Author: Bernama

  • SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya seorang pegawainya bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan dan jika terdapat salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil.

    Hari ini, tular video berdurasi 22 saat yang mendakwa seorang pegawai SPRM bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat aduan, selain hanya dua individu dibenarkan masuk ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut kenyataan itu, berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) diwarta, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan suruhanjaya itu, bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

    Rakaman video dan kamera juga tidak dibolehkan dalam KLTL tersebut, tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, menurut suruhanjaya itu.

    “Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 11 pagi tadi kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan tersebut, telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

    “Individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, SPRM mengesahkan telah menerima maklumat daripada ahli Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj, membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak.

    “SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut, sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan,” menurut SPRM yang mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk tampil di mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah. – BERNAMA

  • Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan

    Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menafikan bahawa, kementerian itu tidak mengambil sebarang tindakan berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat, kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tahun lepas.

    Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut telah menyita rumah jagaan berkenaan serta mengeluarkan kompaun pada Julai tahun lepas.

    “Kita telah memberi bimbingan emosi kerana dia (Bella) agak trauma, kita perlu pastikan dia lebih sihat dari segi keadaan fizikal dan emosi.

    “Kita juga telah memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini. Beberapa pindaan telah dilaksanakan supaya perkara seperti ini tak berlaku lagi,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Khemah dan Bantuan Aktiviti Syawal bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Titiwangsa, di Dewan Komuniti Desa Pandan di Kuala Lumpur.

    Menjawab pertanyaan wartawan mengapa beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu Bella, Rina berkata tindakan itu adalah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan remaja berkenaan.

    “Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi (ia) tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan.

    “Adik Bella perlu kita selamatkan dan kesejahteraan dia yang penting, di samping kita mahu pelaku dikenakan tindakan yang setimpal,” katanya.

    Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini, Rina berkata, pertemuan berkenaan telah membangkitkan beberapa cadangan untuk ditambah baik undang-undang hak penjagaan serta membincangkan pelaksanaan program yang boleh dijalankan bersama. – BERNAMA

  • 104 tahanan etnik Rohingya masih diburu – Hamzah

    104 tahanan etnik Rohingya masih diburu – Hamzah

    SERAMAI 104 tahanan etnik Rohingya masih diburu selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap semalam.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat 7 malam tadi, 424 daripada 528 tahanan yang melarikan diri, sudah ditahan semula.

    Hamzah berkata, mereka merupakan tahanan tempoh yang lama iaitu lebih dua tahun kerana proses penghantaran tidak dapat dilakukan berikutan kerajaan Myanmar tidak menerima dan mengiktiraf status kerakyatan mereka.

    “Kalau nak menghantar balik, nak hantar balik mana? Ini jadi masalah kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerapan nilai-nilai murni di sini hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menafikan gabungan itu mengadakan perbincangan untuk menjatuhkan beberapa pemimpin politik.

    Hamzah berkata pertemuan antara pemimpin politik dalam PN adalah perkara biasa.

    “Dia (Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) datang jumpa saya betul ada sebab, dalam PN pun sudah tentu kita jumpa rakan-rakan kita terutama nak bincang post-mortem pilihan raya dan sebagainya.

    “Jadi, saya sebenarnya kalau orang tanya saya betul ke PN mesyuarat nak jatuhkan sesiapa? Betul lah (Ahmad Samsuri) kata itu (dokumen) ‘sampah’ kerana tidak ada langsung perbincangan,” katanya.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebelum ini menegaskan dokumen yang tular menerusi media sosial baru-baru ini sebagai palsu dan ‘sampah’ serta ia direka pihak tertentu bagi mencemarkan imej PAS.

    Media melaporkan antara kandungan dalam dokumen itu menyebut beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. – BERNAMA

  • Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah membuat laporan polis berhubung tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara untuk mempercepatkan kes dan jatuh hukum Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    PKPMP dalam kenyataan hari ini menyatakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tidak pernah berkomunikasi dengan atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan bekas perdana menteri (Najib) dan presiden UMNO (Ahmad Zahid).

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat ini, menafikan tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara,” menurut kenyataan itu.

    Pejabat itu merujuk kepada satu hantaran di laman Facebook Shahir Samad-Tok Uban bertarikh 20 April lepas, yang di antaranya menuduh Ketua Hakim Negara telah bersetuju membantu mempercepatkan kes dan jatuh hukum Najib dan Ahmad Zahid.

    Kenyataan itu menyebut kes-kes yang belum selesai di mahkamah, perlu berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau orang lain.

    “Pejabat ini menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan tuduhan-tuduhan tersebut, adalah bertujuan untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

    Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai, terhadap Najib dan Ahmad Zahid.

    Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib.

    Manakala, Ahmad Zahid telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Jan lepas untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Ahmad Zahid telah memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan telah mengemukakan keterangannya pada 13 April lepas.

    Kes Ahmad Zahid bersambung 23 Mei. – BERNAMA

  • Najib ‘arah’ saya tandatangan laporan audit 1MDB 2013 – Saksi

    Najib ‘arah’ saya tandatangan laporan audit 1MDB 2013 – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah ‘mengarahkan’ Tetuan KPMG Malaysia untuk menandatangani Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2013, ketika pertemuan firma itu dengan 1MDB yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 15 Dis 2013.

    Rakan Kongsi Pengurusan tetuan itu, Datuk Johari Idris, 56, berkata, pertemuan itu diadakan bagi memaklumkan Najib mengenai isu dihadapi KPMG, yang menyebabkan laporan audit syarikat itu tidak dapat dikeluarkan, selain pihak KPMG juga ingin mendengar sendiri daripada Menteri Kewangan itu, sama ada beliau tahu atau tidak berkenaan pelaburan berjumlah AS$2.3 billion di Cayman Island Brazen Sky di Cayman Island.

    “Sebelum perjumpaan berakhir, Najib menyatakan ingin melihat akaun 1MDB ditandatangan oleh KPMG sebelum atau pada 31 Dis 2013, namun saya tidak memberikan sebarang respons kepada beliau,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya T. Deepa Nair apakah reaksi saksi kepada (keinginan Najib untuk melihat akaun 1MDB ditandatangan KPMG), saksi menjawab “seolah-olah ia adalah arahan kepada saya”.

    Johari berkata dalam mesyuarat berkenaan, Najib juga menyatakan bahawa beliau (Najib) sedia maklum mengenai pelaburan 1MDB di Brazen Sky, namun beliau memaklumkan bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan berkenaan kerana ia adalah sulit.

    “Najib juga mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ tersebut. Beliau juga bertanyakan kepada saya, sama ada saya boleh menerima penjelasan tersebut dan sama ada penjelasan ini mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan laporan audit (yang tidak bersyarat).

    “Namun saya menyatakan bahawa saya memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan, seperti mana tertera dalam ‘International Standard of Auditing (ISA)’ dan ‘Financial Reporting Standard (FRS)’, di mana peraturan FRS juga termaktub di dalam Akta Syarikat 1965.

    “Saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB, maka kami akan mengeluarkan laporan bertegur ‘Disclaimer of opinion’ terhadap akaun 1MDB,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Johari berkata, Najib juga menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB, selain menanyakannya mengapa pihak KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh pihak BSI Bank, yang merupakan ‘custodian’ bagi pelaburan di Brazen Sky iaitu subsidiari kepada 1MDB.

    “Saya telah menyatakan bahawa pihak BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit ‘underlying assets’. Tanpa maklumat tersebut, pihak KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian tersebut adalah betul,” katanya.

    Johari juga mengesahkan bahawa Najib menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Bridge Partners (syarikat dana swasta), tidak dapat menyediakan maklumat yang diperlukan kerana peruntukan undang-undang dan ‘trade secret’ dana tersebut.

    “Najib kemudiannya bertanya kepada saya, bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat tersebut. Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengarah 1MDB) telah meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan.

    “Saya sekali lagi telah menyatakan bahawa akaun 1MDB perlu disediakan berdasarkan prinsip FRS dan Akta Syarikat.

    “Sekiranya 1MDB tidak patuh kepada ‘accounting standard’ tersebut, ia bermakna bahawa 1MDB tidak patuh kepada undang-undang. Memandangkan maklumat dana tersebut adalah mustahak bagi pengauditan 1MDB, tanpa maklumat tersebut akan menyebabkan skop yang terhad bagi pihak KPMG, ia akan menyebabkan KPMG mengeluarkan laporan audit bersyarat dalam bentuk ‘Disclaimer of Opinion’,” katanya.

    Beliau berkata, Najib kemudiannya meminta pengurusan 1MDB untuk berurus dengan pihak Bridge Partners untuk memberikan maklumat diperlukan oleh KPMG, bagi membantu di dalam proses pengauditan.

    Johari berkata, Najib juga meminta pihak KPMG untuk pergi ke Hong Kong bagi melengkapkan proses audit, dan mahu audit dibuat dengan profesional dan konsisten dengan ‘good governance’.

    Menurut saksi di dalam perjumpaan tersebut juga, Najib memberitahu bahawa beberapa orang telah maklum mengenai pertemuan yang dibuat, dan meminta Tetuan KPMG untuk bertindak dengan penuh profesional dan mengekalkan kerahsiaan klien.

