Author: Bernama

  • Pecah amanah: Bekas penjawat awam, kontraktor ditahan SPRM

    Pecah amanah: Bekas penjawat awam, kontraktor ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang bekas penjawat awam dan seorang kontraktor berhubung kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan satu kontrak bernilai kira-kira RM63,000.

    Menurut sumber, kesalahan terbabit dipercayai melibatkan sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di Sandakan yang dilakukan pada tahun 2018 dan 2019.

    Bekas penjawat awam berusia 37 tahun itu dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor yang merupakan suspek berusia 41 tahun sebagai pembekal produk berasaskan lebah, haiwan ternakan dan program lain.

    Syarikat kontraktor itu dimiliki oleh saudara penjawat awam tersebut yang ditahan bersama kontraktor terbabit semasa hadir di pejabat SPRM Sandakan untuk membantu siasatan.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki telah dibebaskan atas jaminan SPRM dan dijadualkan untuk didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di Sandakan pada 21 April ini. – BERNAMA

  • 1MDB: Tiada inisiatif diambil siasat entiti palsu Aabar

    1MDB: Tiada inisiatif diambil siasat entiti palsu Aabar

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyiasat ketulenan dua entiti palsu yang menerima dana yang besar daripada anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) pada 2014.

    Azmi, 48, yang menjadi CFO dari 2012 hingga 2017, berkata, beliau tidak menjalankan sebarang siasatan berhubung perkara itu kerana tidak diarah untuk berbuat demikian oleh Lembaga Pengarah meskipun beliau adalah penandatangan berwenang 1MEHL.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, beliau hanya mengetahui tentang syarikat palsu terbabit pada 2015 semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

    Kedua-dua entiti palsu itu dikenali sebagai Aabar Investments PJS Limited, dengan satu daripadanya diperbadankan di Kepulauan Virgin British dan satu lagi diperbadankan di Seychelles.

    Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Wan Aizuddin: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa terdapat perbezaan besar alamat Aabar Investment PJS Ltd dan Aabar sebenar? Azmi menjawb, “Ya. Ia berbeza.”

    Wan Aizuddin: Tidakkah anda menyedari perbezaannya ketika melihat dokumen terbabit sebelum itu?

    Azmi: Tidak. Tiada siapa yang membangkitkannya. Kami mempunyai peguam, pegawai bank dan pegawai lain… Kira-Kira 40 mata meneliti dokumen itu tetapi tiada siapa yang membangkitkannya.

    Kepada soalan lain, saksi itu berkata beliau pada dasarnya mengikuti arahan timbalannya iaitu Terence Geh Choh Heng kerana percaya arahan itu adalah daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Najib.

    Wan Aizuddin: Anda mengikut arahan Terence tetapi antara anda dan Terence, jawatan anda adalah lebih tinggi?

    Azmi: Ya, di atas kertas beliau adalah timbalan saya, kami bekerja secara silo selaras dengan arahan Jho Low.

    Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa 1MDB meminjam sebanyak AS$975 juta daripada Deutsche Bank AG namun ia tidak pernah digunakan untuk membayar balik ‘opsyen Aabar.’

    Kira-Kira AS$175 juta daripada pinjaman penyambung itu sebaliknya disalurkan kepada Aabar BVI manakala AS$681 juta kepada Aabar Seychelles pada September 2014.

    Pada hari pertama perbicaraan, pendakwaan berhujah bahawa ia akan membuktikan sebahagian daripada dana yang disalurkan kepada dua entiti palsu Aabar pada 2014 telah didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib iaitu dalam jumlah berasingan dalam paun sterling yang bersamaan dengan RM4,093,500 dan RM45,837,485.70.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu. – BERNAMA

  • PAS sahkan tiada kerjasama dengan ‘khemah besar’ PH

    PAS sahkan tiada kerjasama dengan ‘khemah besar’ PH

    PAS sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuat kerajaan Persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

    Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, PAS juga melalui pendekatan politik matang dan sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Apa yang penting dalam era pascapandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya.

