Author: Bernama

  • Tokan besar ditahan, dadah hampir setengah juta ringgit dirampas

    Tokan besar ditahan, dadah hampir setengah juta ringgit dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki serta merampas dadah jenis syabu dan yaba keseluruhan bernilai RM495,760, sekali gus menjadikan ia rampasan paling besar di Terengganu setakat ini bagi 2022.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Deris berkata, lelaki berumur 54 tahun yang dipercayai tokan besar dadah itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob di Bukit Payong di sini Isnin lepas menerusi Op Tapis Khas 3.0.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut polis menjumpai dadah jenis syabu seberat 13,199.52 gram yang bernilai RM468,000 dan dadah jenis yaba seberat 555.20 gram bernilai RM27,760.

    “Selain rampasan tersebut, polis juga telah menyita wang tunai bernilai RM12,140. Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di Terengganu dan meliputi sebahagian negeri Pahang.

    “Polis juga percaya rumah yang diserbu itu telah disewa oleh suspek untuk dijadikan tempat memproses (dadah). Rumah tersebut juga telah dipasang empat kamera litar tertutup (CCTV) yang berkemungkinan besar untuk mengesan kehadiran pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, hari ini.

    Mohd Zain berkata, pemeriksaan mendapati lelaki warga tempatan yang bekerja sendiri itu positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 24 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya, suspek juga mempunyai 19 rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah dan telah bergiat aktif sejak 1998.

    Malah katanya, lelaki itu juga kini masih dalam proses perbicaraan kes di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ditangkap pada tahun lepas. – BERNAMA

  • [VIDEO] 100 pintu rumah kongsi terbakar, 900 hilang tempat tinggal

    [VIDEO] 100 pintu rumah kongsi terbakar, 900 hilang tempat tinggal

    DIANGGARKAN kira-kira 900 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan kira-kira 100 pintu rumah kongsi di Penempatan Sementara Kampung Bangau-Bangau di Semporna dalam kejadian bermula pukul 11.35 malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dan menggerakkan 12 anggota bersama pegawai dengan dua jentera termasuk EMRS ke lokasi kejadian.

    “Operasi turut dibantu sepasukan lima anggota dari BBP Air Semporna, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati 10 blok rumah kongsi menempatkan lebih 900 penduduk telah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    rumah kongsi bangau-bangau
    Gambar: JBPM Sabah

    Tambahnya, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman bagi mengelak api merebak ke kawasan penempatan lain sebelum berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam.

    “Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat dan operasi ditamatkan pukul 3.05 pagi tadi. Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran tersebut,” katanya.

    https://www.youtube.com/watch?v=pxty69-voGA
    Rakaman video yang tular dalam media sosial memaparkan insiden kebakaran di Kampung Bangau-bangau malam tadi. (Kredit video: Saluran YouTube Yudi Dzaenal Arifin.)

    Kawasan itu merupakan penempatan sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bangau-bangau yang berlaku pada 2017. – BERNAMA

  • Bekas penyelia rancangan tanah Felda dituduh palsu dokumen

    Bekas penyelia rancangan tanah Felda dituduh palsu dokumen

    SEORANG bekas penyelia rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen berkaitan senarai akaun penerimaan bayaran tunai, dua tahun lepas.

    Muhammad Aizat Ziadi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Tertuduh yang beralamat di Temerloh didakwa memalsukan tandatangan peneroka pada dokumen Senarai Akaun Penerimaan Bayaran Tunai Paysheet (PS) November 2020 dan Senarai Akuan Penerimaan Bayaran Tunai Pendahuluan (PT) Disember 2020 di Pejabat Felda Sebertak, Bera.

    Muhammad Aizat didakwa mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM5,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan kewangan.

    “Saya telah diberhentikan kerja selepas kejadian itu dan baru mendapat kerja sebagai mekanik di Johor dengan gaji RM1,200 sebulan. Saya juga menanggung orang tua,” katanya.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mei ini bagi lantikan peguam. – BERNAMA

  • Ibu Nagaenthran rayu selamatkan anak daripada tali gantung

    Ibu Nagaenthran rayu selamatkan anak daripada tali gantung

    Oleh MASSITA AHMAD

    “NAGAENTHRAN. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.”

    Itulah kata-kata daripada seorang ibu, Panchalai Supermaniam yang merayu agar anaknya warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.

