Author: Bernama

  • Kes Nicky Liow: PDRM tidak pernah runding dengan mana-mana pihak

    Kes Nicky Liow: PDRM tidak pernah runding dengan mana-mana pihak

    POLIS  Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melakukan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, berhubung siasatan kes melibatkan ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din berkata segala siasatan dan tindakan dijalankan adalah telus, mengikut lunas undang-undang serta tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak, selain arahan pertuduhan juga dilaksana seperti diarahkan Pejabat Peguam Negara.

    Beliau berkata siasatan ke atas Nicky, 34, bermula pada 15 Mac tahun lepas, berkaitan pembabitannya dalam kes jenayah terancang, serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

    “Hasil siasatan yang dijalankan, sebanyak 68 serbuan dilakukan di sekitar Selangor bagi menahan Nicky dan ahli kumpulannya pada 20 Mac tahun lepas, namun ahli perniagaan itu berjaya melarikan diri.

    “Pada 9 April 2021, seramai 15 ahli kumpulan Nicky didakwa mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan pada tarikh sama, Nicky turut didakwa di bawah kesalahan sama secara ‘in-absentia’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pada 30 Sept 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Nicky Liow bagi kes jenayah terancang/SOSMA ekoran permohonan dari Pejabat Peguam Negara bagi menunggu siasatan melibatkan kesalahan pengubahan wang haram (AMLA) dilengkapkan.

    “Seterusnya pada 23 Feb lepas, peguam Nicky Liow memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebaskan dan dilepaskan (DNA).

    “Pada 8 Mac lepas, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, di atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky Liow,” katanya.

    Kamarudin berkata berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Nicky Liow melalui peguamnya menghantar sepucuk surat kepada pihak polis, dan menyatakan kesediaannya untuk menyerah diri.

    “Pada 23 Mac lepas, 26 pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, ke atas Nicky Liow bagi kesalahan pengubahan wang haram dan waran tangkap diperoleh bagi memastikan beliau tidak terlepas dari sebarang pertuduhan,” katanya.

    Semalam, Nicky Liow tampil menyerah diri di pejabat JSJK Bukit Aman dan seterusnya ditahan.

    Nicky didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas 26 pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai lebih RM36 juta sejak 2016 hingga tahun lepas.

    Beliau yang juga Pengarah Syarikat Dream Vision Media Sdn Bhd, Winner Dynasty Travel & Leisure Sdn Bhd dan Nicky Fashion House Enterprise, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

    — BERNAMA

  • Tiada unsur rasuah dalam pembinaan jeti RM50,000 di Miri, Sarawak

    Tiada unsur rasuah dalam pembinaan jeti RM50,000 di Miri, Sarawak

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dalam projek pembinaan jeti kayu di Kampung Mutap, Miri, Sarawak yang tular di media sosial baru-baru ini.

    Sumber SPRM berkata kayu yang diguna dalam projek bernilai RM50,000 berkenaan adalah kayu belian asli dan disahkan oleh pakar.

    Menurut sumber itu, Ibu pejabat SPRM telah mengarahkan SPRM Sarawak untuk meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan orang ramai ia memakan kos yang mahal untuk sebuah jeti kayu sepanjang 15 meter.

    “Hasil penelitian yang dibuat tidak menunjukkan terdapat sebarang rasuah atau penyelewengan dalam projek berkenaan,” katanya.

    Pada Ahad lepas 8 April lepas JKR Sarawak di laman Facebooknya telah memuat naik gambar jeti kayu berkenaan bersama kos pembinaannya yang mengundang kritikan orang ramai yang beranggapan kos itu terlalu mahal untuk sebuah jeti kayu dan memohon agar pihak SPRM membuat siasatan.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

    — BERNAMA

  • Hampir 100 rumah di Bahau rosak akibat ribut

    Hampir 100 rumah di Bahau rosak akibat ribut

    HAMPIR 100 rumah penduduk di beberapa taman perumahan di sekitar Bahau, Jempol, termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, mengalami kerosakan akibat dilanda hujan lebat dan ribut petang tadi.