    Takiyuddin berkata, PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

    Beliau berkata, PAS mengucapkan terima kasih atas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekali gus tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam pendekatan ‘Khemah Besar’ bagi menghadapi PRU15 nanti.

    Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata pendekatan ‘khemah Besar’ yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS. – BERNAMA

  • Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    Lelaki kasanova didakwa tipu kerani wanita RM152,000

    SEORANG lelaki ‘kasanova’ didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang kerani syarikat swasta yang dijanji mahu dikahwini sehingga memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang dan barang kemas berjumlah RM152,500.

    Hisyah Sayuti, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Lelaki itu didakwa menipu wanita berusia 40 tahun itu untuk menyerahkan kepadanya wang dan barang kemas dengan perkahwinan yang tidak wujud dan wanita itu tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini antara 6 Feb hingga 6 Mac lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Rampas dadah pelbagai jenis RM4.6 juta, tahan 7 suspek

    Rampas dadah pelbagai jenis RM4.6 juta, tahan 7 suspek

    POLIS merampas 101.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 19 kg pil kuda serta empat liter ubat batuk bernilai RM4.6 juta dan menahan tujuh suspek dalam enam serbuan di Kelantan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek berumur 25 hingga 46 tahun termasuk sepasang suami isteri itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

    Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai mulai aktif sejak Dis lepas.

    “Saringan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek itu negatif dadah, namun seorang suspek didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Kesemua mereka ditahan reman hingga 22 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua JSJN Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 602,540 orang penagih dadah.

    “Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 dan JSJN setakat ini telah menyita pelbagai aset sindiket ini yang dianggarkan bernilai RM538,943.50 termasuk 11 buah kenderaan, pelbagai barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan wang tunai.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah berjumlah RM6,143,343.50 dan hasil operasi kali ini JSJN telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dikesan dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya. – BERNAMA

  • Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM rakam keterangan 10 saksi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah merekodkan keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, mereka terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, bekas Exco kerajaan negeri serta pegawai Pejabat Tanah dan Galian.

    “Seorang Ahli Lembaga Pengarah PKNP merangkap bekas Penasihat Undang-Undang Negeri juga telah dirakam kenyataannya. SPRM hari ini akan merakam keterangan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah PKNP yang turut hadir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya dijangka merakam kenyataan seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

    Menurutnya, setakat ini tiada penahanan terhadap mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan berkaitan penjualan tanah lapangan terbang itu dan siasatan masih menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan dan lain-lain kesalahan di bawah akta itu.

    Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Asmuni Awi pada 5 April lepas.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional, ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa. – BERNAMA

  • Basikal lajak: Sam Ke Ting dibebas dengan jaminan sementara

    Basikal lajak: Sam Ke Ting dibebas dengan jaminan sementara

    SEORANG kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Sam Ke Ting, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan Sam yang memakai baju kurung biru itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Sam yang hadir ke mahkamah dengan tangan bergari, selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak membantah permohonan berkenaan.

    Manoj berkata, pihaknya tidak membantah permohonan kerana kes itu berkepentingan awam selain mengakui pemohon (Sam) tidak akan melarikan diri.

    Ravinthran kemudiannya membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu, dan rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

    “Kami telah berbincang dan pemohon (Sam) dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” kata Ravinthran dalam keputusan sebulat suara itu.

    Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam untuk meminda notis rayuan dengan memasukkan persoalan undang-undang dalam notis berkenaan.

    Muhammad Faizal berkata permohonan itu dibuat berikutan beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan nota prosiding Mahkamah Tinggi berhubung kes itu kerana kesuntukan masa.

    “Permohonan untuk kebenaran merayu difailkan pada Khamis (14 April) bersama dua afidavit sokongan. Disebabkan Johor cuti pada Jumaat, saya mengalami kesukaran berhubung dengan mahkamah. Oleh sebab itu, saya tidak sempat untuk mendapatkan nota prosiding daripada mahkamah,” katanya.

