Author: Bernama

  • JAIS tidak halang penganjuran Bon Odori

    JAIS tidak halang penganjuran Bon Odori

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori, yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), kata Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

    Mohd Shahzihan menerusi kenyataan hari ini berkata penetapan itu dibuat, susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu, disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

    “Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

    “Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

    Beliau berkata baginda turut menitahkan semua perkara yang diputuskan dibuat dengan adil dan saksama, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor khususnya.

    “Sehubungan dengan itu, baginda telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut, bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

    “Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Jemaah Malaysia mula tiba di Makkah esok

    Haji: Jemaah Malaysia mula tiba di Makkah esok

    BUMI Makkah akan mula dikunjungi jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 8 malam, waktu Arab Saudi, esok.

    Pengurus Maktab 47, Roslan Jonet berkata pihaknya akan menerima kira-kira 295 jemaah haji yang bertolak dari Madinah menerusi tujuh buah bas, sebelum dibawa ke bangunan Abraj Al-Janadriyyah, di sini.

    Katanya, mereka merupakan rombongan haji yang pertama pada 4 Jun lalu dan bakal menerima sambutan dari pihak pengurusan, sebelum jemaah haji mengerjakan umrah.

    “Esok akan ada sedikit sambutan untuk rombongan pertama…dari segi bilik penginapan juga telah disediakan dan mereka akan ditempatkan mengikut jadual penerbangan mereka serta penilaian tertentu, termasuk ikatan kekeluargaan,” katanya.

    Roslan yang juga merupakan Pengarah TH Melaka, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerangkan tentang pelbagai persediaan yang dilakukan TH.

    Dilaporkan sehingga kini seramai 1,940 jemaah menerusi tujuh penerbangan dari tanah air telah berada di Madinah.

    Selain bangunan Abraj Al-Janadriyah yang menempatkan dua maktab (penginapan jemaah), iaitu maktab 46 dan 47, terdapat juga bangunan lain iaitu Qasr Al-Janadriah (maktab 49) serta Land Premium (maktab 48 dan 50).

    Menurut Roslan, TH menyediakan kira-kira 30 petugas maktab dengan enam petugas bagi setiap maktab, yang akan berkhidmat 24 jam, bagi memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah.

    “Setiap bangunan penginapan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pejabat pengurusan, farmasi, klinik kesihatan, kedai runcit dan kaunter khidmat pelanggan,” katanya.

    Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini menerusi 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.

    SEMENTARA itu, seramai 293 orang jemaah haji termasuk Pengarah Eksekutif Haji TH Merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bertolak dari Movenpick Hall and Convention Centre (MHCC) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.45 pagi hari ini. Mereka berlepas ke Madinah pukul 1.10 petang. Penerbangan KT08B (SV5627) ini dijangka tiba pada jam 4:30 petang waktu Arab Saudi (10.30 malam waktu Malaysia).  – BERNAMA

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    Penganggur dikhuatiri lemas terjatuh bot

    SEORANG penganggur dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari bot di perairan Pantai Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis awal pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, Bukhari Yusof, 45, dipercayai jatuh dari bot ketika sedang tidur manakala dua kru bot berkenaan sedang sibuk menangguk siput di kedudukan tiga batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru.

    “Menurut seorang daripada kru bot itu, mereka menangguk siput kira-kira jam 1 pagi dan menyedari kehilangan mangsa tidak lama kemudian. Mereka melakukan pencarian selama dua jam namun gagal menemukan sebarang petunjuk,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Baru hari ini.

    Baeyah berkata, menurut kedua-dua kru bot itu, mereka tidak mengenali Bukhari yang menumpang tidur di dalam bot dan hanya menyedari kehadirannya ketika dalam perjalanan menangguk siput.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak 6.30 petang semalam melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan dibantu nelayan tempatan.

    “Operasi mencari dan menyelamat Bukhari yang berasal dari Pulau Langkawi, Kedah melibatkan kawasan seluas 73.2 kilometer persegi. Polis telah memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian ini,” katanya.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat sebagai orang hilang dan buat masa ini tidak terdapat elemen jenayah. – Bernama

  • Mesyuarat kabinet bincang dana 1MDB: Bekas KSN

    Mesyuarat kabinet bincang dana 1MDB: Bekas KSN

    BEKAS Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu bahawa beliau beranggapan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan dana politik bagi Barisan Nasional (BN) kerana terdapat perbincangan antara Menteri Kabinet mengenai perkara itu.

    Mohd Sidek, 71, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, terdapat perbincangan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang menteri digalakkan untuk mencadangkan bagaimana dana 1MDB boleh digunakan untuk membiayai projek di kawasan mereka.

    Disoal Sri Ram bagaimana beliau boleh merumuskan bahawa dana 1MDB adalah untuk dana politik BN, Mohd Sidek menjawab, “kerana kesemua menteri (kabinet) ketika itu ahli BN.”

