Author: Bernama

  • Tiada penerbangan ke Madinah selepas Rabu ini

    Tiada penerbangan ke Madinah selepas Rabu ini

    haramain

    TIADA sebarang penerbangan membawa jemaah haji Malaysia akan mendarat di Madinah selepas Rabu ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, jadual penerbangan terakhir ke Madinah ialah pada Rabu ini melibatkan rombongan KT22 manakala rombongan seterusnya (KT23) akan mula mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah bermula 20 Jun ini.

    “Setakat ini seramai 4,670 jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci menerusi 17 penerbangan. Seramai 2,986 jemaah pula kini masih berada di Madinah manakala 1,684 telah berada di Makkah.

    “Jemaah yang telah memakai ihram dari tanah air lagi akan dibawa ke Makkah untuk melakukan umrah pertama, ” katanya kepada pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah, Abraj Al Janadriyah, di sini.

    Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata TH telah melakukan persediaan sebaiknya dalam berdepan dengan pelbagai kemungkinan akibat penularan COVID-19 dalam kalangan petugas dan jemaah.

    Katanya, meskipun bakal berdepan dengan situasi luar jangka, TH telah mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk segera melakukan saringan ke atas mereka yang menunjukkan simptom wabak itu.

    “Memandangkan suasana COVID-19 masih lagi berleluasa, maka kita buat persiapan untuk sebarang kemungkinan jika berlaku jangkitan dalam kalangan jemaah dan petugas. Kita sediakan pusat rawatan dan rehat atau wad isolasi untuk mereka yang dijangkiti.

    “Kemudahan itu disediakan di setiap bangunan penginapan dan daripada tiga buah bangunan penginapan jemaah, sebanyak 200 katil telah dipersiapkan,” katanya.

    Tambah beliau, pusat kesihatan TH bukan sahaja disediakan di Makkah tetapi juga di Madinah malah setiap maktab (penginapan) telah disediakan pasukan petugas yang terdiri daripada jururawat dan doktor.

    “Di Makkah kita juga telah mewujudkan klinik di setiap maktab (penginapan) yang mempunyai kira-kira 2,300 hingga 2,400 jemaah haji.

    “Klinik kesihatan ini juga antara usaha untuk menjaga kesihatan jemaah haji tetapi jika mereka memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lebih rapi,” katanya.

    Sementara itu jemaah haji Malaysia di Makkah menghadiri  sesi Taklimat Pengurusan dan Ceramah 1. Ia bagi memberi penerangan berhubung perjalanan ibadah haji.

    DI SEPANG, 287 Jemaah Haji tersebut telah berlepas ke Madinah pukul 12:17 tengahari dan dijangka sampai pada jam 3:50 petang waktu Arab Saudi (9.50 malam Waktu Malaysia)

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysi melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Pegawai bank sahkan lebih RM45 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib

    Pegawai bank sahkan lebih RM45 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM45.8 juta telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) antara Oktober dan Disember 2014.

    Naib presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan di Ambank (M) Berhad, Salmah Daman Huri, 50, ketika membacakan kenyataan saksinya berkata bahawa dana itu, berjumlah GBP8,706,021.92 juta (RM45,837,485.70 – kadar penukaran semasa) dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri itu yang berakhir dengan nombor 880 dalam lima transaksi.

    Vista Equity ialah ‘shell company’ yang dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, rakan amanah ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    “Sejumlah RM30,032,250 telah dipindahkan pada 23 Okt 2014; RM3,624,473.70 dan RM 11,567.57 masing-masing dipindahkan pada 24 dan 26 Nov.

    “Dua transaksi lain RM5,360,065 dan RM6,809,129.43 berlaku pada 10 dan 18 Dis,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu semasa perbicaraan bekas perdana menteri berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Salmah mengesahkan lima dokumen, yang kesemuanya menunjukkan pemindahan daripada Vista Equity melalui Amicorp Bank dan Trust Ltd, Barbados melalui Standard Chartered Bank, London sebelum ia sampai ke akaun “AmPrivate Banking-1MY” sama, yang berakhir dengan 880.

