Author: Bernama

  • Muhyiddin dakwa Zahid minta campur tangan kes jenayah di mahkamah

    Muhyiddin dakwa Zahid minta campur tangan kes jenayah di mahkamah

    TAN SRI Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

    Menerusi dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April lepas, Muhyiddin, 74, mendakwa Ahmad Zahid, 69, telah membuat permintaan tersebut selepas menghadiri mesyuarat di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

    “Selepas saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat telah diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baharu.

    “Beberapa individu telah menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya telah meminta Azmin untuk turut serta.

    “Ketika perbincangan, beliau telah menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu. Apabila saya tanya kenapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meminta bantuan Muhyiddin untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya.

    Muhyiddin juga mendakwa apabila mendengar permintaan itu, beliau telah memaklumkan plaintif bahawa beliau tidak boleh dan tidak akan campur tangan dalam prosiding mahkamah serta menasihati Ahmad Zahid untuk membela dirinya jika beliau benar-benar tidak bersalah.

    Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan oleh Abdul Hadi bahawa sebelum mesyuarat itu, plaintif telah bertemu dengan Abdul Hadi dan turut menunjukkan dokumen terbabit selain menyatakan bahawa dia tidak bersalah.

    “Bagaimanapun, Abdul Hadi memberitahu plaintif bahawa tujuan mesyuarat itu diadakan di kediaman saya ialah untuk membincangkan hal ehwal kerajaan,” katanya.

    Muhyiddin berkata, tiada sebab untuk Ahmad Zahid menunjukkan fail terbabit kepadanya dan membuat permintaan itu melainkan ia bertujuan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah terhadap plaintif.

    Muhyddin turut menafikan bahawa kenyataan yang dibuatnya semasa kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Mersing iaitu di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Feb lepas adalah palsu atau berbaur fitnah atau mempunyai niat jahat.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa permohonan inter-parte untuk mendapatkan perintah injunksi oleh anak guamnya dalam kes saman fitnah terhadap Muhyiddin akan didengar pada 25 Mei ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Rozana Ali Yusoff melalui prosiding dalam talian.

    Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

    Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

    Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil ‘Perikatan Nasional,’ YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

    Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

    Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

    Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 maut dalam insiden tayar jentolak meletup

    [VIDEO] 2 maut dalam insiden tayar jentolak meletup

    DUA maut selepas tayar jentolak tiba-tiba meletup di sebuah bengkel kenderaan di Chhattisgarh, India.

    Menurut polis, kemalangan itu berlaku pada Selasa di daerah Raipur, Chhattisgarh dan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup, lapor Xinhua.

    Rakaman video menunjukkan seorang pekerja duduk di atas tayar itu ketika sedang mengisi angin manakala seorang lagi lelaki menekan tayar itu beberapa kali.

    Mangsa dikenali pasti berasal dari daerah Rewa di Madhya Pradesh dan polis sedang menjalankan siasatan. – BERNAMA

  • Dua kes serangan ubur-ubur dilaporkan di Besut

    Dua kes serangan ubur-ubur dilaporkan di Besut

    SEORANG  kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki diserang ubur-ubur dalam kejadian berasingan di Pantai Bukit Keluang dekat Besut, Selasa lepas.

    Kanak-kanak berusia lapan tahun dari Pasir Mas, Kelantan itu disengat pada 2.25 petang manakala lelaki berusia 32 tahun dari Johor pula mengalami nasib sama empat jam kemudian.

    Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata kedua-dua mangsa menunjukkan simptom kemerahan pada kulit yang terkena sengatan dan menerima rawatan awal daripada penyelamat pantai APM yang sedang bertugas di lokasi kejadian.

    “Kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dibenarkan pulang untuk rawatan susulan di rumah. Lelaki berkenaan terpaksa dihantar ke Hospital Besut selepas mengalami sesak nafas akibat sengatan tersebut.

    “Ini adalah kejadian pertama serangan ubur-ubur yang dilaporkan di Terengganu pada tahun ini, saya berharap pengunjung pantai akan lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti di air,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata APM akan mempertingkat pemantauan di sekitar kawasan pantai Bukit Keluang dan berharap orang ramai segera membuat laporan sekiranya terjumpa ubur-ubur bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

    — BERNAMA

  • Haji: Penerbangan pertama 31 Mei

    Haji: Penerbangan pertama 31 Mei

    PENERBANGAN pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadualkan pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

    Beliau berkata segala persiapan bagi urusan tersebut berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lepas.

    “Jemaah yang menerima tawaran itu hendaklah membuat persiapan seperti menyediakan pasport antarabangsa, lengkap vaksin dan mempunyai kesihatan yang baik,” katanya dalam sidang media pada Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Kampung Sungai Petai Bukit Gantang hari ini.

    Dilaporkan kuota jemaah haji Malaysia adalah seramai 14,306 orang tahun ini.

    Idris berkata jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH dan beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan agensi tersebut untuk menguruskannya.

    “Pihak TH sedang menunggu mungkin ada jemaah yang menolak tawaran dan TH akan memberikan keutamaan kepada jemaah yang lain,” katanya dan menambah pengurusan haji tahun ini agak mencabar namun yakin TH mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikannya.

    Mengenai rayuan kuota haji, Idris berkata beliau akan membawa surat rayuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam masa terdekat.

    Selain itu, Idris berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berjoget di kelab malam.

    “Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat,” katanya ketika diminta pemberita mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.

