Author: Bernama

  • TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    TikTok: Pegawai polis narkotik wanita dipindahkan ke Johor – Razarudin

    SEORANG pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai polis wanita itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    Pada Isnin lepas, Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

    PDRM sebelum ini telah mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021 selain tindakan sedemikian tidak dibenarkan.

    Berikutan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.

    — BERNAMA

  • Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    Nagaentran jalani hukuman mati di Penjara Changi

    RAKYAT Malaysia Nagaentran Dharmalingam menjalani hukuman mati di Penjara Changi di Singapura , pagi ini dan mayatnya akan dihantar pulang ke Ipoh hari ini.

    Perkara itu telah disahkan adiknya Navin Kumar kepada Bernama.

    Ketika dihubungi, Navin masih berada di Penjara Changi untuk menuntut mayat abangnya.  Nagaentran, 34, anak kedua daripada empat beradik.

    Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan-rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

    Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang; Judith Prakash; dan Belinda Ang

    Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

    Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

    Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

    Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

    Sementara itu, pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

    — BERNAMA

  • Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    Tapak pelupusan mercun meletup, tiga cedera

    TIGA pekerja pembersihan cedera semasa menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak pelupusan mercun dan bunga api di sebuah Stor Penyimpanan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian 6.15 petang tadi, tiga lelaki yang berasal dari Sabah itu diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dilakukan pihaknya pada pukul 3 petang tadi.

    “Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum berlaku beberapa siri letupan dipercayai mercun.

    “Ketiga-tiga mangsa berusia 25 hingga 30 tahun telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

    Mengulas mengenai prosedur digunakan polis ketika melupus barang kes (mercun dan bunga api), Beh berkata ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kerja pelupusan ini telah menerima kelulusan dari Mahkamah Majistret 2 Kuala Lumpur yang membenarkan ia dilupuskan menggunakan SOP polis. Majistret juga turut hadir menyaksikan kerja pelupusan yang selesai pada 4.30 petang tadi,” katanya.

    Beh berkata tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api sebelum meletup dan terbakar.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan malam ini memaklumkan, pihaknya menerima laporan kebakaran pada 6.20 petang tadi dan mengerahkan 60 anggota dan 10 jenteranya ke lokasi di Jalan Perhentian, di sini.

    Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka serta 50 kenderaan yang merupakan barang kes di lokasi kejadian.

    “Bomba menggunakan teknik offensive (memadam kebakaran dari dalam bangunan) and defensive (memadam kebakaran dari luar bangunan) firefighting. Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 7.05 malam dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran sedang disiasat,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Al Kasim, 30-an, berkata sebelum kejadian dia sedang membersihkan longgokan sampah di stor berkenaan.

    “Tiba-tiba saya saya terdengar percikan api besar dari tong sampah besi lalu meletup dengan kuat. Saya terus melompat dari lokasi letupan lalu kaki saya terseliuh dan percikan mercun mengenai bahagian belakang saya,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

    Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sunjeet Kaur, 47, yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian berkata dia dikejutkan dengan beberapa bunyi letupan kuat.

    “Sewaktu kejadian saya hendak membeli makanan di bazar berhampiran. Saya melihat asap tebal menjulang tinggi,” katanya.

    Hari ini, polis melupuskan 1,059 kotak dan 35 guni mercun dan bunga api pelbagai jenis di stor berkenaan. Mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM4.1 juta yang dirampas pada Mac lepas itu dipercayai untuk dipasarkan semasa Aidilfitri ini. – BERNAMA

  • KPLB tawar kursus TVET untuk pelajar tahfiz – Mahdzir

    KPLB tawar kursus TVET untuk pelajar tahfiz – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membuka peluang kepada 500 pelajar tahfiz untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi pendidikan TVET di bawah kementerian itu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar tahfiz yang menyertai kursus TVET itu akan mengikuti pembelajaran selama enam bulan sebelum diberikan sijil mengikut kemahiran yang dipilih.