    “Saya menyatakan bahawa KPMG telah dan akan menjalankan tugas dengan profesional. Sebarang urusan atau perbincangan mengenai 1MDB, hanya diketahui ‘engagement team’ yang ketika itu diketuai wakil KPMG iaitu Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ‘chain of command’ sahaja, dan tiada pihak lain yang akan mempunyai pengetahuan mengenai 1MDB,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Mei. – BERNAMA

  • Ketua MCA Pontian dipanggil bicara JK Tatatertib parti

    Ketua MCA Pontian dipanggil bicara JK Tatatertib parti

    KETUA MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong mengesahkan beliau telah dipanggil menghadiri perbicaraan Jawatankuasa Tatatertib MCA susulan tindakannya mengadakan sidang media selepas tidak dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Beliau berkata, perbicaraan berkenaan diadakan secara dalam talian, esok.

    “Apa yang saya lakukan hanya memohon maaf kepada penyokong dan pengundi secara peribadi serta memberi penjelasan kepada mereka mengenai kebenaran saya tidak dinamakan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Johor.

    “Oleh itu, saya tetap yakin saya tidak bersalah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Danga Bay, Johor Bahru hari ini.

    Tee yang juga bekas Penasihat kepada Menteri Besar Johor ke-18, Datuk Hasni Mohammad juga mengesahkan ada menerima surat daripada MCA pusat bertarikh 6 April lepas memintanya hadir ke perbicaraan jawatankuasa itu.

    Katanya, walaupun tidak dapat bertanding pada PRN Johor, beliau tidak pernah berputus asa malah terus memberi sokongan sepenuh hati dan membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) di Pontian sepanjang tempoh berkempen.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang selama tiga penggal bermula 2004 itu turut menyatakan kesediaan berdepan sebarang tindakan bakal dikenakan terhadapnya.

    Pada PRN Johor Mac lepas, daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BN memenangi 40 kerusi dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

    MCA menang empat kerusi iaitu Ling Tian Soon (Yong Peng), Tan Eng Meng (Pekan Nanas), Lee Ting Han (Paloh) dan Tan Chong (Bekok). – BERNAMA

  • Dituduh RM1 juta masuk akaun, Hakim Nazlan buat laporan polis

    Dituduh RM1 juta masuk akaun, Hakim Nazlan buat laporan polis

    HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung satu artikel diterbitkan sebuah portal berita yang mendakwa beliau disiasat mengenai kemasukan duit ke dalam akaun banknya.

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini berkata, laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan.

    Kenyataan itu memaklumkan, artikel itu disiarkan oleh portal Malaysia Today bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ bertarikh 20 April.

    “Satu laporan polis telah dibuat oleh Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menafikan tuduhan-tuduhan palsu, tidak berasas serta berniat jahat itu, yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman,” menurut kenyataan itu.

    Pejabat itu memandang serius tuduhan serta komen sedemikian, dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu gugat kes-kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip sub judice.

    Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu. – BERNAMA

  • Malaysia dapat 14,306 kuota haji musim ini

    Malaysia dapat 14,306 kuota haji musim ini

    SERAMAI 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad pada majlis pengumuman jumlah kuota haji Malaysia bagi 1443H hari ini yang disiarkan menerusi media sosial dan stesen televisyen tempatan.

    Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

    “Tahun ini Arab Saudi hanya membenarkan satu juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan haji dengan 85 peratus adalah jemaah luar iaitu lebih tinggi daripada tahun 2019 dengan jemaah luar hanya dibenarkan 75 peratus sahaja,” katanya.

    Idris berkata, antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia 65 tahun ke bawah, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

    Idris berkata, kesemua syarat yang ditetapkan bertujuan demi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia.

    “Kerajaan Arab Saudi tentunya telah membuat penilaian serta penelitian dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan para jemaah haji untuk melaksanakan Rukun Islam kelima terjamin.

    “Tabung Haji (TH) kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

    “Saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, jemaah diminta membuat persediaan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan serta bersedia dengan dokumen berkaitan termasuk pasport dan perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19.

    Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan bantuan pembayaran bagi jemaah haji pada tahun ini dan ketetapan bayaran baharu akan diumumkan pengurusan TH, esok.