    — BERNAMA

  • Puluhan pendatang Israel serbu, cemar kesucian Al-Aqsa

    Puluhan pendatang Israel serbu, cemar kesucian Al-Aqsa

    BERPULUH-PULUH pendatang Israel sambil dikawal pasukan polis menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa pada pagi Khamis, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut saksi, polis Israel juga menyerang dan cuba menahan jemaah Palestin selain turut melepaskan tembakan peluru getah ke arah jemaah.

    Kumpulan pendatang itu menyerbu kompleks Al-Aqsa sempena ulang tahun penubuhan Israel yang disambut pada Khamis. – BERNAMA

  • Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    SEBANYAK 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

    Beliau berkata, sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

    Pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut manakala pada semalam sahaja (hari keenam) sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian, katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua kematian melibatkan pemandu dan penumpang van, dua kematian pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta satu pemandu atau penumpang teksi.

    Razarudin berkata, Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

    Katanya, Melaka pula mencatat 405 kes kemalangan jalan raya diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).

    “Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti Jalan Persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes),” katanya.

    Sepanjang tempoh itu juga katanya, sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan saman tertinggi iaitu 25,582 saman. – BERNAMA

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    DUA  suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 51 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di Puchong pada 8.15 malam.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk revolver .38, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, 14 butir peluru, sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju dan seluar, dua pasang kasut sukan, topi, sebuah beg silang serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

    “Satu (daripada) pistol berkenaan (yang dirampas) dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Pada Selasa lepas, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas beliau mendaftar masuk.

    Penemuan mayat mangsa disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa berjumpa di bilik hotel berkenaan bagi urusan berkaitan jual beli dadah manakala semakan ke atas mangsa  pula mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kes culik, bunuh serta dadah.

    Azmi berkata penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, beliau berkata semakan terhadap suspek pertama yang ditahan di tempat kejadian pada hari sama mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah dan telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin ini manakala permohonan reman bagi dua lagi suspek akan dibuat hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    MAJLIS Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan isu berhubung dakwaan ugutan terhadap kehakiman baru-baru ini, kata Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn.

    Bagaimanapun beliau berkata, butiran penuh mengenai EGM itu akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri dan notis EGM berkanun yang diperlukan akan dikeluarkan kepada semua ahli Majlis Peguam selewat-lewatnya hari ini (5 Mei).

    “Kami berharap dapat melihat kehadiran ahli Majlis Peguam di seluruh negara termasuk presiden kami yang lepas untuk menyatakan pendapat mereka mengenai isu ini dan untuk mengundi mengenai usul yang penting bagi masa depan badan kehakiman kita sebagai institusi yang sangat diperlukan dan penting,” kata Cheah dalam kenyataan.

    Cheah selanjutnya berkata, Majlis Peguam juga mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar pada Jumaat lepas untuk menangani isu dakwaan ugutan (intimidasi) terhadap kehakiman dan secara kolektif memutuskan EGM akan diadakan segera di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “EGM akan datang akan membincangkan kemungkinan pilihan yang ada bagi Badan Peguam Malaysia serta untuk meneliti dan membahaskan usul-usul yang dibentangkan oleh Majlis Peguam, serta apa-apa usul lain yang mungkin kami terima tujuh hari sebelum EGM oleh ahli Majlis Peguam,” katanya.

    Pada 27 April, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, berkata, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

    Beliau berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

    Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

    Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BERNAMA

  • Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    SEORANG lelaki ditahan setelah disyaki memandu secara melulu hingga boleh membahayakan pengguna lain sehingga tular menerusi rakaman sebuah video dalam satu kejadian di Jalan Beruas-Parit-Ipoh semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berumur 23 tahun yang memandu Proton Saga FLX berwarna coklat itu ditahan di sebuah rumah di Pusing, Batu Gajah selepas polis berjaya mengesannya pada hari yang sama.

    “Lelaki itu mengaku memandu kenderaan tersebut kira-kira 3.40 petang sebelum tular di media sosial menerusi sebuah video.

    “Kenderaan tersebut dirampas dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

    Gambar: Facebook JSPT Perak

    Video berdurasi kira-kira seminit itu antara lain menunjukkan suspek memotong barisan dan garisan berkembar di kawasan Pekan Parit hingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain. – BERNAMA

  • 10 kes langgar Akta Kawalan Harga sepanjang musim Aidilfitri

    10 kes langgar Akta Kawalan Harga sepanjang musim Aidilfitri

    SEBANYAK 6,702 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit telah diperiksa sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP-HRP 2022) dari 26 April hingga 4 Mei lepas dan mendapati 10 kes telah melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

    Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.

    “Penguatkuasaan ke atas pelaksanaan SHMMP-HRP 2022 ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga tamat tempoh pelaksanaan skim pada 10 Mei 2022. Di samping itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.

    Beliau berkata, keputusan kerajaan melalui KPDNHEP memanjangkan penguatkuasaan SHMMP-HRP 2022 dari 26 April hingga 10 Mei depan dari tarikh asal 6 Mei 2022 amat tepat kerana ia membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka dalam suasana harmoni dan riang ria tetapi selamat.

    Katanya, setelah dua tahun Aidilfitri dirayakan dalam keadaan tertutup dan terhad kalangan keluarga terdekat sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan Aidilfitri tahun ini memberi makna yang besar dan berbeza kerana saudara-mara dan sahabat handai saling kunjung-mengunjung dalam pelbagai majlis rumah terbuka yang meriah tetapi tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – BERNAMA