    Komander Operasi BBP Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, kejadian ribut kira-kira pukul 2.45 petang hingga 4 petang itu, mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut diterbangkan angin kuat, serta ada rumah yang ditimpa pokok tumbang.

    “Ini termasuk di sekitar Taman Bahau, Kampung Baru Indah, Taman Penaga, Taman Merbau dan sekitar pekan Bahau, selain beberapa laluan utama di sekitar kawasan berkenaan turut ditutup sementara, susulan pokok yang tumbang itu.

    “Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera akibat kejadian berkenaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata, pihaknya turut memantau keadaan rumah penduduk yang terjejas, dan menasihatkan mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dengan bahaya elektrik dan runtuhan, selain memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sebarang kejadian yang berlaku. – BERNAMA

  • Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    SEORANG kanak-kanak lelaki rentung sementara seorang lelaki warga emas melecur 30 peratus di bahagian belakang badannya, dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kediaman di Kampung Masjid, Kuala Baram dekat sini petang tadi.

    Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Muhd Ikram Abdullah, 12, di mana mayatnya ditemukan di bawah timbunan zink rumah berkenaan, apabila kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 6.21 petang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, warga emas berusia 60 tahun itu, merupakan di antara tujuh penghuni rumah berkenaan yang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

    “Sebaik saja panggilan kebakaran diterima pada jam 4.59 petang, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dengan kekuatan 10 anggota, satu jentera serta tiga kenderaan bomba digerakkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Selain itu, lapan anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral turut berkejar ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai berkenaan. Punca kebakaran itu masih lagi dalam siasatan. – BERNAMA

  • Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    Maszlee bertanding Ketua PKR Cabang Simpang Renggam

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengesahkan bertanding jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam pada Pemilihan PKR 2022.

    Bekas menteri pendidikan itu mengesahkan perkara itu dalam kiriman WhatsApp kepada Bernama malam ini.

    “Ya saya akan bertanding Ketua Cabang Simpang Renggam,” katanya.

    Maszlee menyertai semula PKR pada November tahun lepas.

    Beliau pernah mendaftarkan diri sebagai ahli PKR pada 2017 di Cabang Ampang.

    Maszlee kemudian menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan Kerajaan Pakatan Harapan namun dipecat dari parti itu pada Mei 2020 seterusnya memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

    Terdahulu media melaporkan tiga selebriti tanah air turut mencuba nasib pada pemilihan kali ini antaranya pelakon dan produser Datuk Adflin Shauki yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang Setiawangsa.

    Proses Pemilihan PKR 2022 bermula Ahad lepas sehingga 11.59 malam ini bagi proses pencalonan peringkat cabang manakala pencalonan bagi jawatan tertinggi pusat dan sayap dilaksanakan semalam. – BERNAMA

  • 1MDB: Bakke syak Najib terlibat transaksi luar aturan

    1MDB: Bakke syak Najib terlibat transaksi luar aturan

    BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai peletakan jawatannya kerana beliau mengesyaki bekas perdana menteri itu terlibat dalam transaksi kewangan 1MDB yang didakwa luar aturan.

    Mohd Bakke, 68, berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy kerana didakwa meminda laporan akhir audit 1MDB.

    Muhammad Shafee: Tan Sri pada satu ketika, anda berkata anda sakit. Sebenarnya anda mahu meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah. Sebelum itu adakah anda berjumpa perdana menteri dan memberitahunya mengapa anda meletak jawatan?

    Mohd Bakke: Saya tidak berbuat demikian kerana ada perasaan syak wasangka bahawa perdana menteri turut berada dalam lingkaran dan terlibat dalam skim PetroSaudi International Ltd (PSI). Perasaan yang sama turut dikongsi oleh ahli lembaga pengarah. Salah satu yang mengesahkan kecurigaan kami, yang membuat kami rasa jijik ialah cara wang US$1 bilion dikirimkan.

