Author: Bernama

  • Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    NASIB 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.

    “Berkaitan dengan COS kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang telah menyampaikan masalah ini kepada kementerian.

    “Oleh itu, isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar, kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat Ketereh hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata pihaknya sentiasa berbincang mengenai pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kepada guru kontrak perkhidmatan itu.

    Semalam, menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter miliknya, Radzi memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan supaya isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Beliau berkata, KPM dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan perincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.

    “Kami sedang kaji secara mendalam dengan mengambil kira data dari tahun 2017 kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    TIGA  individu cedera ringan manakala tujuh yang lain selamat selepas van dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Teluk Nipah, Pulau Pangkor petang tadi.

    Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 5.02 petang.

    “Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang termasuk pemandu. Tiga daripadanya cedera ringan manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut jurucakap itu kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu van berkenaan hilang kawalan ke atas kenderaannya dan usaha mengeluarkan mangsa kemudian turut dibantu orang ramai.

    Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pangkor dan operasi berkenaan tamat pada 5.25 petang.

    — BERNAMA

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    POLIS  sedang giat mengesan dua lelaki warga tempatan yang sudah dikenal pasti identiti mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua suspek terbabit berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an, manakala seorang lagi lelaki tempatan ditahan di lokasi kejadian semalam.

    “Lelaki yang ditahan semalam direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata motif dan hubungan antara mangsa dan kesemua suspek masih dalam siasatan.

    Semalam, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji  berkata seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, sejam selepas mangsa mendaftar masuk.

    Katanya perkara itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis kira-kira 7 malam dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan menemukan mayat mangsa berusia 49 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan akan selesai segera isu guru kontrak perkhidmatan

    Kementerian Pendidikan akan selesai segera isu guru kontrak perkhidmatan

    MENTERI  Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin telah mengarahkan supaya isu guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak mereka pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Radzi menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter hari ini berkata perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS itu dibangkitkan menerusi ruangan komen di laman media sosial beliau baru-baru ini, dan ia sememangnya berada dalam perhatiannya.

    “Saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera. KPM (Kementerian Pendidikan) dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya.

    Beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas proses berkenaan selesai.

    Katanya KPM prihatin mengenai perkara yang dibangkitkan masyarakat tentang pendidikan dan komited untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi pewaris negara.

    — BERNAMA

  • Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    SEORANG lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi, dalam kejadian di bilik hotel di Bukit Bintang petang tadi sejam selepas mendaftar masuk.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata perkara itu disedari seorang pekerja hotel yang memasuki bilik tersebut. Polis dihubungi pada kira-kira 7 malam.

    “Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berasal dari Johor mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 petang tadi. Polis telah menahan rakan sebilik mangsa bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

    Habibi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

  • Ciri baharu MySejahtera kesan lokasi penyakit berjangkit – Khairy

    Ciri baharu MySejahtera kesan lokasi penyakit berjangkit – Khairy

    APLIKASI MySejahtera kini dikemas kini dengan ciri-ciri baharu bagi mengesan penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata dengan fungsi terbaharu itu, pengguna boleh melihat kawasan titik panas penyakit selain COVID-19, seperti demam campak, rabies, HFMD dan demam denggi.

    “Update terkini MySejahtera memperkenalkan ciri baharu. Boleh tengok penyakit berjangkit seperti HFMD,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini.

    Beliau turut berkongsi dua tangkap layar kemas kini aplikasi berkenaan.

    Sebelum ini Khairy memaklumkan fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker.

    Beliau berkata kawasan berkenaan akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.

    Sementara itu Khairy menasihati orang ramai agar terus menggunakan pelitup muka apabila berada di tempat tertutup atau sesak.

    “Saya harap sambutan Aidilfitri anda ceria pada Raya kedua. Terus pakai pelitup muka di kawasan tertutup dan/atau sesak. Jika bergejala buat ujian kendiri & lapor di @my_sejahtera,” katanya.