    Pada hari pertama perbicaraan, pihak pendakwaan berkata ia akan menunjukkan bahawa dana 1MDB telah dipindahkan dalam pelbagai transaksi ke akaun Najib, iaitu AS$20 juta bersamaan RM60,629,839.43 atau lebih RM60 juta daripada fasa pertama, AS$30 juta bersamaan dengan RM90,899,927.28 atau lebih RM90 juta (fasa kedua), AS$681 juta bersamaan RM2,081,476,926 atau lebih RM2 bilion (fasa ketiga), dan urus niaga dalam pound British yang bersamaan dengan RM4,093,500 dan RM45,837,485.70 daripada jumlah gabungan RM49,930,985.70 juta atau lebih RM49 juta (fasa keempat).

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah mengakui bahawa Bank Negara atau AmBank tidak menunjukkan apa-apa tanda amaran (red flag) semasa semua urus niaga itu berlangsung.

    Beliau seterusnya berkata beliau tidak sedar bahawa akaun yang berakhir dengan “880” itu adalah milik Najib pada masa itu, dan beliau hanya mengetahuinya semasa siasatan oleh pihak berkuasa.

    Saksi itu juga memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengesahkan bahawa urus niaga pertukaran asing itu datang daripada Najib kerana jabatannya berurusan dengan pengurus perhubungan pemegang akaun berhubung urus niaga ini.

    Sementara itu semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan (DPP) Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata biasanya bank akan menghantar penyata kepada pelanggan pada hujung bulan untuk memaklumkan pelanggan mengenai jumlah baki dalam akaun mereka.

    Kepada soalan lain oleh DPP Najwa Bistamam, saksi itu berkata Najib tidak pernah membangkitkan sebarang laporan terhadap transaksi berkenaan kepada bank.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

    — BERNAMA

  • Wanita curi barang kemas ibu dipenjara 4 bulan

    Wanita curi barang kemas ibu dipenjara 4 bulan

    AKIBAT mencuri barang kemas milik ibunya bernilai RM14,000, seorang wanita dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

    Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Bathma Abdullah, 36, yang mengaku bersalah mencuri sepasang loket emas, tiga utas rantai leher emas, tiga bentuk cincin emas, dua loket batu emas dan seutas rantai tangan emas milik ibunya, R. Devi Segar, 57.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong pada 10 pagi, 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius, namun Bathma yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja. – BERNAMA

  • Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    Bersatu tidak bincang kedudukan Ismail Sabri sebagai PM

    TIADA perbincangan berkaitan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu lepas.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu hanya membincangkan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan masalah dihadapi rakyat pada masa ini.

    “Tidak ada bincang kedudukan Perdana Menteri. Kami menyokong Perdana Menteri sedia ada dan mahu kerajaan yang stabil supaya boleh fokus masalah rakyat dan bukannya masalah peribadi politik

    “Kami berbincang tentang persiapan menghadapi pilihan raya dan masalah kos sara hidup, masalah harga makanan tinggi dan cara mencari jalan bagaimana hendak membantu kerajaan menangani masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta di sini hari ini.

    Menteri Belia dan Sukan itu mengulas laporan media yang memetik sumber mendedahkan antara perkara disebut dalam mesyuarat itu adalah Bersatu boleh menukar kerajaan Ismail Sabri tanpa mengadakan pilihan raya sekiranya mendapat sokongan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, Bersatu sentiasa mengutamakan masalah rakyat dan dakwaan bahawa perkara berkenaan antara cadangan dikemukakan oleh kalangan pemimpin parti adalah tidak benar.

    “Kalau ada ura-ura perbincangan lain itu bohong. Bersatu tidak bincang berkaitan politik. Bersatu bincang masalah rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia

    Hukuman mati masih wujud dalam perundangan Malaysia

    HUKUMAN mati masih wujud dalam perundangan Malaysia walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori pada 8 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    “Sekarang secara prinsipnya kerajaan bersetuju pada 8 Jun bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori tetapi di mahkamah sana masih.

