Author: Bernama

  • Arul Kanda setuju beri keterangan bicara kes pindaan laporan audit 1MDB

    Arul Kanda setuju beri keterangan bicara kes pindaan laporan audit 1MDB

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy bersetuju untuk memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.

    Peguam Arul Kanda, Datuk N.Sivananthan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa anak guamnya itu yang juga merupakan tertuduh dalam perbicaraan kes yang sama dengan Najib, bersedia untuk mempertahankan kenyataan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semasa siasatan kes berkenaan berlangsung.

    Mohamed Zaini: Anak guam anda membantah dalam permohonan pihak pendakwaan (menjadi saksi pendakwaan)?

    Sivananthan: Pendirian anak guam saya ialah dia telah memberikan kenyataan kepada SPRM apabila beliau disiasat, pendiriannya sejak awal lagi dan sehingga kini, beliau bersedia untuk menetapkan pendirian bahawa kenyataan yang diberikan kepada pihak pendakwaan, dia sudah bersedia untuk mempertahankan kenyataan itu, jika itu yang dimahukan pihak pendakwaan, dia dengan senang hati bersetuju.

    Mohamed Zaini: Jadi, dalam bahasa Inggeris ia bermaksud ya?

    Apabila kenyataan hakim itu disambut dengan gelak ketawa yang riuh dalam mahkamah, peguam itu berkata inilah sebabnya mereka menjadi peguam, dan menambah bahawa anak guamnya “dengan senang hati bersetuju” dengan permintaan pihak pendakwaan.

    Hakim menetapkan 24 Jun untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudiannya berdiri dan berkata Arul Kanda akan dipanggil untuk memberi keterangan sejurus selepas keputusan itu dimuktamadkan sekiranya permohonan pihak pendakwaan dibenarkan.

    Jika tidak, beliau berkata seorang pegawai penyiasat, yang merupakan saksi terakhir, akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum pihak pendakwaan menamatkan kesnya.

    Terdahulu, Muhammad Shafee dalam menentang permohonan itu berkata pihak pendakwaan bertindak dengan niat jahat dan ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan proses.

    Beliau berkata pihak pendakwaan sepatutnya membuat permohonan itu semasa permulaan perbicaraan pada 2019, supaya Arul Kanda tidak dapat mendengar keterangan saksi lain semasa perbicaraan.

    “Dalam kes ini, kini pihak pendakwaan tiada pilihan, jadi mereka memutuskan untuk memanggil Arul Kanda untuk menjadi saksi mereka, tetapi Arul Kanda tidak sepatutnya berada di mahkamah semasa perbicaraan. Arul Kanda sepatutnya berada di bilik saksi semasa perbicaraan.

    “Selain itu pihak pendakwaan telah menunjukkan sejak awal perbicaraan dalam kenyataan pembukaan mereka bahawa mereka berhasrat untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan, oleh itu pihak pendakwaan sentiasa mengetahui bahawa keterangan Arul Kanda adalah perlu untuk menyokong kes mereka terhadap pelanggan saya,” kata Muhammad Shafee.

    Sri Ram pula berkata Arul Kanda harus dipanggil sebagai saksi pendakwaan kerana dia mempunyai pengetahuan mengenai perbualan yang berkaitan, yang mungkin berlangsung antara dia dan Najib berhubung pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.

    Beliau berhujah bahawa sebagai seorang yang bersubahat, Arul Kanda adalah saksi yang relevan kerana dia berada dalam kedudukan untuk memberi keterangan berhubung kelakuan tertuduh bersama itu.

    Menurutnya kata-kata yang diucapkan oleh Najib kepada Arul Kanda akan menjadi sangat relevan untuk mewujudkan niat rasuah.

    “Dalam kes ini, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Ada bukti yang mengesahkan bahawa Arul Kanda menghadiri mesyuarat yang diadakan pada 24 dan 25 Feb 2016. Ketika itu Arul Kanda adalah CEO manakala Najib ialah pengerusi Lembaga Penasihat.

    “Bagaimana dia datang untuk menghadiri mesyuarat, dan sebarang komunikasi antara dia dan Najib, adalah perkara yang memang diketahuinya. Dia juga mengetahui semua perbualan yang berkaitan, yang mungkin diperkatakan antara dia dan Najib mengenai pertuduhan terhadap Najib,” kata Sri Ram.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

    — BERNAMA

  • Rayuan UMNO batalkan saman SRC International ditolak

    Rayuan UMNO batalkan saman SRC International ditolak

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan UMNO untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap parti politik itu oleh SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya untuk menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya mendapati tiada merit dalam rayuan UMNO.

    “Ini bukanlah suatu kes yang jelas serta sesuai untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan,” kata Hakim Hadhariah yang mengetuai panel itu.

