Author: Bernama

  • Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    POLIS menahan seorang pembantu kedai disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki warga asing di Jalan AU2A/14, Taman Keramat, di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga asing berusia 22 tahun itu ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas pihaknya menerima maklumat berhubung insiden tersebut kira-kira 10.36 malam.

    Menurutnya dalam kejadian tersebut mayat lelaki warga asing berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh ditemukan di atas jalan raya dengan kesan kecederaan dan tikaman pada dada.

    “Kita merampas sebilah pisau pemotong sayur yang disyaki senjata digunakan dalam kejadian itu.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan sah dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Ampang hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    KES jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat sehingga 80 peratus kata Ketua Polis negeri Datuk Surina Saad.

    Beliau berkata stastistik menunjukkan bagi tempoh itu kerugian sebanyak RM1.1 juta, yang menghampiri jumlah kerugian RM1.8 juta pada keseluruhan tahun lepas dengan kes penipuan paling banyak dilaporkan melibatkan penipuan e-dagang.

    “Peningkatan kes penipuan dalam talian ini amat ketara sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja laporan polis dibuat… Antara kes yang kerap berlaku penipuan tawaran pekerjaan, ‘love scam’ dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 peringkat Kontinjen Perlis, di Kangar hari ini.

    Surina berkata sehingga Mei tahun ini, sebanyak 150 tangkapan telah dibuat dan 46 peratus kes telah dituduh di mahkamah, dengan terdapat 41 kes penipuan itu melibatkan 19 orang pelajar lelaki dan 22 orang pelajar perempuan.

    Bagaimanapun beliau berkata kes melibatkan penggunaan akaun keldai menunjukkan pengurangan, kerana semakin banyak pertuduhan telah dibuat ke atas pemilik akaun.

    Surina turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dengan membuat semakan.

  • Pusat Rawatan TH, yang pertama di Arab Saudi dapat kelulusan permit

    Pusat Rawatan TH, yang pertama di Arab Saudi dapat kelulusan permit

    PUSAT  Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama yang mendapat kelulusan permit (Tarkhis) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim haji kali ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Rawatan TH itu adalah hampir setara dengan hospital pakar minor.

    Beliau berkata pusat rawatan itu mendapat permit ambulans (Tasrih) untuk menjalankan perkhidmatan ambulan dimana pihak Malaysia mempunyai 20 buah ambulan spesifikasi tinggi.

    “Kelulusan permit-permit ini diberikan setelah melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

    “Ini merupakan suatu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada 13 Mei lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar sejumlah 255 petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang berpengalaman menyertai operasi sebelum ini serta 127 petugas baharu.

    Dr Noor Hisham berkata secara umumnya, KKM memberi perkhidmatan kesihatan di semua tempat penginapan jemaah haji di bawah kelolaan TH antaranya rawatan pesakit luar di klinik zon atau maktab, rawatan kecemasan, rawatan pesakit dalam, rawatan pakar bagi perubatan keluarga, kecemasan, perubatan, ortopedik, anestesiologi atau bius, radiologi, psikiatri dan kesihatan awam.

    Turut ditawarkan ialah perkhidmatan panggilan ambulans, makmal perubatan, farmasi pesakit dalam dan pesakit luar, fisioterapi, khidmat penjagaan spiritual, khidmat pemakanan diet pesakit, survelan kawalan penyakit, serta pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.

    Menurutnya, secara keseluruhannya di Makkah dan Madinah, kapasiti katil di pusat rawatan pesakit dalam adalah sebanyak 268 katil manakala pusat rawat dan rehat, 184 katil.

    Dr Noor Hisham berkata antara penyakit yang paling kerap diterima di klinik pesakit luar di Makkah dan Madinah adalah jangkitan kuman paru-paru seperti jangkitan kuman pernafasan atas (URTI), radang paru-paru dan lelah, selain penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal dan serangan jantung.

    Penyakit lain adalah berkaitan kulit seperti rekahan kulit dan alahan, selain tekanan haba, keletihan haba dan kepenatan badan, katanya.

    “Keadaan cuaca panas terik dan kering di Tanah Suci Makkah dan Madinah boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan langkah penjagaan kesihatan perlu diambil serius oleh para jemaah Haji,” katanya.

    Selain itu, katanya penularan jangkitan penyakit berjangkit yang kerap dilihat seperti musim Haji tahun-tahun dahulu masih boleh berlaku di Tanah Suci.

    “Jemaah Haji Malaysia adalah disarankan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan berisiko seperti kawasan yang sesak dan tertutup seperti dalam lif, surau dan di luar bangunan penginapan jemaah Haji,” katanya.

    Jemaah Haji juga perlu mendapatkan rawatan awal di klinik maktab di Makkah atau zon di Madinah jika bergejala bagi pengesanan awal penyakit seterusnya rawatan awal boleh diberikan bagi mengelak komplikasi penyakit yang teruk, katanya.