    — BERNAMA

  • Rugi RM132,000 ditipu ‘pegawai KKM’

    Rugi RM132,000 ditipu ‘pegawai KKM’

    GARA-gara panik kerana didakwa meminta ubatan berlebihan di sebuah klinik komuniti, seorang pengurus sumber manusia kerugian RM132,900 setelah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata wanita  bekerja di syarikat swasta itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan bertugas di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan pada 18 April lepas.

    “Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti.

    “Mangsa menafikan dakwaan itu namun panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki lain menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa juga mempunyai rekod terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Mahidisham berkata mangsa berusia 47 tahun itu juga ditakutkan sekiranya tidak mengaku kesalahan tersebut, waran tangkap akan dikeluarkan.

    Katanya panik dengan ugutan itu, mangsa membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam akaun yang sama bermula 22 hingga 26 April berjumlah keseluruhan RM132,900.

    Beliau berkata suspek juga meminta mangsa menunggu keputusan siasatan tersebut dan pada 30 April lepas, mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.

    “Merasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama (April 30) dan suspek kini sedang dikesan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank atau nombor telefon diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan untuk laporan sebarang jenayah ataupun aktiviti mencurigakan supaya menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau balai polis berdekatan.

    — BERNAMA

  • Pondok jeti runtuh, dua remaja maut, enam terselamat

    Pondok jeti runtuh, dua remaja maut, enam terselamat

    DUA remaja lelaki maut dipercayai terjatuh ke laut bersama enam remaja lain selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading dekat Semporna runtuh, semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa warga asing berusia 14 dan 19 tahun ditemukan dalam keadaan terapung pada 4.30 petang.

    “Anggota bertugas di Balai Polis Semporna menerima panggilan daripada anggota Pasukan Gerakan Am pada 4.17 petang mengenai kejadian lapan remaja terjatuh laut selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading tiba-tiba runtuh.

    “Dalam kejadian itu,  empat remaja lelaki serta dua perempuan berusia 11 hingga 19 tahun, yang kesemuanya juga warga asing berjaya diselamatkan anggota bertugas serta penduduk kampung, namun dua lagi hilang sebelum akhirnya ditemukan terapung, lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Farhan berkata sebelum kejadian, kesemua lapan mangsa berada di pondok jeti untuk melepak, dan kertas siasatan dibuka di bawah laporan mati mengejut.

    Beliau berkata punca kejadian jeti kampung berkenaan runtuh masih dalam siasatan pihak polis.

    “Sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Nikan Najin di talian 016-5632379,” katanya.

    Mohd Farhan turut menasihatkan agar semua jawatankuasa kampung menjalankan pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing untuk memastikan keselamatan pengguna.

    — BERNAMA

  • Dua remaja beraya maut motosikal bertembung pacuan empat roda

    Dua remaja beraya maut motosikal bertembung pacuan empat roda

    DUA  remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, di Kilometer 23 Jalan Pekan/Batu Balik di Pekan, Pahang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain berkata kejadian pada 5.30 petang itu, menyebabkan kedua-dua mangsa berusia 18 tahun yang dipercayai dalam perjalanan untuk beraya, maut di lokasi kejadian.

    Mereka ialah penunggang motosikal Muhammad Nur Zulkefli Zakaria dan pembonceng Muhammad Ibrahim Mhd Kchairudin, dengan kedua-duanya berasal dari Kampung Temai Tengah dan Temai Hilir, Pekan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari Pekan ke Batu Balik terbabas semasa mengambil selekoh, lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Mitsubishi Triton dinaiki dua beranak,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Zaidi berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • Kanak-kanak maut dilanggar motosikal

    Kanak-kanak maut dilanggar motosikal

    SEORANG  kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan di Batu 9, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Muhammad Syafiq Haikal Sahfiee yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat, maut di tempat kejadian.

    “Polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari. Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki berumur 22 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Kota Sarang Semut menghala ke Simpang Empat, manakala mangsa hendak melintas jalan dari arah kanan ke kiri.

    “Lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu sedang bergerak lurus dan mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Shukri berkata mayat kanak-kanak dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

    “Penunggang motosikal yang mengalami luka di bahagian badan sebelah kanan telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    — BERNAMA