PERINTAH reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.
“Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.
Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – BERNAMA
SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, New York pada Sabtu, menurut Jabatan Polis Buffalo.
Kejadian tembakan itu berlaku di pasar raya Tops Markets di Jefferson Avenue, lapor Agensi Anadolu.
Suspek lelaki berkulit putih berusia 18 tahun berjaya ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia dalam sidang media.
Gramaglia berkata 11 mangsa terdiri mereka yang berkulit hitam, manakala dua lagi berkulit putih.
FBI menyiasat kejadian itu sebagai jenayah ekstremisme ganas bermotifkan perkauman.
Penembak itu lengkap bersenjata serta memakai peralatan taktikal.
“Suspek turut dilengkapi kamera yang menyiarkan segala tindakannya secara langsung,” kata Gramaglia.
Senator New York Chuck Schumer, mengutuk serangan itu serta menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.
“Saya bersedih bagi mangsa dan keluarga mereka. Sifat perkauman tidak mempunyai tempat di negara kita. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar Buffalo dan menawarkan sebarang bantuan yang boleh dihulurkan,” menerusi ciapannya di Twitter.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengecam insiden tembakan tersebut.
“Jenayah kebencian bermotifkan perkauman adalah menjijikkan dalam struktur negara ini.
“Sebarang tindakan keganasan domestik, termasuk perbuatan yang dilakukan atas nama ideologi nasionalis kulit putih adalah menjijikkan, bertentangan dengan apa yang kami perjuangkan di Amerika.
“Kita mesti melakukan segala-galanya untuk menamatkan keganasan domestik yang didorong kebencian,” lapor Xinhua memetik kenyataan Biden.
Sepuluh terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di kedai Tops Friendly Markets di Buffalo pada petang Sabtu.
Penyerang, seorang lelaki kulit putih berusia 18 tahun dikenali Payton Gendron, berjaya ditahan dan dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama selepas dihadapkan ke mahkamah.
Dia memakai pakaian ala-ala tentera serta baju kalis peluru sambil menyiarkan secara langsung serangan itu di platform permainan.
Seramai 11 mangsa merupakan warga Afrika Amerika manakala dua berkulit putih, menurut Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia.
Suspek bertindak memandu selama berjam-jam ke pasar raya Tops, yang terletak di kawasan kejiranan kebanyakannya warga Afrika Amerika.
Menurut Jabatan Kehakiman AS, kejadian itu disiasat “sebagai jenayah kebencian dan tindakan ekstremisme ganas bermotifkan perkauman,” menurut satu kenyataan.
Biden turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa, sambil berkata nyawa mereka “dirampas secara tidak masuk akal.”
“Wanita Pertama dan saya berdoa untuk mangsa dan keluarga mereka, dan seluruh negara turut berduka bersama penduduk Buffalo,” katanya. – BERNAMA
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menerima permohonan Datuk Dr Afifi Al-Akiti untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar Delapan Perak.
Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata, Dr Afifi telah mengutus warkah hari ini, memohon perkenan Sultan Nazrin untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan warkah beliau telah diangkat sembah untuk pertimbangan baginda.
“Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan berkenan menerima permohonan itu untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei (hari ini),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi warkah yang dilampirkan bersama kenyataan itu, Dr Afifi antara lain menyatakan warkah berkenaan diutuskan susulan penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial bertujuan mencemarkan namanya baru-baru ini.
“Saya memilih tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat.
“Bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranan saya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranan saya dengan urusan hal ehwal agama Islam.
“Menginsafi perkara ini jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan,” menurut Dr Afifi.
Dr Afifi berkata, keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak supaya tidak dicacatkan serta bagi mengelakkan institusi istana daripada dicemari.
Baru-baru ini, tular klip video yang memaparkan seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama dan penasihat Sultan, sedang berhibur di sebuah kelab malam. – BERNAMA
PENDUDUK luar bandar di negeri ini dinasihatkan tidak terburu-buru mengusahakan penanaman pokok ketum di kawasan tanah milik mereka walaupun ada cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penduduk sebaiknya perlu menunggu keputusan rasmi kerajaan persekutuan berkaitan perkara berkenaan yang setakat ini belum ditentukan.
“Kita boleh menjadi seorang yang positif dan progresif dalam urusan berkaitan dengan ketum tapi kita tunggulah sampai keputusan dibuat kerajaan.
“Jadi kalau kata keputusan kerajaan nanti, jika dibenarkan (eksport daun ketum) barulah kita, bertindak mengikut lunas undang-undang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Kuala Nerang, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan berita mengenai kegiatan penanaman ketum yang didakwa berleluasa selain terdapat pembukaan kebun atau ladang ketum baharu negeri ini khususnya di daerah Padang Terap.
Mahdzir berkata penanaman pokok ketum oleh penduduk luar bandar khususnya di daerah ini sudah lama dijalankan namun beliau menolak dakwaan terdapat kebun atau ladang baharu dibuka.
Menurutnya, apabila terdapat cadangan agar daun ketum dibenarkan dieksport penduduk luar bandar atau penanam ketum melihatnya sebagai peluang untuk untuk mengusahakan tanaman tersebut.
“Jadi ia bukanlah pertambahan tapi apabila ada perkhabaran-perkhabaran baik walaupun belum tentu lagi kepastian ataupun kelulusan tapi pada mereka ia dianggap sebagai positif, jadi dia betulkan (menguruskan semula) ladang-ladang dia (yang sebelum ini tidak diuruskan),” katanya.