    Beliau mengatakan bahawa terdapat beberapa isu yang telah ditimbulkan di dalam pliding yang difailkan termasuk isu pelanggaran tanggungjawab fidisuari, pelanggaran amanah, penyalahgunaan duit amanah dan tindakan frod terhadap duit amanah yang hanya boleh diputuskan melalui perbicaraan penuh di mahkamah.

    “Kesemua responden (SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd) memohon hak mereka untuk didengar,” katanya sambil menambah jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan, pasti ada cara untuk membetulkannya semula.

    Hakim Hadhariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Nov tahun lepas yang menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman itu.

    Panel itu juga membatalkan rayuan UMNO terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SRC International dan anak syarikatnya untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan mereka selepas peguam yang mewakili UMNO, Shahrul Fazli Kamaruzaman memberitahu mahkamah mengenai penarikan balik rayuan berhubung keputusan itu.

    Panel hakim itu mendengar rayuan tersebut melalui dalam talian.

    Dalam writ samannya, SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

    Syarikat itu pada mulanya memfailkan saman itu dengan menamakan UMNO yang disaman melalui Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan selaku defendan.

    Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan menggantikan Ahmad Zahid dan Ahmad Maslan dengan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan.

    Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

    Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

    Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran.

    — BERNAMA

  • Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    LEBIH 100 kereta termasuk kereta polis musnah dalam kebakaran di tempat penyimpanan kereta terpakai di Jalan Bendahara, Kampung Temiang di Ipoh pagi tadi.

    Komander Operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.30 pagi.

    Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Kuala Kangsar serta Pasukan Bomba Sukarela dari Pekan Baru, Pasir Pinji dan Menglembu dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, operasi pemadaman tamat pada 1.34 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa terlibat dalam kebakaran itu.

    Menurut Mohamad Fadzeli, anggaran kemusnahan adalah 80 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, seorang pekerja di tempat penyimpanan terbabit S. Raju, 26, berkata, dia ternampak kepulan asap dari jauh dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menghubungi pihak bomba. – BERNAMA

  • 99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    99.67% aset RM5.1 bilion dilucuthak berkaitan 1MDB

    JUMLAH aset yang dilucuthak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah kira-kira RM5.1 bilion, dengan 99.57 peratus daripadanya berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

    Beliau berkata, siasatan SPRM juga telah membawa 152 kes pelucuthakan aset dikendalikan di mahkamah dengan 121 daripadanya telah selesai.

    “117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes, atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

    Azam berkata, SPRM bertanggungjawab meneliti dan menyiasat sebarang aduan, meskipun dakwaan rasuah hanya membabitkan jumlah yang kecil.

    Beliau berkata, sekiranya didapati ada sebab yang munasabah menunjukkan berlakunya kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kertas siasatan akan dibuka dan setelah selesai siasatan, ia akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    “Meskipun pemberian izin untuk mendakwa adalah bergantung kepada budi bicara mutlak Peguam Negara, kekuatan bukti hasil siasatan SPRM membantu dalam keputusan tersebut,” katanya.

    Azam berkata, SPRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan dan tidak boleh membuka kertas siasatan hanya daripada maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial, terutama sekali mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu.

    “Jika siasatan kami atas tuduhan atau dakwaan yang sedemikian, kertas siasatan kami tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti yang teguh.

    “Nescaya ia akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu ia tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah sekalipun,” katanya.

    Beliau berkata, SPRM sentiasa mengikuti SOP yang diperuntukkan berhubung siasatan kes dan akan meneliti mana-mana dakwaan dan aduan sebelum membuka sesuatu kertas siasatan.

    “Sekiranya, tidak ada atau tidak cukup bukti kertas siasatan akan ditutup. Amalan ini adalah untuk memastikan seseorang yang tidak bersalah tidak dianiayai dan yang tertuduh mendapat ruang dan peluang pembelaannya di mahkamah,” katanya.

    Dalam pada itu, Azam berkata, bermula tahun 2000, SPRM mula bergerak ke arah kaedah risikan dan penyiasatan proaktif iaitu kaedah ‘Penyiasatan Bedasarkan Risikan ke atas Kes Berprofil Tinggi’ dalam siasatan.

    “Proses ini memerlukan analisis mendalam terhadap suspek-suspek tertentu, sebelum kita membuat penyiasatan sebenar. Walaupun kaedah ini memakan masa, namun impaknya adalah tinggi,” katanya.

    Antara kes yang berjaya didedahkan SPRM hasil kaedah risikan dan penyiasatan proaktif itu adalah kes terjumpanya wang dalam sekitar RM53 juta tunai daripada seorang pegawai kerajaan, dalam satu operasi dikenali ‘OPS Water’ pada 2016. – BERNAMA

  • Kes rasuah Zahid: Wan Quoris nafi berbohong

    Kes rasuah Zahid: Wan Quoris nafi berbohong

    BEKAS pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) hari ini menafikan beliau berbohong dan tidak jujur ​​ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu bahawa beliau tidak memberi wang kepada Ahmad Zahid.