    “Jika mereka (pelajar tahfiz) ini ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka boleh sertai kursus kemahiran seperti baiki motosikal atau penghawa dingin.

    “Apabila selesai kursus, mereka akan dapat sijil yang akan membantu mereka untuk mendapatkan kerja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Iftar KPLB di Putrajaya hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata, KPLB sedang giat menjalankan projek-projek pembangunan rakyat di kawasan luar bandar.

    “Kita akan memantau projek sedia ada supaya ia berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PRU-15: Pejuang hasrat bertanding di Sabah – Mukhriz

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

    Mukhriz, bagaimanapun berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berkaitan jumlah kerusi dan kawasan ditandingi di Sabah pada PRU-15.

    “Insya-Allah, kita (Pejuang) akan menyertai pilihan raya umum termasuk di Sabah tetapi belum ada keputusan dibuat berkaitan jumlah kerusi, di mana (kawasan) hendak bertanding dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama Pejuang Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Turut hadir Ketua Pejuang Sabah, Nicholas Sylvester Abdullah.

    Mengenai Pejuang Sabah, Mukhriz berkata, ia akan dilancarkan secara rasmi di negeri ini pada 22 Mei ini, selain pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan lagi pengaruh parti itu di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah sebagai antara persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

    Mukhriz berkata, Pejuang berharap dapat membuka cawangan di semua kawasan Parlimen itu dan pada masa ini mempunyai 16 cawangan yang sekali gus menjadi negeri ketiga mempunyai keahlian paling ramai selepas Kedah dan Selangor.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk membuat perbincangan mengenai jalinan kerjasama dengan mana-mana parti bagi mendepani PRU-15 bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

    Katanya, semua pihak walaupun mempunyai perbezaan ideologi politik, namun masing-masing memiliki persamaan iaitu untuk mengubah corak politik negara sepertimana pada PRU-14 lepas.

    Mengulas agenda “khemah besar” dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), Mukhriz berkata, Pejuang ingin mendengar dan memahami terlebih dahulu maksud sebenar tawaran itu.

    “Apa peranan setiap parti termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil, hanya empat ahli Parlimen. Jadi kita mahu beri ruang kepada mereka untuk menerangkan maksud sebenar ‘khemah besar’ itu.

    Kalau ingat zaman PH pasca PRU14, ’khemah besar’ yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi penyertaan dalam jemaah menteri. Itu satu pendekatan. Jadi kita nak faham apakah pendekatan seperti itu juga hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi ‘khemah besar’ tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Rayuan ditolak, Nagaenthran jalani hukuman gantung esok

    Rayuan ditolak, Nagaenthran jalani hukuman gantung esok

    MAHKAMAH  Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir difailkan ibu Nagaenthran K Dharmalingam untuk mencabar keputusan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

    Dengan keputusan itu, ia menamatkan ikhtiar saat akhir warga Malaysia berusia 34 tahun itu yang dijadualkan dihukum gantung esok selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati ke atasnya bulan lalu.

    Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan dan aktivis tanpa diwakili peguam.

    Terdahulu, semasa perbicaraan, Panchalai berkata melalui jurubahasa: “Saya ibunya. Saya membuat petisyen. Kami mahu dia hidup. Kami perlu mendapatkan peguam untuk kes ini.”

    Dia ditemani anak saudaranya, Thenmoli Sunniah.

    Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan peguam negara yang telah mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

    Perbicaraan didengar di hadapan tiga hakim iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang bermula 2.30 petang dan ditangguhkan kira-kira 30 minit kemudian sebelum disambung semula pada 4.30 petang untuk mendengar keputusan.

    Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaenthran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

    Mengenakan pakaian seragam penjara berwarna ungu, Nagaenthran kelihatan tenang semasa bercakap dengan ibu dan ahli keluarganya.

    Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

    Kes Nagaenthran menarik perhatian antarabangsa.

