidun 23, bersama pemandu lori jenis Hino, Muhamad Afzan Zakaria, 31, sedang dalam perjalanan dari Alor Gajah menuju ke Seremban.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler jenis Scania membawa muatan getah industri seberat 26 tan metrik yang berhenti di lorong kecemasan kerana dikatakan mengalami kerosakan.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, Mohamad Nur Imran tercampak keluar ke atas lebuh raya dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, Muhamad Afzan hanya cedera ringan di tangan manakala pemandu treler berusia 57 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Mayat kelindan terbabit dibawa ke Jabatan forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan sepanjang kira-kira empat km iaitu selama hampir dua jam. – BERNAMA

  • Tradisi makan colek selepas tarawih kembali meriah

    Tradisi makan colek selepas tarawih kembali meriah

    FASA Peralihan ke Endemik memberi nafas baharu kepada peniaga colek di daerah ini yang tidak menang tangan melayan kunjungan pelanggan yang memenuhi gerai jualan selepas menunaikan solat tarawih.

    Seorang peniaga Nor Azizah Mohd Nor, 44, yang menjalankan perniagaan di Melor, dekat sini, berkata beliau menyediakan 30 jenis colek tahun ini bagi memenuhi permintaan pelanggan.

    Bercakap kepada Bernama, Nor Azizah berkata antara colek yang menjadi kegemaran ialah celup tepung seperti udang, paru, ikan, bebola ikan, sosej, isi ketam, isi udang, keropok lekor, popia dan colek ‘malas’ (jemput-jemput diperbuat daripada tepung) serta buah-buahan.

    “Colek ini dijual dengan harga serendah RM1 hingga RM5 setiap satu.

    “Saya jual colek dengan harga murah kerana niat untuk membolehkan penduduk di sekitar Melor, Ketereh, Kadok, Mahligai, Gunong dan Pasir Puteh dapat sama-sama menikmati keenakannya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

    Ditanya mengenai keistimewaan colek jualannya, Nor Azizah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Zah Petron Melor berkata beliau menawarkan tiga jenis rasa iaitu colek nisey kerek (gula melaka), colek pedas yang diletakkan cili kering dan colek manisan gula.

    “Saya buka perniagaan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan sejak hari pertama puasa.

    “Saya rasa sangat bersyukur tahun ini dapat berniaga seperti biasa berbanding hanya pembelian secara bungkus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya yang dibantu tujuh pekerja setiap hari.

    Di Kelantan, aktiviti makan colek popular khususnya selepas menunaikan solat tarawih.

    — BERNAMA