Author: Bernama

  • Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    Guru perlu jadi ikon bentuk keperibadian murid – Radzi

    KERJAYA guru bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian ilmu, tetapi ia mendesak para pendidik menjadi ikon penting dalam membentuk kemenjadian murid dengan keperibadian unggul, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, peranan mereka sebagai pembimbing penting dalam usaha melahirkan generasi bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti kepada kesejahteraan negara.

    “Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah,” katanya dalam Perutusan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022, hari ini.

    Sambutan Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.

    Justeru, Radzi berharap warga pendidik dapat terus meningkatkan usaha dalam membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi bertepatan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA’.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 14 elemen SEJAHTERA terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA, iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Katanya, guru dapat menyampaikan penerapan elemen itu melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    “Penerapan elemen SEJAHTERA secara semulajadi sejak dari peringkat awal persekolahan tentunya akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi oleh generasi pewaris negara yang berikutnya,” katanya.

    Tema Hari Guru tahun ini juga menurut Radzi, sangat bertepatan bagi menghargai peranan guru sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan untuk menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

    “Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

    “Akhir kata, semoga guru dan pendidik sekalian terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara. Ayuh, laksanakan amanah ini dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    TINDAKAN pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 13 individu yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, Maran, hari ini.

    Penolong Pe­ngarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.07 petang, sebelum enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran digerakan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati terdapat enam orang dewasa dan tujuh kanak-kanak terdiri daripada dua keluarga dari Muadzam Shah, Rompin terkandas dalam kejadian kepala air itu.

    https://www.tiktok.com/@epultowingtemerloh/video/7097891436133125403?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kepala%20air%20maran&t=1652617669726

    “Operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan peralatan personal flotation devices (PFD) dan tali dengan cara teknik river crossing. Kesemua mereka berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada 4.10 petang,” kata Ismail dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA

  • Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    SEORANG pemandu van kilang yang dalam perjalanan mengambil penumpang maut selepas merempuh belakang treler di Jalan Tikam Batu, Kota Kuala Muda hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, Ramli Abdul Aziz, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    “Dalam kejadian pada kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke Kota Kuala Muda dipercayai untuk mengambil penumpang.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar belakang treler yang sedang keluar dari simpang dan berada di bahagian kiri jalan setelah selesai menurunkan barang muatan batu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, impak kemalangan itu menyebabkan pemandu van kilang terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang berumur 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • 2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    DUA wanita dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.50 pagi.

    “Semasa kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    “Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah dilancarkan dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

    Menurutnya, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama iaitu lebih kurang 32 kilometer perjalanan menaiki kereta dari Balai Polis Simpang Pulai.

    Beliau berkata setakat ini operasi SAR masih djalankan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala 27 orang pendaki gunung yang lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. – BERNAMA

  • Kerajaan yang tentukan bila tarikh PRU-15 – Ismail Sabri

    Kerajaan yang tentukan bila tarikh PRU-15 – Ismail Sabri

    UMNO bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bagaimanapun tarikh bila ia akan diadakan ditentukan oleh kerajaan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh PRU-15 akan ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

    “Parti adalah berbeza dengan kerajaan. Parti pun tahu kalau ada cadangan, saya bawa ke Kabinet dan Kabinet luluskan.

    “Jika Kabinet memutuskan tarikh, Kabinet akan memberi mandat kepada saya dan saya akan berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari segi prosedur,” katanya ketika ditemui selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO di Kuala Lumpur hari ini.

    Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menghadiri Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda perlembagaan parti itu untuk membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.

    Pindaan itu yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan yang hadir.

    Mengulas mengenai pindaan berkenaan, Ismail Sabri berkata, UMNO akan memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan kelulusan penangguhan pemilihan parti.

    Ditanya jika UMNO akan berdepan sebarang masalah dengan ROS, Ismail Sabri berkata: “Kita tak tahu, akan hantar permohonan untuk kebenaran tentang pindaan itu, kita tunggu dalam masa 60 hari kena hantar,” katanya.

    UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

    Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Dis 2022. – BERNAMA

  • Usul pinda Perlembagaan UMNO tangguh pemilihan parti lulus

    Usul pinda Perlembagaan UMNO tangguh pemilihan parti lulus

    PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter beliau.

    “Diluluskan pindaan perlembagaan dengan sebulat suara oleh perwakilan dalam #Dewan Merdeka, #WTCKL pada 15/5/2022. Alhamdulillah,” katanya menerusi ciapan terbaharunya.

    Usul pindaan perlembagaan parti itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled di hadapan 2,586 perwakilan yang hadir.

    UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas

    Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

    Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentang, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, Bahagian dan Cawangan.

    Ia menyebut: “Penangguhan berkenaan tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat), yang mana terkemudian”.

    Fasal 10.16.2 pula menyatakan tarikh PRU yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 bermaksud tarikh mengundi bagi PRU yang dinyatakan dalam writ vang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan sama.

    Sementara itu kedua-dua Fasal 15.3 dan 18.2 turut memperuntukkan penangguhan serupa bagi pemilihan jawatankuasa ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian dan cawangan.

    Persidangan Agung Khas UMNO itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ulang tahun ke-76 parti terbesar orang Melayu itu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO.

    Ia turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO. – BERNAMA

  • 10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    POLIS menahan 10 peniaga yang sedang leka bermain judi belangkas di dalam sebuah pasar besar di Jalan Tunku Abdul Rahman, dekat Alor Setar, awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G.Suresh Kumar berkata, tangkapan pada 2.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menerusi Op Khas JSJ, Op Aidilfitri dan Op Dadu.