    “Undang-undang itu ‘governed by existing law’ (undang-undang sedia ada yang belum dipinda),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah iaitu tertuduh yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian kerana hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh apabila disabit dengan kesalahan contohnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Wan Junaidi berkata hukuman mati dengan kuasa budi bicara mahkamah pula membawa maksud bagi mana-mana tertuduh disabit dengan kesalahan, hakim boleh mempunyai pilihan menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau sebatan.

    “Ia mengikut budi bicara hakim bergantung kepada jenis, keseriusan suatu jenayah dan trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah dan faktor pengurangan hukuman lain yang memihak kepada pesalah,” katanya.

    Beliau berkata Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai mantan Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum mengemukakan cadangan polisi penghukuman baharu berdasarkan tiga prinsip.

    Bagi kesalahan yang menyebabkan kematian, hukuman mati atas budi bicara mahkamah dikekalkan; bagi kesalahan lain yang tidak menyebabkan kematian, hukuman mati tidak harus dijatuhkan oleh mahkamah manakala sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan oleh mahkamah, pesalah boleh dikenakan hukuman sebatan, katanya.

    Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu turut meneliti hukuman gantian terhadap 22 kesalahan di bawah akta-akta antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan Akta Penculikan 1961 (Akta 365).

    Wan Junaidi berkata pindaan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan bagi bacaan pertama dan dijangkakan awal tahun depan sama ada Januari atau Februari, undang-undang itu dapat dimansuhkan secara realiti.

    “Keputusan kerajaan ini adalah langkah berani mara ke hadapan supaya dilihat lebih berperikemanusiaan,” katanya.

    Beliau berkata kajian awam juga akan dijalankan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori itu dan sekiranya tentangan itu lebih hebat daripada yang bersetuju, perkara itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk membuat keputusan.

    Menurut Wan Junaidi, ramai juga membincangkan mengenai implikasi pemansuhan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan pengedaran dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

    Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak lagi memperuntukkan kesalahan dengan hukuman mati mandatori dan telah digantikan dengan hukuman dengan kuasa budi bicara mahkamah melalui Akta Dadah Berbahaya (pindaan) 2017 (Akta A1558) yang berkuat kuasa 15 Mac 2018.

    Wan Junaidi berkata berkata kerajaan turut menerima dan mempertimbangkan syor-syor Jawatankuasa Khas berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di Malaysia.

    Antaranya mewujudkan prosedur prapenghukuman, menubuhkan Majlis Penghukuman, membangunkan garis panduan penghukuman, menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan keadilan restoratif.

    Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara juga sedang mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Khas untuk 1,342 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah menerusi moratorium pelaksanaan hukuman mati.

    Menurutnya, Jawatankuasa Khas itu mencadangkan penubuhan Panel Khas yang terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

    “Perkara ini perlu penelitian memandangkan ia menyentuh isu keperlembagaan,” katanya sambil menambah moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan atau berkuat kuasa sehingga tindakan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan.

    Ditanya bila hukuman mati akan dimansuhkan di Malaysia, Wan Junaidi berkata beliau enggan membuat andaian berhubung perkara itu namun secara peribadi tidak bersetuju dengan hukuman mati sejak 1978 lagi ketika menuntut di universiti, kerana ketika itu dikatakan 30 peratus orang yang dihukum mati di Amerika Syarikat sebenarnya tidak bersalah. – BERNAMA

    – BERNAMA

  • RUU Anti Lompat Parti: Pimpinan PH akan jumpa PM

    RUU Anti Lompat Parti: Pimpinan PH akan jumpa PM

    PIMPINAN utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan tiga perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan Persekutuan.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataannya hari ini berkata, PH berharap Rang Undang-Undang tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.

    “Dengan meluluskan Rang Undang-undang ini maka 15 dari 18 Perkara dalam MoU di antara PH dan kerajaan Persekutuan akan tercapai bersamaan dengan 83 peratus,” katanya.