    Menurut peguam itu terdapat enam persoalan undang-undang yang perlu dijawab termasuk sama ada keterangan tidak bersumpah oleh Sam boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan sama ada wujud beban atas wanita itu bagi membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

    Muhammad Faizal dalam hujahan penangguhan pelaksanaan hukuman dan rayuan berhubung jaminan berkata berdasarkan rekod mahkamah, anak guamnya hadir pada setiap kali perbicaraan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

    “Pemohon (Sam) yang bekerja sebagai kerani sebelum ini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah.” katanya.

    Di awal prosiding, panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Majlis Peguam yang diwakili peguam Ravinder Singh Dhaliwal untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah), namun menolak dua lagi permohonan sama oleh MCA dan Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Muhammad Faizal berkata anak guamnya berpesan supaya orang ramai tidak berdebat berhubung kes berkenaan dengan menimbulkan isu perkauman.

    “Anak guam saya seorang yang patuh kepada kedaulatan undang-undang dan akur dengan keputusan mahkamah,” kata peguam itu.

    Menurut Muhammad Faizal, anak guamnya dijaga dengan baik sepanjang berada di dalam penjara selain turut berterima kasih kepada keluarga, rakan dan persatuan yang menyokong dan prihatin terhadapnya.

    Sementara itu Muhammad Faizal berkata anak guamnya turut meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak menyalahkan sistem kehakiman selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.

    “Apabila menang, ada pihak mendakwa sistem kehakiman telah rosak,” kata peguam itu yang turut memaklumkan kes itu membabitkan isu sejagat dan bukannya isu perkauman.

    Tambah Muhammad Faizal, kes itu membabitkan nilai nyawa manusia, namun selagi tidak dibuktikan bersalah, anak guamnya tidak boleh dipenjarakan.

    “Tertuduh (Sam) sendiri faham ia membabitkan nilai nyawa manusia dan dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkali-kali dia katakan dia sangat bersimpati terhadap kehilangan ahli keluarga terlibat,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya bersyukur dengan keputusan hari ini kerana sekiranya tidak mendapat kebenaran merayu dan diikat jamin, dia masih akan berada di penjara. – BERNAMA

  • Bakar al-Quran tindakan melampau – Idris

    Bakar al-Quran tindakan melampau – Idris

    PERBUATAN ekstrem membakar al-Quran oleh seorang pemimpin parti politik di Sweden disifatkan sebagai tindakan melampau yang tidak sepatutnya dilakukan seorang berpengaruh.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mereka yang beragama lain sepatutnya menghormati agama Islam.

    “Perbuatan itu (membakar al-Quran) tidak seharusnya berlaku, pada kita yang beragama Islam pun tidak boleh membakar kitab lain, malah tidak boleh menghina agama mereka.

    “Mereka yang beragama lain sepatutnya menghormati agama Islam, jangan ada sifat provokasi kerana orang Islam mempunyai sensitiviti dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas Majllis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di Kota Bharu malam tadi.

    Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

    Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran Khamis lepas. – BERNAMA

  • Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    SEORANG individu yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Kampung Taman Jaya, Bahau, Jempol awal pagi ini.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.03 pagi sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari BBP Bahau ke lokasi kejadian.

    “Sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan didapati terbakar 100 peratus dan terdapat seorang individu di dalamnya rentung di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan kerana pendapatan semasa mereka tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Presidennya, Datuk Adnan Mat.

    “Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam. Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan (penjawat awam) sebegitu rupa.

    “Kami telah buat cadangan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800. Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS di Kuala Lumpur hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan GLC.

    Sementara itu, Adnan berkata, apabila berlakunya perubahan gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam.

    Selain itu, Adnan berkata, sistem saraan baharu hendaklah dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.

    “Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu diganti,” katanya. – BERNAMA