Author: Bernama

  • ‘Kipas jadi makmum dan imam’ – Idris minta orang ramai lapor

    ‘Kipas jadi makmum dan imam’ – Idris minta orang ramai lapor

    ORANG ramai diminta melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata perbuatan itu menjadi ikutan anak muda dan remaja sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.

    “Saya nasihatkan kepada anak muda semua supaya mendapatkan ilmu agama dengan mencari guru yang boleh mengajarkan dengan betul seperti melalui kuliah di masjid, surau dan sebagainya.

    “Janganlah ambil ilmu yang ditiru dari Youtube dan mana-mana sumber yang tidak diketahui, jadi perkara yang mengarut dan pelik ini diminta supaya laporkan kepada pejabat agama supaya boleh diambil tindakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas yang dihadiri Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini.

    Baru-baru ini tular satu trend memuat naik video, khususnya di aplikasi TikTok, yang menunjukkan individu, rata-rata berstatus bujang, berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.

    Sementara itu, ditanya mengenai kegiatan menggunakan imej agama dan gelaran ustaz untuk memperdaya masyarakat dengan tawaran ibadat atau produk yang bertujuan untuk kepentingan peribadi, Naib Presiden Pas itu menyifatkan ia sebagai perbuatan zalim.

    “Janganlah mengambil kesempatan buat perkara begini terutama soal ibadat kerana ia menzalimi orang-orang yang terkena dangan perbuatan mereka.

    “Pihak yang terkena diharapkan membuat laporan polis supaya pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

    Selasa lepas, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin Al -Ghari dilaporkan berkata antara penipuan itu termasuklah kempen derma, wakaf dan pakej umrah yang menggunakan pelbagai tarikan seperti penginapan di Tanah Suci termurah dan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. – Bernama

  • Dadah: Mahkamah Rayuan Singapura bebaskan rakyat Malaysia

    Dadah: Mahkamah Rayuan Singapura bebaskan rakyat Malaysia

    DUA lelaki yang sebelum ini didapati bersalah kerana mengedar dadah termasuk seorang rakyat Malaysia dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Singapura pada Jumaat, lapor media tempatan.

    Akhbar The Straits Times melaporkan, panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Sundaresh Menon membenarkan rayuan warga Singapura, Raj Kumar Aiyachami, 40, atas sabitan bersalah dan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

    Laporan itu menyatakan mahkamah turut membebaskan warga Malaysia, Ramadass Punnusamy, 41, atas sabitan bersalah dan hukuman penjara seumur hidup serta 15 sebatan.

    Rayuan kedua-dua lelaki itu berkisar terhadap isu sama ada mereka tahu mengenai dadah terbabit, lapor akhbar dalam talian itu.

    Pasangan itu dituduh berkait dengan sebuah beg dadah mengandungi tidak kurang daripada 1.875 kanabis.

    Memetik peguam Ramadass, Eugene Thuraisingam, laporan itu menyatakan, pas sementara untuk Ramadass berkemungkinan sedang diaturkan oleh Pihak Berkuasa Imigresen kerana pas masuknya ke negara itu sudah pun luput. – Bernama

  • Isteri Wan Junaidi meninggal dunia hari ini

    Isteri Wan Junaidi meninggal dunia hari ini

    DATIN Seri Feona Sim @ Norjanah, 70, isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada pukul 6 petang tadi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Wan Junaidi malam ini, jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke kediaman Wan Junaidi di sini malam ini dan solat jenazah akan diadakan pada pukul 9 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang.

    Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Wan Junaidi pada 9 Sept 1972 dan dikurniakan tiga anak perempuan.

    Bernama difahamkan Allahyarhamah meninggal dunia akibat mengalami pendarahan dalaman. – BERNAMA

  • KPLB peruntuk RM368.37 juta kepada Felcra perkasa sektor pertanian, penternakan

    KPLB peruntuk RM368.37 juta kepada Felcra perkasa sektor pertanian, penternakan

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM368.37 juta kepada Felcra Berhad bagi memperkasakan sektor pertanian dan penternakan, sebagai komitmennya dalam memperkukuh jaminan bekalan makanan negara di semua peringkat rantaian makanan.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada peruntukan itu, sebanyak RM339.14 juta digunakan untuk menambah baik infrastruktur, menampung kos bahan mentah dan menaik taraf teknologi, manakala selebihnya bagi perbelanjaan dalaman.

    Selain itu, beliau berkata, tambahan dana RM60 juta daripada peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan Rolling Plan 2022 digunakan bagi memperluaskan keupayaan kilang pemprosesan makanan ternakan di Rompin, Pahang.

    Katanya, projek itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan asas kepada makanan ternakan tempatan, selain turut membangunkan sebuah kilang konsentrat dan kilang silaj bagi memenuhi rantaian nilai penuh.

