Author: Bernama

  • JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAlS) mengingatkan semua pihak sama ada individu atau kumpulan termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk tidak memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan selepas mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

    Mohd Shahzihan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

    “Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mana-mana individu membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Mohd Shahzihan berkata, oleh itu pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau dan musolla di bawah pentadbiran masing-masing.

    Dalam masa yang sama katanya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS.

    Beliau berkata justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa sumbangan untuk memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor dan boleh juga menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bangunan runtuh: Korban meningkat 53 orang

    [VIDEO] Bangunan runtuh: Korban meningkat 53 orang

    ANGKA korban akibat kejadian bangunan runtuh di bandar Changsha di China meningkat kepada 53 orang, lapor Sputnik memetik China Central Televisyen (CCTV) pada Jumaat.

    Sebuah bangunan enam tingkat runtuh di daerah Wangcheng di bandar Changsha berhampiran Institut Perubatan Changsha pada 29 April.

    Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 10 orang manakala 53 lagi terkorban.

    Operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan.

    Sebelum ini, media melaporkan jumlah mangsa terkorban seramai 26 orang.

    Menurut pihak berkuasa China, bangunan itu dibina tanpa sebarang kebenaran dan pihak berkuasa telah menahan sembilan orang. – BERNAMA

  • Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tepi Sungai Golok

    Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tepi Sungai Golok

    SEORANG lelaki tanpa pakaian ditemukan mati di tepi Sungai Golok berdekatan Kampung Simpangan di Tumpat, awal pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Tumpat Supt Tan Seng Lee berkata mayat yang tidak dikenal pasti bangsa itu ditemukan pada 7.25 pagi oleh orang awam di tepi sungai terbabit.

    “Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) yang melakukan siasatan itu mendapati mayat ditemukan berada dalam keadaan telangkup dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

    “Identiti mayat yang masih belum dikenal pasti itu dijumpai dalam keadaan bogel dengan tiada kesan suntikan BCG dan dipercayai berada dalam air itu melebihi 24 jam,” katanya dalam kenyataan sambil menambah umur mayat mangsa dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

    Mengulas lanjut, Tan berkata pihaknya juga telah bertemu dengan penduduk Thailand dan ketua kampung yang tinggal di seberang Sungai Golok untuk mendapatkan maklumat mengenai mayat berkenaan.

    “Mayat dihantar ke Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menjelaskan polis Kelantan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Selatan Thailand untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga hilang boleh berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Md Sani  Md Saleh ditalian 012-9216944.

    — BERNAMA

  • Dua beranak maut dalam kemalangan libat lima kenderaan di Gemas

    Dua beranak maut dalam kemalangan libat lima kenderaan di Gemas

    DUA beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Besar Palong 4, Gemas dekat Bahau, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian 11.50 malam itu mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Azharruddin, 34, dan ibunya, Nor Rohaini, 62, beralamat di Felda Palong 12, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, sebuah MPV jenis Proton Exora dipandu wanita bersama seorang penumpang lelaki dalam perjalanan dari Dungun, Terengganu ke Melaka melalui jalan Palong. Pemandu dipercayai mengantuk dan keletihan menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan.

    “Kereta itu kemudiannya dipercayai merempuh tayar belakang sebelah kanan lori jenis Nissan UD dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah bertentangan dan melanggar sebuah lagi Proton Exora di bahagian hadapan sisi kanan yang juga dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata wanita itu kemudian melanggar sebuah lagi kereta Toyota Avanza dipandu wanita berumur 29 tahun bersama mangsa dan tiga penumpang lain dari arah depan sebelum sebuah lagi kenderaan model yang sama di belakangnya melanggar Proton Exora.

    Beliau berkata lima mangsa lain mengalami kecederaan di bahagian kepala serta patah kaki manakala tiga mangsa lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Hoo berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Kedai jam tangan, barang mewah Chanel dirompak

    [VIDEO] Kedai jam tangan, barang mewah Chanel dirompak

    SEKUMPULAN pencuri bersenjata bertindak memecah masuk kedai mewah Chanel di Paris pada Rabu, menurut polis.

    Kejadian rompakan dianggarkan bernilai berjuta-juta euro itu berjaya dirakam orang awam.

    Empat pencuri, memakai topi keledar dan bertopeng hitam melarikan diri menggunakan dua buah motosikal selepas merompak Chanel, kedai jam tangan dan barang kemas mewah di rue de la Paix, sebuah lorong membeli-belah yang terkenal di Paris.

    Sekurang-kurangnya seorang perompak bersenjatakan AK-47.