Dalam isu lain, Mahdzir berkata Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah menyalurkan bantuan persekolahan kepada 53,741 pelajar di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta pada tahun lalu.
Katanya, bantuan itu antaranya melibatkan bantuan kewangan secara sekali beri barangan dan kelengkapan persekolahan yang disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi memulakan sesi persekolahan.
“Bagi tahun ini, kita jangka jumlah peruntukan bantuan YPM yang sama akan disalurkan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya. – Bernama
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan edisi kemas kini Syawal 1443 Hijriah (H) bagi Takwim 2022 Miladiah/1443-1444H Bagi Malaysia yang boleh didapati di laman web https://www.e-solat.gov.my/.
Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim Zakaria Othman dalam kenyataan hari ini berkata, takwim itu dikemas kini berikutan perubahan tarikh 1 Syawal 1443H yang diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja jatuh pada 2 Mei 2022, berbanding 3 Mei 2022 pada takwim yang dikeluarkan sebelum ini.
Beliau berkata, perubahan itu hanya melibatkan bulan Mei 2022/Syawal 1443H. – Bernama
PEMANDU kereta Perodua Myvi yang ditahan kerana melakukan provokasi serta menghalang pemandu lain di jalan raya Isnin lepas ditahan semula berhubung kes mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam pada 4.05 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul.
“Penangkapan pemandu kereta Perodua Myvi itu berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penangkapan itu, polis telah merampas satu kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah kereta Perodua Myvi putih bernombor pendaftaran PGT124 yang disahkan palsu dan sebilah rotan berukuran 90 sentimeter.
Polis turut merampas dua rangkai kunci motosikal berlambang Yamaha dan tiga motosikal dengan nombor pendaftaran palsu iaitu Yamaha Ego Avantiz (JFV124), Yamaha Nouvo LC (MALAYSIA124) dan KTM 790 Adventure (QQ124) serta serangkai kunci berlambang KTM.
Beh berkata, lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Isnin lepas, pemandu terbabit ditahan selepas tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat dimuat naik melalui laman Facebook ‘Inforoadblock’ memaparkan kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan sebatang kayu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang di Kuala Lumpur. – BERNAMA
POLIS Diraja Malaysia sedang menjejaki seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes penyiaran artikel mengandungi kenyataan berunsur fitnah serta penghinaan terhadap institusi Diraja Pahang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki yang dikenali sebagai Hussein Abd Hamid, 75, dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Superintendan Junainah M Kasbolah atau Pegawai Penyiasat Inspektor M Jagachandran di talian 03-22666071,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Bernama
PKR masih belum mempunyai kekuatan untuk bertanding secara sendirian, atau bergerak solo tanpa sokongan parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, ia berdasarkan dua kajian lapangan sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.
“Jika kita tidak dapat kumpul kekuatan dan terpisah, parti akan hilang dukungan dan sokongan untuk memenangi kerusi dalam PRU15 akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota PKR Perlis di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis di Kuala Perlis hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.
Amirudin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebelum ini turut didekati beberapa parti lain yang menyatakan sokongan dan ingin bersama-sama dalam PRU15 nanti.
“Namun saya perlu merujuk dahulu kepada pimpinan gabungan PH untuk melihat bagaimana kita harus susun strategi dan formula untuk kemenangan,” katanya. – BERNAMA
POLIS menahan seorang lelaki warga emas semalam yang didapati memandu sebuah van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut – Sitiawan di Lumut selepas video tindakannya itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 74 tahun itu ditahan pada pukul 8.20 malam selepas pihaknya mengesan video berdurasi 19 saat itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun TikTok, pada sebelah petangnya.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Rabu lepas kira-kira pukul 7.15 malam. Van itu membawa lapan pelajar sekolah berusia lingkungan 13 hingga 14 tahun dan lelaki itu mengaku van dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana dia hendak menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan kesalahan trafik telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
Klip video yang tular dalam TikTok memaparkan sebuah van sekolah yang dipandu melawan arus sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen berhubung keselamatan pelajar-pelajar di dalam kenderaan itu.
Beliau seterusnya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dengan menelefon 05-6886222 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA
PEMILIHAN PKR 2022 membuka tirainya hari ini yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata proses pengundian secara fizikal bermula secara rasmi di Kelantan dan Terenggganu hari ini manakala di Kedah dan Johor pada esok.
“Ahli parti di Pahang dan Wilayah Persekutuan akan mengundi secara fizikal pada Ahad ini diikuti Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Mei manakala Selangor pada 21 Mei.
“Perak, Sabah dan Sarawak pula akan mengadakan pengundian fizikal pada 22 Mei,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau turut memaklumkan pengundian secara dalam talian bagi ahli parti luar negara akan diadakan pada 17 Mei dan pengundian secara dalam talian bagi ahli parti selebihnya akan diadakan dari 18 hingga 20 Mei ini melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Feb lepas.
Tumpuan pemilihan PKR yang diadakan secara hibrid buat julung kali ini terarah kepada jawatan nombor dua parti itu apabila Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas naib presiden dilantik Rafizi Ramli berebut bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Presiden PKR bagi tempoh 2022-2025 apabila menang tanpa bertanding jawatan itu.
Turut mencuri tumpuan pada pemilihan kali ini adalah empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding termasuk Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, bekas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, bekas Ahli Parlimen Kapar G. Manivannan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr G.Gunaraj juga akan bersaing bagi jawatan Naib Presiden PKR.
Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing. – Bernama