    Pada 7 Nov 2021, dilaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

    Sementara itu pada 3 Dis, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

    Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 apabila hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

  • Tapak pelupusan mercun di Sentul Work terbakar

    Tapak pelupusan mercun di Sentul Work terbakar

    TAPAK  pelupusan mercun di Sentul Work, Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian kira-kira 6.30 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan operasi pemadaman sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Menurutnya terdapat mangsa dalam kejadian tersebut namun belum dapat dipastikan kecederaan yang dialami.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila beberapa keping gambar dan video dimuat naik dengan memaparkan pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan bagi melihat kejadian dan kedengaran bunyi dentuman mercun dalam video berdurasi tiga minit 32 saat.

    Warganet turut berkongsi bahawa mereka turut merasai gegaran susulan letupan kuat mercun itu.

    — BERNAMA

  • Buat persiapan rapi, tempoh perjalanan mungkin lebih panjang – PLUS

    Buat persiapan rapi, tempoh perjalanan mungkin lebih panjang – PLUS

    PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dengan jangkaan tempoh perjalanan di lebuh raya lebih panjang terutama pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan.

    Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata ia berikutan sebahagian besar pengguna lebuh raya dijangka merebut peluang menikmati faedah tol percuma dan menyusun jadual perjalanan balik kampung serta kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh tol percuma tersebut.

    “Bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tol percuma oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.

    “Pihak PLUS akan mengambil langkah yang sewajarnya dan kami telah mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuh raya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, perdana menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Pemberian tol percuma itu adalah pada Sabtu dan Ahad ini serta 7 dan 8 Mei depan untuk perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing, melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menghubungkan jaringan Lebuhraya Utara-Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 12 tengah malam pada 30 April hingga 11.59 malam pada 1 Mei kepada semua kelas kenderaan manakala untuk perjalanan pada 7 Mei, ia bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Mei.

     Selain itu, tawaran diskaun tol antara 30 dan 50 peratus juga akan diberikan kepada lebuh raya yang lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

    Dalam pada itu, PLUS menjelaskan bahawa pemberian tol percuma tersebut dilaksanakan di rangkaian lebuh rayanya yang menggunakan sistem tol tertutup dan akan dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

    Bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go masih perlu menyentuh kad mereka di lorong tol namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad tersebut.

    “Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID sahaja dan sepertimana kad Touch ‘n Go serta  SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.

    “Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad sebelum perjalanan dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, Azman turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini dan merancang perjalanan dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselesaan ketika memandu dengan berhenti rehat bagi menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya.

    Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya memuat turun aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuh raya menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan selain digalakkan menggunakan Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.

    — BERNAMA

  • Polis rampas mercun seludup RM30,000 selepas kejar van 70km

    Polis rampas mercun seludup RM30,000 selepas kejar van 70km

    POLIS  merampas mercun seludup bernilai RM30,000 selepas menahan sebuah van di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Keladi di Hulu Besut, di Jertih pada pukul 11.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata terdahulu van itu dikejar oleh enam kereta peronda polis (MPV) sejauh 70 kilometer dari Pasir Mas, Kelantan sebelum polis berjaya menahan seorang suspek pada pukul 11.15 pagi, namun seorang lagi suspek telah meloloskan diri.

    Beliau berkata kejadian bermula apabila anggota polis dari cawangan MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas yang melakukan tugas ronda cegah jenayah melihat sebuah van berwarna putih yang mencurigakan, lalu pemandunya diarahkan berhenti untuk pemeriksan.

    “Suspek sebaliknya bertindak memecut kenderaannya ke arah Tanah Merah melalui Machang dan Pasir Putih, Kelantan sebelum memasuki daerah Besut,” katanya pada sidang media di IPD Besut, di sini hari ini.

    Katanya van dipandu suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu turut melanggar sebuah kenderaan orang awam di bandar Jerteh ketika cuba meloloskan diri.

    Abdul Rozak berkata keseluruhan rampasan termasuk van itu dianggarkan bernilai RM120,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

    — BERNAMA

  • Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Putrajaya berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.

    Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di SKMM pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari.

    Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.

    “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik. Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya,” katanya.

    Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

    Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata SKMM telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan SKMM mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA