Author: Bernama

  • Walaupun tertangguh 2 tahun, jemaah syukur dapat ibadah dengan selesa

    Walaupun tertangguh 2 tahun, jemaah syukur dapat ibadah dengan selesa

    haramain

    SELEPAS  tertangguh dua tahun akibat pandemik COVID-19, jemaah haji Malaysia yang dipilih sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah pada musim haji kali ini bersyukur dapat beribadah dengan selesa kerana keadaan di Tanah Suci tidak terlalu padat.

    Ia berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang membenarkan hanya sejuta jemaah mengerjakan haji bagi musim 1443H/2022 selain perlu melepasi pelbagai prosedur kesihatan dan saringan COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat.

    Bagi jemaah yang terpilih pada musim haji kali ini, mereka adalah insan istimewa apatah lagi ada antara mereka yang berpeluang hadir bersama ahli keluarga dan adik-beradik.

    Perasaan teruja itu dikongsi oleh Ahmad Huzaifah Usoh @ Yusoff, 35, yang berkata beliau berangkat ke Tanah Suci bersama empat beradik dan tiga daripada mereka membawa pasangan iaitu isterinya Nur Syazana Mohd Zahir, 33, kakak Marhamah, 40, bersama suami Wan Aziman Wan Ramli, 53, adik Ahmad Hassan, 28, (isteri Hamidah Mokhtar, 24) manakala abang Ahmad Zuhriy, 44, datang tanpa pasangan.

    Pegawai Dietetik yang berasal dari Terengganu itu berkata mereka menerima tawaran haji pada tahun 2020 namun tertangguh akibat pandemik.

    “Sepatutnya adik-beradik kami sembilan orang yang datang, itu belum masuk lagi pasangan mereka tetapi lima daripada kami (adik-beradik) terpaksa menolak kerana pelbagai kekangan.

    “Kami sembilan beradik mendaftar selepas bapa meninggal dunia pada 2008 atas saranan ibu, memang jadi impian ibu untuk kami ke Tanah Suci bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel Land Premium, yang menempatkan 4,400 jemaah haji Malaysia.

    Sementara itu, Muhammad Amnan Mohd Amin, 38, berkata beliau bersama dua lagi adiknya bertuah kerana ibu bapa mereka telah mendaftar sejak kecil dan ia lebih bermakna apabila keakraban mereka di tanah air menjadi pengikat hingga ke Tanah Suci.        

    “Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang memetingkan agama dalam semua hal. Usaha yang dibuat ibu bapa akhirnya dimakbul Allah. Sangat terharu dan saya rasa ramai yang terpilih kali ini adalah yang istimewa,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, tinjauan di sekitar Arafah dan Mina didapati kerja-kerja membaik pulih sedang giat dilakukan bagi memastikan keselesaan jemaah apabila tiba Hari Wukuf.

    Kemudahan tandas, khemah dan sistem penyaman udara antara yang diberi perhatian kerajaan Arab Saudi, selain  bekalan air bersih di kawasan penempatan jemaah.

    Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini yang akan menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Lembaga Tabung Haji Facebook, Instagram dan Tik Tok.

    – BERNAMA

  • Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barang kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh.

    Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh.

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – BERNAMA

  • Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    Bicara kes pecah amanah, pengubahan wang haram Syed Saddiq mula esok

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Kes itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 pagi.

    “Bicara akan berjalan esok. Enam saksi pendakwaan dijangka beri keterangan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 40 saksi pada perbicaraan kes itu.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

    Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 Nov tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

    Pada 22 Julai 2021, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

    Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    BEBERAPA jemaah di Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai, Melaka terselamat daripada terkena serpihan batu konkrit puncak menara, yang terjatuh di ruang solat utama masjid berusia 169 tahun itu akibat dipanah petir awal pagi ini.

    Timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zakaria Abu Bakar berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6.45 pagi itu berlaku semasa beliau bersama imam dan beberapa jemaah sedang meneruskan aktiviti mengaji dan berwirid selepas lebih 30 jemaah lain beredar dari ruangan berkenaan sesudah menunaikan solat Subuh.

    Bercakap kepada pemberita di Jasin hari ini, beliau berkata, pada mulanya mereka terdengar dentuman guruh kuat serta sedikit gegaran yang disusuli dengan bekalan elektrik terputus, dan kemudian barulah tempias air hujan mulai terasa selepas puncak menara itu disambar petir.

    Bahagian atas menara azan Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai musnah disambar petir pagi tadi. (Gambar: Facebook Zakaria Abu Bakar)

    Bagaimanapun katanya, beliau amat bersyukur kerana tiada kecederaan yang menimpa mana-mana jemaah dalam kejadian itu.

    Sementara itu salah seorang penduduk, Mohd Sufian Hashim, 43, berkata ,selepas solat Subuh, beliau berada di rumahnya dan secara kebetulan menyaksikan kejadian itu menerusi tingkap rumahnya yang berhampiran dengan masjid.