    Video itu dirakam orang awam yang lalu lalang dan disiarkan di media sosial.

    Kedai itu ditutup buat sementara waktu, dan pejabat pendakwa raya telah membuka kertas siasatan. – BERNAMA

  • MaTiC lokasi Debat Perdana Anwar-Najib

    MaTiC lokasi Debat Perdana Anwar-Najib

    PUSAT Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi Debat Perdana antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 12 Mei ini, pukul 9 malam.

    Pejabat Anwar dan Pejabat Najib dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, kedua-dua pihak berkenaan bersetuju memilih lokasi tersebut menerusi perbincangan antara mereka.

    Menurut kenyataan itu, debat tersebut bakal disiarkan secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumum kemudian.

    “Kedua-dua pihak turut berharap Debat Perdana ini akan berlangsung dengan sempurna minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, media melaporkan pada awalnya program tersebut akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini pada tarikh dan masa yang sama, namun pihak universiti tidak bersetuju dengan cadangan itu.

    Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 17 April lepas dilaporkan berkata, format debat perdana yang dijangka berlangsung selama dua jam itu merangkumi tiga bahagian iaitu bahagian pertama berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

    Bahagian kedua pula akan berkisar tentang ‘Masa Depan Malaysia’ yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara dan bahagian ketiga dikhususkan untuk sesi soal jawab. – BERNAMA

  • [VIDEO] Gaduh sebab tak puas hati harga makanan restoran nasi kandar

    [VIDEO] Gaduh sebab tak puas hati harga makanan restoran nasi kandar

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Twitter akibat rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap harga makanan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau dekat sini, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu didakwa meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga makanan sehingga menyebabkan anak lelakinya berasa berang dan membaling kotak tisu ke arah juruwang.

    “Seorang pekerja yang melihat kejadian berkenaan terus menumbuk lelaki itu sebelum dileraikan pekerja lain dan pelanggan berada di situ. Restoran mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi.

    “Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Hoo turut menafikan dakwaan ada campur tangan polis dalam menyelesaikan kes ini (setel tepi) dan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

    Beliau meminta pelanggan dan orang awam yang berada dalam restoran tersebut tampil untuk membantu siasatan selain turut menasihat orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial yang boleh menganggu siasatan dan ketenteraman awam.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 41 saat di Twitter memaparkan insiden pergaduhan di restoran terbabit. – BERNAMA

  • Bekas wartawan hiburan Mustafar AR meninggal dunia

    Bekas wartawan hiburan Mustafar AR meninggal dunia

    TOKOH wartawan hiburan, Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Mustafar AR, 79, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban semalam.

    Perkara itu disahkan anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, menerusi catatan di Facebooknya.

    “Mohon doakan Abah saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Mustafar yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira 10 pagi ini.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Zaini Yusop, 76, dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 hingga 51, serta 15 cucu dan dua cucu tiri.

    Mustafar mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1972 sebelum bersara pada 1998 selain turut menghasilkan beberapa buah buku termasuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar.

    Sementara itu, Muszaidi ketika dihubungi berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, sebelum ini turut mempunyai masalah kesihatan lain termasuk kencing manis dan darah tinggi namun penyakit jantung hanya dikesan pada Januari lepas.

    “Pertama kali abah dimasukkan ke HTJ adalah pada 19 hingga 24 Jan lepas dan dia dah okay tapi 6 hingga 9 April lepas dia sekali lagi dimasukkan ke HTJ kerana lemah jantung, yang terbaharu di Hospital Rembau sejak 20 April hingga semalam.

    “Bagaimana Allahyarham dipindahkan semula ke HTJ kerana jantung sudah 30 peratus berfungsi dan menjejaskan organ lain serta perlu menjalani beberapa prosedur sebelum ahli keluarga dimaklumkan abah meninggal dunia semalam,” katanya.

    Muszaidi berkata, tiada apa-apa perubahan sebelum bapanya meninggal dunia namun beliau lebih banyak menghabiskan masa dan bergurau dengan dengan anak-anak dan cucunya kebelakangan ini.

    Menceritakan keperibadian bapanya, Muszaidi berkata, Allahyarham adalah seorang yang tegas dan komited serta sentiasa inginkan yang terbaik terutama dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan.

