Author: Bernama

  • Kementerian Pendidikan siapkan kertas kerja tingkat internet sekolah – Radzi

    Kementerian Pendidikan siapkan kertas kerja tingkat internet sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan sedang menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet menteri berkaitan keperluan meningkatkan kemudahan Internet di semua sekolah di negara ini, agar selari dengan pelaksanaan pendigitalan pendidikan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata proses penyediaan kertas kerja itu kini di peringkat akhir dan turut membabitkan pandangan semua pihak dalam kementerian.

    “Dalam konteks ini kita mahu melaksanakan satu rangkaian internet di sekolah yang lebih meluas, sekarang, Internet di sekolah hanya ada di tiga tempat disediakan iaitu bilik sekolah, pusat sumber dan pejabat sekolah, namun begitu apabila kita bercakap tentang pendigitalan pendidikan perkara paling penting adalah untuk memastikan akses Internet sekolah lebih meluas khususnya dalam kawasan bilik darjah, asrama dan seluruh sekolah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Felda Digital Maker Hub- Coding and Robotic (FDMH) di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, Felda Sahabat, Lahad Datu, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh.

    Radzi berkata proses menaik taraf Internet membabitkan lebih 10,000 sekolah di negara ini akan memerlukan satu perbelanjaan cukup besar bernilai berbilion ringgit.

    “Semoga usaha ini mendapat sokongan dan diluluskan kelak, ” katanya.

    Sementara itu ketika berucap, beliau memuji usaha dan komitmen Felda mewujudkan landskap pendidikan digital di luar bandar dengan pelaksanaan FDMH yang dilaksanakan di 19 sekolah kebangsaan di kawasan rancangan Felda setakat ini dan memberi manfaat kepada 3,483 murid sekolah.

    “Dalam tempoh dua tahun setengah ini, saya harap semua 270 sekolah di dalam kawasan rancangan Felda terlibat FDMH,” katanya.

    Dalam pada itu, Idris berkata pelaksanaan inisiatif FDMH akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM4.05 juta yang akan diperoleh melalui kaedah penajaan oleh pertubuhan bukan kerajaan(NGO) serta individu bagi menyemarakkan penglibatan komuniti dalam pendidikan generasi baharu Felda.

    “Penajaan ini adalah bagi menyediakan kelengkapan asas robotik dengan kos RM15,000 bagi sebuah sekolah. Inisiatif ini akan menjadi sebahagian aktiviti kokurikulum yang akan dijalankanmelalui kelab robotik sekolah dan mampu menjadi platform untuk meningkatkan kecemerlangan murid,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan aktiviti itu dapat dijalankan dengan baik manakala Felda akan menyediakan latihan kepada guru reka bentuk dan teknologi yang terlibat, bagi memastikan penyampaian dan pelaksanaan aktiviti kepada murid-murid dapat dibuat secara berkesan.- Bernama

  • Mansuh hukuman mati tidak jejas tugas polis – Hamzah

    Mansuh hukuman mati tidak jejas tugas polis – Hamzah

    LANGKAH kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak akan memberi kesan kepada tugas polis dalam melaksanakan tugas polis dalam melaksanakan penguatkuasaan, terutama melibatkan jenayah berat.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya menyokong langkah itu dan menegaskan penguatkuasaan polis dan siasatan semua jenis jenayah berjalan seperti biasa.

    “Kita, polis sendiri pun memikirkan bahawa mungkin ada baiknya jika ada kelonggaran dari segi hukuman mati mandatori ini.

    “Kadang-kadang, kalau kita nak mengambil sesuatu tindakan itu, memang ada bukti tapi ia ‘on a thin line,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Tegasnya, meskipun hukuman mati mandatori sudah dimansuhkan, hukuman mati masih berada dalam sistem keadilan negara namun ia berada di bawah keputusan hakim sama ada hendak menjatuhkan hukuman gantung atau hukuman penjara seumur hidup.

    Ditanya sekiranya langkah itu akan meningkatkan kadar jenayah berat di negara ini, Hamzah menyangkal andaian itu kerana hukuman mati masih ada dan penguatkuasaan polis berjalan seperti kebiasaaan.

    “Bila adanya kelonggaran ini, ia memberi ruang untuk hakim memikirkan tanggungjawab dia. Kerana dia sebagai hakim yang benar-benar tahu dan beliau yang mendengar masalah-masalah dalam mahkamah, bukti yang dikemukakan di mahkamah, jadi biarlah dia tentukan,” katanya.

    Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dalam kenyataan menyebut bahawa kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gentian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Wan Junaidi berkata keputusan itu dicapai menerusi pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun. – Bernama

  • Masters Indonesia: Penganjur siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

    Masters Indonesia: Penganjur siasat punca keracunan pemain Malaysia, Thailand

    JAWATANKUASA penganjur kejohanan Badminton Masters Indonesia 2022 sedang menyiasat kes disyaki keracunan makanan yang dialami pemain jemputan dari Malaysia dan Thailand setelah sarapan pagi di hotel, pada Jumaat.

    Jurucakap Pengurus Pusat Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia Broto Happy berkata pihaknya amat bersimpati dan prihatin atas perkara tersebut yang diketahuinya melalui sosial media.

    “Setakat ini, belum ada laporan rasmi yang dibuat pemain mahupun pengurus pasukan kepada jawatankuasa penganjur mengenai keracunan makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Namun beliau berkata pemain terlibat telah dirawat di hospital yang tiada kaitan dengan jawatankuasa penganjur atau hotel rasmi kejohanan.

    Tempat makan para pemain dan pegawai juga dipisahkan dengan tetamu hotel mulai hari ini untuk mencegah kejadian berulang.

    Setelah koordinasi dengan jawatankuasa penganjur, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggesa pengurus pasukan mengingatkan pemain agar berhati-hati memesan makanan dari luar hotel atau makan makanan tertentu.

    Sementara itu, Broto berkata hasil ujian makmal mendapati pemain yang dirawat berkemungkinan mengambil makanan yang tidak sihat atau mengandungi bakteria dan bukan akibat keracunan makanan.

    “Kalau keracunan makanan, kesannya serta-merta,” kata Dr Grace Corlesa Joselini yang merupakan doktor kejohanan, sambil menambah pemain yang menginap di dua hotel rasmi kejohanan bebas memesan makanan secara dalam talian atau makan di restoran berhampiran.

    Malam tadi, media dalam talian melaporkan lima pemain Malaysia dan beberapa pemain Thailand mendapatkan rawatan di hospital akibat keracunan makanan.

    Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia Rexy Mainaky ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    “Tetapi mereka sudah boleh pulang ke hotel namun badan masih lemah,” katanya.–Bernama

  • Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Tujuh butir bom meletup di Narathiwat

    Oleh TUWAEDANIYA MERINGING

    PENGEBOM meletupkan sekurang-kurangnya tujuh butir bom di dua lokasi di Narathiwat di selatan Thailand pagi Jumaat, tetapi tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat, Pol Mej Jeneral Waesamae Salae berkata, dalam kejadian pertama pada 7.30 pagi (waktu tempatan), empat bom jangka buatan sendiri meletup di tepi jalan di Jalan Yingo-Raman.

    Kira-kira sejam kemudian, tiga bom yang diletakkan di tepi jalan meletup berhampiran lokasi letupan pertama.

    “Skuad pemusnah bom mengambil masa kira-kira lima jam untuk memeriksa dan membersihkan tempat kejadian,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media tempatan melaporkan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu, berikutan diketepikan daripada perbincangan antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand. – BERNAMA

  • Taburan bunga, dijamu manisan tanda kesyukuran ketibaan jemaah Malaysia di Makkah

    Taburan bunga, dijamu manisan tanda kesyukuran ketibaan jemaah Malaysia di Makkah

    haramain

    DISAMBUT dengan taburan bunga mawar, alunan doa dan dihidangkan dengan pelbagai jenis manisan serta air zam-zam.

    Ia merupakan momen yang akan menjadi kenangan manis buat kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah malam tadi dan diberikan sambutan meriah di bangunan Abraj Al Janadriyah yang merupakan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) serta hotel penginapan jemaah di Tanah Suci.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ketibaan seramai 295 jemaah itu disambut meriah, bukan sahaja oleh pihak pengurusan Lembaga TH tetapi juga Syarikat Tewafah Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam pergerakan jemaah haji Malaysia.

    “Kesemua jemaah ini merupakan kumpulan pertama yang bergerak dari Madinah dan mereka yang bertolak kira-kira pukul 2 petang tadi (waktu Arab Saudi), selamat tiba pada pukul 10 malam.

