Author: Bernama

  • Profesion kewartawanan harus bebas demi kebebasan bersuara

    Profesion kewartawanan harus bebas demi kebebasan bersuara

    PROFESION kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita, malah ada antaranya dijadikan panduan pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti penyaluran bantuan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

    ”Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan oleh media. Semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, tepat, sahih dan memuaskan hati seluruh Keluarga Malaysia.

    “Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan oleh kerajaan dalam penyaluran maklumat demi kepentingan Keluarga Malaysia dan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka hari ini.

    Turut hadir pada sambutan HAWANA tahun ini yang bertemakan “Suara Jelata, Aspirasi Negara” adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

    Hadir sama pemimpin media utama dari Indonesia terdiri daripada Pemimpin Redaksi atau Ketua Pengarang serta pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Indonesia.

    Perdana Menteri mengakui golongan wartawan melaksanakan fungsi media sebagai estet keempat bersama-sama pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang saling berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan agenda pembangunan negara.

    “Saya amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan termasuk teguran bernas dan berasas supaya kerajaan dapat menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat dan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, wartawan dianggap sebagai golongan pemikir kerana sentiasa memperoleh informasi segar dan terkini sebelum mencambahkan buah fikiran dan idea bernas bagi memperkayakan penulisan untuk menjamin Keluarga Malaysia yang berinformasi.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi harapan kerajaan agar golongan wartawan terus menyiarkan laporan yang adil dan proaktif dalam mengeluarkan cadangan bagi penyelesaian kepada sesuatu isu yang dibangkitkan.

    “Saya yakin langkah ‘semak dan imbang’ terhadap setiap informasi yang diterima sebelum disebarkan tetap menjadi amalan media bagi mengelak berlaku sebarang salah lapor yang boleh menjejaskan juga integriti dan kepercayaan ramai terhadap media,” katanya.

    Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), selaku agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana meneruskan inisiatif menggerakkan usaha penganjuran HAWANA 2022 dengan sokongan organisasi-organisasi media di negara ini.

    Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada ISWAMI bagi membolehkan ia melaksanakan aktiviti-aktiviti mengukuhkan hubungan media antara Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain yang sudah terjalin sejak sekian lama.

    “Diharapkan dengan peruntukan ini, ISWAMI dapat merancang program kerjasama media kedua-dua negara seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar yang berupaya meningkatkan ilmu para pengamal media selain menjadi jambatan dalam isu-isu berkepentingan bersama. Kalau tak cukup, boleh minta lagi,” katanya.

    Perdana Menteri turut menyarankan supaya media Malaysia-Indonesia memainkan peranan yang lebih strategik bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

    Beliau juga menyarankan konsep ISWAMI diperkembangkan merentasi negara anggota ASEAN untuk mengeratkan hubungan wartawan antara negara terlibat, selain membantu menggalakkan promosi mengenai Malaysia secara meluas seterusnya menarik lebih ramai pelancong serta pelabur luar ke negara ini menerusi laporan berita dan penulisan rencana. – BERNAMA

  • Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    Pesawat persendirian hilang, apa nasib 22 penumpang?

    SEBUAH pesawat persendirian yang membawa 22 penumpang dilaporkan hilang di Nepal, kata pegawai pada Ahad.

    Pesawat milik Tara Air itu berlepas dari bandar Pokhara.

    Pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Fanindra Mani Pokharel memberitahu Agensi Anadolu operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan.

    “Terdapat 19 penumpang dan tiga anak kapal di dalam pesawat itu,” katanya.

    Pesawat itu terputus hubungan pada pagi Ahad sejurus berlepas dari lapangan terbang.

    Akhbar Kathmandu Post melaporkan beberapa rakyat India turut berada di dalam pesawat itu. – BERNAMA

  • Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    SEORANG suri rumah warga Indonesia berumur 59 tahun maut dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya sendiri di Sandakan semalam.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, anak mangsa berumur 25 tahun itu juga cedera dalam kejadian tersebut.