    Semalam Wan Quoris Shah dalam keterangannya berkata Ahmad Zahid menerima sumbangan (wang) dari syarikat itu antara 2014 dan 2018.

    Bantuan kewangan yang diberikannya kepada Ahmad Zahid bertujuan mengukuhkan kedudukan UKSB sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Terdahulu saksi pendakwaan ke-16 itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Hisyam bahawa beliau dan bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun serta bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan telah melakukan konspirasi atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

    Beliau turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal bahawa wang yang dikatakan telah dibayar kepada presiden UMNO itu sebenarnya telah diambil dan digunakan oleh mereka bertiga.

    Ahmad Zaidi: Dan sebab itulah kamu boleh hidup mewah dengan memiliki satu banglo di Putrajaya, semi-D di Cyberjaya dan satu apartment mewah di Pavilion Residence serta juga pelbagai kenderaan mewah yang lain bernilai lebih kurang RM2 juta lebih?

    Wan Quoris Shah: Saya tak setuju.

    Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Wan Quoris Shah berkata, dengan pendapatan RM100,000 sebulan, beliau mampu membeli beberapa hartanah dan kenderaan mewah bernilai RM8 juta.

    Beliau berkata, gaji permulaannya dengan UKSB adalah RM10,000 sebulan pada 2013, sebelum meningkat kepada RM30,000 dan berakhir dengan RM100,000 pada 2018.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung Khamis ini. – BERNAMA

  • Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    TOKOH seni bela diri Taekwondo dan Pengasas Global International Taekwondo Federation (GITF ), Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun pada pukul 7.33 pagi tadi.

    Perkara tersebut telah disahkan oleh anak Allahyarham, Shareen dan Suzlan.

    Allahyarham Saberi, bekas dekan pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dilaporkan berada dalam keadaan yang tenat dan telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam akibat pelbagai komplikasi awal Mei lepas.

    “Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya dimaklumkan bahawa ayahanda kami Md Saberi Md Salleh telah kembali menemui penciptanya pada pukul 7.33 pagi, Selasa 14, Jun 2022.

    “Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan agar ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya” menurut kenyataan ringkas daripada keluarganya.

    Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Amin Kuarters Polis Seksyen 20 Shah Alam untuk urusan selanjutnya.

    Pada 2006 Allahyarham mendapat sokongan 32 negara anggota gabungan untuk menubuhkan GITF sekali gus menjadi presiden.

    Beliau seorang antara bukan warga Korea yang dilatih secara peribadi oleh mendiang Jeneral Choi Hong Hi iaitu pengasas taekwondo di negara Asia Timur dan mantan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF).

    Saberi juga terkenal sebagai Pengasas Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF), Pengasas Akademi Taekwondo Sabree dan penerima International Hall of Fame Award 2008 The World Head of Family Sokeship Council yang hanya dianggotai pakar seni bela diri seperti Jackie Chan dan Chuck Norris.

    Pada Januari 2010, Saberi dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Tahap Ke-10 dan gelaran Mahaguru Agung (Grandmaster Chong Kwan Jang Nim) daripada Persekutuan Song Do Kwan Kong Soo Doo. – BERNAMA

  • PRU-15 bukan prioriti, kata Takiyuddin

    PRU-15 bukan prioriti, kata Takiyuddin

    KERAJAAN ketika ini adalah stabil, dan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU-15) adalah bukan prioriti, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan masih mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan negara dari konteks ekonomi dan kesihatan pasca pandemik COVID-19.

    “Bagi saya, pilihan raya bukan prioriti, kita punyai kerajaan yang stabil, mendapat sokongan pula daripada parti termasuk pembangkang, ada memorandum persefahaman (MoU) dan sebagainya. Tiada sebab kenapa perlunya pilihan raya tergesa-gesa.

    “Bukan isu takut kalah, lawan tetap lawan dan ia terpulang kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

    PRU-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.

    Sementara itu, beliau berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, berteraskan tiga matlamat utama iaitu sebagai penjanaan elektrik, tebatan banjir serta sumber air bersih selain bagi tujuan ekopelancongan.

    Takiyuddin berkata, pembinaannya turut mendapat sokongan lebih 80 peratus responden berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, dan ketika ini tidak ada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaannya.

    Katanya, kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) telah dijalankan untuk projek empangan itu, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut dilibatkan sebagai ‘orang tengah’ antara masyarakat Orang Asli di kawasan terlibat dengan kerajaan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

    Beliau berkata, masyarakat Orang Asli di tiga perkampungan terlibat juga telah diberikan penempatan dengan pembiayaan kerajaan dan TNB.