    “Alhamdulillah jemaah haji disambut baik dengan aturan dan persediaan yang dibuat oleh TH dan Syarikat Tewafah Asia Tenggara. Ia menunjukkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak dalam menyantuni tetamu Allah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

    Datuk Seri Syed Saleh berkata setiap jemaah yang baru tiba di Makkah, sama ada pada waktu siang ataupun malam, akan diberi layanan istimewa oleh Syarikat Tewafah Asia Tenggara dengan hidangan nasi beriani bersama pelbagai minuman.

    Lebih istimewa, makanan tersebut akan dihantar terus ke bilik masing-masing bagi membolehkan jemaah berehat seketika sebelum mengerjakan umrah, kira-kira dua jam selepas ketibaan.

    Sementara itu, Pengerusi Syarikat Tewafah Asia Tenggara Adnan Husin Abdullah Mandura berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan kedatangan jemaah haji kali ini sangat istimewa setelah tertunda hampir dua tahun akibat pandemik.

    Katanya, bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan serta mengatur persiapan dengan lebih tersusun.

    “Kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji Malaysia dan menjaga hubungan baik dengan TH…Insya-Allah kita akan sediakan perkhidmatan kepada jemaah haji ke arah untuk mendapatkan haji yang mabrur.

    “Pihak syarikat dan semua petugas akan bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik pada tahun ini setelah terhenti akibat wabak COVID-19…pihak kami mengalu-alukan kedatangan dan berdoa supaya jemaah peroleh haji yang diterima Allah,” katanya.

    Setelah tiba ke bangunan penginapan Abraj Al-Janadriyah, jemaah haji kemudiannya dibawa menunaikan umrah.

    • Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Cuepacs gesa laksana tiga langkah bantu penjawat awam

    Cuepacs gesa laksana tiga langkah bantu penjawat awam

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menggesa kerajaan agar melaksanakan tiga langkah penting bagi membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang.

    Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu ialah melaksanakan gaji minimum penjawat awam RM1,800; menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.

    “Kami tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah utama tangani kenaikan harga barang, tetapi pada masa ini masih tidak mampu membantu kami menghadapi situasi itu dengan kedudukan kewangan dan gaji kami sekarang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam dihadiri kira-kira 600 orang di Kota Kinabalu hari ini.

    Adnan berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti oleh sektor swasta yang seterusnya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan lancar.

    Katanya, gaji minimum itu juga akan memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapat matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

    Mengenai cadangan sistem saraan baharu, Adnan berkata, Sistem Saraan Malaysia (SSM) sedia ada telah berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.

    “Diharap kerajaan menimbang cadangan kami untuk sebuah sistem saraan sektor awam yang baharu iaitu antaranya termasuk gaji minimum, peningkatan KGT, kenaikan pangkat dan gred, serta gred minimum 19 bagi memberi pendapatan lebih selesa dan adil untuk membantu penjawat awam,” katanya. – Bernama

  • Hukuman mati masih ada, tapi hakim ada budi bicara – Ismail Sabri

    Hukuman mati masih ada, tapi hakim ada budi bicara – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih kekal namun perubahan yang dilakukan ialah memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

    Beliau berkata, langkah itu membolehkan hakim tidak lagi terikat dengan perkataan ‘mandatori’ bagi hukuman mati yang menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati seperti diperuntuk undang-undang contohnya dalam kesalahan mengedar dadah.

    “Kita berpandangan setiap manusia perlu diberikan peluang kedua. Jika ada dua pilihan (hukuman) dan jika dirasakan orang itu memang penjenayah tegar mengedar dadah sehingga menyebabkan ratusan ribu orang mati, boleh dihukum mati dan dibenarkan untuk jatuhkan hukuman mati.

    “Tetapi jika dirasakan daripada budi bicara patut diberikan peluang kedua untuk berubah menjadi lebih baik dan hendak diberikan hukuman penjara seumur hidup dengan sebat maka hakim boleh meminda hukuman mati mandatori kepada hukuman tersebut,” katanya.

    Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Dewan Majlis Daerah Bera, Padang Luas di Bera hari ini.

    Beliau berkata, sebagai contoh, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan ini menyebabkan hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut.

    “Kadang-kadang kes itu melibatkan anak muda berusia 18 tahun. Hakim selepas mendengar perbicaraan mungkin beranggapan dia ini ‘terkena’ kerana dadah berada dalam beg miliknya tetapi dia tidak boleh membuktikan orang yang memberi (dadah) kepadanya.

    “Walaupun ada orang yang beri tetapi tidak boleh dibuktikan, akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati walaupun hakim beranggapan budak ini muda dan patut diberi peluang kedua untuk berubah.