    “Projek itu sudah dilaksanakan dan sedang berjalan. Inisiatif ini merupakan antara langkah menangani punca harga ternakan menjadi mahal dengan Felcra mengambil pendekatan meningkatkan pengeluaran makanan ternakan itu,” katanya pada sidang media di majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan masing-masing bernilai RM3,000 kepada lima institusi kebajikan iaitu Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Surau Jumaat Muhajirin Desa Rejang, Rumah Bakti Al Kausar, Rumah Perlindungan AL-Haq dan Madrasatul Faridiyah Setapak Jaya. – BERNAMA

  • Deepak gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah

    Deepak gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah

    AHLI perniagaan J.R Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal dalam usaha mereka untuk mengembalikan semula saman yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga yang lain berhubung dakwaan konspirasi yang menyebabkan mereka mengalami kerugian.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, sebulat suara menolak permohonan mereka untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengembalikan semula saman itu dan tiga lagi saman berkaitan terhadap pihak lain.

    Hakim Rohana, yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang, berkata mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang memerlukan campur tangan mahkamah.

    Deepak diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, manakala peguam Datuk David Matthews mewakili Najib dan Rosmah dan peguam Robert Lazar bertindak bagi pihak Bakti Wira Development Sdn Bhd dan Boustead Holdings Berhad.

    Pada 29 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Deepak, J. Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd untuk mengembalikan semula saman terhadap Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas setiausaha sulit utama Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

    Saman yang difail pada September 2018 itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Jan 2020.

    Dalam saman itu, Deepak, saudaranya, Rajesh dan Radiant Splendor mendakwa defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang, dan menuntut ganti rugi am.

    Deepak turut memfailkan saman terhadap Bakti Wira Development Sdn Bhd, Najib, Rosmah serta Boustead Holdings Berhad berkaitan perjanjian urusan tanah yang didakwanya mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

    Pada 8 Okt tahun lepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membatalkan saman itu. – BERNAMA

  • Kes terowong Pulau Pinang: Nilai 2 lot tanah jauh lebih rendah

    Kes terowong Pulau Pinang: Nilai 2 lot tanah jauh lebih rendah

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa nilai dua bidang tanah lot yang diberi milik kepada syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG) oleh kerajaan Pulau Pinang, adalah jauh lebih rendah berbanding nilai kerja-kerja dilakukan syarikat tersebut berkaitan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu.

    Perkara itu dipersetujui dua pegawai penilaian dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Georgetown, Pulau Pinang semasa disoal balas peguam Datuk Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, pada perbicaraan atas empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan tersebut.

    Saksi pendakwaan ke-25, Zakariya Nayan, 55, bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa Lot 702 di Bandar Tanjung Pinang yang dinilai dengan harga RM50 juta, adalah jauh lebih rendah berbanding kos kerja yang dilakukan oleh CZBUCG yang dianggarkan pada RM138 juta.

    Saksi pendakwaan ke-26, Nurul Asshima Aminullah, 33, turut bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa nilai Plot A, Lot 713 di lokasi sama yang dinilai dengan harga RM30 juta adalah rendah berbanding RM73 juta yang dibelanjakan untuk kos kerja oleh syarikat itu.

    Kedua-dua saksi itu bagaimanapun bersetuju bahawa berdasarkan penilaian berkenaan, kerajaan negeri Pulau Pinang mendapat manfaat yang besar dan tidak mengalami sebarang kerugian melalui pemberimilikan tanah berkenaan.

    Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada pemeriksaan semula, mereka mengakui tidak mengetahui apakah bentuk kerja yang dilaksanakan oleh syarikat itu.

    Zakariya ketika membacakan pernyataan saksinya berkata sekitar penghujung bulan Disember 2014, beliau telah menerima fail mengandungi dokumen berkaitan tanah Lot 702 dan surat permohonan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, untuk mendapatkan nilai tanah untuk dipindah milik kepada syarikat Ewein Zenith BUCG Sdn Bhd.

    “Hasil penelitian dan penilaian yang telah saya jalankan bagi Lot 702 yang berkeluasan 14,863 meter persegi bagi pegangan kekal adalah RM3,360 semeter persegi dan nilai pasaran setelah digenapkan menjadi RM50 juta pada Disember 2014,” katanya.

    Ewein Zenith BUCG Sdn Bhd merupakan syarikat usahasama antara CZBUCG dan Ewein Zenith Sdn Bhd untuk membangunkan lot tanah berkenaan bagi sebuah projek mega yang dikenali sebagai City of Dreams.

    Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Exco Pulau Pinang Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata Guan Eng telah meluluskan pemberimilikan Lot 702 kepada syarikat CZBUCG dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 11 Dis 2014.

