Author: Bernama

  • Mat Kilau kutip RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod

    Mat Kilau kutip RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod

    FILEM biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencetuskan fenomena luar biasa telah berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.

    Pengarahnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof menerusi hantarannya di Instagram berkata jumlah kutipan itu bakal mengatasi rekod pecah panggung filem Munafik 2 yang juga karya arahannya pada tahun 2018.

    “Mat Kilau adalah filem terpantas mencecah RM47 juta hanya dalam 11 hari. Bakal mengatasi rekod pecah panggung Munafik 2 (RM48 juta). Hilang kata…limpah kurnia dari-Nya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem untuk bangsa dan negara,” katanya.

    Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata, filem itu juga masih menduduki carta filem nombor satu di Malaysia dan berjaya mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua.

    Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang dinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah berjaya menjadi antara perbualan utama di media sosial selain ia telah membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagan.

    Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian. – BERNAMA

  • KPM cari pendekatan sesuai atasi tahap literasi murid

    KPM cari pendekatan sesuai atasi tahap literasi murid

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran bersesuaian untuk menangani tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu perlu diberi perhatian kerana terdapat segelintir murid masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah memasuki sekolah menengah.

    Katanya, isu berkenaan terdedah apabila pihaknya bertemu sendiri dengan guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan murid dalam menguasai literasi.

    Beliau berkata, permasalahan itu bukan perkara baharu malah telah wujud sejak sebelum pandemik COVID-19.

    Justeru, katanya, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Pendidikan untuk merangka pendekatan berbeza bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan serta program intervensi literasi awal.

    Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), di Genting Highlands, hari ini.

    Sementara itu, Radzi, berkata pihaknya maklum tentang dakwaan terdapat guru yang terpaksa ‘menipu’ dalam memberi pemarkahan kepada murid atau pelajar semata-mata untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka tercapai.

    Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat harus faham bahawa tindakan guru itu adalah satu perkara yang subjektif kerana mereka kadang-kadang berdepan dengan tekanan.

    “Kita kena faham, ulasan (pemarkahan) diberikan guru itu adalah berdasarkan justifikasi mereka. Jadi untuk kita kata bahawa guru ini menipu, guru itu tidak menipu, ia merupakan satu perkara yang agak subjektif.

    “Tetapi saya tidak nafikan perkara ini mungkin ada berlaku dan kita juga sedar bahawa terdapat keperluan untuk kita bergerak bersama dengan kepimpinan pendidikan bagi memahami perkara sebenarnya yang ingin kita capai daripada sistem pendidikan,” katanya. – BERNAMA

  • Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH

    SEORANG jemaah haji lelaki berusia 62 tahun telah meninggal dunia di Makkah, lebih seminggu lepas.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan menurut beliau kematian warga emas tersebut disebabkan oleh jangkitan kuman yang teruk.

    Warga emas berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu meninggal dunia pada 25 Jun di Hospital King Faisal setelah dirujuk pakar kesihatan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Selain itu, Idris berkata setakat Sabtu (2 Julai) lepas seramai 13 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala tiga lagi di Hospital Arab Saudi.

    “Tabung Haji sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap jemaah, terutama dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya ketika sidang media di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan penginapan jemaah Malaysia.

    Selain itu, Idris mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan mengikut arahan petugas TH.

    “Saya berharap semua jemaah haji Malaysia mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

    “Kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau dengan teliti berhubung perkara berkaitan isu keselamatan di Tanah Suci dari semasa ke semasa,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba. – BERNAMA

  • Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    PESURUHJAYA Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

    Azhar membuat teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan polis dibuat terhadap peguam Lim Wei Jit selepas beliau membuat kenyataan mendedahkan pembelaan tertuduh (Syed Saddiq) ketika sidang media pada 21 Jun lepas.

    “Saya rasa perkara seperti ini telah berlaku di mahkamah lain dan kali ini ia berlaku di mahkamah saya. Saya mengingatkan semua orang…biarkan bukti yang berbicara,” kata Azhar.

    Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah memberi teguran agar perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

    “Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan…tetapi mohon mahkamah memberikan teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya.

    Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memaklumkan perkara itu tidak akan berulang.

    Laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Jun membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – BERNAMA

  • Tiada isu jemaah tak boleh bawa pulang air zamzam

    Tiada isu jemaah tak boleh bawa pulang air zamzam

    TIADA isu berbangkit mengenai jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam kerana ada agensi tertentu atau Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan menguruskannya bagi pihak jemaah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, memang terdapat kaedah tertentu supaya air zamzam sampai ke negara ini dengan cara lebih selamat dengan kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

    “Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang di Kota Bharu hari ini.

    Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan wujudnya penipuan dalam badal haji, Ahmad Marzuk berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenainya.

    Beliau berkata, jika seseorang itu mahu menggunakan khidmat badal haji, mereka perlu memilih ‘wakil’ yang benar-benar tulen supaya tidak ditipu.

    “Dalam soal menggunakan wakil ini, kita perlu membuat penelitian. Sekiranya harga dikenakan begitu murah… agak tidak munasabah melainkan individu itu melakukannya secara sukarela.