    Menurut kenyataan itu tiga perkara MoU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri, membentang Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

    Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH kecewa atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-undang Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

    Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

    Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Wan Junaidi berkata, sebaliknya rang undang-undang berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya. – BERNAMA

  • UKSB salur sumbangan melalui UMNO Rembau – Saksi

    UKSB salur sumbangan melalui UMNO Rembau – Saksi

    BEKAS pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa pihaknya ada menyalurkan sumbangan kepada UMNO Bahagian Rembau yang ketika itu Khairy Jamaluddin merupakan Timbalan Ketua Bahagian.

    Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan itu, tidak diberikan secara terus kepada bekas Menteri Beliau dan Sukan itu yang lebih dikenali sebagai KJ.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama mengenai cara beliau membantu Khairy, saksi itu menjawab, “Bantuan politik kepada KJ bukan sahaja di peringkat bahagian, ia juga peringkat nasional kerana ketika itu dia adalah ahli politik peringkat nasional.

    “Sebagai contoh jika berlaku bencana dan sebagainya saya akan bantu, untuk program bantuan kemanusiaan, kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK) saya akan bantu juga,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata beliau memberikan bantuan kewangan kepada Khairy mengikut keadaan (keperluan), dan tidak memberikannya secara bulanan.

    “Sumbangan untuk KJ, saya tidak bagi terus, saya urus sendiri. Maksudnya, kalau ada program yang perlukan bantuan saya akan bantu, saya boleh kawal dari segi kegunaan kewangan.

    “Sudah pasti untuk KJ dia tiada kaitan dengan hal ini (kontrak Visa Luar Negara, VLN) dan tiada peruntukan besar untuknya. Tetapi, VLN berkait dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) adalah menteri yang bertanggungjawab masa itu, dan beliau juga adalah timbalan presiden UMNO, saya fikir tanggungjawabnya lebih besar,” katanya.

    Sebelum itu, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa. – BERNAMA

  • Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    TIGA sahabat lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 9.40 malam itu dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis yang melibatkan mangsa lima sahabat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun yang menaiki kereta Volkswagen.

    “Pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang penumpang berumur 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu lori tangki minyak itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Volkswagen itu dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.

    Menurutnya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    POLIS menahan reman seorang lelaki kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah perkuburan di Kampung Jawa, Semanggol di Bagan Serai yang videonya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan hasil maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Jun lepas dan direman bermula 10 hingga 15 Jun ini.

    “Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat itu yang dimuat naik dalam media sosial pada 8 Jun, seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazuki berkata, hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan di kawasan itu.

    “Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya. – BERNAMA

  • PGA8 gagalkan cubaan seludup cecair vape RM1.18 juta guna lori syarikat kurier

    PGA8 gagalkan cubaan seludup cecair vape RM1.18 juta guna lori syarikat kurier

    TAKTIK penyeludup menggunakan lori syarikat perkhidmatan kurier untuk membawa 21,600 botol cecair vape bernilai RM1.18 juta gagal apabila berjaya dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pos Simpangan, Tumpat semalam.

    Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Hakemal Hawari berkata rampasan dilakukan oleh anggota yang menahan lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ketika melaksanakan penugasan Op Wawasan di lokasi terbabit pada 12 tengah hari.

    Beliau berkata ketika pemeriksaan, anggotanya menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai jenis perisa cecair vape.

    “Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota itu didatangi seorang lelaki berusia 20 tahun yang mengaku sebagai penerima kotak-kotak tersebut.

    “Barang rampasan, lori serta kedua-dua lelaki telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, Rantau Panjang hari ini.

     Hakemal berkata cecair vape yang dirampas akan diserah kepada Kementerian Kesihatan untuk disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Racun 1952.

    Beliau berkata PGA8 turut merampas 8,800 unit rokok elektronik bernilai RM220,000 di kawasan Pangkalan Haram Pok Leh, Kampung Tualang, Tumpat semalam.

    Rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA8 yang melihat dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak dari tebing sungai ke dalam sebuah perahu pada 3.30 petang.

    Bagaimanapun, Hakemal berkata kehadiran mereka disedari oleh kedua-dua lelaki yang bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu terbabit.

    “Pemeriksaan pada kotak tersebut menemukan rokok elektronik berkenaan yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

    “Barangan rampasan telah dibawa kepada IPD Tumpat untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

    — BERNAMA