    “Oleh itu saya memutuskan saya tidak mahu melihatnya secara peribadi. Saya tidak selesa,” kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

    Mohd Bakke berkata beliau mengesyaki sedemikian daripada cara perjanjian itu diminta untuk disegerakan walaupun lembaga itu mempunyai keraguan dan red flag mengenai perjanjian itu.

    Sebelum ini, saksi memberitahu mahkamah bahawa Najib pada September 2009 memberitahu lembaga pengarah 1MDB untuk meluluskan JV yang akhirnya menyaksikan syarikat itu mengepam AS$1 bilion dan mahu ia ditandatangani dalam masa empat hari.

    Beliau berkata pengarah syarikat itu telah tergesa-gesa membuat keputusan berikutan panggilan telefon daripada Najib sebelum mesyuarat itu.

    Muhammad Shafee: Anda tahu anda selesa untuk bertemu Perdana Menteri (Najib) bila-bila masa. Bukan untuk 1MDB tetapi mengenai Felda; anda bertemu dengannya setiap dua minggu. Anda boleh bertemu beliau dan beritahunya mengenai 1MDB.

    Mohd Bakke menjawab, “Ia tidak dilakukan kerana kami sudah mewujudkan JV.”

    Muhammad Shafee: Perdana Menteri (Najib) berminat dengan perjanjian PSI kerajaan dengan kerajaan, adakah terdapat sebarang syak wasangka lagi?

    Mohd Bakke: Saya faham, tetapi kenapa perlu bekerja secara tergesa-gesa? Itulah ketidakselesaan saya dan lembaga.

    Muhammad Shafee: Saya hanya sekadar mahu memahami kenapa anda tidak mahu bertemu perdana menteri? Apakah yang anda curiga dengannya? Tidak perlu sangsi, dia terlibat dalam perjanjian itu. Beliau mahu perjanjian itu dilaksanakan.

    Mohd Bakke: Kesangsian saya ialah kenapa perlu segerakan perjanjian dan kedudukan ini untuk melakukannya dengan tergesa-gesa? Apabila anda ditekan untuk melakukan sesuatu terhadap pendekatan profesional, maka lembaga perlu bertanya mengapa kita perlu melakukan ini?

    Muhammad Shafee: Anda telah salah faham sepenuhnya. Kenapa menyalahkan PM sedangkan pengurusan berada di bawah anda? Mengapa beliau (Najib) menguruskan mikro? Dia tidak mungkin menguruskan mikro.

    Mohd Bakke menjawab: Anda perlu melihat konteks keseluruhan projek (JV). Jika anda melihat pada satu masa, ia adalah khusus. Kami tidak puas hati dengan apa yang berlaku; kesimpulan saya sendiri ialah jika saya tidak menghadiri panggilan telefon perdana menteri, lembaga tidak terburu-buru laksanakan perjanjian itu. Inilah sebabnya timbul syak wasangka itu. Cara arahan itu diberi. Sekiranya perdana menteri tidak bercakap dengan saya dan meminta Jho Low untuk memberikan telefon kepada saya, kami akan melihat ini sebagai cadangan yang betul dan melakukannya dengan betul.

    Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Mohd Bakke berkata bahawa panggilan telefon Najib telah menyebabkan lembaga itu terburu-buru menyampaikan keputusannya.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA

  • ‘’Kami tidak percaya strategi di bilik tertutup’’ – Rafizi

    ‘’Kami tidak percaya strategi di bilik tertutup’’ – Rafizi

    CALON Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan, sudah sampai masa untuk pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi lain menjelaskan pendirian mereka mengenai hala tuju parti serta sumbangan gerak kerja untuk menang pada pilihan raya akan datang.

    Beliau dan rakan seperjuangan yang sependapat tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup dalam kalangan bangsawan-bangsawan politik.

    “Kami merupakan barisan pimpinan Keadilan yang meyakini rakyat. Kami tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup di kalangan bangsawan-bangsawan politik.