    “Cara terbaik bagi orang yang berhasrat menggunakan badal haji, kos itu sepatutnya disesuaikan dengan nilai perbelanjaan bagi orang yang hendak diwakilkan mengerjakan ibadah haji tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Tajuddin tetap sokong Ismail Sabri jadi PM

    Tajuddin tetap sokong Ismail Sabri jadi PM

    “SAYA tetap setia dan sokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, biar apa orang kata,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

    Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, sokongannya akan terus diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang telah melakukan pelbagai inisiatif memerangi pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barang walaupun dikecam segelintir pihak.

    “Kami, UMNO Pasir Salak mahu Ismail Sabri terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya. Kita akan terus dan sentiasa beri sokongan padu untuknya,” kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu sewaktu berucap di Kenduri Rakyat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022.

    Program itu berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Ismail Sabri pagi tadi.

    Jelas Tajuddin yang juga bekas pengarah pilihan raya UMNO, meskipun dalam keadaan negara sedang berdepan kenaikan harga barangan, Perdana Menteri berusaha menanganinya dengan memberikan pelbagai bantuan untuk rakyat.

    Khamis lepas, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT UMNO menerusi satu surat bertarikh 21 Jun. – BERNAMA

  • 2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Ipoh hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi. – BERNAMA

  • Kerajaan tak biarkan rakyat ikat perut – Ismail Sabri

    Kerajaan tak biarkan rakyat ikat perut – Ismail Sabri

    KERAJAAN tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kerajaan dahulu… rakyat kena ikat perut, tapi (kerajaan sekarang) kita cari kaedah agar rakyat tidak dibebani. Tidak pernah dalam sejarah kita bagi subsidi agar harga tidak naik.

    “Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan,” katanya dalam ucapan penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini.

    Minggu lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilaporkan berkata unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

    Menurutnya, unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang akan memberikan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan dalam menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

    “Malah kerajaan hari ini akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada yang ketinggalan,” jelasnya.

    Beliau turut membidas segelintir pihak yang menuduh kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan berkaitan isu peningkatan kos sara hidup.

    “Kerajaan sedar banyak harga barangan meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi fenomena kenaikan harga barang ini,” katanya.

    Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan dan kemajuan di negeri Perak, Ismail Sabri berkata beliau gembira dan berpuas hati dengan pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan dengan baik.

    “Saya gembira apabila kerajaan negeri memantapkan industri pelancongannya dengan menjenamakan Pangkor sebagai destinasi pelancongan marin nautika melalui Penganjuran Pangkor International Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC22).

    “Selain itu terdapat 93 projek baharu dan sambungan, bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di Perak,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, Kementerian Sumber Manusia pula melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial kini membangunkan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernetics Kebangsaan di Bandar Meru Raya yang melibatkan kos RM654 juta, menjadi satu-satunya negeri menawarkan kemudahan robotik ini.

    Di bawah Pelan Pemulihan Nasional pula menurutnya Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut melaksanakan beberapa program di Perak yang menawarkan 56,642 peluang pekerjaan, manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan peruntukan RM1.77 bilion bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini. – BERNAMA

  • Takiyuddin, Radzi, Mustapa antara 13 Ketua Badan Perhubungan PN Kelantan

    Takiyuddin, Radzi, Mustapa antara 13 Ketua Badan Perhubungan PN Kelantan

    TIGA menteri Kabinet antara 13 yang baru dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Kelantan.

    Mereka adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin (Ketereh) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Turut dilantik ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi kawasan Pengkalan Chepa dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ketua-Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN itu dilantik oleh Pengerusi perikatan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Fasal 22.2 (I) Perlembagaan PN.

    “Pelantikan Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN bagi Tumpat pula akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam masa terdekat.

    “PN merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan ini dan percaya mereka akan memperkasa gerak kerja dan jentera organisasi pilihan raya PN di peringkat akar umbi di seluruh Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikut senarai penuh Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Kelantan:

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (Pengkalan Chepa)

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu)

    Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad (Pasir Mas)

    Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang)

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abd Rahman Yunus (Kubang Kerian)

    ADUN Tawang, Datuk Hassan Mohamood (Bachok)

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (Ketereh)

    Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pasir Puteh)

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Machang)

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli)

    Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai)

    Ketua Bahagian Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) – BERNAMA

  • PRU-15: MUDA mahu cuba nasib di Perak

    PRU-15: MUDA mahu cuba nasib di Perak

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman berkata, pihaknya menyasarkan kerusi Parlimen dan DUN yang dikenal pasti boleh menang, namun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu.

    “MUDA hendak bertanding (PRU15) memang sasarkan untuk menang, bukan sekadar hendak mengisi masa lapang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Kempen MUDA Perak Bergerak di Memory Lane di Ipoh hari ini.

    Sementara itu, Mutalib berkata, pihaknya kini sedang aktif melaksanakan kempen berkenaan di kesemua 24 kawasan Parlimen di negeri itu dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

    Beliau berkata, kempen itu dilaksanakan secara bersemuka di kawasan tumpuan ramai seperti pasar tani, kawasan riadah selain pendekatan dari rumah ke rumah dan secara dalam talian. – BERNAMA