    Sri Ram: Bukankah mesyuarat kabinet tidak seharusnya membincangkan mengenai parti politik?

    Mohd Sidek: Saya adalah penjawat awam…. Polisi kerajaan adalah polisi parti memerintah, tidak kira parti BN atau apa sahaja namanya. Polisi kerajaan itu sendiri diperoleh daripada polisi parti, sekumpulan parti atau gabungan parti. Jadi, agak sukar untuk membezakan kedua-duanya.

    Mohd Sidek dalam keterangannya pada Selasa memaklumkan, mengikut pemahamannya 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan ketika itu iaitu BN.

    Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata oleh sebab itu, beliau tidak pernah bertanya kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pihak dalam 1MDB berkenaan masalah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

    Disoal lanjut oleh Sri Ram sekiranya Najib pernah mendedahkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai hubungannya dengan seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘Jho Low’, saksi itu menjawab, ‘saya tidak ingat’.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

  • Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

    Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

    POLIS sedang menyiasat kes penipuan tempahan rumah inap seperti yang dilaporkan berlaku di negeri itu baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu M Zambri Mahmud berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang baru-baru ini menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di Kuala Terengganu.

    “Pada hari yang sama mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50. Mangsa pergi ke ‘homestay’ (rumah inap) berkenaan dan mendapati ia tidak wujud.

    “Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap berkenaan supaya segera membuat laporan polis.

    Dilaporkan semalam, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke negeri itu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah sebenarnya tidak wujud.

    Mangsa dilaporkan cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

  • Mahkamah tolak petisyen cabar keputusan PRN Melaka DUN Sungai Udang

    Mahkamah tolak petisyen cabar keputusan PRN Melaka DUN Sungai Udang

    MAHKAMAH  Pilihan Raya Melaka hari ini menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

    Hakim Pilihan Raya Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas meneliti dan mendengar keterangan 20 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula  24 Mac hingga 20 April lepas.

    Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof berkata mahkamah memutuskan tuduhan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengurus pilihan raya DUN Sungai Udang dan Dr Aleef berkaitan penyelewengan dalam pengundian ketika PRN Melaka pada 20 Nov lepas adalah tidak benar.

    “Dua tuduhan berkenaan penyogokan mengenai rasuah oleh Dr Aleef juga tidak benar. Untuk itu mahkamah mendapati bahawa segala aduan tersebut tidak berasas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas keputusan itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

    Rosli berkata pihaknya bersyukur keputusan hari ini memihak kepada anak guamnya dan tiada asas untuk keputusan tersebut dibantah.

    “Sebab itulah dari awal kita membuat bantahan awal bahawa kes ini tidak perlu dibawa kepada perbicaraan, namun kita hormati mahkamah yang mana keterangan dalam kes petisyen pilihan raya perlu didengar bagi memuaskan hati rakyat bahawa tiada penyelewengan, penyogokan dan rasuah dalam kes ini,” katanya.

    Mohamad Ali yang diwakili peguam Amin Othman, Datin Rosfinah Rahmat, Wan Hamidah Wan Ismail dan Nor Hazira Abu Haiyan, tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Pada PRN Melaka 20 Nov tahun lepas, Dr Mohd Aleef yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti 530 undi selepas mendapat 6,789 undi, menewaskan Mohamad Ali yang mendapat 6,259 undi.

    Pertandingan empat penjuru di kerusi Sungai Udang itu turut menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Hasmorni Tamby mendapat 2,035 undi dan calon Bebas, Mohd Zahar Hashim pula hilang deposit selepas menerima 471 undi sahaja.

    Mohamad Ali yang tewas dalam PRN itu memfailkan petisyen pada 14 Dis lepas bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr Aleef.

    Beliau memfailkan petisyen kepada tiga responden iaitu Dr Aleef, SPR dan pengurus pilihan raya bagi DUN Sungai Udang.

    Perbicaraan petisyen pilihan raya telah bermula pada 24 Mac selepas mahkamah menolak bantahan awal yang dikemukakan ketiga-tiga responden itu.

    — BERNAMA

  • Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    SIASATAN punca kematian dua remaja yang meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana melibatkan pakar dari agensi lain, kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Beliau berkata pasukan perubatan sudah melakukan proses bedah siasat terhadap dua remaja iaitu  lelaki dan perempuan masing-masing berusia 19 tahun tetapi masih belum mengetahui punca sebenar kematian mereka.

    “Kami sedia maklum, dua mayat itu ditemukan selepas lima hari. Banyak organ sudah dalam keadaan tidak sempurna yang memerlukan kepakaran daripada jabatan lain seperti Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

    Muhammad Idzam berkata selagi laporan pakar daripada jabatan berkenaan tidak dikeluarkan, polis tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung punca kematian dua remaja terbabit.