     “Kami yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang akan memberi kemenangan kepada Keadilan jika kita benar-benar berjuang untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Malah katanya, pemilihan kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen yang bersandarkan ‘wahyu’.

    “Saya sedar ada calon-calon yang menyebarkan konon mereka menjadi pilihan presiden parti dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada ‘institusi presiden’.

    “Kempen sebegini wajar dihentikan serta-merta. Hak untuk memilih pemimpin adalah hak individu setiap anggota.

    “Pencapaian seorang calon seharusnya didasarkan semata-mata kepada rekod pendiriannya yang sehaluan dengan perjuangan parti, serta kemampuan calon itu menggerakkan kempen dan gerak kerja untuk melonjakkan kedudukan parti di mata rakyat,” tambahnya.

    Ujarnya lagi, pemilihan kali ini akan menjadi pungutan suara dalam kalangan anggota biasa PKR untuk memutuskan sama ada beberapa kelompok yang terus mahu merundingkan pelbagai kerjasama dengan parti-parti lawan ini benar-benar ada mandat dari anggota parti.

    Kenyataan Rafizi itu turut menyebut pasukannya yang antara lain terdiri daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron, dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

    Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara, manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung hari ini.

    Buat julung-julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu.

    Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

  • Ibu mualaf gagal rayu kembali status Islam 2 anaknya

    Ibu mualaf gagal rayu kembali status Islam 2 anaknya

    SEORANG ibu yang memeluk Islam dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula penukaran agama dua anaknya kepada Islam, yang dilakukannya secara unilateral.

    Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan mereka untuk kebenaran meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

    Dalam kes sivil, kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka.

    Setelah Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran kepada ibu kanak-kanak itu dan Pendaftar Muallaf, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Okt 2018, membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral dua anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil, kekal.

    Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Nallini Pathmanathan memutuskan bahawa isu dalam kes berkaitan undang-undang pentadbiran sama ada penukaran agama kanak-kanak yang didaftarkan oleh Pendaftar Muallaf adalah mengikut undang-undang adalah sama dengan kes Indira Gandhi seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

    Rohana berkata isu tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah diselesaikan dalam keputusan kes Indira Gandhi.

    Dalam kes Indira Gandhi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan, pada Januari 2018, bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum anak yang dilahirkan dalam perkahwinan sivil boleh memeluk agama Islam.

    Indira Gandhi, seorang ibu beragama Hindu, telah mencabar penukaran agama tiga anaknya, dilakukan secara unilateral oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

    “Kami mengulangi bahawa adalah pendirian kami bahawa mahkamah perlu mematuhi doktrin (doktrin stare decisis) dengan tegas untuk mengekalkan kepastian dalam undang-undang dan kami mengatakan ini bukan kes yang sesuai untuk tidak mengikuti keputusan kami sebelum ini,” kata Rohana dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya.

    Doktrin stare decisis ialah doktrin undang-undang yang mengikat mahkamah untuk mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh mahkamah terdahulu mengenai kes yang serupa.

    Hakim itu berkata bukanlah fungsi mahkamah untuk memastikan kemampuan seseorang yang ingin menukar agama kepada agama lain.

    “Fungsi mahkamah terhad kepada aspek pentadbiran fungsi awam Pendaftar Muallaf yang perlu dilaksanakan mengikut undang-undang,” kata hakim itu.

    Beliau berkata ibu itu dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan tidak boleh diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka kerana mereka gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Bapa kanak-kanak itu, penganut agama Buddha, telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan penukaran agama dua anaknya yang masih kecil yang telah memeluk Islam pada Mei 2016 oleh ibu mereka tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

    Kanak-kanak itu dilahirkan dalam perkahwinan sivil kepada pasangan yang ketika itu beragama Buddha tetapi telah memeluk Islam secara sepihak oleh ibu mereka yang memeluk Islam pada 2015. Identiti keluarga itu tidak boleh didedahkan berikutan perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 21 Mei, 2018.