    “Kena faham bahawa hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih ada tetapi tidak lagi menjadi mandatori,” katanya.

    Ismail Sabri juga berkata, walaupun secara dasarnya kerajaan bersetuju memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori namun perkara itu masih perlu diperhalusi dan memerlukan pandangan pihak berkaitan untuk diperkemas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Katanya, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas. – BERNAMA

  • 2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    SERAMAI 2,700 jemaah haji Malaysia telah tiba di Madinah menerusi 10 penerbangan sejak 4 Jun lepas.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka sudah mula bergerak ke Makkah secara berperingkat menerusi pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Beliau berkata, setakat malam tadi seramai 295 jemaah telah selamat tiba di Makkah dan mereka merupakan jemaah haji pertama menerusi penerbangan KT01 dari Malaysia ke Madinah.

    Difahamkan, kesemua jemaah akan ditempatkan di tiga lokasi penginapan iaitu di bangunan Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Land Premium.

    Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui pemberita meluahkan rasa syukur setelah menunggu dua tahun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

    Muhammad Haziq Azri, 17, berkata dia berpeluang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Makkah bersama bapa, ibu dan kakaknya.

    “Alhamdulillah dapat sampai ke Makkah, timbul perasaan tak sabar nak melihat Kaabah. Tak terungkap rasa gembira bila sampai ke sini,” katanya.

    Nazarudin Komari, 40-an pula berkata keletihan perjalanan selama enam jam bagaikan tidak terasa setelah sampai ke Makkah, apatah lagi apabila pergerakan jemaah disusun dengan baik oleh petugas TH.

    Menurut Nazarudin, beliau bukan sahaja terharu dengan usaha dilakukan pihak TH malah bersyukur kerana semua jemaah selamat tiba untuk meneruskan ibadah umrah pertama. – BERNAMA

  • Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    Rumah Bonda saman JKM Wilayah Persekutuan KL

    PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

    Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

    Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan ‘Lak’ yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

    Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata, beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

    “Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022,” katanya menerusi afidavit sokongan.

    Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

    “Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya.

    Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekali gus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

    “Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan,” katanya.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini. – BERNAMA

  • Kerajaan akan tambah baik GST jika diperkenalkan semula

    Kerajaan akan tambah baik GST jika diperkenalkan semula

    KERAJAAN akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengkelasan barang yang bercukai dengan tidak bercukai, peningkatan tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruhan GST.

    “Sebarang sistem percukaian baharu juga perlu diluluskan di parlimen dan jika diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat serta untuk menambah baik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-98 yang dikeluarkan hari ini.

    Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu meneliti usaha untuk meluaskan asas hasil supaya ia dapat diagihkan dengan lebih bermakna melalui program pembangunan yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia.

    Katanya, jumlah kutipan hasil negara mencatatkan 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan ia agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain.

    Sementara itu, hasil cukai negara mencatatkan 11.2 peratus daripada KDNK.

    “Walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global,” katanya.

    Menurut Tengku Zafrul, ia tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat.

    “Oleh itu, kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas seperti cukai kepenggunaan.

    “Namun begitu, sebelum kerajaan memperkenalkan apa-apa cukai baharu, kita perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca krisis COVID-19 sudah mencapai landasan yang stabil dan kukuh,” katanya.

    Mengulas mengenai Bajet 2023, Tengku Zafrul berkata tumpuan khas akan diberikan kepada memudah cara segmen pekerjaan atau pekerjaan semula terutamanya siswazah menganggur, wanita yang meninggalkan pasaran kerja, orang kurang upaya dan penganggur jangka masa panjang.

    Selain itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, meningkatkan produktiviti menerusi digitalisasi aktiviti ekonomi dan memastikan gaji yang wajar dalam kalangan rakyat termasuk menerusi semakan gaji minimum.

    “Tidak dilupakan intervensi-intervensi yang diperlukan bagi memastikan jaminan makanan asas untuk mengurangkan kenaikan ketara harga barang keperluan dan memastikan sumber kerajaan dibelanjakan kepada mereka yang memerlukan menerusi subsidi bersasar.

    “Bajet 2023 akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, pendapatan dan perlindungan sosial serta menambah baik daya saing perniagaan dan rantaian nilai di samping memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan dan daya tahan negara dalam mendepani kejutan pada masa hadapan,” tambahnya. – Bernama