Author: Bernama

  • [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    [VIDEO] Kilang tapis minyak haram meletup, lebih 100 mati rentung

    LEBIH 100 orang terbunuh berikutan letupan di loji penapisan minyak haram di Imo, selatan Nigeria, lapor Agensi Berita Xinhua memetik sumber rasmi dan tempatan pada Sabtu.

    Letupan berlaku lewat Jumaat di loji penapisan minyak haram di kawasan Egbema dekat sempadan antara Imo dan Rivers.

    “Berlaku kebakaran di tapak loji haram yang mengakibatkan lebih 100 rentung dan mangsa tidak dapat dikenal pasti,” kata pesuruhjaya sumber petroleum di Imo, Goodluck Opiah.

    Beliau berkata, kerajaan sedang memburu pengendali penapisan minyak haram itu yang dipercayai telah melarikan diri.

    Tapak penapisan minyak haram itu beroperasi dengan mencuri minyak mentah daripada saluran paip milik syarikat minyak.

    https://youtu.be/gq7UhZOzKP8

    Vandalisme saluran paip minyak dan kecurian minyak sering dilaporkan di Nigeria, menyebabkan ekonomi negara ini mengalami kerugian besar. – BERNAMA

  • KPLB laksana program SKoD di 182 kawasan Parlimen

    KPLB laksana program SKoD di 182 kawasan Parlimen

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 182 kawasan Parlimen yang berada di luar bandar bermula tahun ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu juga bagi menggerakkan lebih banyak aktiviti sukarelawan dengan lebih berkesan.

    “SKoD ini merupakan Kumpulan Tindakan Komuniti yang ditubuhkan di kawasan luar bandar yang mempunyai peranan seperti Komuniti Rukun Tetangga.

    “Cuma bezanya SKoD fokus kepada komuniti di luar bandar iaitu penyertaannya adalah secara sukarela dan terbuka serta membabitkan penghulu, ketua kampung, institusi kepimpinan komuniti, jawatankuasa masjid, surau serta orang awam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti Sejahtera dan Iftar Bersama Warga Kemas di Pusat Komuniti Padang Kerasak di Padang Terap malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, SKoD menyasarkan sekurang-kurangnya 15 ahli bagi setiap kampung secara sukarela dengan tanpa sebarang bayaran keahlian.

    Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan ialah aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan program menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.

    Selain itu, program yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan kebesaran Islam.

    “Sebagai contoh apabila berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran di kawasan mereka, sukarelawan SkoD ini akan menjadi barisan paling pantas untuk membantu mangsa yang terkesan dengan musibah yang berlaku di tempat mereka.

    Sehubungan itu, Mahdzir mengharapkan yang SKoD mampu melahirkan generasi pelapis yang akan menjadi barisan kepimpinan dalam kalangan penduduk kampung. – BERNAMA

  • Suami isteri ditahan kes dera, bunuh budak 3 tahun

    Suami isteri ditahan kes dera, bunuh budak 3 tahun

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, yang meninggal dunia di Hospital Jitra, semalam.

    Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kanak-kanak itu dibawa ke hospital berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam oleh ahli keluarganya selepas tidak sedarkan diri, dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan lebam dan tekanan dipercayai dipijak pada anggota badan anak bongsu dari tiga adik beradik itu.

    “Pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 dan 26 tahun dipercayai baru berkahwin dua hingga empat bulan lepas itu ditahan bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek mengaku memukul kanak-kanak itu, namun siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya kesan pukulan itu yang menyebabkan kematian,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan di Bukit Thorn di Bandar Baharu, yang merupakan lokasi pencarian tahanan Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dua hari lepas.

    Wan Hassan berkata, pasangan itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati wanita yang ditahan itu mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes curi. – BERNAMA

  • Kerjasama PAS dan PH tidak akan berulang – Abdul Hadi

    Kerjasama PAS dan PH tidak akan berulang – Abdul Hadi

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan bahawa kerjasama politik antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata, kerjasama menerusi strategi ‘khemah besar’ seperti yang disebut oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu tidak akan berlaku malah PAS akan meneruskan kerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

    “Kita dah bekerjasama 20 tahun lebih dah… cukuplah tu. Kita akan usahakan supaya (kerjasama dengan PN) kekal, dengan PH memang tidak akan berulang,” katanya kepada pemberita di Masjid Rusila di Marang hari ini.

    Ahli Parlimen Marang itu juga berkata tidak mungkin kerjasama dalam politik akan berulang setelah ia berakhir. – BERNAMA

  • Ancaman bom terhadap Maguire topik hangat Twitter

    Ancaman bom terhadap Maguire topik hangat Twitter

    ANCAMAN bom terhadap kapten Manchester United (MU), Harry Maguire susulan prestasi hambar kelab Inggeris itu menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana pada Selasa menjadi topik trending di Twitter dalam kalangan peminat MU di Malaysia.