    “Kalau bab kerja abah memang serius dan kalau beri idea dia akan pastikan orang terima dan dia juga terima pendapat orang lain, apabila berbincang abah akan cuba menjadikan perkara yang dibincangkan itu direalisasikan,” katanya. – BERNAMA

  • Polis siasat penularan video lama, fitnah agensi penguatkuasaan di Cameron Highlands

    Polis siasat penularan video lama, fitnah agensi penguatkuasaan di Cameron Highlands

    POLIS Pahang menyiasat tohmahan yang dilemparkan kepada agensi penguatkuasaan di negeri ini berhubung operasi pemutihan tanah di Cameron Highlands, yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak akhir bulan lepas.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan penularan semula video berdurasi 36 saat itu, yang dirakamkan semasa operasi memusnahkan tanaman di tanah milik kerajaan negeri pada 18 Dis 2019, dengan disertakan kenyataan bersifat fitnah dan hasutan.

    “Video itu mendakwa ada amalan rasuah di Cameron Highlands dan pekebun yang menggaji warga asing terutamanya warga Myanmar secara haram perlu membayar kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa antara RM35 hingga RM40 sehari bagi setiap pekerja.

    “Turut dinyatakan ialah polis memaksa pekebun memberi sumbangan bagi memastikan pekebun dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan dikatakan pihak berkuasa akan menghantar sekumpulan samseng digelar ‘red army’ untuk memusnahkan hasil kebun jika gagal membayar wang selain sebagai pengajaran kepada pekebun lain,” katanya.

    Ramli berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang SAC Mohd Yusri Othman dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh.

    Semua kenyataan tersebut, tegas Ramli, bersifat tohmahan, dipercayai untuk memburukkan agensi penguatkuasaan dan kerajaan negeri, selain Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands juga telah menafikan berlakunya amalan seperti didakwa mahupun kewujudan ‘red army’ di situ.

    Menjelas lanjut, Ramli berkata video yang memaparkan dua lelaki sedang mencantas sayur kubis adalah anggota penguatkuasaan yang bertugas membersihkan tanah itu selepas kerajaan negeri membatalkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pada 18 Jan 2018 dan mengeluarkan notis pengosongan tanah.

    Menurut Ramli operasi pertama dijalankan pada 28 Ogos 2019 yang turut melibatkan operasi mengeringkan dua kolam tadahan air kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat, sebelum disusuli operasi kedua pada Disember tahun sama melibatkan tanah seluas lebih 4 hektar.

    Katanya siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah serta di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Selain itu, Ramli berkata polis telah mengeluarkan 11,112 saman sepanjang Op Selamat ke-18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas hingga semalam.

    Katanya 9,565 daripada jumlah itu melibatkan enam kesalahan utama yang perlu diselesaikan di mahkamah.

    Beliau berkata pada tempoh sama, sebanyak 561 kes kemalangan direkodkan dengan sembilan daripadanya ialah kemalangan maut yang melibatkan 10 kematian.

    Polis turut melakukan 19 tangkapan melibatkan lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol, memiliki kenderaan curi, memandu secara merbahaya serta kesalahan berkaitan dadah dan imigresen, katanya.

    — BERNAMA

  • Rakyat Malaysia bersalah kes manipulasi pasaran terbesar dalam sejarah Singapura

    Rakyat Malaysia bersalah kes manipulasi pasaran terbesar dalam sejarah Singapura

    RAKYAT  Malaysia Soh Chee Wen dan Quah Su-Ling, hari ini, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana memanipulasi pasaran dan terbabit dalam skim penipuan melibatkan saham Blumont Group Ltd, Asiasons Capital Ltd, dan LionGold Corp Ltd.

    Menurut kenyataan bersama polis dan penguasa kewangan Singapura, hari ini, Soh dan Quah masing-masing disabitkan dengan 180 dan 169 pertuduhan.

    Kedua-duanya didakwa pada 25 Nov 2016 bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan dan Kanun Keseksaan kerana memanipulasi pasaran dan harga tiga saham antara Ogos 2012 dan Oktober 2013. Soh juga didakwa bawah Akta Syarikat.

    Mahkamah Tinggi mendapati Soh dan Quah melakukan konspirasi dengan mengawal dan menggunakan 187 akaun dagangan milik 58 individu dan penama korporat (akaun terkawal).

    “Ini adalah kes manipulasi pasaran terbesar dalam sejarah Singapura,” menurut kenyataan itu.

    Hukuman ke atas kedua-dua pesalah akan ditentukan kemudian.

    Tertuduh ketiga, Goh Hin Calm, sebelum itu disabitkan bersalah pada 20 Mac 2019.

    Goh, yang bersubahat mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 197 Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan kerana dengan sengaja membantu kedua-dua mereka melakukan penipuan berhubung pasaran saham Blumont dan Asiasons antara 18 Mac 2013 dan 3 Okt 2013.

    Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

    Empat pertuduhan sama turut diambil kira bagi tujuan menjatuhkan hukuman.