    “Ketika serbuan, semua lelaki berusia 37 hingga 66 tahun itu sedang berkumpul dan mengelilingi sebuah meja batu serta disyaki sedang bermain judi jenis belangkas.

    “Hasil siasatan awal mendapati kesemuanya yang merupakan peniaga di pasar berkenaan telah mula bermain judi belangkas selepas perayaan Aidilfitri lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pelbagai barang yang digunakan untuk bermain judi berkenaan termasuk pinggan, bungkusan plastik berisi beras, buah dadu bergambar dan wang tunai berjumlah RM620 turut dirampas.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • KPM beri perhatian hasil inovasi guru – Radzi

    KPM beri perhatian hasil inovasi guru – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memberi perhatian terhadap segala pendekatan inovasi dan inisiatif yang dihasilkan para guru supaya ia tidak hanya kekal di sekolah mereka, sebaliknya diperluaskan ke sekolah lain.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana terdapat inovasi yang dilakukan guru-guru ini boleh digunakan secara meluas kerana kosnya tidak tinggi selain mengambil masa cepat dan pendekatan yang mudah.

    “Saya telah maklumkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid mengenai perkara ini dan apakah inisiatif serta ikhtiar yang boleh dilakukan supaya ia dapat dikembangkan ke sekolah lain pula,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Aminudin Adam.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, sudah tiba masanya untuk membuat perubahan terhadap struktur pendidikan negara ini supaya mampu bersaing dengan negara luar.

    “Dunia berubah tetapi jika kita masih lagi dengan pendekatan lama, kita akan terus ketinggalan kerana dalam konteks pendidikan, kita bukan sahaja bersaing dengan jiran, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri tetapi kita bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Pada majlis itu, Radzi turut menyampaikan anugerah kepada 27 guru daripada pelbagai kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pendidikan. – BERNAMA

  • Pemilihan PKR: Rafizi akui wujud masalah teknikal

    Pemilihan PKR: Rafizi akui wujud masalah teknikal

    CALON Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mengakui berlaku masalah teknikal di beberapa kawasan termasuk membabitkan peranti ketika proses pemilihan secara fizikal parti itu ketika ini.

    Beliau berkata, perkara tersebut boleh menimbulkan keresahan dan kekecewaan ahli parti yang keluar mengundi tetapi tidak dapat berbuat demikian susulan masalah berkenaan.

    “Yang ketara sekali kita memang ada masalah sistem seperti peranti ambil masa lama dan beberapa isu melibatkan pepijat sebab itu ada di beberapa tempat terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan kerana masalah ini.

    “Saya faham sebab JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) perlu uruskan proses pemilihan melibatkan sejuta orang dan hanya ada masa dua bulan…kita minta mereka selesaikan masalah sebelum pemilihan minggu depan di beberapa negeri (keahlian) besar seperti Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seremban malam tadi.

    Sehubungan itu, beliau akan menulis satu surat rasmi kepada JPP meminta supaya perkara itu diselesaikan dengan segera.

    Semalam, media melaporkan proses pengundian secara fizikal bagi pemilihan PKR di Cabang Padang Serai, Kedah terpaksa ditangguhkan selepas mendapat bantahan berikutan wujud rasa tidak puas hati selain masalah teknikal.

    Dalam pada itu, Mohd Rafizi berkata jumlah ahli parti itu yang keluar mengundi setakat ini lebih rendah berbanding pemilihan lepas tetapi perkara itu sudah dijangkakan berikutan sebahagian daripada mereka akan mengundi secara dalam talian. – BERNAMA

  • Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

    Imran Khan dakwa ada konspirasi membunuhnya

    BEKAS Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pada malam Sabtu mendakwa terdapat konspirasi untuk membunuhnya.

    Bercakap pada perhimpunan besar-besaran di bandar Sialkot, Imran berkata, beliau telah merakam video dan mendedahkan nama “dalang” agar ramai orang tahu siapa yang mahu membunuhnya sekiranya rancangan itu berjaya.

    “Konspirasi sedang dibuat secara tertutup di dalam dan di luar negara, dan konspirasinya ialah: mereka mahu mengambil nyawa Imran Khan,” kata bekas Perdana Menteri itu pada perhimpunan anjuran parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI).

    “Saya telah merakam video dan menyimpannya di tempat selamat. Jika sesuatu berlaku kepada saya, seluruh negara akan menonton video ini… Saya telah menamakan semua yang terlibat dalam konspirasi itu menerusi rakaman video,” kata Imran.

    Polis sebelum ini membubarkan perhimpunannya dan menahan beberapa penyokong, tetapi Imran meneruskan himpunan awam itu di lokasi lain.

    Perhimpunan Sialkot adalah siri terbaharu bagi perhimpunan besar-besaran Imran sejak kerajaannya digulingkan melalui usul undi tidak percaya yang diluluskan mahkamah di parlimen.

    Imran berkata, lawannya di Pakistan dan negara asing menganggapnya sebagai “halangan yang perlu disingkirkan.”

    Pada perhimpunan itu, Imran telah menyelar lawannya dan menggesa pilihan raya diadakan segera bagi menamatkan krisis politik negara.

    Imran menyeru penyokongnya menunggu sehingga akhir bulan ini sebelum berarak ke Islamabad, dan berharap dapat mengumpulkan 2.5 juta orang. – BERNAMA