    Sementara itu, Nurul Asshima juga telah melakukan penilaian sama bagi tanah Plot A, Lot 713 yang berkeluasan 8,093 meter persegi bagi pegangan kekal adalah RM3,700 semeter persegi dan nilai pasaran setelah digenapkan menjadi RM30 juta pada November 2016.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Jun ini. – BERNAMA

  • Ibu reda pemergian anak, tidak berdendam dengan pemandu bas

    Ibu reda pemergian anak, tidak berdendam dengan pemandu bas

    IBU bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan, yang maut dilanggar bas sekolah di Salak Tinggi,Sepang  semalam, berharap agar polis tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.

    “Saya dan suami reda dengan pemergian anak kami, malah tidak berdendam dengan pemandu bas tersebut,” kata Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, ibu kepada kanak-kanak itu ketika ditemui media di rumahnya hari ini.

    Katanya beliau dan suami belum berjumpa pemandu itu, namun lelaki berusia 50 tahun itu ada menelefonnya dan memohon maaf.

    “Saya pun tak boleh nak salahkan abang bas itu sebab dia pun dah trauma sangat, lagi pun dia susah dan bas dia kena sita,” katanya.

    Pembantu kantin itu dalam nada hiba berkata walaupun kehilangan anaknya itu meninggalkan kesan mendalam, dia rela hati memaafkan pemandu bas berkenaan.

    Mangsa, Zahida Mohammmad Kassim adalah anak bongsu daripada tujuh adik-beradik.

    Menurut Zainab, dia sudah lama mendapatkan khidmat pemandu itu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

    Katanya, ketika hari kejadian dia dan suami sedang bekerja manakala anak-anak mereka dijaga oleh ibu mentuanya.

    Sementara itu, kakak kepada mangsa, Nurul Aishah, 13, berkata ketika kejadian, dia baru turun dari bas itu selepas memberikan duit belanja sekolah kepada adiknya yang berusia lapan tahun.

    Katanya selepas turun dari bas dia ternampak Zahida di bawah kenderaan itu yang sedang bergerak.

    “Saya cepat-cepat ambil dia sebelum tayar belakang bas melanggarnya lagi. Saya menjerit dan selepas itu terus bawa Zahida masuk ke dalam rumah.

    “Kemudian ada jiran yang datang dan bawa saya serta nenek bersama Zahida menaiki kereta ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

    Nurul Aishah berkata selepas menyedari Zahida dilanggar, pemandu bas itu segera turun dan meminta maaf kepada neneknya, namun neneknya menyuruh pemandu itu menghantar budak-budak ke sekolah dahulu.

    “Pak cik datang semula selepas selesai hantar budak-budak. Pak cik cakap dia minta maaf, dia tak nampak (Zahida) dan tidak sengaja melanggarnya,” katanya.

    Menurut Nurul Aishah adiknya itu seorang kanak-kanak yang ceria dan suka mengekori kakak-kakaknya, serta sangat manja dengan ayah dan nenek.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pemandu bas itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi selepas selesai memberi keterangan.

    “Kita akan siapkan siasatan dan bawa kertas siasatan ke pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Perniagaan restoran tidak wujud, suami isteri didakwa perdaya rakan kongsi

    Perniagaan restoran tidak wujud, suami isteri didakwa perdaya rakan kongsi

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdayakan dua rakan kongsi mereka berhubung perniagaan restoran yang tidak wujud.

    Peniaga Looi Chong Wee, 48, warga Singapura dan isterinya Pon Lye Kwan, 50, didakwa bersama-sama memperdayakan Lee Joon Hin, 40, dan Azlina Ahmad, 45, dengan menawarkan perniagaan restoran itu sehingga mendorong kedua-dua mangsa memindahkan wang berjumlah RM873,000 ke dalam dua akaun bank milik suami isteri itu.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kompleks beli-belah di Brickfields di Kuala Lumpur ntara 2018 dan 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

    Peguam Ryan Vong Junying yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka menanggung keluarga.

    Hakim M M Edwin Paramjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk

    Peniaga pakaian didakwa tipu berhubung bayaran kerja cerucuk

    SEORANG peniaga pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berhubung pemulangan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta, dua tahun lepas.

    Ooi Yee Ling, 46, didakwa menipu Wong Kam Poh dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia akan memulangkan semula wang pembayaran kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.5 juta itu yang mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM900,000 ke dalam akaun RHB Bank syarikat milik tertuduh.

    Wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di 276A, Jalan Sultan Nazrin Shah, Gunung Rapat, di Ipoh antara 10 hingga 27 Okt 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan Ooi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan selain pasport diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Kenzaly Goik. – Bernama

  • Mahkamah tolak rayuan Rosmah, keputusan tetap 7 Julai

    Mahkamah tolak rayuan Rosmah, keputusan tetap 7 Julai

    KEPUTUSAN kes rasuah Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan tetap disampaikan pada 7 Julai depan.

    Ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan kes yang melibatkan projek solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak itu.

    Panel hakim diketuai oleh Mohd Zawawi Salleh  sebulat suara menafikan permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, hari ini.

    Dua lagi hakim ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menafikan permohonan kedua Rosmah untuk membatalkan kes itu.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

    Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.