    Kredit video: Saluran YouTube Astro Awani

    “Saya terdengar dentuman yang sangat kuat dan kali kedua saya dari jauh ternampak petir memanah puncak menara masjid menyebabkan percikan api dan mengeluarkan kepulan asap,” katanya. – BERNAMA

  • 1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    1MDB: Mahkamah tangguh kes Roger Ng sementara tunggu hukuman

    KES bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ditangguhkan sementara menunggu hukuman kes jenayahnya di Amerika Syarikat (AS) diputuskan pada 13 Sept ini.

    Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB, bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes jenayah dihadapi Ng di mahkamah AS telah selesai dan proses hukuman akan dijalankan pada 13 Sept.

    “Untuk makluman mahkamah, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memohon penyerahan sementara tertuduh ke negara itu sehingga akhir Ogos ini. Saya pasti mereka (DoJ) akan memohon lanjutan tempoh penyerahan sementara memandangan proses hukuman pada September ini.

    “Oleh itu, saya mohon tarikh sebutan kes pada 18 atau 19 Okt ini untuk memaklumkan kepada mahkamah tentang status terkini kes tertuduh (Ng) di Amerika Syarikat,” katanya pada pengurusan kes hari ini.

    Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng mengesahkan mengenai tarikh hukuman itu dan memaklumkan anak guamnya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan juri di mahkamah di AS.

    “Keputusan dicapai pada 8 April 2022 dan hakim di New York telah tetapkan hukuman pada 13 Sept 2022. Saya setuju dengan permohonan pendakwaan untuk tarikh sebutan itu bagi memaklumkan tentang perkembangan kes (di Amerika Syarikat),” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan pengurusan kes pada 19 Okt ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan status terkini kes yang dihadapi Ng di AS.

    Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

    Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

    Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion. – BERNAMA

  • Agong gering di bahagian kaki, jalani pemeriksaan di hospital

    Agong gering di bahagian kaki, jalani pemeriksaan di hospital

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana gering di bahagian kaki.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, walau bagaimanapun, kesihatan Al-Sultan Abdullah secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

    Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, semua program dalam masa terdekat yang melibatkan keberangkatan Seri Paduka ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan kelak.

    “Seri Paduka dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ahmad Fadil berkata, rakyat diseru bersama-sama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan. – BERNAMA

  • Nelayan lemas terjatuh ke dalam laut ketika memukat ikan

    Nelayan lemas terjatuh ke dalam laut ketika memukat ikan

    SEORANG nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika sedang memukat ikan di perairan Pulau Jerejak, Georgetown, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, pihaknya terus mengerakkan sebuah bot untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikenali sebagai M.Rajendran, 56.

    “Sebaik tiba di lokasi pada 3.15 petang, kami menemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya menurut rakannya, mangsa terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit di pukat ketika mereka sedang memukat ikan di perairan Pulau Jerejak.

    Mayat mangsa dihantar ke Hospotal Seberang Jaya untuk dibedah siasat.–Bernama

  • [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    SEORANG remaja maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di Washington D.C., menurut polis.

    Insiden berlaku pada malam Ahad ketika festival muzik Moechella berlangsung, lapor Sputnik.

    “Jabatan Polis Metropolitan (MPD) telah dikerah ke lokasi kejadian di kawasan 14 dan U Street, susulan beberapa orang telah ditembak termasuk seorang pegawai MPD,” kata jabatan polis DC di media sosial.

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital.

    https://youtu.be/v7xSuJU8qrg

    Motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    TIADA individu dalam kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri Kelantan didakwa atas kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah sejak pemerintahan PAS di Kelantan setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa pegawai atau kakitangan telah disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

    “Sejak zaman pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi pernah disebut sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan, maka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dibuat.

    “Jika laporan sudah dibuat, kami sedia untuk disiasat dan itu memang pendirian kami kerana dari segi demokrasi sesiapa sahaja boleh bercakap atau memberi komen tetapi sebarang dakwaan mestilah ada bukti dan itu adalah asasnya,” kata beliau.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, di Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. – BERNAMA

  • Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nasib Samirah, 2 remaja diketahui esok

    Kes bunuh CEO Cradle Fund: Nasib Samirah, 2 remaja diketahui esok

    NASIB Samirah Muzaffar dan dua remaja akan diketahui esok sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman dijangka membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi esok.

    Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Samirah, 47, dan dua remaja maka mereka akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, ketiga-tiga tertuduh itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 22 April lepas, Hakim Ab Karim menetapkan 30 Mei sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, walau bagaimanapun, tarikh itu ditunda kepada 21 Jun (esok).

    Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

    Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.

    Perbicaraan tersebut bermula pada 6 Sept 2019.

    Samirah serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.–Bernama