    Meskipun ramai peminat bola sepak mengkritik Maguire akibat kekalahan pasukannya menentang Reds 4-0 di laman Liverpool di Anfield, sebahagiannya membela kapten itu dan meminta agar tidak berputus asa serta terus berusaha mempamerkan aksi lebih baik dalam perlawanan akan datang.

    Seorang pengguna twitter Aditya Rajkumar yang menggunakan akaun @Nobody_8272 menerusi ciapan tweetnya berkata ‘Saya hanya mahu memberitahu Harry Maguire meskipun anda pemain pertahanan yang teruk, tiada siapa harus memperlakukan anda seperti itu. Tiada siapa patut menerima ugutan bunuh dan saya sangat berharap tiada perkara buruk berlaku kepada dia atau keluarganya. Kekal tabah.’

    Mohd Firas menerusi akaun @ohhfiras dalam ciapannya berkata ‘Jika Harry Maguire boleh menjadi pemain bola sepak profesional, sila jangan berputus asa dengan impian anda. Anda boleh lakukan lebih baik.”

    Akif meluahkan kekecewaannya terhadap prestasi Maguire yang tidak memberangsangkan melalui akaun @akifmuller96 dengan berkata: “Jual Harry Maguire laa ManUtd. Apa yang dia lakukan sehingga layak bermain untuk kelab, apatah lagi menjadi kapten. Sungguh memalukan.”

    Sementara itu, Muhd ​​Aliff mengulas mengenai ancaman bom serta menyuarakan kekesalan terhadap sikap peminat bola sepak masa kini.

    “Kita semua bersetuju tentang betapa hambarnya prestasi Maguire musim ini, tetapi itu (ancaman bom) terlalu melampau,” ciapnya.

    Media antarabangsa melaporkan bahawa polis telah dipanggil ke rumah Maguire selepas pemain pertahanan itu menerima ancaman bom di rumahnya.

    Maguire membuat laporan polis berhubung ancaman itu di balai Polis Cheshire, dan pihak polis melakukan pemeriksaan di rumah pemain antarabangsa England itu pada petang Khamis sebelum mengesahkan “tiada barang mencurigakan” ditemui.

    Maguire mempunyai dua orang anak kecil dengan tunangnya Fern Hawkins. – BERNAMA

  • Kos haji naik, TH umum 2 kadar bayaran muassasah

    Kos haji naik, TH umum 2 kadar bayaran muassasah

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua kadar bayaran untuk menunaikan haji kepada jemaah muassasah mengikut golongan B40 serta bukan B40 susulan anggaran kos keseluruhan ibadah itu meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bagaimanapun menerusi pelaksanaan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, jemaah muassasah dalam kalangan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang manakala kadar bayaran ditetapkan bagi golongan bukan B40 adalah RM12,980 seorang.

    “Bayaran haji jemaah muassasah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

    “Berikutan pelaksanaan bantuan bersasar ini, kadar bayaran haji untuk seorang jemaah muassasah B40 dikenakan sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan RM1,000 seorang manakala jemaah muassasah dalam kategori bukan B40 ialah RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar (Pengurusan Haji) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin.

    Amrin berkata, kenaikan bayaran haji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi dan pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insurans untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

    “Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci. Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muassasah.

    “TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah haji Malaysia terutama kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak COVID-19 ke atas sara hidup mereka dan penetapan golongan kategori B40 ini adalah berdasarkan pangkalan data yang diguna pakai oleh pihak kerajaan” katanya.

    Beliau berkata menerusi Bantuan Kewangan Haji bagi tahun ini, TH akan membayar RM14,560 seorang bagi jemaah muassasah dalam kategori B40 manakala bagi kategori lain turut menerima bantuan RM12,560 seorang berbanding RM12,920 seorang pada 2019.

    Sementara itu, beliau berkata, TH sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke tanah suci setelah dua tahun tertangguh berikutan pandemik COVID-19 dan pihaknya akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin depan (25 April).

    “Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020 diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya pada tahun ini. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

    Jumlah kuota berkenaan menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

    Idris berkata, antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia bawah 65 tahun, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 serta perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas. – BERNAMA

  • Budak perempuan didera ibu tiri warga Indonesia diselamatkan

    Budak perempuan didera ibu tiri warga Indonesia diselamatkan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diselamatkan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis daripada terus menjadi mangsa dera ibu tiri di sebuah rumah di Sikamat, dekat Seremban, Isnin lepas.

    Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, mangsa kini sedang dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

    “Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera di bahagian muka kiri dan telinga kiri, mengalami kesan cubitan di bahagian tangan, lengan, bahu dan belakang badannya selain kesan rotan di belakang badan dan kaki kiri.