    Video pendek oleh pertubuhan hak asasi manusia, Reprieve, itu telah disiarkan oleh peguam Singapura, M Ravi di hantaran Facebooknya.

    “Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaentran akan dihukum gantung pada Rabu depan,” katanya dalam satu lagi catatan sebelum ini.

    Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

    Ravi telah memberikan bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

    Nagaenthran berasal dari Perak, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

    Nagaenthran, dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya. – BERNAMA

  • Arab Saudi taja juadah iftar 6 universiti awam Malaysia

    Arab Saudi taja juadah iftar 6 universiti awam Malaysia

    KEDUTAAN Arab Saudi di Kuala Lumpur melalui pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi sekali lagi menaja juadah iftar bagi pelajar serta kakitangan akademik di enam buah universiti awam (UA) Malaysia.

    Program Iftar Penjaga Dua Kota Suci (IFTARKHS) sempena bulan Ramadan 1443 Hijrah dimulakan dengan kerjasama penganjuran majlis iftar di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

    Kedutaan Arab Saudi juga menaja Majlis Iftar Perdana anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada Rabu malam, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Ahmad Marzuk dalam ucapan perasmiannya menyampaikan penghargaan beliau atas kesudian Kedutaan Arab Saudi menaja juadah iftar pada Ramadan kali ini.

    “Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan semoga Allah membalas dengan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada penaja”, katanya.

    Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian, dan Pengarah APIUM, Profesor Madya Dr Mohd Fauzi Hamat.

    Sementara itu, Mahmoud Hussien dalam ucapannya berkata, Kedutaan Arab Saudi menyasarkan untuk mengagihkan 15,000 pek juadah iftar sepanjang bulan Ramadan 1443 Hijrah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk universiti, masjid, hospital dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    Selain itu, kedutaan Arab Saudi memperuntukkan 57 ribu tan kurma untuk diagihkan kepada umat Islam di Malaysia pada tahun ini bermula dengan penganjuran program IFTARKHS.

    Pihaknya juga menyasarkan pengagihan 46,680 mushaf Al-Quran Al-Karim, khususnya mushaf beserta terjemahan bahasa Melayu dan mushaf khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Program IFTARKHS akan turut diadakan di beberapa UA lain seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala majlis penutup akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada 28 April. – BERNAMA

  • ‘Ini Dewan mulia bukan dewan sangkar beruk’

    ‘Ini Dewan mulia bukan dewan sangkar beruk’

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 pada mesyuarat pertama bagi penggal persidangan pertama DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

    Mohd Puad, 64, merupakan calon tunggal yang dicadangkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor.

    Menyifatkan lantikan beliau sebagai satu penghormatan yang tinggi, Mohd Puad memberi jaminan untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin seperti sumpah yang telah dilafazkan.

    Selain itu, beliau turut mengingatkan agar semua ADUN menjadikan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebagai panduan, supaya tidak menjadikan persidangan dewan sebagai “sangkar beruk” sebaliknya menumpukan kepada pelan tindakan membantu rakyat serta membangunkan ekonomi Johor, ketika baginda bertitah pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14, Ogos tahun lepas.

    “Ingin saya ingatkan Dewan ini menjadi tempat kita berbincang dan berbuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan mulia ini dengan perangai buruk. Ini adalah Dewan mulia bukan dewan sangkar beruk.

    “Justeru, Ahli-Ahli yang berhormat marilah kita berbahas secara kritikal tetapi konstruktif… sebagai pembina sendi-sendi negara dan bangsa,” kata beliau selepas mengangkat sumpah di Iskandar Puteri hari ini.

    Mohd Puad turut merakamkan penghargaan kepada bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat dan Timbalan Speaker, Gan Pek Cheng atas khidmat mereka.

    Pada pilihan raya negeri Johor bulan lepas, Mohd Puad, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, memenangi kerusi Rengit dengan majoriti 1,930 undi, sekali gus menewaskan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dan bekas ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim daripada PKR. – BERNAMA

  • [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan 11 rumah atas air di Kampung Sabah Baru, Jalan Nipah di sini, pagi tadi.

    Mayat Nurul Alisha Putri Abdullah ditemukan selepas operasi pemadaman.

    Bapa saudara mangsa, Alsad Albani, 32, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak menyedari berlakunya kebakaran sehinggalah ternampak api marak dari dalam sebuah bilik.