    Bagi pihak kerajaan Malaysia, Idris menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

    “Ini adalah satu berita baik buat umat Islam di Malaysia yang telah menunggu selama dua tahun akibat pandemik COVID-19. Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, marilah bersama-sama dari lubuk hati yang dalam, kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga atas berita gembira ini,” katanya. – BERNAMA

  • Saman Rafizi: Mahkamah tolak rayuan Pengerusi Eksekutif NFCorp

    Saman Rafizi: Mahkamah tolak rayuan Pengerusi Eksekutif NFCorp

    BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli tidak dianggap memfitnah pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya semasa membuat kenyataan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan, menurut Mahkamah Persekutuan.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak rayuan oleh Mohamad Salleh serta syarikatnya, dan memerintahkannya untuk membayar kos RM70,000 kepada Mohd Rafizi.

    Dalam keputusan mahkamah hari ini, Azahar berkata, kenyataan Mohd Rafizi dibuat tanpa niat jahat, dan mahkamah mandapati dia tidak bermotifkan niat jahat semasa membuat kenyataan yang dikatakan berunsur fitnah itu.

    Beliau juga berkata bahawa terdapat substratum fakta yang mencukupi untuk membolehkan Mohd Rafizi membuat kenyataan itu.

    Katanya Mohd Rafizi juga percaya dengan ikhlas bahawa dakwaannya itu adalah benar, dan bahawa dia sedang melaksanakan tanggungjawab awam dalam menuntut akauntabiliti yang lebih besar berhubung pengurusan dana awam.

    “Pada pandangan saya kesimpulan responden (Mohd Rafizi) bahawa dana awam disalah guna untuk dimanfaatkan bagi mendapat pinjaman Public Bank adalah pandangan dan kesimpulan yang akan dibuat dengan jujur oleh sesiapa sahaja yang berfikiran waras.

    “Sehubungan itu Mohd Rafizi tidak boleh dipertanggungjawab terhadap fitnah,” kata Azahar.

    Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof senada dengan keputusan Azahar.

    Pada 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp menyaman Mohd Rafizi dengan mendakwa beliau (Mohd Rafizi) telah membuat pernyataan fitnah pada 7 Mac, 2012 pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah KL Eco City yang didakwanya menggunakan RM71 juta pinjaman kerajaan sebagai cagaran.

    Pada 31 Okt 31, 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Rafizi membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 sebagai ganti rugi kepada NFCorp selepas membenarkan saman beliau terhadap Mohd Rafizi.

    Bagaimanapun pada 2019, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Mohd Rafizi apabila ia mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi itu.

    Pada 2020 Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Mohamad Salleh dan NFCorp untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas peguam Mohd Rafizi tidak membantah terhadap permohonan itu memandangkan beberapa alasan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak dibangkitkan dalam kes mereka.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp manakala Mohd Rafizi diwakili oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh. – BERNAMA

  • Ada tahanan jadi ‘kepala’ hasut pendatang Rohingya lari beramai-ramai

    Ada tahanan jadi ‘kepala’ hasut pendatang Rohingya lari beramai-ramai

    POLIS sudah mengenal pasti dalang utama yang disyaki mencetuskan insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, lelaki berumur lingkungan 30-an itu merupakan tahanan di depot berkenaan dan dipercayai tahanan lama.

    “Kami percaya lelaki ini menjadi ‘kepala’ yang mungkin mengapi-apikan sentimen untuk bertindak.

    “Lelaki ini masih bebas dan usaha mengesan masih diteruskan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu di sini, hari ini.

    Suresh berkata, siasatan masih diteruskan dan setakat semalam, seramai 200 tahanan Rohingya disoal siasat.

    Beliau berkata, lebih 20 anggota daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas ketika kejadian dipanggil hari ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

    “Hasil soal siasat setakat ini, kami mendapati mereka ini (tahanan) melarikan diri kerana ingin bebas dan tidak menjurus kepada sikap tidak puas hati terhadap sistem pengurusan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, DSP Mohd Akmal Hizam Abd Khupur memberi jaminan kawasan itu selamat walaupun berlaku insiden ratusan etnik Rohingya yang lari dari depot tahanan, awal pagi semalam.

    Beliau berkata, 14 pasukan polis dengan kekuatan lebih 350 anggota termasuk Pasukan Gerakan Am digerakkan untuk mencari saki-baki tahanan yang masih bebas.

    “Buat masa ini kami menumpukan pekan Bandar Baharu, Relau dan Lubok Buntar dengan masing-masing merangkumi dua kilometer radius pencarian.

    “Mereka ini (tahanan) ada yang kita jumpa di tepi jalan dan dipercayai ada yang masih bersembunyi di kawasan semak tanpa arah tujuan,” katanya.

    Mohd Akmal Hizam turut menasihatkan penduduk untuk tidak bertindak bersendirian sekiranya berhadapan dengan tahanan itu dan melaporkan kepada anggota di balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, melarikan diri.

    Setakat ini, seramai 130 tahanan iaitu 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan belum dijumpai. – BERNAMA