    “Kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa iaitu berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa dengan senjata tajam.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abdul Fuad berkata, suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan tidak lama kemudian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Peratusan mengundi rendah: Fahmi nafi ahli PKR boikot

    Peratusan mengundi rendah: Fahmi nafi ahli PKR boikot

    JUMLAH ahli yang mengundi pada Pemilihan PKR 2022 meningkat kepada kira-kira 147,000 berbanding 140,000 pada tahun 2018 walaupun peratusan keluar mengundi hanya 13.5 peratus, kata Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata jumlah peratusan mengundi di cabang-cabang tertentu juga tinggi, contohnya di cabang Pensiangan yang mencecah 45 peratus.

    “Ia tidak boleh dilihat pada jumlah purata keluar mengundi, beberapa faktor juga dikenal pasti termasuk faktor logistik dan teknikal seperti capaian internet, ini semua akan kita perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata faktor lain ialah apabila terdapat 65 dari 222 cabang tidak mengadakan proses pemilihan, menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah.

    Beliau turut menafikan peratusan rendah itu disebabkan oleh tindakan boikot ahli yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian Pakatan Harapan (PH).

    Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

    Keputusan tidak rasmi cabang-cabang akan dipamerkan di laman sesawang ‘Pemilihan Keadilan 2022’ mulai hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang bakal diumumkan tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan diterima JPP yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP.

    “Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

    “Keputusan yang akan diumumkan merupakan keputusan muktamad bagi Pemilihan Keadilan 2022,” katanya. – BERNAMA

  • Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    Kondo mewah ‘port’ proses dadah, polis rampas ekstasi nilai RM26.5 juta

    POLIS menyerbu dua unit kondominium mewah yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah jenis ekstasi di sekitar ibu negara, dan menahan seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu, serta tiga wanita warga China yang disyaki terbabit, Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka yang berumur 48 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 4.30 petang.

    Beliau berkata, kondominium mewah itu disewa RM2,500 sebulan setiap satu unit dan ia digunakan sebagai tempat untuk memproses dadah, sebelum dijual kepada pelanggan di kelab malam serta pasaran tempatan, dan kegiatan mereka dipercayai telah aktif sejak hujung tahun lepas.

    “Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM26.5 juta dan dua kenderaan, wang tunai, jam tangan serta barang kemas dirampas dalam serbuan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

    Menurutnya, semakan mendapati tiga wanita warga asing itu masuk ke negara ini empat hingga lima tahun lepas menggunakan pas lawatan sosial.

    Beliau berkata, kesemua mereka yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang bekas diplomat Malaysia bersama anak lelakinya yang ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja di Janda Baik, Pahang pada 21 Mei lepas.

    “Bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam, dan anaknya masih ditahan reman sehingga esok, mungkin akan disambung reman,” katanya.

    Katanya, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Selasa lepas media melaporkan polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi, Pahang. – BERNAMA

  • [VIDEO] 31 orang maut insiden rempuhan gereja

    [VIDEO] 31 orang maut insiden rempuhan gereja

    SEKURANG-KURANGNYA 31 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian rempuhan di sebuah gereja di selatan Nigeria pada Sabtu.

    Menurut Agensi Anadolu, memetik media tempatan, insiden berlaku ketika gereja mengadakan majlis amal untuk membantu golongan memerlukan di Port Harcourt, di negeri Rivers.

    Kejadian tercetus apabila beratus-ratus orang berebut-rebut untuk mendapatkan hadiah yang disumbangkan. – BERNAMA

  • [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    DERETAN sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di Dengkil malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.

    “Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    https://www.tiktok.com/@rosenieja90/video/7102798888322485531?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=rumah%20sewa%20jenderam%20hilir&t=1653797169712

    Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan. – BERNAMA

  • Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.

    Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan serta pengamal media dalam menjalankan tugas.

    Ini termasuk menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat, terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

    “Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” menurut catatan itu hari ini.

    Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

    “Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” menurut catatan itu.

    Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

    “Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” menurut catatan itu.

    Sambutan kemuncak HAWANA 2022 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini petang ini.

    Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.

    Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

    Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – BERNAMA

  • Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    SEORANG peniaga mendakwa ditipu individu dikenali sebagai “Datin Ida” untuk menyertai skim pelaburan Hari Raya secara dalam talian melibatkan kerugian terkumpul kira-kira RM4 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Supt M Zambri Mahmud, berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 6 Mei lalu, apabila pulangan dijanjikan selepas pelaburan dibuat tidak diterima dalam tempoh dijanjikan.

    Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM55,000 bagi RM30,000 yang dilaburkan dalam masa tiga hari.

    “Pengadu telah melabur sebanyak RM100,000 seminggu sebelum raya (tarikh tidak dinyatakan) dan pada masa sama pengadu telah mengiklankan pelaburan tersebut ke dalam kumpulan WhatsApp.

    “Ramai yang berminat untuk menyertai pelaburan itu dan sebanyak 296 individu telah menyertai skim pelaburan tersebut melibatkan nilai pelaburan oleh rangkaian bawahan pengadu sebanyak lebih kurang RM4 juta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Zambri berkata, mangsa menyerahkan semua kutipan wang kepada pihak urusan pelaburan melalui akaun diarahkan “Datin Ida”.

    “Semua transaksi kemasukan wang oleh pengadu ada dalam simpanan pengadu. Hasil keuntungan pelaburan itu, pengadu turut diberi bonus daripada Datin Ida sebanyak RM190,000 atas kutipan yang besar dalam tempoh singkat,” katanya.

    Namun, menurut Zambri sehingga hari ini mangsa masih tidak mendapat apa-apa pulangan daripada wang yang telah dilaburkan dan merasakan dirinya ditipu.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam tempoh singkat.

  • Hamzah akan bertemu Menteri Dalam Negeri Thailand bincang isu keselamatan negara

    Hamzah akan bertemu Menteri Dalam Negeri Thailand bincang isu keselamatan negara

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Thailand bagi membincangkan isu berhubung keselamatan sempadan kedua-dua negara dalam masa terdekat.

    Beliau berkata antara perkara yang akan difokuskan termasuk isu terrorisme berikutan kejadian letupan bom dan tembakan di Tak Bai, Thailand baru-baru ini.

    “Kita sedang membuat siasatan dan mengadakan kerjasama yang perlu antara Thailand dan Malaysia untuk mengatasi isu terrorisme ini yang merugikan mana-mana negara.

    “Jadi, saya akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Thailand untuk membincangkan antaranya bagaimana untuk memastikan mereka yang kita senaraikan sebagai pengganas sama ada dari sana (Thailand) masuk ke sini (Malaysia) atau mereka yang telah disenaraikan dari Malaysia ke sana (Thailand),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang dihadiri Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang di Stadium Indera Mulia, Terengganu di hari ini.

    Hamzah berkata tiada sekatan perjalanan dikenakan di antara kedua-dua negara berikutan ia menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia dan Thailand untuk melakukan pergerakan namun kawalan sempadan giat dipertingkatkan ketika ini.

    “Isu keselamatan ini paling mustahak untuk kita semua menjaga dan minta kalau boleh berhati-hati terutama kalau rakyat Malaysia yang mahu membuat lawatan atau apa sahaja urusan,” katanya.

    Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengesahkan tiada pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian letupan bom dan tembakan senjata api di Tak Bai, Rabu lepas.

    Sebelum ini, media memetik Bangkok Post melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas sebuah balai polis marin di Tak Bai diserang dengan individu bersenjata api dan bom tangan dalam kejadian itu.

    Serangan bermula 9.35 malam (waktu tempatan), kira-kira enam penyerang membaling bom ke arah balai berkenaan dan melepaskan tembakan dengan raifal automatik. – Bernama