    “Kanak-kanak berkenaan turut mendakwa dia ditumbuk di bahagian perut dan kepala dan berasa sakit di beberapa bahagian badan selain berada dalam keadaan sangat lapar ketika diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Rosnah berkata, susulan itu satu perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipohon selepas keadaan kanak-kanak itu stabil.

    Beliau berkata, Pegawai Pelindung Daerah Seremban akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan penempatan tetap terbaik bagi kanak-kanak berkenaan selain syarat tambahan bersesuaian akan dica­dangkan kepada mahkamah demi kesejahteraan, kebajikan dan masa depannya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

    “Tangkapan dibuat terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 30 tahun yang merupakan ibu tiri mangsa pada Selasa lepas namun dijamin pada hari sama. Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak pe­rempuan 10 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya yang mendakwa mahu ‘mengajar’ kanak-kanak itu kerana mencuri lolipop di sebuah premis sebelum berjaya diselamatkan hasil aduan jiran mangsa. – BERNAMA

  • Tahanan Rohingya lolos tak ancam keselamatan penduduk – MB Kedah

    Tahanan Rohingya lolos tak ancam keselamatan penduduk – MB Kedah

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap tahanan etnik Rohingya yang masih bebas setelah melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen, tidak akan mengancam keselamatan penduduk.

    Beliau berkata, mereka yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu pada Rabu lepas itu juga tidak mempunyai hala tuju serta tidak arif mengenai keadaan di negara ini.

    “Saya difahamkan mereka sudah duduk lama di dalam depot tahanan itu, selama dua tahun, dalam keadaan sesak. Saya tidak pasti apa isu di dalam depot itu, tapi saya percaya mereka ini ‘tidak tahu apa-apa’.

    “Bagi saya (mereka) bukan satu ancaman, yang mengancam (keselamatan) adalah penjenayah seperti pengedar dadah, itu adalah ancaman, mereka (etnik Rohingya yang masih bebas) bukan ancaman, mereka cuma nak hidup,” katanya kepada Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau diminta mengulas sama ada tahanan etnik Rohingya yang belum ditemui berkemungkinan akan mengancam keselamatan penduduk khususnya di daerah Bandar Baharu di Kedah.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau amat mengenali etnik Rohingya khususnya sewaktu aktif menjalankan misi kemanusiaan di bawah PAS Relief ke Arakan, Myanmar dan Kem Pelarian Rohingya di Bangladesh.

    Beliau berkata, etnik Rohingya bukanlah bangsa yang jahat sebaliknya menjadi mangsa kejahatan dan ditindas di negara asal mereka sehingga terpaksa melarikan diri untuk meneruskan kehidupan.

    “Mereka ini saya kenal mereka tidak jahat, mereka bangsa yang ditindas, bangsa yang paling ditindas di dunia, sama dengan rakyat Palestin.

    “Dalam keadaan masyarakat antarabangsa tidak mempedulikan penindasan di negara mereka, mereka ambil keputusan untuk lari dari negara mereka dan menumpang di sana sini,” katanya.

    Muhammad Sanusi turut berasa sedih dan simpati dengan nasib enam pelarian etnik Rohingya termasuk dua kanak-kanak yang maut selepas dirempuh kereta di KM165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, Pulau Pinang.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu dan setakat ini 96 daripada mereka belum ditemukan. – BERNAMA

  • Banduan lolos Penjara Jelebu mungkin sudah keluar NS

    Banduan lolos Penjara Jelebu mungkin sudah keluar NS

    SEORANG lagi banduan yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia di sini pada 10 April lepas dipercayai telah berada di luar Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Maslan Udin berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32, kini dinotiskan sebagai individu dikehendaki polis dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

    “Kesemua enam lelaki berumur antara 28 dan 62 tahun yang lari berjaya kami tahan semula di Jelebu baru-baru ini, tapi yang terakhir ini dipercayai telah terlebih dahulu melarikan diri dari daerah ini.

    “Bagaimanapun kami masih giat kesan di mana lokasi dia berada ketika ini, berkemungkinan telah melarikan diri dari negeri ini, kami juga turut dibantu polis kontinjen lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Maslan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.

    Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu. – BERNAMA

  • 96 tahanan Rohingya lolos dari depot belum ditemukan

    96 tahanan Rohingya lolos dari depot belum ditemukan

    POLIS sedang giat menjalankan operasi mengesan baki 96 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Rabu lalu.

    Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, setakat 6 pagi ini, seramai 76 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki belum ditemukan.

    “Setakat ini, seramai 432 tahanan etnik Rohingya telah ditemukan terdiri daripada 218 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Hassan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis di balai-balai berdekatan supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

    Selain itu, Wan Hassan berkata, setakat ini seramai 23 orang masih ditempatkan di depot tahanan tersebut.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. – BERNAMA