    — BERNAMA

  • 41 pendatang asing ditahan di perairan Kuala Sepang

    41 pendatang asing ditahan di perairan Kuala Sepang

    AGENSI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan 41 pendatang asing tanpa izin termasuk seorang tekong di perairan Kuala Sepang, Selangor pada awal pagi tadi.

    Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua mereka terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia serta 37 warga Bangladesh ditahan pukul 1 pagi kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

    Beliau berkata, tangkapan dibuat selepas Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim mengesan pergerakan satu kontak mencurigakan sedang memasuki perairan negara kira-kira 11 malam Khamis.

    “Berikutan itu, bot Maritim Melaka dan Negeri Sembilan yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut bergegas ke lokasi dan menemukan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 1.2 batu nautika barat daya Kuala Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bot menggunakan dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 itu kemudian ditahan dan didapati 41 lelaki termasuk tekong berada dalam bot berkenaan.

    Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 18 dan 46 tahun itu, akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – Bernama

  • Khutbah Arafah diterjemah ke empat lagi bahasa termasuk Tamil

    Khutbah Arafah diterjemah ke empat lagi bahasa termasuk Tamil

    TERJEMAHAN langsung khutbah Hari Arafah, yang dianggap antara acara terpenting dalam kalendar Islam, kini diperluas dengan memasukkan empat lagi bahasa sebagai tambahan kepada 10 bahasa sedia ada.

    Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata menerusi inisiatif ini pihaknya berusaha merealisasikan visi kepimpinan Arab Saudi untuk menyampaikan mesej kesederhanaan dan toleransi ke seluruh dunia.

    “Ketika terjemahan langsung khutbah Arafat memasuki tahun kelima, inisiatif itu telah diperluaskan untuk merangkumi 14 bahasa”, katanya dalam satu sesi meraikan lawatan kumpulan media tempatan ke pejabatnya pada Khamis.

    Klip rakaman pengumuman itu dikongsi menerusi akaun Twitter jabatan berkenaan hari ini.

    Khutbah Arafah akan disiarkan secara langsung dari Masjid Namira di Arafah, Arab Saudi menerusi stesen-stesen televisyen dan radio tempatan selain tiga aplikasi pintar (Arafat, Haramain dan Manaret Haramain) serta portal jabatan berkenaan.

    Terdahulu pada pertengahan Jun, Sudais memberi bayangan akan menambah beberapa lagi bahasa terjemahan untuk teks khutbah Arafah.

    Untuk rekod, inisiatif terjemahan Khutbah Arafah telah dimulakan sekitar tahun 2018 dengan hanya lima bahasa: Inggeris, Perancis, Farsi, Bahasa Melayu dan Urdu.

    Tahun ini, bahasa Sepanyol, Hindi, Tamil dan Swahili dimasukkan sebagai tambahan kepada bahasa; Cina, Turkiye, Rusia, Hausa dan Bengali.

    — BERNAMA

  • 34 premis makanan urung lipas, lalat, tikus diarah tutup di Selangor

    34 premis makanan urung lipas, lalat, tikus diarah tutup di Selangor

    SEBANYK 34 premis makanan diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kerana menyebabkan urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI) selain mendapat markah demerit sangat rendah, Rabu lalu.

    Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata arahan itu dikeluarkan semasa Operasi Sanitasi (Operasi Premis Bersih) yang dijalankan pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negeri ini bermula pukul 6 petang hingga 1 pagi.

    Beliau berkata pelaksanaan operasi khas itu bertujuan memastikan premis yang beroperasi sehingga lewat malam mengekalkan tahap kebersihan optimum bagi mengelak kes keracunan makanan.

    “Sebanyak 207 premis makanan diperiksa dan 34 diarahkan tutup kerana urungan LILATI selain mendapat markah dimerit yang amat rendah.

    “Selain itu, 263 notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun RM167,300 dikeluarkan ke atas semua pemilik premis dan pengendali makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Sha’ari juga menyeru semua pengusaha makanan sentiasa memastikan premis dan produk jualan mematuhi Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.

    “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis kotor atau produk makanan kepada PKD terdekat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau Facebook JKNS,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pekan hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang guru di Kilometer 55 Jalan Kuantan-Segamat di Kuantan, minggu lepas. 

    Tertuduh Yeoh Boon Chin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Wahidah Zainal Abidin. 

    Yeoh yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 petang, 26 Jun semasa memandu kenderaan bernombor pendaftaran WWR818 yang menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Azlina Mohamad, 51, yang merupakan penumpang kereta jenis Myvi. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. 

    Selain itu, Yeoh yang memakai pakaian lokap polis juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu  memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada anak Azlina, Ain Shafiah Ahmad Shahar 21, di tempat dan pada masa yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan. 

    Pada prosiding itu, peguam Osman Abdullah yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM30,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan. 

    “Tertuduh merupakan seorang duda anak satu dan berjanji akan hadir setiap kali kes disebut di mahkamah,” katanya. 

    Majistret membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos sebagai sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Natasha Saharrudin. —Bernama

  • Pengembara Malaysia tidak perlu isi pas mengembara di MySejahtera

    Pengembara Malaysia tidak perlu isi pas mengembara di MySejahtera

    BERKUAT kuasa 4 Julai, warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini tidak perlu lagi mengisi dan melengkapkan ciri-ciri pas pengembara dalam aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Buat permulaan, katanya pemansuhan tersebut hanya terpakai kepada warganegara Malaysia sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada pemegang pas sosial, pas pelajar dan penduduk tetap kelak.

    “Kelonggaran ini bagi memudahkan warganegara kita kembali ke Malaysia, di samping keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata ciri-ciri pas pengembara tersebut masih terpapar di aplikasi MySejahtera dan perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warga Malaysia sebelum memasuki negara ini.

    “Selain pemantauan kes-kes COVID-19 dalam kalangan pengembara luar, ciri-ciri tersebut perlu dilengkapkan oleh mereka supaya Kementerian Kesihatan Malaysia berupaya membuat pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet,” katanya.

    Sebelum ini, kerajaan menetapkan pengembara ke Malaysia termasuk warganegara dan bukan warganegara perlu mengisi pas pengembara, berfungsi memastikan pengembara melengkapkan borang deklarasi kesihatan dan selain pemberian Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).— Bernama

  • Kerajaan ambil kira kepentingan semua pihak sebelum naik harga siling ayam

    Kerajaan ambil kira kepentingan semua pihak sebelum naik harga siling ayam

    KERAJAAN mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya penternak, peniaga dan pengguna sebelum menetapkan harga siling baharu ayam RM9.40 sekilogram berkuat kuasa hari ini.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga itu dibuat selepas perjumpaan dengan pelbagai pihak khususnya pemain industri selain pengiraan margin penjualan ayam oleh kementerian.

    Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan penternak dan peniaga masih meraih keuntungan manakala pengguna mampu mendapat harga ayam yang berpatutan.

    “Sebelum ke sini (Pasar raya Checkers), saya buat lawatan sebentar ke Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam berjumpa dengan peniaga ayam. Saya tanya peniaga di sana mengenai harga baharu siling ayam dan majoriti mereka berpuas hati dengan harga siling kali ini.

    “Mereka mengatakan tiada keperluan lagi untuk mengenakan caj potong bagi meraih keuntungan daripada jualan ayam mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang di Pasar Raya Checkers, Seksyen 15, Shah Alam hari ini.

    Nanta berkata, walaupun tidak semua peniaga berpuas hati dengan harga siling baharu, keputusan itu perlu dibuat bagi melindungi semua pihak di samping menjamin bekalan rantaian ayam pada masa hadapan.

    Dalam pada itu, Nanta menegaskan, pihak penjual dan peniaga ayam perlu mempamerkan tanda harga caj tambahan upah memotong ayam supaya pengguna diberi pilihan sama ada untuk menggunakan khidmat itu atau tidak.

    “Kalau peniaga kenakan caj (tambahan potong ayam) mereka sepatutnya mempamerkan (tanda harga) untuk pengguna tahu mereka akan dikenakan caj itu.

    “Tapi kita nasihatkan janganlah caj dengan harga tidak berpatutan. Kalau ada aduan (caj potongan atau caj melampau) diterima dan bila kita siasat caj itu tidak berpatutan, kita akan ambil tindakan. Kita ada peraturan dan undang-undang untuk menangani masalah ini,” katanya.

    Nanta berkata kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik supaya bekalan barangan bersubsidi seperti ayam dan minyak masak peket satu kilogram hanya dinikmati rakyat negara ini terutama golongan sasar dan memerlukan. – BERNAMA

  • Ekonomi Terengganu makin pulih, catat KDNK 3.6 peratus

    Ekonomi Terengganu makin pulih, catat KDNK 3.6 peratus

    USAHA kerajaan Terengganu untuk memulihkan ekonomi negeri pascapandemik Covid-19 kini telah menunjukkan hasil positif, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi 2021 iaitu sebanyak 3.6 peratus, melebihi pertumbuhan 3.1 peratus peringkat nasional.

    “Pertumbuhan 3.6 peratus berbanding -5.7 peratus pada 2020 juga telah melebihi unjuran yang diletakkan iaitu sekitar 2.0 hingga 2.2 peratus.

    Sesungguhnya pencapaian ini adalah hasil usaha pelbagai pihak yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

    Ahmad Samsuri berkata, selain itu Terengganu juga berjaya merekodkan pencapaian yang baik bagi beberapa indikator dalam lima bidang tumpuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu bidang kemajuan masyarakat, kemakmuran, keamanan, kerjasama dan penjagaan bumi.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri amat menyedari dan memahami beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini akibat kenaikan harga barangan.

    Justeru katanya, isu tersebut akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri yang sedang menanganinya bersama kerajaan Persekutuan. – Bernama