Author: Bernama

  • Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Khairy berkata urusan mandi dan kafan akan dilakukan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

    Beliau berkata selain itu hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

    “KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

    “Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, KKM menetapkan tatacara pengendalian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam hanya melakukan proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital tanpa penglibatan waris.

    Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti COVID-19, Khairy berkata sekiranya prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP dan hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan sertai urusan itu.

     Selain itu, turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

    Menurut Khairy, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

    “KKM juga tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    haramain

    SEIRING kempen ‘Kebersihan Mencerminkan Kemakburan Haji’, jemaah Malaysia bukan sahaja diingatkan tentang kepentingan bergotong-royong, tetapi juga keperluan menjaga nama baik negara.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata ibadah bukan sahaja berkaitan diri sendiri tetapi juga penjagaan persekitaran.

    Katanya kempen sama pernah diadakan bermula 2017, dalam operasi di Arafah, Mudzlifah dan Mina sehingga mendapat pujian Menteri Haji Arab Saudi dan selepas itu diteruskan di peringkat kawasan penginapan.

    Melalui kempen kebersihan ini, setiap Rabu di maktab (penginapan) akan diadakan program gotong-royong bermula dengan membersihkan bilik masing-masing, surau, lobi dan lorong laluan ke bilik.

    “Kita dapat lihat semua jemaah memberi kerjasama yang baik dan bersemangat untuk bergotong-royong di kawasan yang mereka duduki.

    Program ini akan memupuk gotong-royong dan kerjasama sesama jemaah haji dalam menjaga kesejahteraan, keharmonian dan keakraban di kalangan mereka ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kebersihan melibatkan jemaah dan petugas di Abraj Al Janadriyah, Mekah yang menempatkan ibu pejabat serta penginapan jemaah.

    Syed Saleh berkata jemaah haji Malaysia perlu mengekalkan budaya kebersihan seperti yang diamalkan jemaah sebelum ini bagi menjaga imej Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh kepada jemaah negara lain.

    Musim haji tahun ini menyaksikan 14,306 jemaah Malaysia akan mengerjakan rukun Islam kelima itu yang tinggal di lima penginapan di sini dengan dibantu 320 petugas TH.

    Sementara itu malam tadi 300 petugas TH menyertai majlis bacaan yassin dan solat hajat bagi mendoakan kelancaran operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Ketika itu petugas akan berdepan dengan pelbagai senario bagi menyantuni Tetamu Allah di samping keperluan mengerjakan ibadah haji.

    Hari Wukuf dijangka bermula kira-kira 10 hari lagi dan segala persiapan rapi sedang diatur termasuk penginapan di khemah serta pergerakan jemaah.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai – Ronald

    Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai – Ronald

    KABINET hari ini memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan meneruskan subsidi, serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

    Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

    “Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 24 Jun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban. – Bernama

  • Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    Polis buru 20 lelaki merusuh di Sri Petaling, Isnin lepas

    POLIS sedang mengesan 20 lelaki terbabit dalam pergaduhan dan merosakkan kenderaan awam di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling, Kuala Lumpur, pada awal pagi, Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata pergaduhan melibatkan dua kumpulan itu telah menyebabkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berkenaan rosak akibat terkena batang besi dan botol arak yang digunakan dalam pergaduhan itu.

    “Pihak kami menerima laporan dari seorang mangsa yang keretanya mengalami kerosakkan di bahagian cermin belakang dan cermin penumpang belakang sebelah kanan.

    “Mangsa dan rakan sedang makan di sebuah restoran di lokasi kejadian pergaduhan itu dan polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    Terdahulu tular satu video di laman sosial berdurasi 43 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dan merosakkan beberapa buah kereta menggunakan botol arak dan batang besi di kawasan tersebut.- Bernama

  • Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    Polis buru dalang bekal data peribadi kepada sindiket penipuan

    POLIS Perlis sedang giat mengesan dalang utama yang dipercayai membekalkan ribuan data peribadi kepada sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di utara negara.

    “Kita bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat melengkapkan siasatan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

    “Kes yang berkaitan dengan teknikal seperti peralatan telekomunikasi diserahkan kepada MCMC, manakala kes berkaitan dengan jenayah komersial seperti data peribadi dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis pelupusan barang kes daun dan cecair ketum di sini hari ini.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan polis memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan syarikat telekomunikasi pada 15 Jun lepas.

    Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki kelengkapan peranti tiada standard.

    Sementara itu, mengulas mengenai pelupusan barang kes hari ini, Surina berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis melupuskan 58 tan barangan kes melibatkan daun ketum dianggarkan bernilai RM1.23 juta.

    Katanya, kesemua barang kes ini telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan.

    Beliau berkata setakat 26 Jun lepas, JSJN Perlis berjaya membuat tangkapan seramai 1,149 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dan daun ketum, dalam pada masa yang sama telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 369.12 kilogram (kg) dan 35 tan daun ketum.

    “Kes dan tangkapan JSJN Perlis pada tahun ini menurun sebanyak 50 peratus dan rampasan pula menurun sebanyak 60 peratus,” katanya.

    Beliau berkata penurunun tersebut berlaku akibat penguatkuasaan berterusan oleh pihak polis dan agensi terbabit serta faktor luaran apabila Thailand membenarkan penggunaan daun ketum.

    “Selain itu, daripada sumber risikan polis harga pasaran daun ketum telah jatuh daripada RM180 sekilogram kepada RM40 sekilogram,” katanya. – Bernama

  • Inkues kematian baby Syifa bermula 22 September

    Inkues kematian baby Syifa bermula 22 September

    INKUES bagi menentukan punca kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan ketika di bawah jagaan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di Seremban, akan bermula di Mahkamah Koroner Seremban pada 22 Sept ini.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed juga menetapkan 10 dan 17 Nov bagi prosiding inkues itu selepas kes disebut di hadapannya hari ini.

    Prosiding kes itu sepatutnya berlangsung di hadapan Koroner lain, bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana berkursus.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues memohon mahkamah mengeluarkan perintah interim supaya bapa mangsa, Yuseri Yusoff tidak membuat sebarang perkongsian di laman sosial yang menyentuh peranan mahkamah, peguam dan polis bagi memastikan prosiding inkues itu berjalan lancar.

    Rushan Lutfi membenarkan permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah interim itu sehingga permohonan secara bertulis dikemukakan kepada mahkamah.

    “Mahkamah mengarahkan Yuseri Yusoff supaya tidak membuat sebarang komen atau berkongsi maklumat atau dokumen dalam media sosial atau mana-mana media mengenai kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu.

    Peguam Muhammad Amin Anuar dan Gaithri Thomas bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga bayi itu, manakala Norliana Ali Othman bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

    Media melaporkan pada 23 Feb lepas, Nour Rania atau ‘baby Syifa’ ditemui tidak sedarkan diri, selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

    Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.

  • 51 maut dalam kebakaran ketika rusuhan penjara di Colombia

    51 maut dalam kebakaran ketika rusuhan penjara di Colombia

    SEKURANG-kurangnya 51 orang maut dan 24 lagi cedera dalam rusuhan yang tercetus di sebuah penjara di bandar Tulua, barat daya Colombia pada Selasa.

    Dalam kejadian awal pagi, banduan bertindak membakar tilam, sehingga mengakibatkan kebakaran di penjara yang menempatkan 180 banduan dan beberapa pengawal cedera ketika cuba membantu banduan menyelamatkan diri, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

    Mereka yang cedera, termasuk dua pengawal telah dibawa ke hospital berdekatan.

    Menurut pihak berkuasa kesihatan, sembilan mangsa yang cedera telah ditempatkan di unit rawatan rapi akibat melecur teruk dan terhidu asap.

    Sebanyak 49 banduan maut di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.

    Tiada banduan melarikan diri semasa rusuhan yang dicetuskan akibat pergaduhan antara beberapa banduan, kata Castellanos.

    Presiden Colombia Ivan Duque dalam ciapannya berkata: “Kami kesal dengan peristiwa yang berlaku di penjara Tulua… Saya telah mengarahkan siasatan dijalankan.”

    Bakal Presiden Gustavo Petro turut kesal mengenai kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. – Bernama

  • Pastikan kesahihan jika ditawar visa furada-Idris

    Pastikan kesahihan jika ditawar visa furada-Idris

    UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

    “Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

    “Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

    Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

    Bernama sebelum ini melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

    Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

    Pakej yang ditawarkan bermula daripada RM38,000 hingga RM56,000 dengan bayaran pendahuluan RM15,000 untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.