    “Apabila saya nampak api marak, saya berteriak memberitahu ahli keluarga lain supaya menyelamatkan diri, tetapi malangnya kami terlupa Alisha yang tidur dalam buaian di bilik lain,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

    Menurutnya, apabila mereka menyedari Alisha masih di dalam rumah, laluan untuk memasuki rumah telah dihalang api yang semakin besar.

    “Namun, bapa saya berusia 62 tahun (didorong) naluri hati seorang datuk, masih mencuba memasuki rumah kami, tetapi kami halang sebab keadaan tidak selamat,” katanya.

    Katanya, Alisha dijaga oleh datuknya dan sangat rapat dengan warga emas itu ekoran kedua ibu bapanya bekerja di luar kawasan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.52 pagi dan anggota bertugas bersama jentera telah bergegas ke lokasi.

    Sumsoa berkata, pihaknya mengalami kesukaran memasuki kawasan kebakaran berikutan jambatan usang serta sempit.

    Selain itu, katanya pihak bomba terpaksa ‘membuka’ empat rumah dengan bantuan penduduk kampung bagi mengawal api daripada merebak ke rumah yang lain.

    https://youtu.be/hJe8O9_8nOY

    Kebakaran dapat dikawal pada 10.55 pagi dengan bantuan BBP Kunak termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung, katanya.

    Kecuali mangsa, tiada kecederaan dilaporkan memandangkan penduduk lain sempat menyelamatkan diri.

    Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    [VIDEO] Lelaki Kanada tunjuk isyarat lucah, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang lelaki warga Kanada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki Kanada berumur 44 tahun itu hadir ke balai polis berkenaan pada 8.30 malam tadi bagi memberi keterangan setelah menyedari video memaparkan dirinya itu viral di media sosial.

    “Suspek yang menetap dan bekerja di negara ini, disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peratuan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau talian penting polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, suspek ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Ahad lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif suspek terhadap pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang. – BERNAMA

  • [VIDEO] Empat mangsa maut insiden bangunan runtuh

    [VIDEO] Empat mangsa maut insiden bangunan runtuh

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    EMPAT orang maut selepas sebuah kedai serbaneka tiga tingkat runtuh pada petang Isnin di daerah Banjar, Kalimantan Selatan.

    Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) sembilan mangsa diselamatkan dan dibawa ke beberapa hospital.

    Basarnas menerima laporan pada 5.50 petang waktu Indonesia dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9.35 pagi Selasa.

    Siasatan mengenai punca runtuhan sedang dijalankan. – BERNAMA

  • Polis lepaskan lima das tembakan selepas dirempuh

    Polis lepaskan lima das tembakan selepas dirempuh

    POLIS terpaksa melepaskan lima das tembakan bagi menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pemandu kereta Proton Perdana di Lorong Air Putih 130 di Kuantan malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika dua anggota polis sedang melaksanakan Op Sarang di Jalan Air Putih, sekitar 12 tengah malam dan cuba menahan kenderaan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

    Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran polis, pemandu tersebut memecut kenderaan dan memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130.

    “Nekad untuk melepaskan diri, pemandu kenderaan itu telah mengundur dan merempuh kenderaan pasukan polis beberapa kali sehingga berjaya meloloskan diri.

    “Anggota polis telah melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya, tetapi tidak diendahkan dan memaksa anggota tersebut melepaskan tiga lagi tembakan pada bahagian tayar kiri hadapan kereta itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Namun, suspek berjaya melarikan diri dan kenderaannya telah ditinggalkan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian malah suspek juga gagal dikesan, katanya.

    Akibat kejadian itu, kenderaan pasukan polis telah mengalami kerosakan kemek di bahagian hadapan hingga ke belakang akibat dirempuh manakala anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Tambah Wan Zahari, hasil siasatan dan pemeriksaan telah menjumpai beberapa dokumen dalam kereta itu atas nama Shaizul Aziram, 46, beralamat terakhir di Taman Seri Muda,Shah Alam, Selangor dan Abdullah Fahmi bin Salleh @ Muhammad,36, beralamat di Kampung Genting, Tumpat,Kelantan.

    Susulan itu, beliau berkata kedua-dua individu berkenaan dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) atau menghubungi hotline PDRM IPD Kuantan di talian 09-5652222 bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan. – BERNAMA