Author: Bernama

  • Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    PENYERANG yang tidak dikenali bertindak membunuh wartawan Antonio de la Cruz dari akhbar tempatan Expreso dan mencederakan anak perempuannya di kediaman beliau di Ciudad Victoria, Tamaulipas, lapor Sputnik.

    “Pagi ini, de la Cruz, wartawan akhbar Expreso, dibunuh.

    “Menurut maklumat awal, beliau diserang di rumahnya sendiri di jalan Puerta de la Luna, di kawasan Puerta de Tamatán di Ciudad Victoria,” menurut akhbar itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

    Anak perempuannya turut cedera dalam serangan itu.

    Pada 2021, tujuh wartawan Mexico dibunuh, disifatkan sebagai angka tertinggi di dunia, menurut pertubuhan hak asasi manusia Articulo 19.

    Dalam pada itu, seramai 35 wartawan terkorban dalam tempoh tiga tahun Presiden Andres Manuel Lopez Obrador memerintah.- BERNAMA

  • Mahkamah beri notis tunjuk sebab kepada Lokman Adam setelah keluar kata tidak wajar pada polis

    Mahkamah beri notis tunjuk sebab kepada Lokman Adam setelah keluar kata tidak wajar pada polis

    BEKAS  Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dikenakan notis tunjuk sebab oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan negara pada perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

    Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan insiden membabitkan Lokman dan memohon mahkamah mengenakan tindakan menghina terhadap ahli politik berusia 49 tahun itu.

    “Saya dimaklumkan oleh anggota polis mahkamah, Lans Koperal Walter bahawa semasa prosiding, dia memeriksa seorang individu di galeri awam dan memintanya berhenti menggunakan telefon.

    “Orang itu kemudiannya bertindak balas dan memanggilnya (polis mahkamah) bodoh. Orang itu telah dikenal pasti sebagai Lokman (Noor) Adam. Ia adalah kelakuan biadan bagi orang yang berada di mahkamah,” kata Raja Rozela.

    Lokman yang dilihat berdiri di galeri awam berkata: “Saya hanya cakap kenapa ambil nota guna laptop boleh, pakai handphone tidak boleh. Saya tunjuk nota (yang saya ambil di telefon bimbit) saya kepada dia (polis mahkamah) tadi.

    Lokman kemudian menjelaskan, “Saya bukan cakap bodoh kepada polis, saya hanya cakap undang-undang ini ‘bodoh’. Ini tidak adil”.

    Menjawab perkara ini, Raja Rozela berkata bukan sahaja Lokman telah mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada penjawat awam malah beliau terus bercakap di mahkamah dengan mengatakan keseluruhan sistem adalah tidak adil.

    “Tindakan segera perlu diambil, mengikut kata-katanya sebentar tadi. Menyatakan undang-undang bodoh di mahkamah. Saya mohon agar dia segera diberi notis itu bagi mengelak daripada terlepas,” kata Raja Rozela.

    Susulan permohonan itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah mengeluarkan tunjuk sebab kepada Lokman dan bertanya sama ada beliau mahu melantik peguam, dan Lokman menjawab ‘Ya’.

    Peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mencelah dan mencadangkan agar Lokman diberi peluang melantik peguam dan hadir ke mahkamah minggu depan.

    Hakim kemudian menetapkan 4 Julai untuk Lokman hadir ke mahkamah bersama peguamnya untuk menyatakan sebab mengapa dia tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

    Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram bekas timbalan perdana menteri itu bersambung petang ini.

    — BERNAMA

  • Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    Arab Saudi sambut Aidiladha Sabtu 9 Julai

    KERAJAAN Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah, kemuncak ibadah Haji umat Islam, jatuh pada hari Jumaat 8 Julai ini dan Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi akan disambut keesokannya pada Sabtu 9 Julai.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan Mahkamah Agung negara itu melaporkan, pengumuman itu dibuat selepas anak bulan Zulhijjah dilihat di balai cerap Tamir, Arab Saudi pada petang Rabu.

    Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan sejuta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di kawasan bukit berbatu yang dikenali sebagai Bukit Arafah dan kawasan lapang sekitarnya, bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

    Tahun ini menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT di Bukit Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah.

    Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Hari Raya Haji pada 10 Julai 2022.

    Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, menurut kiraan rukyah, anak bulan “tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura setelah terbenamnya matahari pada Rabu.”

    “Ini bererti 30 Jun genap 30 hari bagi bulan Zulkaedah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

    Oleh itu, Dr Nazirudin berkata “hari pertama bulan Zulhijjah 1443H di Singapura, jatuh pada Jumaat, 1 Julai 2022 dan Hari Raya Haji, jatuh pada Ahad, 10 Julai 2022.”

    Video pengumuman permulaan Zulhijjah 1443H/2022 untuk Singapura itu turut dimuatkan di laman Facebook MUIS.

    “Semoga segala amal ibadah kita pada bulan Zulhijjah ini diterima dan semoga mendapat Aidiladha yang diberkati, dengan menghayati maksud dan erti pengorbanan yang sebenar,” kata Dr Nazirudin.

    Sementara itu di Indonesia, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Zainut Tauhid berkata 1 Zulhijjah 1443H bersamaan 1 Julai, dan Hari Raya Haji akan disambut pada 10 Julai.

    Umat Islam mewakili hampir 90 peratus daripada 270 juta populasi negara itu.

    Di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon turut mengumumkan Hari Raya Haji jatuh pada 10 Julai.

    “Semua umat Islam di Thailand diminta laksanakan kewajipan agama pada tarikh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata umat Islam Thailand sepatutnya dapat melihat anak bulan selepas matahari terbenam pada Rabu, bagaimanapun anak bulan itu tidak kelihatan. – BERNAMA

  • Mahkamah benarkan Shafee dapat pasport ke Itali

    Mahkamah benarkan Shafee dapat pasport ke Itali

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport buat sementara bagi membolehkannya ke Itali bagi urusan pertukaran sekolah anak perempuannya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberikan pelepasan sementara pasport peguam itu yang diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan mulai 8 Julai hingga 11 Ogos selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata, anak guamnya perlu ke Itali untuk urusan proses pertukaran sekolah anak perempuan keduanya yang sedang belajar di International School for Europe di Milan, Itali ke The International School of Kuala Lumpur.

    “Beliau juga akan berjumpa dengan anak perempuan sulungnya yang sedang belajar di Universiti John Cabot, Rome, Itali,” katanya.

    Menurut notis usul difailkan pada 24 Jun lalu, Muhammad Shafee memohon agar pasport antarabangsanya diserahkan kepadanya buat sementara selewat-lewatnya 1 Julai untuk beliau membuat persiapan berangkat ke Itali dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) pada 8 Julai.

    Muhammad Shafee yang merupakan peguam bela utama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dibenarkan ke luar negara beberapa kali selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Peguam berusia 70 tahun itu telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 setelah didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan telah menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept di hadapan Hakim Muhammad Jamil. – BERNAMA

  • Pemberontakan dalam parti pemerintah, Ketua Menteri letak jawatan

    Pemberontakan dalam parti pemerintah, Ketua Menteri letak jawatan

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    KETUA MENTERI Maharashtra, India meletak jawatan lewat Rabu berikutan pemberontakan dalam parti pemerintah.

    Kemelut politik di negeri terkaya dan kedua paling ramai penduduk itu tercetus selepas menteri, Eknath Shinde mengetuai pemberontakan terhadap Ketua Menteri Uddhav Thackeray.

    Parti Thackeray Shiv Sena memerintah negeri itu selama dua tahun setengah, dan bergabung dengan Parti Kongres Nasionalis (NCP) dan Kongres Kebangsaan India.

    Shinde dan sejumlah anggota dewan undangan negeri menuduh Shiv Sena bersikap lembut terhadap ideologi “Hindutva” dan baru-baru ini telah mereka telah berkumpul di Gujarat.

    Kumpulan itu kemudiannya bergerak dari Gujarat ke sebuah hotel di Assam, bagi mengumpul sokongan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Thackeray.

    Kumpulan itu mendakwa mendapat sokongan puluhan ahli Parlimen, dan pada Rabu bergerak ke sebuah hotel di Goa di bawah kawalan keselamatan ketat.

    Thackeray meletak jawatan sebagai ketua menteri selepas Mahkamah Agung India membenarkan usul undi tidak percaya diteruskan, menolak hujah Shiv Sena bahawa usul itu harus ditangguhkan sehingga prosiding hilang kelayakan terhadap 16 ahli parlimen yang berpaling tadah selesai.

    Thackeray berkata beliau telah dikhianati oleh mereka yang ditawarkan jawatan penting.

    Sementara itu para pemimpin BJP, berharap dapat memerintah semula Maharashtra, dan mengedarkan gula-gula untuk meraikan kejatuhan kerajaan di Mumbai.

    Perkembangan di Maharashtra adalah episod terbaru “krisis politik” India di mana ahli parlimen berkumpul di hotel mewah yang dikawal ketat bagi mengatur strategi pembelotan atau menghalang mereka daripada “lompat parti”.

    “Hari yang menyedihkan untuk demokrasi di Maharashtra dan India. Mandat rakyat sekali lagi dipermainkan dengan godaan-habuan-ugutan dan rasuah politik,” kata ketua Kongres Kebangsaan India Randeep Singh Surjewala. – BERNAMA

  • Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    TIGA individu maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25, PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.

    “Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.

    “Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

  • Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    SEORANG  lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila separuh badannya tertimbus dalam lubang ketika melakukan kerja pembaikan paip di Laman View Cyberjaya petang semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, mangsa, Samsul Maarif, 43, sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip di dalam lubang yang digali sedalam 3.04 meter.

    “Ketika sedang membuat kerja-kerja pembaikan itu, secara tiba-tiba tanah yang digali telah runtuh lalu menimbusi sebahagian badan mangsa dari paras pinggang dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan.

    Norazam berkata bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam  2.16 petang, tidak membuat sebarang penyelamatan kerana mangsa telah dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum pihak bomba sampai.

    Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan dan pendarahan di mulut telah diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    JENAZAH lima beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu Kubong, malam tadi.

    Terdahulu, dengan diiringi kereta peronda polis, tiga van polis membawa semua jenazah ke rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan.

    Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mereka untuk disemadikan sekitar pukul 10 malam dalam suasana pilu serta penuh hiba dan hujan renyai.

    Kelima-lima mereka, Muhammad Rosli Ibrahim 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun bulan maut dalam satu kemalangan kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat. – BERNAMA

  • Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    DUA individu yang ditahan polis susulan tindakan mereka melarikan diri dan meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas terbabit dalam nahas di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada Ahad lepas disahkan bukan pasangan suami isteri.

    Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata lelaki itu berusia 30 tahun manakala wanita yang berusia 27 tahun itu merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berkenaan yang menaiki kereta Proton Iswara pada hari kejadian.

    “Kanak-kanak itu tercampak di tengah jalan dan digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti akibat kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Beliau berkata pasangan tersebut positif dadah menerusi ujian air kencing, selain lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala wanita tersebut mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.

    Katanya lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula Isnin lepas di Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 sehingga esok manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula reman akan dimohon esok manakala wanita itu pula hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan.

    Semalam media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada 26 Julai lepas.

    Kedua-dua suspek difahamkan melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.

    Pasangan itu telah ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor pada pukul 4.30 pagi dan polis menemukan dadah dalam kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan.

    — BERNAMA

  • Kedudukan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan kes Najib – Pendakwa Raya

    Kedudukan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan kes Najib – Pendakwa Raya

    PIHAK  pendakwaan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kedudukan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Maybank Berhad sebelum ini adalah tidak relevan dengan kes terhadap bekas perdana menteri itu.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul dalam afidavit balas yang difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi membantah permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu berkata, bukti yang didakwa dicari itu mempunyai lebih banyak kaitan dengan satu lagi kes perbicaraan yang sedang dihadapi Najib melibatkan 1Malaysia Development Berhad berkaitan RM2.3 bilion.

    “Tuduhan pemohon (Najib) ini tidak lain hanyalah untuk mengalih perhatian umum semata-mata bagi mengisytiharkan perbicaraan SRC sebagai terbatal. Saya katakan bahawa isu pengambilalihan 1MDB terhadap Tanjong Energy Holdings, penglibatan Maybank dan Hakim Mohd Nazlan dalam perkara 1MDB ini, tidak relevan dengan fakta berhubung pertuduhan SRC yang dihadapi oleh pemohon dalam rayuan ini.

    “Isu-isu ini tidak relevan dengan rayuan SRC, sebaliknya ia berkaitan dengan kes 1MDB yang tidak didengar oleh Hakim Mohd Nazlan. Tiada bukti sebarang konflik kepentingan oleh hakim yang diterjemahkan kepada bahaya sebenar berat sebelah dalam perbicaraan SRC,” katanya.

    Hakim Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah disahkan bahawa pada 2006 beliau memegang jawatan sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank Investment Bank Berhad.

     Mohd Ashrof seterusnya berkata peranan Hakim Mohd Nazlan dalam bank itu memang diketahui umum dan memang diketahui oleh Najib sepanjang masa, termasuk semasa permulaan dan penerusan perbicaraan seperti yang ditunjukkan oleh dokumen awam dan dokumen yang dimiliki pemohon.

    Bagaimanapun beliau berkata Najib tidak membantah untuk beliau (Nazlan) menjadi hakim perbicaraan ketika itu.

    Pendakwa Raya itu menambah, tiada bukti bahawa hakim terlibat dalam penubuhan atau pemerbadanan SRC, kerana 1MDB adalah pihak yang menubuhkan SRC pada ketika itu.

    Mohd Ashrof berkata dakwaan Najib mengenai pengetahuan yang dikatakan oleh Hakim Mohd Nazlan mengenai pinjaman Maybank kepada 1MDB tidak menghalang hakim itu daripada mendengar kes SRC.

    Beliau berhujah bahawa bekas perdana menteri itu gagal menunjukkan sebarang kaitan antara dakwaannya dengan pertuduhan SRC yang didengar oleh hakim.

     Beliau berkata 1MDB dan SRC adalah entiti undang-undang yang berbeza, dengan SRC beroperasi secara berasingan dan bebas daripada 1MDB pada setiap masa.

    “Semua bukti relevan dan material telah dikemukakan pada perbicaraan. Tiada penyembunyian bukti seperti yang didakwa, dan pemohon tidak dinafikan perbicaraan yang adil. Permohonan yang difailkan ini adalah untuk memanjangkan prosiding SRC bagi tujuan kolateral.

    “Saya menegaskan bahawa bukti terkumpul yang kini ingin dikemukakan oleh pemohon tersedia kepada pemohon dan dalam apa jua keadaan, tidak relevan dengan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan esok.

    Pada 7 Jun Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

    Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari dalam bulan Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan itu.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    — BERNAMA