    “Bukan sahaja diberi rumah, malah kebun dan segala kemudahan sosial juga disediakan. Semua telah diperuntukkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak tertentu baru-baru ini yang mendakwa pembinaan empangan itu akan menjejaskan kehidupan Orang Asli di kawasan berkenaan selain menggesa kerajaan membatalkan projek itu.

    Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, projek bernilai RM5 bilion itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

    Beliau berkata, projek itu berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara. – BERNAMA

  • Majikan Kemboja ugut bayar AS$15,000 atau jual organ dalaman

    Majikan Kemboja ugut bayar AS$15,000 atau jual organ dalaman

    DEMI mengharapkan pekerjaan yang memberikan gaji lumayan, Tay Poh Chai, 39, berlepas ke Kemboja Disember lepas, namun malang yang menimpa menyebabkan beliau kini hidup dalam tekanan dan terancam di negara asing, menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.

    Ibunya Khor Cha Bo, 68, kini hanya mampu merayu bantuan pihak kerajaan, terutama Kementerian Luar dan polis agar membantu membawa anak lelakinya itu kembali ke tanah air.

    Khor berkata, anaknya diajak oleh kawannya ke Kemboja kerana mendapat tawaran kerja dalam bidang perjudian atau kasino dalam talian dengan gaji yang lumayan, menjangkau RM8,000 hingga RM9,000 sebulan.

    “Anak saya bekerja secara sambilan sebagai juruteknik elektrik di sini dan dia yang diajak kawan ke Kemboja kerana gaji yang lumayan di sana, tetapi saya dan ahli keluarga yang lain telah nasihatkan agar tidak pergi, namun dia berkeras mahu ke sana sebab boleh kumpul duit serta tambah pendapatan.

    “Sepanjang dia di sana, ada beberapa kali kami berhubung dan dia beritahu yang dia berada dalam keadaan baik… sehinggalah 28 Mei lepas dia hubungi kami menerusi aplikasi wechat dan maklumkan minta pertolongan kewangan AS$15,000 kerana majikan dia beritahu yang dia tidak lagi sesuai untuk kerja itu.

    “Wang itu adalah untuk ganti rugi dan majikan mengugut, jika gagal membayar jumlah yang diminta mereka akan jual organ dalaman anak saya… kami bimbang dan takut apa-apa terjadi kepadanya, dan sebab itu saya mohon bantuan kerajaan dan pihak berkuasa untuk selamatkan dia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, di Bukit Mertajam hari ini.

    Khor berkata, Poh Chai ada memaklumkan ketika ini dia tidak lagi bekerja kerana majikannya telah membuangnya dan dia perlu meneruskan hidup, terutama membeli makanan menggunakan wang sendiri yang hampir kehabisan sekarang ini.

    “Menurut Poh Chai, semasa bekerja juga gajinya sering dipotong oleh majikan kerana mendakwa dia buat salah ketika kerja jadi setiap bulan gajinya sedikit sahaja… sekarang ini dia dikurung di satu kawasan dan sentiasa diawasi pihak majikannya,” katanya.

    Abang kepada Poh Chai, Poh Heng berkata adiknya turut memaklumkan dia pernah diseksa dengan renjatan elektrik dan bukan hanya dia seorang rakyat Malaysia di sana, (Kemboja) malah terdapat ramai juga lagi mengalami nasib sepertinya.

    Sementara itu Steven berkata, beliau terus menghubungi pejabat Menteri Luar sebaik menerima maklumat daripada keluarga Poh Chai yang memohon pertolongan semalam supaya tindakan segera dapat diambil.

    April lepas, 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja, berjaya dibawa pulang ke tanah air, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra. – BERNAMA

  • Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.

    APM Melaka dalam kenyataan memaklumkan, Cuthbert John Martin, 47, menghembuskan nafas terakhir di jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira 10 pagi tadi.

    Mendiang yang berasal dari Keningau, Sabah dilaporkan rebah secara tiba-tiba di pejabatnya di Ayer Keroh sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu.

    Beliau pernah berkhidmat di APM Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021.

    Menurut kenyataan itu, bedah siasat ke atas mendiang akan dijalankan di hospital tersebut sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Keningau untuk disemadikan. – BERNAMA

  • Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    POLIS Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai RM277,000 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, Ahad lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada 10 malam itu, pasukannya telah menjumpai rokok-rokok berkenaan tersimpan dalam beberapa kotak rokok berwarna coklat.

    “Terdapat 2,474 karton pelbagai jenis rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM277,000 ditemukan, dan suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lepas,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini beliau berkata, suspek direman hingga 16 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA