Author: Bernama

  • RMK-12: Projek pembangunan di Kelantan alami kelewatan

    RMK-12: Projek pembangunan di Kelantan alami kelewatan

    PROJEK pembangunan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengalami kelewatan apabila hanya mencapai 14 peratus pelaksanaan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM334 juta setakat Mac lepas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peratus pembangunan itu masih rendah kerana projek yang dirancang mengalami sedikit kelewatan berbanding sasaran awal yang sepatutnya telah mencapai 25 peratus.

    Beliau berkata, antara isu yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan tersebut adalah kekurangan tenaga kerja, isu penyelarasan di peringkat agensi kerajaan dan masalah tapak projek yang rumit.

    “Bagi pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), terdapat empat seksyen berada pada peringkat pembinaan.

    “Bagaimanapun, tiga seksyen pula mengalami sedikit kelewatan iaitu bagi pakej 2C di Bukit Sejuk ke Gua Musang, pakej 3B dan 3C membabitkan bulatan Gua Musang dan pakej 3D di Bulatan Gua Musang ke Mentara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia RMK12 di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) membabitkan tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion telah diluluskan dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

    “Sehingga Mac lalu, dua pakej telah siap sepenuhnya manakala lima pakej lagi masih dalam peringkat pembinaan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan tambahan membabitkan nilai RM200 juta menerusi projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

    Beliau berkata, secara umumnya projek berkenaan berjalan dengan baik dan dijangka siap pada Julai depan namun terdapat beberapa isu termasuk permohonan tambahan untuk menyelesaikan masalah banjir khususnya di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Gual Periok dan DUN Meranti.

    “Menerusi projek ini pada awalnya kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM465 juta, namun terdapat peruntukan tambahan daripada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di dua DUN berkenaan dan kami meluluskan sebanyak RM200 juta menjadikan nilai keseluruhan RM665 juta,” katanya. – BERNAMA

  • Debat perdana Najib-Anwar pada 12 Mei

    Debat perdana Najib-Anwar pada 12 Mei

    DEBAT Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada pukul 9 malam.

    Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, format debat perdana yang dijangka berlangsung selama dua jam itu merangkumi tiga bahagian, dengan yang pertama berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

    Beliau berkata, bahagian kedua akan berkisar kepada ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara, dan yang ketiga dikhususkan kepada sesi soal jawab.

    “Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal debat perdana itu akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media bersama Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurutnya, program itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan meraikan idea yang berbeza dalam suasana aman dengan mencerminkan budaya politik matang.

    Mengulas mengenai kehadiran pada program debat perdana itu, Isham berkata, kapasiti Dewan Tunku Canselor dapat memuatkan kira-kira 500 orang selepas mengambil kira penjarakan fizikal mengikut prosedur operasi standard dalam membendung jangkitan COVID-19.

    “Kami telah berbincang mengenai jemputan (secara fizikal), satu pertiga terdiri daripada kelompok yang dijemput Datuk Seri Anwar, satu pertiga lagi jemputan Datuk Seri Najib, dan satu pertiga lagi terdiri daripada tetamu kehormat, serta media yang akan kita pilih sebagai rakan.

    “Di luar dewan itu juga ada kawasan dan kita akan pasang khemah serta skrin besar untuk disiarkan kepada mereka yang hadir di lokasi kerana di dalam dewan ada kekangan (kapasiti jemputan),” katanya. – BERNAMA

  • Anak PM Pakistan dilantik sebagai Ketua Menteri

    Anak PM Pakistan dilantik sebagai Ketua Menteri

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    ANAK Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif iaitu Hamza dilantik Ketua Menteri baharu wilayah Punjab meskipun berlaku kekecohan ketika proses pengundian.

    Wilayah Punjab didiami lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan serta merupakan kunci utama kepada pemerintahan kerajaan persekutuan di Islamabad.

    Hamza, 47, ketua parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), memperoleh 197 undi daripada 371 ahli parlimen dalam merebut jawatan ketua menteri pada Sabtu.

    Undian diboikot parti bekas perdana menteri, Imran Khan, parti Tehreek-e-Insaf (PTI) dan sekutunya.

    Polis terpaksa campur tangan meleraikan pergaduhan antara penyokong Hamza dan pesaingnya Chaudhry Parvez Elahi.

    Chaudhry Parvez mengalami kecederaan dan pemangku speaker dewan Dost Muhammad Mazari turut dikasari dalam kejadian itu.

    Liga Muslim Pakistan (Q) pimpinan Chaudhry Parvez bersekutu dengan PTI, memerintah Punjab sebelum berlaku peralihan kuasa.

    Pemimpin PTI Usman Buzdar meletak jawatan sebagai ketua menteri Punjab untuk memberi laluan kepada Chaudhry Parvez menggantikannya ketika gabungan parti politik itu cuba menyelamatkan kerajaan pimpinan Imran di tengah-tengah pembelotan.

    Pertukaran kerajaan di Punjab dikaitkan dengan perebutan kuasa menyaksikan Imran digulingkan sebagai perdana menteri pada 9 April dalam usul undi tidak percaya.

    Imran kini sibuk meraih sokongan popular di seluruh negara dan menuntut pilihan raya segera diadakan.

    Bekas perdana menteri itu berucap pada perhimpunan besar-besaran di bandar paling ramai penduduk Pakistan dan hab perniagaan Karachi pada malam Sabtu.

    Beliau mengulangi tuduhan bahawa kerajaannya digulingkan negara asing yang mengadakan pakatan sulit dengan Ahli Parlimen tempatan. – BERNAMA

  • Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    ENAM mayat berjaya dijumpai manakala 29 yang lain masih hilang selepas bot kayu membawa 35 pendatang tanpa izin terbalik di perairan pantai barat Libya pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua.

    “Mangsa yang hilang “dianggap terkorban” dalam insiden pada Sabtu, manakala sejumlah 53 pendatang asing dilaporkan maut atau hilang pada minggu lalu.

    “Nyawa manusia tiada ganti. Usaha mencari dan menyelamat serta mekanisme pendaratan yang selamat diperlukan segera bagi mengelakkan kematian dan penderitaan pada masa depan,” menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

    Krisis dan huru hara tercetus selepas kejatuhan pemimpinnya Muammar Gaddafi pada 2011, menjadikan negara Afrika Utara itu pilihan utama pendaratan pendatang tanpa izin yang ingin menyeberangi Laut Mediterranean ke pantai Eropah.

    Sejumlah 3,968 imigran tanpa izin berjaya diselamatkan dan pulang ke Libya, termasuk 375 wanita dan 169 kanak-kanak pada tahun ini. – BERNAMA

  • Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 pada bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan garis panduan tersebut ketika ini di peringkat akhir perincian sebelum diumumkan.

    “Kami mengambil kira semua pandangan termasuk daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia penting supaya guru-guru dan murid sekolah berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada wabak COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, SOP tersebut turut melibatkan aktiviti kokurikulum di sekolah yang sebelum ini hanya dibenarkan diadakan di kawasan sekolah sahaja.

    “Selain itu, bagi pelajar tinggal di asrama yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19, namun tidak bergejala mereka tidak perlu menjalani kuarantin kendiri dan boleh hadir ke kelas seperti biasa.

    “Kami harap semua masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan supaya pelajar ini dapat belajar secara bersemuka seperti biasa tanpa menggunakan sistem penggiliran lagi,” katanya.

    Seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan hari ini secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran. – BERNAMA

  • Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

    Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

    RAYUAN pemandu wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin ini.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, rayuan Sam Ke Ting, 27, akan didengar di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan 3, pada 9 pagi.

    Pada 14 April lepas, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar telah memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Hakim Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati segala intipati kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah berjaya dibuktikan terhadap wanita itu.

    Beliau berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan Sam hanya bersifat penafian semata-mata.

    Hakim itu berkata mahkamah bicara juga terkhilaf apabila menerima pembelaan Sam yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    — BERNAMA

  • Sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran bermula esok – Radzi

    Sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran bermula esok – Radzi

    SESI persekolahan kembali seperti sediakala tanpa menggunakan sistem penggiliran bermula esok, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata kehadiran pelajar dan pengoperasian persekolahan akan dilaksanakan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

    “Mungkin apabila sekolah dibuka semula, kita akan lihat bagaimana murid datang ke sekolah dan  keadaan di luar yang semakin terbuka membuatkan ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Oleh itu, saya menyeru jasa baik pihak kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru dan murid bagi memastikan kali ini sekolah akan dibuka dan tidak lagi ditutup,” katanya ketika berucap pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Warga Pendidikan Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata dalam tempoh terdekat juga pihaknya akan mengemukakan garis panduan persekolahan 4.0.

    Beliau berkata garisan panduan berkenaan bersesuaian dengan keadaan semasa yang lebih terbuka, selain pada masa sama memastikan segala ketetapan yang dibuat dapat dipatuhi.

    “Ada yang persoal bila garis panduan pengurusan sekolah 3.0 akan ditambah baik, sedangkan untuk laksanakan sesuatu bukan boleh ditukar begitu sahaja.