    Bapa kanak-kanak itu berjaya dalam usaha mendapatkan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral anak-anaknya. Ibu kanak-kanak tersebut dan Pendaftar Muallaf gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan pada 27 Okt tahun lepas.

    Mengenai hak penjagaan anak-anak, keputusan Mahkamah Rayuan pada September 2018 yang memberikan hak penjagaan penuh kepada bapa dikekalkan berikutan kegagalan ibu kanak-kanak itu mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Pendaftar Muallaf, Arham Rahimy Hariri bagi ibu kanak-kanak tersebut, K. Shanmuga bagi bapa dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili ketua pengarah kementerian pendidikan dan kerajaan.

    Sulaiman memohon mahkamah supaya memberikan kebenaran atas alasan terdapat 12 persoalan undang-undang untuk Mahkamah Persekutuan menentukan antara lain mengenai isu berkaitan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

    Shanmuga berhujah persoalan undang-undang yang dicadangkan itu melibatkan perkara yang telah diputuskan dalam kes Indira Gandhi.

    Shamsul Bolhassan menyokong permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu dengan mengatakan bahawa persoalan undang-undang adalah berkaitan dengan hak kanak-kanak itu. – BERNAMA

  • ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen calon BN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, hari ini gagal dalam rayuannya untuk membantah petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 Nov tahun lepas.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Dr Mohd Aleef, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Feb yang menolak, bantahan awalnya.

    Hakim Azahar berkata, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal Dr Mohd Aleef, adalah tidak boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

    “Kami dengan teliti telah mempertimbangkan hujahan semua pihak, dan juga mempertimbangkan dengan teliti keputusan Mahkamah Pilihan Raya. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak membatalkan petisyen pilihan raya itu. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “Oleh sebab itu keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Dr Mohd Aleef) tidak diprejudis kerana beliau masih boleh membawakan isu yang sama pada perbicaraan sebenar di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab itu Mahkamah menolak rayuan ini,” kata Hakim Azahar dan menambah kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

    Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, panel hakim mendengar hujahan daripada peguam Rosli Dahlan yang mewakili Dr Mohd Aleef, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang.

    Pada masa ini, perbicaraan masih berjalan dengan 13 saksi telahpun dipanggil. Perbicaraan di Mahkamah Pilihan Raya Melaka akan bersambung pada 18 April.

    Pada 14 Dis, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, dari Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa terdapatnya elemen rasuah pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Udang.

    Beliau menamakan Dr Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi pada pertandingan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi itu, dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, memohon untuk membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef dan untuk diadakan pemilihan semula untuk kerusi itu.

    Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti di bawah Seksyen 32 © Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – BERNAMA

  • Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    Humaira hilang sejak Ahad, dijumpai di Pontian

    PELAJAR perempuan, Humaira Ahmad Fauzi, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Desa Klebang Perdana, Chemor di sini, Ahad lepas, ditemukan selamat di Pontian, Johor hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bahawa Humaira dijumpai bersendirian di Masjid Bandar Pontian kira-kira 5 petang tadi.

    “Ibu bapa Humaira juga berada di sana (Pontian) sekarang bersama pihak polis Pontian. Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dilakukan,” katanya ringkas kepada Bernama.

    Terdahulu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu daripada bapanya, Ahmad Fauzi Ibrahim kira-kira 3 petang, Ahad lepas di Balai Polis Chemor.

    Kakak pelajar tersebut, Sabrina, 24, dilaporkan berkata, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau kelakuan pelik kecuali memakai stoking pada pagi kehilangannya atas alasan mengelak sejuk sebelum keluar rumah.

    Humaira yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sepatutnya pulang semula ke asrama sekolahnya di Simpang Empat, Semanggol pada Ahad, selepas selesai menjalani kuarantin kendiri di rumahnya akibat dijangkiti COVID-19.

    Kisah kehilangan Humaira turut tular menerusi media sosial dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya meminta jasa baik netizen supaya melaporkan kepada mereka jika menjumpai remaja itu. – BERNAMA