    “Selain itu, polis turut merakam keterangan daripada kawan, keluarga dan mereka yang mengenali si mati. Lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada unsur jenayah ditemui,” katanya.

    Sebelum ini polis telah mengenal pasti dua remaja terbabit dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul.

    Kedua-dua mereka yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di Kuala Lumpur, 29 Mei lepas. – Bernama

  • Program lawatan ke lokasi bersejarah di Madinah mampu perkuat ketakwaan

    Program lawatan ke lokasi bersejarah di Madinah mampu perkuat ketakwaan

    PROGRAM lawatan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) ke tempat bersejarah untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada Allah.

    Ustaz Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di Madinah sejak dua hari lepas teruja untuk menziarahi beberapa lokasi bersejarah.

    “Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia, “ katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba, Madinah.

    Beliau berkata sebanyak tujuh bas digunakan untuk membawa jemaah ke Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun pertama penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah.

    Jemaah haji juga  dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud yang merupakan tapak sejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.

    Jemaah haji Malaysia menunaikan solat di Masjid Quba

    “Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi  Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid” katanya.

    Beliau juga berkata Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sikap tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.

    Pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon pula berkata lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.

    Bagi Hapiz Ab Majid, 50-an, yang pertama kali menjejak kaki ke tanah suci, berkata penerangan mutawif ketika ziarah itu sangat baik dan jelas terutama dalam mengetengahkan kepentingan mematuhi arahan seorang ketua.

    Menerusi program sama, jemaah haji turut dibawa menziarahi Masjid Qiblatain (yang pernah berkiblatkan Baitulmaqdis) dan Masjid Tujuh iaitu tempat berlakunya peperangan Khandaq serta ladang kurma bagi membolehkan mereka membeli buah tangan untuk keluarga apabila pulang ke tanah air kelak.

    Rosni Hassan antara 297 jemaah haji yang berlepas ke Madinah hari ini.

    Seramai 1,309 daripada 14,306 jemaah haji Malaysia selamat tiba ke Madinah dengan kumpulan pertama pada 4 Jun lepas yang dijadualkan bertolak ke Makkah pada 9 Jun bagi melaksanakan ibadat umrah.

    SEMENTARA itu,  seramai 297 orang jemaah haji termasuk empat petugas untuk kumpulan KT06B telah bertolak dari Movenpick Hall and Convention Centre (MHCC), Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9:20 pagi dan telah berlepas ke tanah suci (Madinah) pada jam 11:30 pagi,dan dijangka sampai pada jam 3 petang waktu Arab Saudi.

    Semoga perjalanan para jemaah haji Malaysia dipermudahkan dan selamat sampai.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Pegang prinsip Islam yang melarang hina agama lain – Idris

    Pegang prinsip Islam yang melarang hina agama lain – Idris

    MASYARAKAT Islam di negara ini perlu berpegang dengan prinsip dan ajaran agama itu yang melarang penganutnya daripada menghina dan menabur kebencian terhadap agama lain.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata berikutan itu, umat Islam tidak perlu memberi sebarang reaksi terhadap perbuatan individu atau pihak yang cuba menghina agama itu.

    “Kerana kita (umat Islam) lebih kepada soal (bertindak) dalam bentuk intelektual, wacana, muzakarah dan sebagainya. Tidak elok kalau kita bersikap demikian (menghina agama lain).

    “Ia tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekali pun,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Idris merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Idris berkata demikian bagi mengulas isu baru-baru ini mengenai dua jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

    Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India dari rak jualan.

    Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut jejak langkah negara lain yang memboikot produk keluaran dari India, Idris berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

    Mengenai kejadian amalan khurafat yang tular di media sosial baru-baru ini, Idris meminta pihak berkuasa tempatan untuk menyiasat dan mengambil tindakan mengenai perkara itu memandangkan sebarang perkara melibatkan agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    Katanya perkara yang jelas bertentangan dengan agama Islam tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap umatnya.

    “Kita tidak mahu budaya lama terjadi lagi. Kita telah berjaya hapuskan, contohnya amalan ‘mandi Safar’ dan ‘semah laut’, hasil daripada penerangan ulama kita, takkan kita mahu hidupkan balik perkara itu?” katanya.

    Mengenai program buku Yadim sebanyak lima buku baharu terbitan yayasan itu dilancarkan hari ini iaitu ‘Atlas Sirah Al-Nabawiyyah Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW’, ‘Melodi Iman Dalam Solat Lima Waktu’, ‘Fiqh Keluarga Syurgawi’, ‘Menelusuri 1,000 Tahun Fiqh Syafii Alam Melayu’ dan ‘Komik YADIM: Sahabah MISI Q3’. – Bernama

  • Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    SEORANG lelaki yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin semalam, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

    Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

    Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, pemuda itu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh motosikal yang dinaiki mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48.

    Seorang penunggang motosikal Ya’akob Mohamad, 57, turut mengalami cedera ringan

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–Bernama