    Pelaksanaan ini termasuk perlu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Kita perlu bincang satu persatu, apakah pendekatan yang perlu dilaksanakan, garis panduan yang perlu dimasukkan dan sebagainya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kebenaran rakyat pulang beraya di kampung kekal – PM 

    Kebenaran rakyat pulang beraya di kampung kekal – PM 

    KERAJAAN masih berpegang dengan pendiriannya sebelum ini untuk membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Malah kata Perdana Menteri beliau sendiri telah berpesan kepada mereka yang ditemuinya untuk meraikan hari raya dengan baik bersama keluarga masing-masing selepas dua tahun tidak merayakan perayaan itu di kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

    Ismail Sabri berkata beliau sendiri sebagai Perdana Menteri ‘lari daripada kebiasaan’ dengan tidak mengadakan rumah terbuka di Seri Perdana pada hari raya pertama, yang merupakan kelaziman setiap kali Aidilfitri, bagi memberi peluang kepada rakyat menyambut hari raya bersama keluarga terlebih dahulu.

    “Saya sebut pada mereka (yang saya temui) bahawa anak-anak boleh balik beraya tahun ini. Saya percaya ramai yang sudah pulang ke kampung dari hari puasa pertama kerana jalan raya sesak teruk disebabkan ramai yang pulang untuk berbuka di kampung.

    “Kali ini, untuk beri peluang orang balik beraya, kita mengadakan Rumah Terbuka Perdana Menteri pada 8 Mei… balik kampung dahulu beraya dengan keluarga kerana sambutan malam sebelum raya memang ditunggu-tunggu untuk bersama-sama membuat persediaan,” katanya.

    Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas kepada golongan memerlukan termasuk golongan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak di Bera hari ini.

    Bagaimanapun, dalam keseronokan pulang ke kampung, Perdana Menteri meminta orang ramai untuk terus melakukan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas.

    “Walaupun kawalan kendiri tidak diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Saya berharap masing-masing boleh melakukan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang lain walaupun tiada lagi penjarakan fizikal,” katanya.

    Mengulas mengenai sumbangan itu, Ismail Sabri berkata sumbangan wang tunai yang diagihkan hari ini dan esok kepada 4,800 penerima dari sekitar Parlimen Bera adalah bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Hari Raya pada 3 Mei ini dan Ismail Sabri berkata rumah terbuka di Bera akan diadakan pada 7 Mei di Dataran Kerayong di sini.

    — BERNAMA

  • MOU: Muhyiddin akan dapatkan penjelasan Ismail Sabri

    MOU: Muhyiddin akan dapatkan penjelasan Ismail Sabri

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau berkata dalam pertemuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri minggu lepas, perkara itu ada dibincangkan dan dimaklumkan tiada apa-apa perundingan perlu dibuat berhubung MoU tersebut.

    “Jadi saya setuju dengan pendirian itu tetapi hari ini, ada keputusan yang agak berbeza.

    “Kita akan dapatkan penjelasan adakah dia (Ismail Sabri) nak berhenti atau lanjut lagi… wallahualam,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas.

    Beliau mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam bahawa MoU itu tidak akan diteruskan selepas tamat pada 31 Julai ini.

    Pada 13 Sept 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan pemimpin parti dalam PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 serta Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

     Ismail Sabri hari ini dilaporkan berkata beliau akan akur dengan keputusan itu kerana sebagai Naib Presiden UMNO, beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MT parti berkenaan.

    Ditanya mengenai MT UMNO yang sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Muhyiddin berkata perkara itu adalah soal parti berkenaan dan PN tidak mengambil pendirian serupa.

    — BERNAMA

  • Remaja putus tiga jari, pecah gegendang telinga akibat mercun bola di Bachok

    Remaja putus tiga jari, pecah gegendang telinga akibat mercun bola di Bachok

    SEORANG  remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan, selepas terkena mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya tidak sempat membaling mercun tersebut menyebabkan ia meletup di tangan kanannya.

    “Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar di Tawang pada 4.45 petang semalam oleh keluarganya untuk menerima rawatan awal kerana tahap kecederaan mangsa serius di bahagian tangan kanan akibat bahan letupan itu, selain terdapat kesan luka di leher akibat percikan bahan bakar yang berada di tahap satu.

     “Keadaan mangsa ketika ini stabil selepas menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari telunjuk dan tengah di Hospital Universiti Sains Malaysia Kota Bharu, manakala gegendang telinga mangsa juga pecah dan dirujuk pakar di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Susulan kejadian itu, Ismail berkata, satu pasukan pemantau melibatkan dua pegawai dan lapan anggota ditubuhkan untuk membuat pemantauan bagi mengesan aktiviti bermain mercun di sekitar jajahan Bachok.

    “Saya ingin beri amaran kepada masyarakat supaya sentiasa cakna dan menjaga keselamatan diri supaya tidak sesekali bermain mercun yang boleh mengundang bahaya kepada diri dan orang di sekeliling.”