    Meskipun meminta deposit, pelanggan dimaklumkan peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan.

  • Badan Peguam Malaysia bantah permohonan Laidlaw untuk wakili Najib di mahkamah

    Badan Peguam Malaysia bantah permohonan Laidlaw untuk wakili Najib di mahkamah

    TERDAPAT  21,659 peguam yang berpengalaman di Malaysia untuk dipilih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mewakilinya dalam rayuan terakhir bekas perdana menteri itu bagi kes berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, kata Badan Peguam Malaysia.

    Setiausaha Badan Peguam Malaysia B.Anand Raj dalam afidavit yang difailkan semalam berkata peguam Najib ketika ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memiliki lebih banyak pengalaman, dan lebih layak berbanding Jonathan Laidlaw.

    Katanya Badan Peguam Malaysia membantah permohonan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom, untuk mewakili Najib dalam rayuannya. Anand berkata Muhammad Shafee sendiri memiliki pengetahuan dan berpengalaman luas, kerana dia pernah berhujah dalam banyak kes melibatkan peruntukan undang-undang jenayah, dan pertuduhan yang berkaitan dengan rayuan Ahli Parlimen Pekan itu.

    “Berdasarkan kenyataan bahawa Muhammad Shafee serta pasukan pembelaan telah terlibat dengan kes itu, dan sudah biasa dengan pertuduhan serta peruntukan berkanun yang terlibat sejak dari permulaan, Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa Muhammad Shafee sendiri mempunyai pengalaman luas dan kelayakan tinggi berhubung isu yang belum selesai dalam rayuan itu, lebih daripada pemohon (Laidlaw),” katanya.

    Anand berkata bahawa hanya pada tahun-tahun awal selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada UK pada 1957 apabila terdapat bilangan peguam tempatan terhad, yang memerlukan bantuan daripada QC dan pakar asing.

    “Hari ini pada tahun 2022, yakni 65 tahun selepas merdeka, Badan Peguam Malaysia telah berkembang dengan hebat, secara kuantitatif dan kualitatif. Kami mempunyai 21,659 peguam bela dan peguam cara yang memiliki Sijil Tahunan dan Amalan yang sah pada 27 Jun 2022.

    “Ada ramai peguam bela dan peguam cara yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang litigasi pembelaan jenayah sehingga peringkat rayuan tertinggi. Penelitian terhadap kelayakan dan pengalaman pemohon (Laidlaw) seperti yang dinyatakan dalam afidavit itu (oleh Muhammad Shafee) menunjukkan bahawa beliau adalah QC terkemuka di UK dan mempunyai pengalaman yang pelbagai dan luas dalam pelbagai bidang kuasa.

    “Beliau bagaimanapun tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam sistem perundangan Malaysia, sistem jenayah Malaysia dan dalam perundangan lain yang berkaitan yang diperlukan untuk rayuan,” katanya.

    Anand berkata perkara inilah yang sebenarnya terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara peguam jenayah terkemuka di Malaysia.

    Beliau seterusnya menambah bahawa Laidlaw tidak menunjukkan beliau biasa dengan statut, amalan dan prosedur tempatan Malaysia yang sedang berkembang, serta sistem perundangannya, 65 tahun selepas Merdeka.

    Permohonan untuk mendapatkan khidmat QC akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Julai di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib kerana menyalah guna RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

  • Dua beradik ditahan cuba sogok polis RM25,000 – SPRM

    Dua beradik ditahan cuba sogok polis RM25,000 – SPRM

    DUA  beradik dipercayai anggota sindiket penyeludupan minuman keras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan cuba menyogok wang tunai kira-kira RM25,000 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di premis perniagaan mereka di Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan PDRM dan SPRM, kira-kira 10 pagi.

    Difahamkan, kedua-duanya yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan minuman keras tanpa cukai telah menyogok wang tunai kepada seorang pegawai kanan PDRM sebagai balasan supaya mereka dilepaskan dan tidak diambil sebarang tindakan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

    Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

    — BERNAMA